MEMPERKASA SEKOLAH KEBANGSAAN

Setiap orang mempunyai pandangan berbeza dengan sistem pendidikan di Malaysia. Perbezaan itu bergantung apa perspektif yang dijadikan bingkai berfikir. Jika seseorang itu mempunyai latar belakang pendidikan agama, cadangannya sudah tentu pendidikan agama diberikan keutamaan dalam sistem pendidikan arus perdana.

Begitu juga perspektif budaya dan etnik. Setiap etnik mahukan sistem pendidikan yang menjurus kepada kesinambungan warisan budaya dan adat resam. Keadaan inilah yang berlaku dalam sistem pendidikan di Malaysia sehingga ada sedikit ‘kekaburan’ mengenai tujuan sebenar kenapa pendidikan itu diwujudkan.

Asasnya sistem pendidikan ialah untuk membolehkan mereka yang keluar daripada lorong akademik dapat menggunakan pengetahuan yang dipelajarinya untuk memperbaiki persekitaran kehidupan. Dengan pengetahuan, mereka dapat berfikir bagaimana untuk hidup dalam persekitaran tertentu, termasuk memiliki kemahiran-kemahiran asas yang bersifat teknikal.

Sistem pendidikan di Malaysia bermula dengan konsep pendidikan yang dibawa masuk daripada negara asal kaum imigran masing-masing. Sebelumnya, kaum imigran hanya datang ke Tanah Melayu untuk mencari sumber rezeki dan kemudiannya bertukar menjadi suatu bentuk kemasyarakatan apabila membina keluarga di negara ini. Kaum imigran turut membawa bersama kaum perempuan dan akhirnya mereka membina keluarga di Malaysia.

pelajar

Selepas institusi keluarga berkembang, kaum imigran membawa masuk kaedah pendidikan dari negara asal mereka, dengan tujuan untuk mendidik anak-anak dengan warisan dan budaya leluhur. Ini bermakna, sekiranya mereka kembali ke negara asal, anak-anak mereka tidak akan merasa janggal atau terkeluar daripada sistem pendidikan leluhur.

Perkembangan seterusnya membawa kepada pembentukan institusi-institusi pendidikan yang kemudianya dikenali sebagai vernakular. Selepas kaum imigran diberikan taraf warganegara, mereka terus mahukan sistem pendidikan vernakular dikekalkan. Kini, sistem pendidikan vernakular menjadi cabaran terbesar dalam pembentukan ‘budaya bangsa Malaysia’ kerana mereka dikatakan hidup bersama tetapi mimpi berlainan.

Malayia memberikan kebenaran untuk sekolah-sekolah vernakular berkembang, bahkan ada keadaan mendapat bantuan kerajaan. Ia tidak berlaku di mana-mana negara di dunia. Kaum imigran yang kemudiannya mendapat taraf kewarganegaraan mesti melalui sistem pendidikan kebangsaan, sebagaimana berlaku di Thailand, Vietnam dan juga Indonesia. Di Malaysia, ia tidak berlaku, sebaliknya etnik Cina tetap mahu mengekalkan sistem pendidikan yang berorientasikan kepentingan kaum mereka, begitu juga etnik India.(Baca: Cheong Yuen Keong, Gerakan Pendidikan Cina di Malaysia: Satu Kajian Tentang Perjuangan Dong Jiao Zong (1970-2002), SIRD, 2013; Tan Liok Ee, The Politic of Chinese Education in Malaya 1945-1961, OUP, 1997; JS Solomon, The Development of Bilingual Education in Malaysia, Pelanduk Publications, 1988; dan Suffien Hussin, Pendidikan di Malaysia: Sejarah, Sistem dan Falsafah, DBP, 1993).

Sebab itulah dalam sistem pendidikan arus perdana muncul dua perspektif pendidikan yang berbeza. Perspektif pendidikan kebangsaan ialah untuk membolehkan para pelajar bergaul mesra sebagai asas membina sebuah masyarakat yang bersatu padu. Ia dilaksanakan menerusi penggunaan bahasa kebangsaan dan kurikulum kebangsaan yang sama.

Sekolah-sekolah vernakular, walaupun menggunakan kurikulum yang sama, bahasa pengantarnya adalah berbeza dengan aliran kebangsaan. Akhirnya, mereka yang tamat pendidikan rendah, terpaksa mengikuti kelas-kelas pemulihan sebelum memasuki peringkat menengah manakala sebahagiannya meneruskan pendidikan di sekolah-sekolah menengah vernakular swasta. Keadaan ini tidak berlaku dalam kumpulan etnik India, kerana mereka tidak mempunyai sekolah yang berpengantarkan bahasa Tamil di peringkat menengah.

Cadangan Kementerian Pendidikan Malaysia pada suatu ketika (2011 dan 2012) untuk menambahkan masa untuk mata pelajaran bahasa Melayu di sekolah-sekolah vernakular ditolak dengan andaian, ia adalah proses untuk ‘menghapus kemahiran berbahasa Mandarin’ secara halus. Sedangkan rasionalnya ialah, para pelajar yang mengikuti pendidikan vernakular tidak lagi perlu memasuki kelas-kelas pemulihan sebaik sahaja memasuki sekolah-sekolah menengah.

pelajar2

Sekolah-sekolah menengah akan menggunakan sepenuhnya bahasa Melayu menerusi dasar Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang dimulakan pada tahun 2011 bagi menggantikan PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris) yang gagal mencapai matlamatnya, dan menyebabkan lebih ramai pelajar Bumiputera tidak memperoleh prestasi cemerlang dalam bidang sains dan matematik.

Keadaan itu berbeza dengan apa yang berlaku pada tahun 1970-an apabila aliran pendidikan kebangsaan memperkenalkan kelas-kelas aliran sains. Setelah dilaksanakan dengan baik, pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa kebangsaan, ia berjaya memperoleh peningkatan jumlah pelajar sains dan teknikal di peringkat pendidikan tinggi. Bagi mereka yang kurang berprestasi di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan, diperkenalkan Program Asasi Sains atau Prasains selama setahun di universiti awam, sebelum berpeluang memasuki tahun pertama.

Akibat masing-masing universiti awam mempunyai kecenderungan tersendiri, pelajar menjadi begitu terhad daripada perspektif pemilihan kursus dan mobiliti. Masing-masing universiti awam mempunyai penilaian tertentu, menyebabkan mereka yang lulus Asasi Sains Universiti Malaya misalnya, tidak berpeluang untuk memilih kursur perubatan di lain-lain universiti, sedangkan kemasukan ke tahun satu Universiti Malaya tidak dalam bidang perubatan.

Atas sebab itulah kemudiannya Kementerian Pendidikan Malaysia memperkenalkan Program Matrikulasi dengan mengehadkan universiti awam  untuk meneruskan tawaran kursus di peringkat Diploma ke atas. Program Matrikulasi diperingkatkan sebagai pendidikan peringkat menengah atas, dan lepasannya akan diberikan peluang melanjutkan pelajaran ke mana-mana universiti awam berdasarkan keputusan Unit Pusat Universiti (UPU).

sek org asli

Proses ini dikawal secara berpusat. Keadaan ini menyebabkan beberapa universiti awam merasakan ia sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku, bahkan Universiti Malaysia terus mahu mengekalkan Program Asasi Sains manakala Universiti Islam Antarabangsa Malaysia mengekalkan Program PraPerubatan dan Program PraUniversiti (untuk Ijazah Undang-Undang).

Kini, Program Matrikulasi telah berjaya meningkatkan jumlah pelajar Bumiputera dalam bidang sains dan kejuruteraan. Program ini kemudiannya dilihat tidak memberikan ruang yang saksama bagi etnik lain, maka pada tahun ini, KPM memberikan kouta khusus kepada bukan Bumiputera sebanyak 10 peratus, dengan meningkatkan kapasiti pengambilan sehingga 40,000 tempat setahun.

Bagaimanapun, keputusan mengekalkan kouta 10 peratus ini tidak dipersetujui oleh kumpulan-kumpulan tertentu sehingga ada desakan dan petisyen agar Menteri Pendidikan dipecat. Sebelumnya KPM memberikan 1,000 tempat belajar kepada kaum India untuk memasuki Kolej Matrikulasi kendaliannya.

Kini muncul pula isu untuk memperkenalkan semula PPSMI, dan kajian sedang dilaksanakan. Apabila PPSMI diperkenalkan semula, ia mungkin akan mengulangi kesilapan sebelumnya, di mana para pelajar lepasan SPM tidak lagi berminat memasuki mana-mana universiti awam kerana sebahagiannya telah pun memulakan pengajiannya di peringkat diploma di institut pendidikan swasta (IPTS) sehingga menyebabkan jumlah pengangguran peringkat pendidikan tertiari semakin membesar.

IPTS bersedia merendahkan syarat kemasukan, dengan hanya memperoleh tiga kredit di peringkat SPM, mereka boleh memulakan pengajian peringkat diploma dalam bidang-bidang tertentu, dan bidang pengajian perniagaan menjadi bidang yang popular. Populariti ini sebenarnya tidak disusuli dengan kualiti kursus yang dilaluinya, kerana sebahagian daripada IPTS tidak mempunyai kelulusan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Akhirnya, pelajar berhadapan dengan masalah, sijil yang diterima tidak diakui manakala segelintir IPTS tidak melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik, menipu pelajar dan bila bermasalah, segera ditutup.

BIla ada pihak kembali mencadangkan agar semua aliran pendidikan dimansuhkan dan digantikan dengan pendidikan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar, ramai juga di antara rakyat Malaysia merasakan ia sesuatu yang tidak wajar dan tidak bersemangat patriotik. Ia suatu langkah mengkhianati asas penubuhan Malaysia, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa komunikatif setiap rakyat. Kecenderungan ini berasaskan kepada kehendak yang melihat kemahiran berbahasa Inggeris adalah suatu kemestian, kerana ia adalah bahasa antarabangsa.

Polemik mengenai perkara ini sudah lama berlangsung, bahkan pada suatu ketika, dengan pengenalan PPSMI melahirkan ‘keranda 152’. Perkara 152 ialah Bahasa Kebangsaan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Kini, polemik yang hampir sama telah disuarakan oleh pejuang bahasa kebangsaan apabila KPM meluluskan Dual Language Programme (DLP) dilaksanakan di sekolah-sekolah tertentu yang memenuhi syarat yang ditetapkan, iaitu mendapat keputusan konsensus daripada pemegang taruh, termasuk ibu bapa. Bagaimanapun sekolah-sekolah yang bercadang melaksanakannya, perlu membuat permohonan kepada KPM untuk kelulusan.

Selanjutnya ada cadangan agar sekolah-sekolah agama milik kerajaan dan swasta dihapuskan. Pelajar-pelajar yang berminat untuk mendalami pendidikan Islam perlu mengikutinya secara persendirian, bukan lagi menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan arus perdana. Ia dibuat beralaskan bahawa pendidikan agama adalah kecenderungan individu yang tidak boleh dibebankan dengan perbelanjaan kerajaan. Oleh itu, ia mungkin dikendalikan oleh badan-badan agama, termasuklah Majlis Agama Islam Negeri. Keadaan ini akan menyebabkan seperti mengulangi semula kisah Sijil Tinggi Ugama (STU) yang sudahpun digantikan dengan STAM (Sijil Tinggi Agama Malaysia) sebagai peperiksaan awam yang standard.

Penggantian itu disebabkan masalah yang dihadapi ketika para pelajar lepasan STU ingin melanjutkan pengajian di beberapa buah negara Timur Tengah. Pihak berkuasa hanya mengiktiraf sijil-sijil persekolahan yang dikawal oleh Lembaga Peperiksaan berpusat, atas kriteria ‘standard fixing’ dan sistem pemarkahan yang dilakukan.

Sebelum ini, KPM perlu mengesahkan sijil-sijil yang dikeluarkan pihak berkuasa gama negeri sebelum mereka diterima masuk ke pusat-pusat pengajian di luar negara. Pada suatu ketika, peratus kegagalan para pelajar juga begitu tinggi sehingga menyebabkan ada di antara mereka terpaksa mengulangi mata pelajaran yang sama beberapa kali. Ini dilihat merugikan dari perspektif perbelanjaan dan ekonomi masa, walaupun kebanyakan para pelajar dibiayai oleh ahli keluarga masing-masing.

Sebahagian besar negara Timur Tengah tidak mengenakan bayaran tuisyen pengajian (kecuali dalam bidang tertentu seperti perubatan, pergigian dan farmasi). Para pelajar terpaksa menanggung perbelanjaan sara hidup dan penginapan sepanjang berada di luar negara. Ia kemudiannya menimbulkan pelbagai masalah, ada yang terpaksa memohon bantuan awam dan kerajaan untuk menyelesaikan masalah.

Pendidikan Islam turut dilihat sebagai salah satu faktor yang tidak menyenangkan dalam kalangan intelektual yang berfahaman liberal. Anggapan mereka disebabkan kuasa agama adalah kuasa negeri, adalah tidak berperlembagaan jika ia turut diberikan kedudukan di peringkat persekutuan. Ia bukan sahaja membabitkan institusi pendidikan agama, turut melihatkan pihak berkuasa agama dan institusi agama, termasuk mempersoalkan penubuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Bagaimanapun, isu itu dapat disangkal kerana Yang di Pertuan Agong adalah Ketua Agama di peringkat persekutuan dan baginda mempunyai tanggungjawab untuk memperkasakan hal ehwal agama termasuk pendidikan Islam.

Sebulan lalu, Islamic Renainsanse Front (IRF)  turut membuat cadangan agar perlembagaan dipinda untuk memansuhkan undang-undang syariah kerana negara tidak sepatutnya memikul beban dosa individu. Kumpulan yang menentang pendirian IRF melihat ia sebagai satu percubaan pihak tertentu menggunakan pertubuhan bukan kerajaan dalam kalangan intelektual Islam liberal bagi memenuhi agenda halus politik mereka, yang disasarkan kepada sebuah parti politik yang didominasi oleh bukan Melayu. Desakan secara terbuka ini dilakukan atas pemikiran bahawa persoalan agama bukanlah yang boleh dikaitkan dengan negara, ia adalah persoalan individu, dan dengan cara memisahkan agama dalam bingkai pengurusan negara, mereka akhirnya dilihat berjaya menyingkirkan agama dalam kerangka perundangan dan pentadbiran Malaysia walaupun majoriti penduduk adalah penganut Islam.

orang-asli-cameron-fmt-140119-2

Bagi mereka, seperti juga pengaruh yang disogokkan daripada perspektif pemikiran barat, Islam mengundang pelbagai bentuk kecurigaan dan masalah besar kepada etos kebebasan dan hak asasi. Setiap manusia perlu diberikan kebebasan memilih dan setiap undang-undang perlulah diasaskan kepada perkiraan rasional, bukan berteraskan nilai agama. Ia suatu yang amat merbahaya dan merupakan suatu kejayaan besar dalam prinsip akademik sekular.

Ada juga mereka yang mencadangkan agar diperbanyakkan guru-guru dalam kalangan etnik Cina dan India bagi mengimbangi dominasi guru-guru Melayu. Ketika ini, lebih 80 peratus guru adalah Bumiputera di mana sebahagian daripada mereka dilihat kurang menekankan kepada kemantapan profesionalisme dan sukar berubah.

Berbeza dengan budaya kerja guru-guru Cina yang mengajar di sekolah vernakular, mereka sanggup bekerja sehingga lewat petang setiap hari sedangkan guru-guru Melayu kurang boleh menerima bekerja di luar had maksimum mengajar, dan sering memberikan alasan ‘kekurangan waktu’ dan terbeban dengan kerja-kerja pengkeranian.

Sebenarnya, sebahagian daripada guru-guru melihat selepas masa mengajar, mereka berpeluang untuk melibatkan diri dalam aktiviti perniagaan kecil-kecilan, mengajar kelas-kelas tuisyen, menjadi agen insuran dan perniagaan pelbagai peringkat, dan tidak kurang juga yang mengusahakan kelas-kelas tuisyen. Pertumbuhan kelas-kelas tuisyen sebenarnya tidak perlu sekiranya guru-guru benar-benar berjiwa pendidik, dan kerana itulah ada anggapan bahawa sebahagian yang memilih kerjaya sebagai guru bukan kerana minat, tetapi kerana peluang pekerjaan adalah lebih terjamin berbanding dengan lain-lain kerjaya.

Usaha KPM mengambil lepasan pelajar SPM yang cemerlang untuk dilatih sebaga bakal guru menerusi pengajian selama lima tahun di Institut Pendidikan Guru benar-benar memberikan gambaran bahawa kerjaya guru bukan lagi sesuatu yang boleh dianggap ‘tangkap muat’. Tetapi, hal ini kurang berlaku dalam kalangan pelajar cemerlang SPM bukan Melayu, mereka lebih mengutamakan bidang-bidang lain, termasuk perundangan dan semi professional.

Mereka lebih berminat melanjutkan pelajaran ke universiti, termasuklah universiti ternama di peringkat antarabangsa. Mereka boleh berbuat demikian kerana mereka mempunyai keupayaan dan sumber kewangan berbanding pelajar-pelajar Bumiputera yang cemerlang. Disebabkan profesyen perguruan tertakluk kepada skim perkhidmatan yang ditetapkan, bukan Bumiputera kurang berminat memasuki perkhidmatan awam disebabkan struktur gaji yang kurang menarik dan mereka mudah diterima dalam sektor swasta yang dikawal oleh etnik yang sama.

Persoalannya, sekiranya memasuki perkhidmatan awam, bukan Bumiputera melihat ia adalah satu bentuk kongkongan. Mereka tidak bebas dengan pendirian politik sebab setiap penjawat dikehendaki setia kepada ‘government of the day’. Begitu juga syarat yang ditetapkan bahawa setiap calon guru mestilah mempunyai kelulusan kredit dalam bahasa Melayu di peringkat SPM, disebabkan itulah mereka terus mendesak agar UEC (Unified Examination Certificate) yang tidak menggunakan kurikulum kebangsaan diiktiraf.

Setakat ini UEC diterima secara bersyarat dan ‘pertimbangan khas’ untuk dilatih sebagai calon guru bagi memenuhi jawatan guru di sekolah-sekolah jenis kebangsaan. Bila perkara ini sudah dianggap ‘pendahulu atau precedent’ mereka akan terus menuntut agar UEC diiktiraf sepenuhnya, bukan lagi bersyarat. Inilah yang membimbangkan pakar-pakar pendidikan kebangsaan kerana kurikulum UEC tidak berbentuk kebangsaan, ada juga menggunakan format kurikulum pendidikan dari Taiwan dan China.

Seharusnya perbincangan yang mendalam perlu dilakukan demi kelangsungan pendidikan kebangsaan manakala elit politik wajar mempunyai keberanian untuk menghapuskan pelbagai bentuk dualisma dalam sistem pendidikan di Malaysia. Lee Kuan Yew mempunyai keazaman politik yang kuat dengan menutup semua sekolah-sekolah berbentuk vernakular, dan hanya mengiktiraf sekolah yang berpengantar bahasa Inggeris sebagai sekolah nasional. Kisah Singapura memilih aliran Inggeris hanya sesuai di Singapura kerana negara itu terpaksa berada dalam persekitaran tekanan yang berbeza, bahasa Inggeris adalah ‘jalan ketiga’.

Berbeza dengan Malaysia, bahasa Melayu adalah bahasa rasmi (Perkara 152) dan tentunya wajib dijadikan bahasa pengantar di semua peringkat persekolahan. Bahasa-bahasa lain boleh diamalkan dan dipelajari sebagai mata pelajaran, bukannya sebagai bahasa pengantar. APakah elit politik Malaysia mempunyai keberanian untuk melakukannya? Itulah sebenarnya keperluan untuk mengubah lanskap sistem pendidikan bukannya memperbanyakkan sekolah-sekolah vernakular sehingga timbul kecenderungan untuk memperlekehkan pendidikan kebangsaan.

Memang ada kelemahan dalam sistem dan kualiti penyampaian di sekolah-sekolah kebangsaan. Namun, kelemahan dan kekurangan itu sedang diperbaiki (transformasi) sebagaimana dirangkumkan dengan jelas dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, maka tidak sebab untuk menepis apa yang dilaksanakan sekarang. Apa yang perlu ialah memperbaiki kelemahan yang dapat dikesan, bukan hanya sekadar tempelan seperti menukarkan warna kasut dan stoking, kurikulum berenang dan menubuhkan sekolah menengah jenis kebangsaan Tamil.

Mungkin kita dapat belajar bagaimana pada suatu ketika sekolah kebangsaan begitu mendapat perhatian setiap masyarakat sehingga menimbulkan kebimbangan ‘nenek moyang’ akan terhapusnya warisan budaya dan bahasa leluhur mereka, kerana fenomena kefasihan berbahasa Melayu.

Asalnya ia bermula sebagai suatu resolusi kebimbangan, akhirnya berkembang menjadi ‘perjuangan politik’ yang tidak kunjung berhenti oleh Huatuan-huatuan untuk membolehkan pendidikan Cina terus berkembang dan membangun dengan pesatnya. Itulah sepatutnya perlu dirasionalkan oleh semua elit politik jika ingin melihat Malaysia benar-benar mempunyai rakyat yang berjiwa Malaysia, bukannya mencerca negara sendiri kerana ada sedikit masalah peribadi yang tidak dapat diselesaikan.

Mahanor Saleha

No Comments

    Leave a reply