MEMULAKAN DEKOLONIALISASI ILMU DAN AGENDA MENJANA ILMU ACUAN SENDIRI

Negara dan bangsa yang pernah dijajah biasanya minda rakyat dan masyarakatnya turut mengalami penjajahan. Tokoh pemikir Algeria Malik Bennabi yang pemikirannya banyak dipengaruhi oleh Ibn Khaldun mengungkap fenomena ini sebagai “colonialisability” iaitu sifat dan tabi’at KETERJAJAHAN atau kecenderungan dalaman yang telah lama dibina untuk sentiasa dijajah. Antonio Gramsci menyebutkan keadaan di mana rakyat dan masyarakat mengalami hegemoni budaya dan intelektual yang diteruskan oleh regim dan elit pasca-penjajahan yang secara tidak langsung mewakili pemikiran dan citarasa bekas penjajah. Edward Said dalam karya klasik beliau ‘Orientalism’ juga menegaskan betapa imperialisme ilmu terus bermaharajalela dalam dunia pasca-penjajahan di Afrika, Asia dan Amerika Selatan.

Bagaimanapun fenomena ilmu pengetahuan sebagai alat dan ideologi penjajahan pemikiran, pendidikan dan peradaban sukar untuk difahami oleh rakyat dan masyarakat hatta dikalangan para sarjana dan cendekiawan apatahlagi ahli politik dan birokrat.

Kita mungkin telah berjaya mengusir keluar para penjajah dari sudut politik dan pentadbiran negara meskipun hakikat ini masih boleh diperdebatkan. Bagaimanapun yang pasti kita masih belum berupaya menyahkan penjajahan ilmu yang menjadi tunjang kepada penerusan penjajahan pemikiran, pendidikan dan peradaban.

Universiti, profesor dan komuniti akademik kita semuanya masih berkiblat kepada kepimpinan ilmu penjajah. Bahasa pengantar, buku teks, jurnal semuanya merujuk kepada sumber ilmu penjajah. Malah penarafan institusi, penanda-aras pencapaian dan penganugerahan ilmiah semuanya diatur langsung atau diinspirasikan dari pendekatan ilmu penjajah. Globalisasi ilmu yang digembar-gemburkan hari ini tidak lebih dari hegemoni dan imperialisme ilmu penjajah yang menjadikan sistem dan ekologi ilmu kita sebagai sekadar salah satu dari koloni-koloni ilmu yang pengkalannya berada di negara penjajah.

Perlu difahami kritik terhadap dominasi ilmu penjajah ini bukan kritik rasis dan chauvanis terhadap para penjajah tersebut tetapi kritik terhadap cerdik-cendekia tempatan yang masih terbelenggu dengan kekaguman terhadap penjajah seperti yang dinyatakan oleh Malik Bennabi sebagai sifat dan tabi’at KETERJAJAHAN tersebut.

Bukan sahaja masyarakat jelata malah ramai dikalangan cerdik-cendekia tidak menyedari betapa tradisi dan trajektori ilmu penjajah ini yang berusia dalam lingkungan 300 tahun ini telah menafikan pelbagai bentuk ilmu-ilmu pengetahuan lain sama ada yang terbit dari agama, budaya dan daerah tempatan. Ilmu pengetahuan yang digelar ilmu pengetahuan moden yang meliputi sains tabi’i dan sains sosial terbitan Barat Moden ini telah diangkat menjadi satu-satunya bentuk ilmu pengetahuan yang perlu dipelajari dalam sistem pendidikan global hari ini. Faham kearifan lokal atau kearifan tempatan, ilmu tradisional atau tradisi, dan juga ilmu-ilmu yang dinamakan ilmu-ilmu alternatif sekadar melukut ditepi gantang atau dijadikan bahan-bahan perhiasan dan pameran semata-mata!

Ramai yang tidak mengetahui betapa ilmu-ilmu pinggiran ini telah diplagiat, dimanipulasi dan dieksplotasi oleh regim ilmu pengetahuan sains moden Barat yang dipakejkan semula ke tempat-tempat asal ilmu-ilmu itu dicuri. Dimensi permainan dan penipuan politik dan ekonomi ilmu pengetahuan Barat Moden dengan ilmu-ilmu terpinggir ini sekadar sebahagian dari manifestasi hegemoni dan imperialisme ilmu penjajah terhadap ilmu-ilmu yang tidak terbit dari lingkungan mereka.

Bagaiamanapun dalam konteks kritik kita terhadap ilmu-ilmu penjajah atau ilmu-ilmu pengetahuan moden Barat ialah kerosakan dan kehancuran sistem berfikir dan nilai rakyat dan masyarakat yang telah mengalami sekian lama penjajahan ilmu-ilmu ini dalam sistem pendidikan mereka yang dahulu pernah disebut sebagai Ghazwah al-Fikrah atau Penjajahan Pemikiran.

Dewasa ini timbul kebimbangan dan keresahan umat Islam di negara kita khususnya tentang penularan gejala sekularisme, liberalism dan pluralisme malah atheisme dikalangan rakyat dan masyarakat dipelbagai peringkat kehidupan. Bagaimana hal ini boleh berlaku? Mungkin ada yang mengaitkan fenomena isme-isme ini dengan pengaruh globalisasi komunikasi dan media sosial. Tentu sekali sumber-sumber ini telah sedikit sebanyak mempengaruhi pemikiran rakyat dan masyarakat kita. Tetapi ramai yang tidak boleh mengaitkan kemunculan isme-isme sekularisme, liberalisme dan pluralisme ini bermula dari ilmu-ilmu pengetahuan Barat Moden yang berusia lebih 300 tahun yang sedang diajar di universiti-universiti negara kita!

Ramai menganggap ilmu adalah ilmu semata-mata, tanpa nilai dan kepentingan. Kata mereka ilmu itu neutral, objektif dan universal merentas batas agama, kaum dan bahasa. Ini adalah kefahaman salah, palsu dan songsang yang terus dikemukakan oleh cerdik-cendekia yang memiliki sifat dan tabi’at KETERJAJAHAN minda bagi meneruskan legasi tuan-tuan penjajah mereka atau atas sebab-sebab kepentingan peribadi. Disiplin sejarah, falsafah dan sosiologi ilmu pengetahuan sains telah membuktikan bahawa proses penghasilan dan dapatan ilmu pengetahuan itu sangat SARAT-NILAI (Value-Laden) dipengaruhi kuat oleh sistem nilai dan pandangan hidup para penghasil ilmu tersebut. Cerdik-cendekia tempatan selalu sahaja terkeliru dengan apa yang mereka hujahkan keberkesanan dan kebergunaan ilmu penjajah sebagai bukti kebenaran ilmu tersebut pada peringkat metodologi dengan implikasi sebenar nilai ilmu tersebut pada peringkat metafizik. Misalnya faham Atheisme atau Naturalisme yang anti-Tuhan dan anti-agama dalam sebahagian dari teori-teori fizik dan biologi moden seperti kelihatan berkesan dan berguna pada tahap metodologi tetapi pada tahap metafizik ia meruntuhkan nilai dan kebenaran ketuhanan dan agama.

Dekolonialisasi atau menyahpenjajahan ilmu pengetahuan Barat Moden dan proses menjana ilmu acuan sendiri adalah sebahagian dari usaha-usaha memerdekakan jiwa-nurani dan akal-budi kita dari sistem nilai dan pandangan hidup asing yang telah sekian lama dipaksakan samada kita sedar atau tidak. Kekaguman dan ketaksuban terhadap ilmu pengetahuan Barat Moden yang berusia 300 tahun ini merupakan sebahagian dari sifat dan tabi’at KETERJAJAHAN jiwa-nurani dan akal-budi yang perlu kita buang sekiranya kita serius ingin membina generasi rakyat dan masyarakat yang berjiwa merdeka.

Paling tidak ilmu pengetahuan Barat Moden perlu ditanggap dengan kritikal lagi selektif terutama yang berhubung dengan aksiom-aksiomnya yang jelas bertentangan dengan nilai dan pandangan hidup kita. Jika dahulunya para penjajah Barat membolot dengan rakusnya kekayaaan Afrika, Asia dan Amerika Latin secara rompakan terbuka dengan keganasan yang nyata bagi membina asas kekuatan mereka yang kita nampak hari ini, kini bekas anak-anak jajah mereka dikalangan cerdik-cendekia elit menara gading pula yang bermati-matian mempertahankan monopoli dan hegemoni warisan ilmu-ilmu penjajah ini di Tanahair mereka sendiri dari sebarang usaha untuk mengkritik dan menjana ilmu acuan selain dari acuan tuan-tuan penjajah mereka. Alangkah malangnya nasib minda KETERJAJAHAN cerdik-cendekia kita!

NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISLAMIC AND STRATEGIC STUDIES INSTITUTE (ISSI) bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati kesejahteraan, keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam (NARATIF NUSANTARA SIRI 50)

Oleh Dr Amran Muhammad
​Ketua Eksekutif ISSI

No Comments

    Leave a reply