Sememangnya kita mengalu-alukan inisiatif JAIPk. Islam tidak suka orang yang hidup membujang. Nabi Muhammad SAW memerintahkan umatnya bernikah dan melarang keras orang membujang tanpa sebab. Anas bin Malik r.a berkata: Rasulullah SAW memerintahkan kami untuk menikah dan melarang membujang dengan larangan yang keras. Baginda SAW bersabda: Nikahilah wanita yang subur dan penyayang kerana aku akan berbangga dengan banyaknya umatku di hadapan para nabi pada hari kiamat. (Riwayat Ahmad)

“Kita mendapat ilham mewujudkan portal ini bagi membantu mereka yang sukar atau lambat bertemu jodoh, sehingga telah lanjut usia. Mereka ada keinginan untuk berkahwin tetapi merasa sukar untuk mendapatkan pasangan. Jadi, kita akan bantu, malah kita boleh uruskan pasangan ini untuk dimasukkan dalam program nikah jamaie syarie yang kita anjurkan,” kata Pengarah JAIPk, Datuk Mohd. Yusop Husin.

Ini bertepatan dengan hadis nabi SAW iaitu daripada Abu Hurairah r.a, sabda Rasulullah SAW kepada seorang lelaki yang hendak berkahwin dengan seorang perempuan: Adakah kamu telah melihatnya? Jawabnya, belum (kata lelaki itu kepada Rasulullah). Pergilah melihatnya supaya perkahwinan kamu terjamin berkekalan. (Riwayat Tirmidzi)

Memang ajal, maut dan jodoh itu ketentuan Allah. Namun kita disuruh berusaha dan berikhtiar mencari ubat apabila sakit. Demikian juga mencari calon isteri atau suami yang sesuai. Bukannya hanya menunggu “yang bulat datang bergolek yang pipih datang melayang”. Harapan kita, pernikahan yang dilakukan akan kekal bahagia hingga ke syurga.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Wanita itu dikahwini kerana empat hal: Kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu pilih kerana agamanya, sebab kalau tidak demikian, nescaya kamu akan celaka. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Pernah suatu ketika tiga orang sahabat datang bertanya kepada isteri-isteri nabi SAW tentang ibadah baginda. Kemudian setelah diterangkan, masing-masing ingin meningkatkan ibadah mereka.

Salah seorang dari mereka berkata: “Adapun saya, maka sungguh saya akan puasa sepanjang masa tanpa putus”. Sahabat yang lain berkata: “Adapun saya, maka saya akan solat malam selama-lamanya” manakala seorang lagi sahabat berkata, “Sungguh saya akan menjauhi wanita, saya tidak akan bernikah selama-lamanya…”

Ketika hal itu didengar oleh nabi SAW, baginda keluar dan bersabda: Benarkah kalian berkata begini dan begitu? Demi Allah, sesungguhnya akulah yang paling takut kepada Allah dan paling takwa kepada-Nya antara kalian. Akan tetapi aku berpuasa dan aku berbuka, aku solat dan aku pun tidur, dan aku juga bernikah. Maka, barang siapa yang tidak menyukai sunahku, ia tidak termasuk golonganku. (Riwayat Bukhari dan Muslim)