MENCARI MAKNA HIDUP YANG BERMAKNA

Saya tidak terfikir untuk membaca ulang buku yang dianggap terhebat dalam kurun ke-20 ini. Tetapi selepas pernah membacanya lebih tiga puluh tahun lalu, saya kembali memberikan perhatian terhadap buku tulisan Viktor E Frankl, Man’s Search For Meaning (MSFM).

Buku ini pertama kali terbit dalam bahasa Jerman dengan judul Ein Psychologe erlebt das Konzentrationslager dan edisi pertama terjemahan bahasa Inggeris memakai judul, From Death Camp to Existensialism.

Edisi bahasa Jerman diterbitkan pada tahun 1946 di Vienna, Austria dan edisi pertama bahasa Inggeris pada tahun 1959 di Amerika Syarikat.

Selepas edisi bahasa Inggeris mendapat sambutan hebat, pada tahun 1962 diterbitkan edisi kemaskini dan diberikan kata pengantar oleh seorang tokoh psikologi terkemuka, Dr Gordon Allport (1897-1967) dengan diubah judulnya menjadi Man’s Search For Meaning.

Saya membaca kali pertama adalah cetakan tahun 1984 yang dipuji oleh Carl R Rogers (1902-1987) sebagai “One of the outstanding contribution to psychological thought in the last fifty years”.

Edisi ulang pembacaan saya ialah terjemahan Indonesia oleh Haris Priyatna dengan memakai judul sama tetapi kata pengantarnya adalah oleh Harold S Krushner, penulis buku When Bad Things Happen to Good People (1981) dan seorang rabi konservatif.

Ia dicetak pertama kali pada bulan Disember 2017 dan sehingga September 2018, telah diulang cetak sebanyak tiga kali. Di kulit buku tercatat: Terjual lebih dari 16 juta Eksemplar’ di seluruh dunia dan diterbitkan dalam 49 bahasa dan 190 edisi.

Cukup hebat buku ini, walaupun tidak setanding  karya JK Rowling dari siri Harry Porter, tujuh siri mencecah jualan lebih 500 juta naskhah seluruh dunia dalam tempoh 20 puluh tahun (siri pertama diterbitkan tahun 1997), iaitu tahun kematian Viktor E Frankl.

Walaupun siri Harry Porter berjaya dalam waktu yang singkat, MSFM masih menjadi bahan kajian penting dalam bidang psikologi, terutamanya mazhab logoterapi, iaitu mazhab ketiga selepas psikoloanalisis (Sigmund Freud) dan behaviorisme (Alfred Adler).

Menariknya, ketiga-tiga mazhab ini lahir di Vienna, Austria. Logoterapi yang diperkenalkan oleh Dr Viktor E Frankel telah menjadi suatu kaedah perawatan dan penyembuhan yang menarik kerana ia berbeza dengan pendekatan Freud dan Adler.

MSFM merupakan pengalaman pahit Dr Viktor dalam tahanan kem semasa Perang Dunia II yang mengakibatkan isteri dan kedua orang tuanya disiksa dan mati dalam tahanan.

Viktor menjadi saksi hidup bagaimana kehidupan terhimpit dan tertekan dalam kem tahanan yang ada hubung kait dengan holocaust oleh Hitler ke atas keturunan Yahudi. Selama hampir tiga tahun ditahan (1943 hingga 27 April 1945) bermula dari Theresienstadt, Auschwitz, Kaufering dan Türkheim.

Viktor lahir dan meninggal di Vienna (1905-1997) tetapi namanya terkenal di seluruh Eropah, Amerika Syarikat dan Asia, terutama dalam kalangan penuntut psikologi mahupun mereka yang mendapat kelulusan kepakaran dalam bidang psikitiari. Sumbangan besarnya telah mendapat perhatian lebih daripada 29 buah universiti seluruh dunia, menganugerahkan Viktor  ijazah kedoktoran honoraria.

MSFM pada awalnya menceritakan dua perkara yang saling berkait. Perkara pertama ialah pengalaman pengarang ketika berada dalam tahanan nazi manakala kedua ialah penghuraian secara tuntas mengenai apa yang disebut sebagai logoterapi.

Versi yang dikemas kini pada tahun 1984 ini turut mempunyai penambahan catatan akhir pengarang, yang merupakan kesimpulan daripada pengalaman, apa yang diperhatikan tentang kehidupan dan pengembangan metod logoterapi, sebagai pilihan dalam mencari makna kehidupan berdasarkan prinsip dan pemikiran psikologi.

Viktor memulakan penulisan dengan melihat semula kenangannya di kem tahanan. Dalam satu tragedi, bagi pengarang ia bukanlah berkaitan dengan kezaliman yang dahsyat sebagaimana diceritakan oleh banyak pengarang mengenai kekejaman Nazi.

Viktor lebih cenderung memilih penderitaan kecil yang dialami oleh para tahanan, dan berusaha menjawab sebuah pertanyaan, bagaimana kehidupan seharian para tahanan diperlakukan oleh tentera Nazi.

Ia tidak berkaitan dengan kisah kematian atau penderitaan yang dihadapi oleh para wira atau tokoh terkenal, tetapi kisah orang biasa. Kisah manusia yang mencari erti hidup dalam lingkaran kepedihan, terkurung dan sedih, dengan hanya memiliki sedikit makanan dan tiada menikmati kebebasan.

Dengan sedikit makanan, atau kadangkala tiada, mereka boleh bertahan untuk hidup, ada sedikit makna ‘nasib baik’ berbanding mereka yang disiksa secara total.

Sebagai tahanan, kepatuhan kepada pengawalan adalah sesuatu yang dilihat wajar, kerana balasannya adalah berat jika engkar atau mengambil sikap menentang atau menyanggah.

Bagi tahanan, mereka tidak tetap berada di sesebuah tahanan sepanjang masa. Mereka boleh sahaja dipindahkan tanpa diberitahu sebabnya.

Bagi tahanan yang sakit, atau tidak lagi dapat bekerja, akan dipindahkan ke kem yang lebih besar dan mempunyai kelengkapan bilik gas dan krematorium.

Setiap tahanan, hanya diberikan pilihan untuk menggunakan nama fiktif atau dikaitkan dengan kerjaya sebelumnya manakala pihak berkuasa hanya memberikan perhatian kepada jumlah tahanan.

Setiap tahanan akan dinomborkan saperti tattoo di badan atau nombornya dijahit pada pakaian: seluar, jaket ataupun baju. Setiap pihak yang ingin memberikan bantuan, hanya perlu menyebut nombor para tahanan.

Setiap tahanan hanya mempunyai satu keinginan, mengendalikan fikiran agar kehidupan dan usianya dapat bertahan sehingga hari pembebasan. Setiap tahanan mengharapkan ahli keluarga yang masih hidup dapat menerima dan menunggu kepulangan mereka.

Bahkan, ada bekas tahanan setelah dibebaskan saperti ketakutan untuk menceritakan pengalaman dalam tahanan. Ada yang mengatakan: “Kami tidak suka berbicara tentang pengalaman kami. Tidak ada penjelasan yang diperlukan bagi mereka yang telah di dalam, dan lain-lain akan memahami bagaimana kita tidak merasa itu atau bagaimana kita rasakan sekarang. “

Sebagai seorang lelaki yang dididik dalam lapangan perubatan dan psikologi, Viktor cuba melakukan pengamatan dalam kesukaran data kerana beliau juga adalah seorang tahanan.

Dalam  bahagian kedua, Viktor menulis, seorang doktor dari Amerika Syarikat pernah menemuinya di Vienna dan bertanya: “Sekarang, Dokter, apakah Anda psikoanalis?”.

Viktor menjawab, “Tidak persis psikoanalis, katakanlah seorang psikoterapis.”

Bahagian ini telah dikemaskinikan, ditukarkan tajuk “Logoterapi Secara Ringkas” yang sebelumnya (edisi 1962) ditulis “Laki-Laki Mencari Erti”.

Perbualan semakin lanjut dan doktor tersebut bertanya: “Apa sekolah Anda berdiri?” Jawab Viktor, “Ini adalah teori saya sendiri; itu disebut logotherapi.”

Pinta doktor tersebut: Bolehkah diceritakan dalam satu ayat, apakah yang dimaksudkan dengan logoterapi?”

Ya,” jawab Viktor, “tapi di tempat pertama, bolehkah Anda ceritakan di satu kalimat apa yang anda pikirkan esensi dari psikoanalisis?.

Ini adalah jawabannya:” Selama psikoanalisis, pesakit harus berbaring di sofa dan memberitahu anda hal yang kadang-kadang sangat tidak menyenangkan untuk diceritakan.”

Viktor cepat membalas dan berimprovisasi: “Sekarang, di logoterapi pesakit mungkin tetap duduk tegak tapi dia harus mendengar hal-hal yang kadang-kadang sangat tidak menyenangkan untuk didengar.

Hal ini berlaku kerana ada sesuatu di dalamnya dan berbeza dengan psikoanalisis, kaedah yang kurang retrospektif dan mawas diri.

Logoterapi memberikan fokus kepada masa hadapan. Ketika itu, pesakit wajar menceritakan keinganan masa depannya, di mana pesakit akan dihadapkan reorientasi kehidupannya sendiri.

Dengan reorientasi itulah makna hidup dapat ditemukan dan menjadi kekuatan untuk mengatasi neurosis.

Logoterapi, terdiri dari dua istilah. Logos, dalam bahasa Yunani bererti ‘makna’. Dan, maksud tersebut membolehkan kita memahami bahawa logoterapi ‘memfokuskan pada makna eksistensi manusia’ dan dari situlah manusia mencari makna hidup.

Terapi pula bermaksud, kaedah pengubatan, atau cara berubat. Logoterapi berusaha untuk menemukan makna dalam kehidupan seseorang dan kerananya.

Ia berbeza dengan kesenangan, sebagaimana difahami dalam psikoanalisis dan dikenali ‘berjuang untuk keunggulan’ oleh behaviorisme.

Dalam beberapa tinjauan pendapat, Viktor memahami bahawa perkara yang penting dalam diri seseorang ialah ‘menemukan tujuan dan makna hidup’ manakala keperluan material hanyalah penyebab yang begitu kecil.

Logoterapi hanya untuk membantu seseorang menemukan makna dan hidupnya. Inilah yang menjadikan buku Man’s Search for Meaning sangat menarik dan mendapat sambutan hangat walaupun sudah dianggap klasik. Rujukan penting bagai pengamal psikoterapi, antara behaviorisme dan psikoanalisis.

Buku ini berusaha melahirkan pribadi yang mampu melihat kehidupan dunia tidak hanya berada dalam perlumbaan ‘kuasa dan nikmat’, ia berkaitan dengan kemampuan untuk menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi, susah dan senang.

Dengan kata lain, kemampuan mengatasi cabaran dan mengatasi kekurangan diri. Bagi Viktor, kehidupan yang hanya mengejar tujuan semata-mata akan merosakkan hidup itu sendiri, dan dicadangkan setiap orang bebas memilih, bertanggungjawab, mengawal kehidupan secara sedar, mampu mengungkapkan nilai daya cipta, pengalaman dan nilai sikap terhadap diri sendiri.

Kamarun KH

No Comments

    Leave a reply