MENCARI TUHAN DALAM TUHAN MAHA ASYIK

Mengenali Tuhan bererti menyatu dengan-Nya. Menyatu dengan Tuhan bererti merefleksikan kebaikan-kebaikan dalam kehidupan. Lihatlah kebaikan-kebaikan yang memancar dari Tuhan, yang tanpa pamrih melimpahkan anugerah tiada henti. Betapa luas kasih sayang-Nya yang tanpa batas meliputi segala sesuatu. Ibarat matahari setiap pagi memancarkan sinarnya ke seluruh pelosok’. (Sujiwo Tejo dan Dr Nur Samad Kamba, Tuhan Maha Asyik, 2016:119).

Petikan itu memberikan kita kepada satu pemahaman yang mudah dan rasional, tidak sesukar yang cuba saya fahami ketika dibangku sekolah menengah yang terpaksa memahami perjalanan hidup Hassan, watak utama dalan novel tulisan Achdiat K Miharja,  Atheis (1949). Kadangkala terasa juga kenapa dan ada ketikanya diri sendiri bertanyakan mengenai Tuhan, walaupun sejak kecil lagi kita diajar supaya mengingati Tuhan. Dia adalah yang menentukan hidup dan mati, begitu juga rezeki dan takdir.

Setelah mencapai sedikit usia dewasa, saya terjebak pula dengan situasi Lahuma, yang menyerahkan seluruh kehidupannya dalam ketentuan Illahi. Walaupun menderita kesakitan, akibat busung, Lahuma tidak segera berikhtiar berubat dengan kaedah moden, yang mungkin boleh memulihkan kesihatannya. Bagaimana pun Lahuma menemui ajalnya tetapi isterinya lebih cepat di bawa ke hospital untuk mengatasi penyakit gila. Jeha juga meninggal. Itulah takdir manusia yang tidak boleh disekat oleh sesiapa pun jika sampai waktunya. Mesej Shahnon Ahmad itu jelas, Tuhan sentiasa campur tangan dalam kehidupan manusia. (Baca, Ranjau Sepanjang Jalan, 1966).

Dua cerita itu terus silih berganti penampilannya sepanjang pembacaan saya terhadap sebuah buku tulisan budayawan, Sujiwo Tejo dan tokoh ilmuan Islam Indonesia, Dr Nur Samad Kamba, Tuhan Maha Asyik, terbitan pertama 2016. Menurut laporan tidak rasmi, sambutan terhadap buku itu begitu menggalakkan dan dalam tempoh setahun mengalami tiga kali ulang cetak.

Pada mulanya saya tidak begitu tertarik, kerana hiasan kulit buku saperti bayangan patung daripada agama-agama yang bersifat bukan sanawi, bukan wahyu. Saperti gambaran patung Buddha dalam keadaan reinkarnasi atau bermeditasi. Setelah mula membacanya, saya melihat inilah sebuah buku yang penuh keragaman budaya berfikir, kerana kedua pengarang berusaha memberikan pemahaman mengenai Tuhan secara lebih lojik akal dan mudah difahami, termasuklah bab kenapa manusia dilihat kerdil berbanding sifat-sifat-Nya, dan bagaimana kita merasakan ada Dia dalam hati dan setiap tingkah laku.

Saya tidak mudah tersasar berfikir sebagaimana Hassan yang tewas dalam pertembungan pemikiran marxis-lennin-nihilisme (Atheis) dan dilanda pesimistik ketika Lahuma perutnya semakin membusung (Ranjau Sepanjang Jalan). Bagaimanapun, ketiga-tiga buku ini berbeza: Atheis dan Ranjau Sepanjang Jalan (RSP) adalah novel atau roman, Tuhan Maha Asyik (TMA) ialah bukan novel, tapi setiap ceritanya dimulai dengan cerita pendek. Sebagai pembuka cerita, coretan dialog dan bahasan yang disusuli kemudiannya ternyata mengandungi falsafah yang dalam dan sarat ertinya.

Mungkin itu cara budayawan menterjemahkan persoalan ketuhanan,  saperti sedang bermain teater atau mendalangi cerita wayang kulit yang diwarisinya tetapi tidak menjadi terlampau menerawang kerana dibantu oleh seorang ilmuan yang mahir dalam bidang tasauf dan falsafah. Suatu gandingan yang mantap, baik dari segi idea mahupun karakter manusia bagi meneruskan kelangsungan hidup sebagai seorang yang berbudi luhur, harmoni dan tidak sombong walaupun memiliki kekayaan lahiriah dan ketajaman otak untuk berfikir.

Betapa pun hebat, kaya dan pintar seseorang, ia tidak terlepas untuk menyatakan dirinya masih kekurangan kerana ilmu-ilmu Allah dan rezeki yang dianugerahkan itu tidak pernah habis kerana Allah Maha Pemurah dan Maha Penyayang.

Cuma, kedua pengarang tidak menyebut Allah, yang disebut mereka ialah Tuhan. Ini kerana, khalayak sasaran buku ini ialah semua orang dan penganut pelbagai agama, walaupun dalam banyak situasi adalah bernuansa Islam. Apa pun, persoalannya ialah tetap hidup dan bernyawa, manusia dalam apa pun fahaman dan keyakinannya, akan tetap merasakan kehidupan sehariannya memerlukan bantuan, pertolongan dan bukan sekadar apa yang kita fahami antara empati dan simpati. Sembang santai memudahkan kita memahami sesuatu yang bersifat kompleks, termasuklah soal-soal yang tidak dapat kita visualisasikan melalui deria rasa, dengar, lihat dan bau.

Sujiwo Tejo dan Dr MN Kamba menjalinkan keinginan untuk mengenali Tuhan secara holistik dengan memulakan setiap bab (kesemuanya 28 bab) dengan cerita pendek melalui watak kanak-kanak sekolah (Buchori, Kapitayan, Parwati, Christine, Samin, Dharma dan Pengestu) dan orang-orang di sekitarnya (Bu Guru, masing-masing orang tua dan Pak Guru).

Pengarang menggunakan dialog kanak-kanak sekolah untuk melatar-awal perbincangan, walaupun kedengarannya begitu santai, ia tetap kritis. Ini sesuai dengan naluri kanak-kanak yang ingin tahu apa sahaja dan tidak segan bertanya apa sahaja yang terlintas dalam fikiran; ia berbeza dengan sifat orang dewasa, segan bertanya takut dianggap ‘bodoh’; diketawakan oleh pertanyaan-pertanyaan yang kedengaran lucu dan semberono.

Kanak-kanak tidak akan dibebankan dengan kesalahan sedemikian kerana sifatnya dan keinginan “serba mahu tahu.” Di situlah peranan yang sepatutnya diperlukan; menjawab dan membentangkan lojik akal bersama inti falsafah agar jawapan itu bukan sahaja dapat diterima, bahkan menjadi masukan spiritual yang akhirnya memagari akidah seseorang. Hassan, dalam novel Atheis tidak memilik kelebihan sedemikian, sebab itulah beliau hanyut dalam perselingkuhan falsafah sehingga merasa diri ‘patah iman’, menonton wayang bersama Kartini ketika azan Maghrib.

***

Atheis, RSP dan TMA ada beberapa persamaan: persamaan dalam memaknai kehadiran Tuhan dan di dalamnya terserlah apa yang ingin dipupuk, disemai atau dikembangkan oleh pengarang. Ia bergantung kepada sudut pandangan pengarang dan tentunya perbahasannya bergantung kepada sikap dan pengetahuan pengarang itu sendiri. Itulah sebabnya dalam TMA, Sujiwo Tejo dan Dr MN Kamba melihat kehidupan itu saperti permainan wayang kulit, ia lebih mudah dipentaskan dan perlakukan berbanding wayang manusia. Semua patuh kepada cerita Pak Dalang (hal.17). Pak Dalang bukan tuhan, tetapi Pak Dalang mementaskan ceritanya berdasarkan kehendak hati.

Sedang Tuhan, bagi Sujiwo Tejo dan Dr MN Kamba: Namanya juga Tuhan, maka kekuasaan-Nya pasti absolut. Tiada yang terjadi di luar kehendak-Nya. Sesuatu tidak terjadi jika Dia tidak menghendakinya…Manusia menjalani kehendak Tuhan, baik melalui kehendaknya sendiri mahupun kehendak Tuhan secara langsung. Namun, yang terakhir ini sama sekali bukan pekerjaan gampang. Apa yang dikira kehendak Tuhan bisa jadi itu kehendakmu (manusia) sendiri.” (hal.19).

Begitu juga disebaliknya. Ia berlaku kerana ‘ketidakmampuan manusia memahami kehendak Tuhan. Kerana mustahil memperkirakan aktivitas Tuhan. Namun, bukan bererti pembatasan terhadap adanya kemungkinan memilih. Memilih adalah hak dasar bagi manusia. Setiap pilihan ada risikonya. Engkau memilih untuk mengejar kehendakmu akan berisiko kelelahan dan kecapekan, kerana membutuhkan perjuangan, inisiatif, improvisasi, usaha keras, dan semacamnya.” (hal.20).

Begitu juga jika kita memilih untuk percaya, termasuk kehendak kita adalah kehendak Tuhan jua, tulis Sujiwo dan MN Kamba, “ Kita bisa memilih melakukan yang terbaik. Maka, kita bisa memastikan bahawa pilihan kita untuk kebaikan adalah pilihan Tuhan. Hal ini kerana Tuhan adalah Cinta dan dalam Cinta tidak begitu penting kehendakku, sebab sudah mengalami kebersatuan. Para kekasih saling mengerti apa kemahuan masing-masing, sehingga tidak perlu mengejar kehendak sendiri-diri.” (hal.21)

***

Atas sifat-Nya, Tuhan Maha Tahu, Tuhan Maha Memahami setiap apa yang dikehendaki oleh makhluk-Nya. Bahkan, sejak makhluk belum diciptakan, Tuhan sudah mengetahui apa kemahuan manusia, termasuklah jenis-jenis perbuatan yang bakal diambil keputusan dalam memenuhi fungsi kehidupan, kerana itu manusia disempurnakan dengan kepintaran akal untuk berfikir. Atas dasar itulah manusia kadangkala salah memahami; melihat takdir itu sebagai satu bebanan yang terpaksa ditanggung. Tuhan menyuruh manusia berfikir, berfikir untuk mengatasi kehidupan menjadi lebih baik, mengatasi kemiskinan dan berubat bila mengalami kesakitan.

Dalam bab mencari Tuhan, kita tidak memerlukan pendefinisian yang mendalam. Cukuplah sekadar memahami bahawa diri kita diciptakan oleh Dia, kerana Dia adalah Pencipta di atas segala, termasuklah apa yang ada di sekeliling untuk dimanfaatkan secara memadai, bukan dengan rasa sombong, riak dan tamak. Sehingga kini, meskipun bidang falsafah mencapai kemajuan berfikir, definisi mengenai Tuhan masih dianggap belum lengkap walaupun  Aristoteles, Socrates, Plato melakukan perbahasan secara mendalam. Dari perspektif ilmuan Islam, mencari makna konsep Tuhan juga dibahaskan sehingga kadangkala menimbulkan kekeliruan yang mendalam sebagaimana ditolak oleh Al-Ghazali.

Al-Ghazali menolak perbahasan mengenai falsafah ketuhanan kerana menolak peranan Tuhan dalam diri dan kehidupan manusia. Al-Ghazali menganggap Tuhan sebagai wajibul wujud, dan untuk mencarinya bukan menggunakan metod falsafah, ia memerlukan jalan tasauf.  Dalam pandangan falsafah, mencari Tuhan adalah berdasarkan rasional sedangkan dalam perspektif tasauf, disebabkan terhadnya sumber pengetahuan manusia, mencari Tuhan melalui falsafah boleh mengundang kepada kesesatan sebagaimana berlaku ke atas Frederick Nietsche.

Bagi Nietsche “Tuhan sudah mati” dan aliran pemikiran tersebut membawa kepada situasi yang ekstrem daripada pemikiran Karl Marx. Marx melihat ‘Tuhan sebagai candu’ tetapi pandangan nihilism, ‘Tuhan Sudah Mati’ akhirnya mempengaruhi segolongan manusia berfikiran bebas, tidak lagi mempercayai adanya Tuhan.

Saya melihat kekuatan buku ini ialah untuk memulihkan pendirian mereka yang tidak mempercayai ‘adanya Tuhan” dan juga kepada golongan yang masih percaya ‘adanya Tuhan” tetapi tidak ‘bersatu dengan-Nya’. Mereka inilah kumpulan yang tidak merasakan ‘Asyiknya Bertuhan’ dan bagi Ahmad Thohari, mereka adalah “berhala kontemporer” (baca, Ahmad Thohari,  Berhala Komtemporer:Renungan Lepas Seputar Agama, Kemanusiaan dan Budaya Masyarakat Urban, 1996).

Dengan menggunakan pendekatan sedemikian, Sujiwo dan MN Kamba  berupaya mengajak kaum atheist mahupun agnostik untuk kembali mencari Tuhan secara holistik; dan dalam masa yang sama melengkapkan pendirian mereka yang sudah merasakan Tuhan sentiasa hadir dalam setiap ruang dan nafas kehidupan.

Maka itulah petikan awal dalam ulasan ini menjadi penting:Menyatu dengan Tuhan berarti merefleksikan kebaikan-kebaikan dalam kehidupan” (hal.119) kerana “peribadi yang egois tidak mungkin memberi, kerana memberi adalah peniadaan kepentingan diri” (hal.120) dan “banyak orang beragama tapi sesungguhnya tidak bertuhan” kerana “kita percaya membawa obor tapi fikiran dan tindakan kita tidak melampaui kepentingan peribadi dan golongan sendiri.” (hal.129).

Dalam hal ini, bagi Sujiwo dan MN Kamba, perbezaan agama atau kitab suci bukanlah penghalang dalam kalangan makhluk untuk merapatkan jurang ‘agama dan keberadaan Tuhan’ kerana Tuhan itu adalah Esa. Dalam buku ini ditekankan, apa pun namanya (nama Tuhan menurut panggilan pelbagai agama) itu tidaklah terlalu penting, ia adalah untuk memudahkan komunikasi antara hamba dan Tuhan-Nya.

Terukir dengan indah dalam bab “Nama”, kerana “Tuhan tidak perlu nama. Sebab untuk apa Tuhan mempunyai nama sedangkan Dia Esa, Tunggal, dan tidak ada satu pun kemungkinan ada yang menyerupai-Nya…nama kan terdiri dari huruf-huruf atau tanda-tanda pada hal Tuhan ada sebelum adanya huruf-huruf dan tanda-tanda. Jika nama adalah ucapan maka Tuhan ada sebelum adanya ucapan. Jika nama dibunyikan maka Tuhan ada sebelum bunyi ada. Walaupun penerapan kata ‘sebelum’ dan ‘setelah’ ini sendiri tidak tepat untuk Tuhan, kerana kedua kata tersebut sudah diterapkan kepada makhluk dan Tuhan bukanlah makhluk.” (hal.218).

Di bab terakhir, Sujiwo Tejo dan Dr MN Kamba bahawa penamaan atau identiti yang digunakan adalah sebagai alat komunikasi, ia juga memungkinkan golongan yang tidak ‘mengetahui nama Tuhan’ boleh mencari Tuhan tanpa menyebut nama-Nya. Bagi kedua pengarang ini, adalah lebih indah jika mengenal Tuhan tidak dimulakan dengan mencari nama-Nya kerana akan menjadikan Tuhan lebih dekat dan sifat-sifat Tuhan bagi dimanifestasikan dalam diri. Ini penting bagi mengelakkan manusia dari terperangkap dalam sesuatu bentuk mindset. Mindset sering terjebak dengan permainan nafsu, yang akhirnya tidak “menjadi dirinya sendiri.” Akibat terjebak dengan nafsu, mindset kadangkala diperalatkan ‘atas nama Tuhan’ atau bahasa lainnya, ‘menunggang agama’.

Akhirnya, “Agama bukanlah panguyuban tempat berkumpul-kumpul membentuk Jemaah eksklusif, apalagi melakukan pameran ritual untuk menyombongkan diri” dan inilah yang ditanggapi oleh Charles Kimball, kita perlu kembali ke agama autentik agar agama terhindar dari imejnya yang keras dan kasar. (Baca, Charles Kimball, When Religion Becomes Evil, 2002). Menghina atau tidak, ia bergantung kepada tafsir, dan tafsiran pula dibingkaikan oleh mindset. Mindset kadangkala terusir oleh mainstream, walhal mindset itulah kita percaya boleh membangunkan kejelasan berfikir dan keharmonian ungkapan.

Saya melihat, Sujiwo dan MN Kamba mengeksperimenkan pola tersebut dalam Tuhan Maha Asyik, yang memangnya asyik dan mengasyikkan dalam pencarian Tuhan secara holistik tanpa melihat kepada nama-Nya. Nama-nama-Nya itu adalah pelengkap sifat-sifat-Nya, yang merupakan percubaan kedua mengenali-Nya setelah sedar, ada Dia di mana-mana dan bila-bila pun.

Nama Buku : Tuhan Maha Asyik

Nama Penulis: Sujiwo Tejo dan Dr MN Kamba

Nama Penerbit: Imania, 2016

Nama Pengulas: Kamarun KH

 

          

 

No Comments

    Leave a reply