MENDEPANI CABARAN SEMASA

PELBAGAI cabaran dilalui lebih-lebih lagi di Malaysia sekarang dalam menghadapi detik-detik PRU14 yang bakal menjelang. Gerakan Islam perlu meningkatkan usaha mempertahankan kuasa politik Islam dari kumpulan anti Islam dan oportunis politik yang begitu lantang bersuara akhir-akhir ini.

Meneliti manifesto PRU14 Pakatan Harapan (Harapan) baru-baru ini terutama yang berhubung dengan hal ehwal agama Islam, penulis tidak berhasrat untuk memperkatakannya dari segi ekonomi, percukaian dan lain-lain yang mungkin diperincikan oleh tokoh lain. Sedikit kegusaran terdetik di hati dengan maklumat yang diperoleh, di mana seorang tokoh mereka mengatakan G25 merupakan salah satu daripada pertubuhan yang dirujuk dalam penyediaan manifesto ini.

Seperti dimaklumi, G25 merupakan sebuah pertubuhan yang dianggotai oleh bekas penjawat awam kerajaan yang diragui idea dan pemikiran mereka yang pernah mencadangkan pemansuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), penubuhan sebuah jawatankuasa perunding bagi membincangkan untuk meminda atau memansuhkan beberapa undang-undang syariah.

Antara yang dicadang untuk dimansuhkan ialah hukuman perbuatan berkhalwat yang didakwa melanggar hak kebebasan seseorang yang termaktub dalam Perlem-bagaan. Menurut mereka, perbuatan khalwat di tempat peribadi adalah dosa peribadi antara pelakunya dengan ALLAH kecuali jika dilakukan di kawasan awam. Menurut mereka Malaysia satu-satunya negara yang menjatuhkan hukuman terhadap kesalahan itu.

Begitu juga, dalam majlis berasingan pada 6 Februari 2018 dan disiarkan dalam banyak laman sosial ketika ditanya mengenai pendirian mereka terhadap Jakim, salah seorang pemimpin mereka hanya menyebut: “Itu (sama ada Jakim itu diperlukan lagi) terpulang kepada kita, kalau kita jadi kerajaanlah, nothing is permanent (tiada yang kekal)”. Inilah kegusaran yang dirasai penulis. Adakah ini acuan pemikiran yang diperlukan dalam memartabat agama Islam di negara ini?.

Asasnya, Jakim adalah relevan. Perlembagaan Persekutuan jelas membenarkan kerajaan Persekutuan dan negeri di bawah Perkara 12(2) untuk menubuhkan dan menyediakan sejumlah wang bagi menyelenggara institusi-institusi Islam.

Manifesto turut memaparkan isu hak asasi sebagai agenda utama. Dinyatakan hasrat untuk meratifikasikan segera konvensyen-konvensyen antarabangsa yang belum diratifikasi. Antaranya Malaysia dituntut menandatangani dan memeterai International Covenant on Civil & Political Rights (ICCPR). Perkara 18 ICCPR menyatakan perkara berhubung hak kebebasan beragama. Implikasi penerimaan ICCPR bakal membenarkan pemurtadan berlaku di Malaysia. Ia juga menuntut penghapusan Seksyen 377A Kanun Keseksaan berhubung jenayah liwat. Kesan daripada pemansuhan seksyen ini boleh mendorong kepada pengiktirafan perkahwinan sejenis kerana liwat tidak lagi dianggap sebagai jenayah.

Ideologi politik tidak harus membutakan hati nurani daripada mencari kebenaran. Umat Islam perlu sedar terdapat usaha berterusan musuh-musuh Islam memesongkan umat Islam. Umat Islam perlu bersatu mendaulatkan Islam di negara ini dan berganding bahu mempertahankan agama, bangsa dan negara.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sungguh kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya: Ya Rasulullah ! Apakah Yahudi dan Nasrani yang kau maksudkan ?. Nabi SAW menjawab : Siapa lagi kalau bukan mereka.” – (Riwayat Muslim)

Umat Islam perlu mempunyai sudut pandang yang benar bukan melihat dari sudut pandang liberalisme dan pluralisme. Baik dan buruk sesuatu dasar turut melibatkan hukum halal dan haram. Implikasinya adalah halal tetap halal dan haram tetap haram, bukan mengubah hukum halal dan haram mengikut nafsu dan akal semata. Semua pihak perlu mengambil pendekatan penilaian dan tabayyun serta membuat perbandingan memilih perkara yang baik dan serasi dengan ajaran Islam serta menjauhi elemen-elemen yang meragukan.

Semua orang boleh merancang, bukan bererti semua perancangan adalah betul. Umat Islam perlu bersedia mendepani dakyah segelintir pihak yang mencipta Islam versi ekstrem dan liberal. Sedar atau tidak terdapat kecenderungan untuk memilih Islam liberal yang sengaja dicipta untuk menyesatkan umat Islam sendiri. Umat Islam perlu mentadabbur, memikir dan mengambil iktibar kepada setiap perkara yang berlaku.

Politik bukan sekadar memburu kuasa dan pengaruh tetapi perantaraan untuk mengurus tadbir membangunkan agama, bangsa dan negara serta amanah memenuhi hasrat dan keperluan rakyat. Semua warganegara perlu menjadi pendorong yang bertanggungjawab membina negara berteraskan syariat ALLAH SWT.

Abdullah Md Zin

Penasihat Agama kepada YAB Perdana Menteri

No Comments

    Leave a reply