MENELUSURI PERIHAL ‘KEMELAYUAN’

Edisi awal The Malays diterbitkan pada tahun 2008. Edisi kulit lembut diterbitkan tiga tahun kemudian (2011) dan dilancarkan oleh Sultan Nazrin Shah pada 9 Mac 2009 di Universiti Kebangsaan Malaysia. Buku ini ditulis oleh Anthony Milner (lahir 1945), seorang pakar sejarah Asia Tenggara dari Universiti Kebangsaan Australia (1996-2005) dan pernah dilantik sebagai Profesor Tamu di Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia. Tahun 2017, Anthony Milner dianugerahkan Merdeka Award bagi menghargai sumbangannya terhadap pendidikan dan kajian sejarah Malaysia dan turut menerima ijazah Doktor Kehormat dalam bidang pengajian kemanusiaan dari Universiti Malaya.

Edisi terjemahan bahasa Melayu diterbitkan pada tahun 2019 dengan judul Melayu atau Kemelayuan: Menelurusi Sejarah Idea oleh Strategic Information and Research Development Centre (SIRD), Petaling Jaya. Sebelumnya, SIRD turut menerbitkan edisi kedua buku Kerajaan: Malay Political Culture on the Eve of Colonial Malaya (2016) dan diterjemahkan oleh Ruhan Shahrir Abdul Halim dan Mohd Izzudin Ramli dengan judul Kerajaan: Budaya Politik Melayu di Ambang Pemerintahan Kolonial (2016). Mohd Izzudin Ramli kali ini berseorangan untuk menterjemahkan The Malays.

Dua buah buku ini cukup penting untuk mereka yang merasakan dirinya adalah ‘orang Melayu’ untuk mengenali perihal kehidupannya sebelum era penjajahan dan seterusnya memahami bagaimana istilah Melayu itu menerbitkan budaya politik dari perspektif sejarah. Bagi Anthony Milner, hasil penelitiannya berdasarkan bukti sejarah dan kesusasteraan Melayu, konsep Kerajaan yang digunapakai dalam politi Melayu amat akrab dengan raja atau sultan. Perkataan Kerajaan itu sendiri muncul daripada istilah ‘raja’ maka itulah di Malaysia sebuah kerajaan bukanlah bersifat pemerintahan semata-mata, ia meliputi aspek naungan dan kesetiaan rakyat kepada pemimpin, terutamanya raja.

Anthony Milner tidak cuba mendefinisikan secukupnya mengenai orang Melayu sebagaimana pernah dilakukan oleh Frank Swettenham, Malay Sketches yang diterbitkan pada tahun 1884. Swettenham merupakan residen British pertama di Selangor (1882) dan pada tahun 1901 dilantik sebagai Resident General bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Beliau turut terbabit dengan pembinaan jalan keretapi dan Carcosa Sri Negara.

Swettenham terkenal dengan ungkapan “Jika ingin memahami orang Melayu, kita perlu tinggal di negerinya, bertutur bahasanya, menghormati agamanya, meminati apa yang diminatinya, melayan apa yang disukai dan tidak disukainya, bersimpati dan menolongnya dalam kesusahan, sama-sama merasai keseronokan dan mungkin juga menanggung kerugiannya.” (edisi terjemahan bahasa Melayu oleh Zubaidah Ibrahim dengan judul Perihal Orang Melayu, Penerbit Universiti Malaya, 2003: 1).

Dari segi fizikal, Swetthenham memerihalkan bahawa ‘Orang Melayu berbadan pendek, gempal dan tegap, rambutnya lurus dan hitam, warna kulitnya gelap, hidung dan bibirnya agak tebal, dan matanya cerdas dan cerdik. Biasanya ia bersifat baik hati, gerak-gerinya sopan dan senang berbicara. Orang Melayu tidak pernah menikus, tetapi dengan orang yang tidak dikenalinya dia agak pendiam dan agak curiga, walaupun tidak ditunjukkannya…Dia petah bercakap, berkata-kata dengan kiasan dan ibarat, suka menggunakan peribahasa dan kata-kata pujangga, suka berkelakar dan suka benar dengan jenaka. ..dia seorang yang cepat belajar dengan meniru dan bila cukup bersemangat dan berhasrat melakukan sesuatu dia juga boleh menjadi seorang mekanik yang baik.(Swettenham, 2003, hal. 2)

Orang Melayu pantang menerima sebarang penghinaan, pada halnya ini harus dihapuskan  sekalipun dengan pertumpahan darah. Jika dia merasakan maruahnya dicemarkan, sama ada hal itu betul atau tidak, dia menyimpan perasaan itu dalam hatinya sehingga dia betul-betul  dengan niat untuk menuntut bela…Dia seorang yang bersopan dan dia mahu orang lain juga bersikap begitu terhadapnya dan dia tahu Cuma satu sahaja cara untuk menebus malu jika dihina. …Semangat berpuak-puak juga tebal dalam dirinya. Dia mengakui  yang perintah ketuanya mesti dilakukan, walaupun membuta-tuli, tetapi ia juga mempertahankan kaum keluarganya dengan apa cara sekalipun, perkelahian mereka menjadi perkelahiannya sendiri.” (Swettenham, 2003, hal.3).

Ayat terakhir yang ditulis oleh Swettenham ialah “Hairan bila difikirkan bahawa keriangan dan kemegahan umat manusia  semenjak bumi ini diduduki , lambang segala kerinduan dan impian yang tidak tercapai, sebenarnya hanya merupakan satu bara yang amat besar.” (Swetteham, 2003, hal.225). Saya sengaja mengutip perihal orang Melayu menurut kacamata Swettenham kerana beliau berada dekat dengan persekitaran dan jiwa orang Melayu, berbanding Anthony Milner yang hanya cuba memahami perihal orang Melayu berdasarkan sumber penulisan yang dikajinya. Ia berbeza kaedah pendekatan, kerana antara kededuanya berada dalam persekitaran yang berbeza, satu daripadanya untuk melihat dalam kerangka akademik manakala Swettenham berdasarkan apa yang dialaminya sendiri.

11303118

Walaupun Anthony Milner mewakili segelintir pakar sejarah yang berminat dengan perihal orang Melayu, beliau sebenarnya gagal memahami perihal orang Melayu dengan baik dan berkesan. Sebab itulah, perihal orang Melayu dilihat sebagai satu pentakrifan yang sukar dan menacri perspektif lain untuk membuat penelitian ilmiah, dengan mengambil sisi luaran orang Melayu, yakni perihal ‘kemelayuan’ bersandarkan hasil kesusasteraan tradisi dan laporan serta catatan-catatan yang ditemui di pelbagai tempat dan sumber.

Anthony Milner cuba bersikap kritis terhadap takrif orang Melayu yang digunakan oleh para sarjana sebelumnya, termasuklah ketika ada pihak yang mendakwa bahawa Melayu adalah satu kumpulan etnik yang dikaitkan dengan Islam. Ia boleh diterima dalam konteks Malaysia, tetapi tidak menepati apabila dikaitkan dengan rumpun Melayu yang tersebar secara meluas hingga ke Papua Timur, Sri Lanka, Filipina, Taiwan dan Afrika Selatan. Bahkan, etnik Melayu sudah terpisah daripada suku kaum Jawa ataupun Bawean di Indonesia. Saki baki etnik Melayu dikatakan masih ada hanya di Sumatera, terutama di sekitar Riau, Siak dan Palembang. Lain-lainnya tidak lagi dipanggil orang Melayu, ia dikenali dengan orang Aceh, orang Mandailing, orang Minangkabau ataupun orang Sulawesi, berdasarkan lokasi. Dengan merangkumkan keseluruhan,  etnik Melayu dianggarkan berjumlah 350 juta, di mana 80 peratus adalah penduduk Indonesia, apabila dikaitkan dengan Islam.

Menurut Anthony Milner, ‘Kemelayuan adalah tentang kebimbangan. Konsep ini sentiasa terbuka untuk dicabar dan cabaran paling besar pada hari ini datang daripada kelompok Islam yang berkeras memperjuangkan identity dan masyarakat ‘Islam’ berbanding ‘Melayu’. ..Setiap negara seperti Malaysia, Singapura, Brunei, Indonesia, Thailand dan sebagainya memiliki makna ‘kemelayuan’ yang berbeza—sama seperti berbezanya pengalaman mereka ketika dijajah…Kesedaran tentang ‘kemelayuan’ yang bersifat transnasional kekal kabur dan kadangkala mampu mencetuskan ketegangan di kawasan-kawasan sempadan.” (Melayu, 2019: 21-22).

Menariknya buku ini ialah kebolehan Anthony Milner memberikan kita bagaimana unsur-unsur luaran yang dibawa masuk menerusi misi perdagangan dan keagamaan telah berjaya mempengaruhi perihal ‘kemelayuan’. Misalnya perkembangan terhadap bahasa Melayu yang menjadi bahasa utama dalam kalangan ‘rumpun Melayu’ meskipun dalam beberapa perkara ia memperlihatkan perbezaan. Bahasa Melayu merupakan salah satu daripada bahasa yang dikategorikan sebagai Austronesia. Dan, ketika melancarkan The Malays, Sultan Nazrin turut memetik ucapan Menteri Pelajaran (Datuk Hishamudin Hussein) yang dilafazkan pada ‘Malam Teguh Bahasa’ (11 September 2005) bahawa “dari 6,000 bahasa yang dipertuturkan, hanya 300 sahaja yang dituturkan oleh lebih sejuta orang. Lima ribu tujuh ratus bahasa dituturkan oleh kurang dari sejuta orang. Dijangkakan separuh dari 5700 bahasa ini akan pupus dalam tempoh seabad lagi kerana tidak dipertuturkan dan tidak diajar kepada golongan muda.

Tambah Sultan Nazrin “Sejarah menunjukkan bahawa untuk sesuatu bahasa itu pupus, ia mengambil masa antara 50 ke 100 tahun, tetapi dengan keganasan gelombang globalisasi, kadar kebinasaan bahasa boleh berlaku dalam tempoh satu generasi sahaja. Bahawa globalisasi boleh mempercepatkan kepupusan bahasa, jika langkah-langkah bijak lagi tegas tidak dilakukan untuk memastikan bahasa milik bangsa Melayu ini tidak akan berakhir dengan nasib yang menimpa bahasa Latin. “

Orang Melayu di Malaysia hanya berjumlah 15 juta orang. Walaupun hanya mewakili 0.5 pperatus daripada 350 juta dalam rumpun Melayu, ia tidak bermakna ‘kemelayuan’ itu adalah sesuatu yang harus dipandang remeh. Menurut Anthony Milner. “Walaupun Malaya (atau Malaysia) telah menjadi satu simbol kejayaan ‘Melayu’—iaitu satu pengujian pembinaan bangsa di atas sentiment etnik Melayu—hasil ini bukanlah tidak dapat dielakkan] (194). Hal ini dapat dilihat menerusi “Lebih 250,000 orang telah menyerahkan tandatangan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk menyatukan Patani dan wilayah-wilayah Muslim yang lain (Yala, Narathiwat dan Satun) dengan Malaya [1940-an[“ (hal.214)

Meskipun intipati perbincangan “kemelayuan’ ini dibuat berdasarkan dinamika politik di Malaysia, analisis Anthony Milner dalam buku menjadi suatu petanda kepada pembentukan sebuah negara bangsa yang komposisi warganya terdiri daripada pelbagai agama, kumpulan etnik dan budaya sebagaimana  termaktub di dalam Perlembagaan, di mana status agama Islam, bahasa Melayu, Raja-Raja Melayu telah meletakkan suatu keistimewaan dan perlindungan kepada bangsa Melayu. Bahkan dalam masa yang sama. ia melambangkan suatu bentuk pengiktirafan besar kepada peranan Raja-Raja dan Kerajaan, dalam dua bukunya yang saling berkaitan.

Budaya politik Melayu

Dalam Melayu atau Kemelayuan, Anthony Milner turut mengulangi apa yang dibahas dalam Kerajaan. Bahkan pengarang tetap melihat Raja-Raja adalah kekuatan utama dalam sistem berkerajaan sebagai Raja Keistiadatan di mana “peranan yang dimainkan oleh Raja di dalam kehidupan rakyatnya adalah merangkumi moral, agama dan juga politik. Orang Melayu percaya memberi khidmat bakti kepada Raja menawarkan peluang kemajuan sosial dan rohani (spiritual) kepada diri mereka. Mereka memahami bahawa kedudukan mereka di dunia ini dan di hari akhirat bergantung kepada Raja; beliau adalah ikatan yang mengikat manusia bersama , dan merupakan perantaraan di mana masyarakat merasai pengalaman dunia.” (dalam Kerajaan, 2016:221).

Dalam Melayu atau Kemelayuan, Anthony Milner menulis:”Sultan boleh dikatakan sebagai ‘simen’ yang mengikat bangsa, atau sebagai ‘simbol’kepada ras Melayu.” (hal.300). Di Indonesia, Milner mengutip pandangan Gery van Klinken bahawa “para sultan telah mewujudkan Forum Komunikasi bagi Kraton-Kraton Indonesia. Hal ini menunjukkan bahawa antara persamaan yang wujud antara sultan ini ialah sifat ‘kekerajaan’. (hal,226).

Selepas era pemerintahan Suharto, berlaku kebangkitan semula ‘kesultanan’ yang dianggap sebagai Melayu di antaranya ialah Landak, Mempawah, Pontianak dan Sambas (Kalimantan Barat), Bulungan, Kutei dan Pasir (Kalimantan Timur) dan Serdang (Sumatera Utara). Menurut Milner, “terdapat juga minat baharu terhadap kesultanan Pagaruyung yang pernah dikembangkan pada separuh pertama abad ke-19. Dalam sesetengah keadaan, wujud hubungan yang jelas antara kesultanan-kesultanan yang bangkit semula ini dengan penggalakan konsep ‘kemelayuan’. (hal. 226).

***

Berdasarkan warisan sejarah dan analisis yang dibuat oleh  Profesor Anthony Milner, tiga unsur yang dikaitkan dengan ‘kemelayuan’ iaitu bahasa, agama dan Raja-raja tetap penting dalam memerihalkan ‘orang Melayu’ walaupun telah berlaku perubahan budaya dan politik. Sekurang-kurangnya di Malaysia dan Brunei, kalaupun bukan lagi boleh dikaitkan dengan lain-lain rumpun Melayu yang dikatakan meluas dari Asia hingga ke Madagaskar, Afrika Selatan, Sri Lanka dan Papua Timur. Evolusi sistem politik Malaysia selepas penjajahan, masih membuktikan institusi kesultanan bukan sahaja sebagai faktor ‘pengikat’ bahkan menjadi simbol ‘ketuanan Melayu’ meskipun berhadapan dengan cabaran pemikiran politik semasa.

Dengan mengekalkan konsep “Raja Berpelembagaan’, peranan ‘kekerajaan’ menjadi rujukan terakhir dalam sesuatu perkara yang berkaitan dengan keabsahan kuasa dan perlu ‘perkenan’ institusi di Raja dalam pengesahan sesuatu undang-undang. Akhir-akhir ini, atas desakan sosialisme politik, institusi ‘kekerajaan’ dicabar hanya atas keinginan untuk memperlekeh dan seterusnya menimbulkan ‘rasa benci’, seolah-olah institusi tersebut banyak menimbulkan masalah apabila tegas dalam menjaga kepentingan warisan sejarah, termasuklah perihal ‘keistiadatan’ dan kedudukan agama Islam sebagai ‘agama Persekutuan’.

Hari ini, orang Melayu berhadapan dengan dua situasi yang saling bertentangan. Anthony Milner cuba memperkuatkan ungkapan keramat Laksama Hang Tuah, “Takkan Melayu Hilang di Dunia” manakala dalam perspektif politik Malaysia moden, orang Melayu dilanda kebimbangan ‘Melayu Akan Hilang di Dunia’ akibat terpengaruh dengan dimensi politik liberal (liberal terhadap agama dan bangsa), hala tuju ‘kebersamaan’ yang cuba ditegakkan dalam ‘padang yang tidak rata’. Disebabkan bukan Melayu menguasai ekonomi, desakan ‘kebersamaan’ itu menjadi semakin lantang, walhal sebelumnya seolah-olah berlangsung satu ikatan, orang Melayu menguasai politik manakala bukan Melayu bebas bergiat cergas dalam ekonomi.

Bukan Melayu tidak dihalang mengambil bahagian dalam politik, malah kedudukan mereka tetap dianggap sebagai sebahagian daripada sistem politik. Ia berlangsung untuk sekian lama tetapi selepas orang Melayu berpecah atas dua pertarungan ideologi—Islamisme dan Nasionalisme—bibit-bibit perpecahan itu semakin membesar. Keinginan untuk menyatukannya masih ada, tetapi kesungguhan dalam kalangan elit politik Melayu semakin bercapah dan bersifat retorik. Bahkan, bila dua parti Melayu terbesar –UMNO dan PAS—memulakan kembali penyatuan selepas Pilihan Raya Umum ke-14, parti-parti Melayu yang lain melihat pemuafakatan itu dengan sindiran dan perasaan curiga. Perasaan itu menjadi semakin membuak-buak ‘rasa benci’ dan menimbulkan ‘keberanian’ kepada parti-parti bukan Melayu atau pelbagai etnik untuk melihatnya sebagai ‘permulaan gendang perang terhadap bukan Melayu’.

Persimpangan politik orang Melayu semakin tajam dan berliku. Kebimbangan itulah dilihat bakal menjadikan ‘Orang Melayu Hilang di Bumi Melayu’ setelah bahasa Melayu terhakis wibawanya sebagai bahasa pemersatu, ‘ketuanan Melayu’ ditafsirkan sebagai hubungan antara ‘tuan dan hamba’, memperkasakan Islam sebagai agama Persekutuan sebagai aktiviti yang dikaitkan dengan ‘Islamisasi’ (termasuk memperkenalkan semula tulisan Jawi di SJKC dan SJKT), penyertaan dalam Kongres Maruah Melayu bertentangan dengan semangat ‘kebersamaan’ dan lebih mengecewakan ialah apabila orang Melayu bercakap mengenai ‘hak dan kedudukannya’ sebagai penduduk asal di Tanah Melayu, ia dilihat sebagai ‘penjara’ kepada bukan Melayu dan temboknya mesti diruntuhkan kerana ‘anak semua bangsa’, bukan warganegara kelas kedua atau ketiga.

Kemunculan dua buku yang berusaha menyingkap tabir ‘kemelayuan’ ini (Kerajaan dan Melayu atau Kemelayuan) perlu diberikan perhatian oleh ‘anak semua bangsa’ agar mereka lebih memahami asas kehidupan bernegara ketika galak ‘mengejar pelangi’. Seperti pernah diungkapkan oleh Sir Frank Athelstane Swettenham (1850-1946): Cepat sungguh kita melupakan apa yang dipelajari atau tidak mengendahkan ajarannya’ (Swettenham, 2003:192) manakala Anthony Milner mencadangkan kita tidak perlu lagi ‘memberikan satu sudut pandang untuk melihat ‘ras’ dan ‘etnisiti’ dengan lebih tajam…penggunaan konsep ketamadun dapat membantu kita untuk mentafsirkan lebih tepat cara pemikiran-pemikiran tentang ‘ras’…Cara-cara pemikiran ini ‘disetempatkan’—serta dinamika prosesnya—sudah tentu sangat penting kepada ‘sejarah kemelayuan’ (Milner, 2019, 312).

Kamarun KH

No Comments

    Leave a reply