MENGAPA KERAJAAN PH SEMAKIN DIBENCI ?

Kita kena ingat dan insafi apabila rakyat mahukan perubahan bila-bila masa sahaja mereka boleh buat kalau yang 60 tahun pun boleh ubah, setakat lima tahun mereka boleh ubah bila-bila masa sahaja.” Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Mingguan Malaysia 6 Januari 2019.

BELUM cukup setahun Kerajaan PH memerintah, sana sini kedengaran rasa tidak puas hati kebanyakan rakyat. Pemandu teksi terus bersuara, dari janji menghapuskan ‘grab’ yang tidak jadi hinggalah masing-masing pedih akibat tertipu, ngilu memikirkan sara hidup anak isteri semakin terganggu dan tidak cukup.

Rasa gembira orang awam ketika Pakatan Harapan berjaya menumbangkan parti Barisan Nasional yang memerintah selama enam dekad berubah menjadi igauan ngeri saperti menepati peribahasa Melayu: berdentum guruh di langit, air di tempayan dicurahkan. Akibat terpesona dengan ‘janji manismu’, bertaburanlah sepah di merata-rata sehingga tanah bertuah ini terasa sesak dan sempit untuk terus hidup.

Rakyat ‘menyesal’ dengan keputusan mengundi PH; sesal yang mula ditunjukkan dalam dua pilihan raya kecil terakhir (PRK Cameron Highlands dan Semenyih), pengundi Melayu-Islam saperti kembali menginginkan pemerintahan BN. Kini, Kerajaan PH bakal teruji lagi. Jika sekali lagi kalah di PRK DUN Rantau, secara sinisnya orang Melayu merasakan Jemaah kabinet yang berusia sepuluh bulan wajar dioverhaull sepenuhnya.

Overhaull pertama ialah membabitkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. Beliau pernah disifatkan sebagai seorang karakternya ‘panas baran’ dan mempunyai ‘kelingking berkait’. Sudah banyak kritikan diberikan, apabila seringkali menutupi kesilapan dengan ‘salah baca’, ‘salah titik perpuluhan’ dan terus mempertahankan ‘salah kira’ mengenai hutang sebenar kerajaan terdahulu.

Dengan melambung ‘hutang negara’ berada pada tahap ‘menggemparkan’, sentiment rakyat mula berbaur kebencian kepada kerajaan terdahulu. Namun, ‘kebencian’ sudah bertukar kepada Lim Guan Eng apabila beliau mula bermurah hati memberikan peruntukan kepada institusi pendidikan Cina swasta dan menterjemahkan kenyataan rasmi dalam bahasa Melayu kepada bahasa Mandarin, hanya kerana nak mengambil hati pemberita akhbar-akhbar Cina.

Sebelumnya, keadaan sedemikian tidak pernah berlaku. Kalaupun diterjemahkan ke bahasa Mandarin, ia dilakukan oleh menteri berkenaan sendiri melalui terjemahan lisan. Kecenderungan ini kemudiannya diikuti oleh timbalan menteri pendidikan. Timbalan menteri dalam satu perbincangan menerusi media, menyediakan sepenuhnya slaid dalam bahasa Mandarin. Ia sepatutnya tidak berlaku. Sepatutnya slaid itu disediakan dalam bahasa Malaysia, yang boleh dinaratifkan secara lisan dalam bahasa Mandarin.

Mutakhir, Lim Guan Eng nampaknya telah diketepikan oleh Perdana Menteri untuk mengetuai perundingan semula projek ECRL yang didakwa bakal ‘menggadaikan Malaysia kepada China’. Hari ini, setelah projek itu tertangguh sejak Julai 2018, Kerajaan PH menjelaskan sebanyak RM 200 juta terpaksa dibayar hanya untuk ‘servis faedah’ ke atas pinjaman. Ia belum diambil kira ganti rugi penangguhan dan kos kendalaan.

Akibat ‘bashing’ menggadai negara, para pelabur mula bimbang mengenai situasi politik di Malaysia sehingga pasaran saham merudum teruk, nilai matawang merosot dari RM 3.80 kepada RM 4.18 bagi setiap dolar. Ini bermakna, barangan import yang dibayar menerusi dolar menjadi lebih mahal, dan akhirnya, pengguna terpaksa menanggung beban kenaikan. Sebab itulah penghapusan GST tidak merekodkan penurunan kos sara hidup dan memperkenalkan SST (mulai September 2018), kos terus meningkat.

Janji menurunkan kos sara hidup sebaik sahaja menang tersasau jauh. Orang awam mula tidak yakin dengan prestasi Kerajaan PH, semakin ramai orang awam bersuara keras ‘menagih janji’. Kerajaan PH akhirnya saperti buntu fikiran, lalu mengisahkan ‘stok ikan kembong masih berbilion ekor dalam laut’ tetapi para nelayan mula tersepit kerana subsidi sudah dihentikan.

Ketika bertemu petani, menteri menangis di atas pentas kononnya bersimpati dengan apa yang diluahkan oleh seorang aktivis masyarakat. Aktivis itu berani mengemukakan pandangan ‘risau’ dan ‘pilu’, nasib petani dan nelayan saperti tidak ‘terbela’ kerana Kerajaan PH menarik balik subsidi baja, bantuan nelayan dan sebagainya.

Harga komoditi turun menjunam. Kata menteri yang bertanggungjawab, stoknya begitu banyak apabila Indonesia mengeluarkan hasil begitu banyak dan dengan kos yang lebih murah. Semalam, dalam sebuah program bual bicara televisyen, Teresa Kok terasa dirinya semakin tahu dengan kebaikan minyak kelapa sawit, sebelumnya beliau lebih gemar menggunakan minyak sayuran untuk memasak.

Teresa juga diherdik oleh orang awam kerana mencadangkan agar peneroka dan petani memikirkan untuk menanam buluh, dan tidak lagi terlalu bergantung kepada hasil kelapa sawit dan getah. Orang awam mengherdik Teresa Kok kerana menteri saperti ‘kebudak-budakan’ tidak meneliti secara jelas apakah kesannya bila peneroka dan petani menukarkan kelapa sawit dan getah kepada buluh.

Pekebun kecil getah mungkin masih ada hutang yang perlu dijelaskan: elaun penanaman semula, kos penanaman semula dan infrastruktur belum ada untuk menggiatkan industri buluh. Sepatutnya, Teresa Kok lebih agresif untuk mempromosikan minyak sawit, dan bersedia menepis dakwaan pejuang-pejuang alam sekitar, yang sebahagian dananya disumbangkan oleh pengeluar minyak sayuran. Kempen mereka tidak pernah terhenti, dari dakwaan mengandungi “lelemak” hinggalah menganggu kelestarian alam akibat penebangan hutan.

Teresa sepatutnya cuba berkempen kepada masyarakat Cina yang agak sinis dengan kebaikan minyak sawit. Mereka lebih gemar membeli minyak sayuran, minyak jagung dan juga minyak bunga matahari. Kalaupun dibeli minyak sawit hanya untuk tujuan ritual, bukan untuk memasak makanan. Ada yang melihat minyak sawit saperti alergik. Perhatikanlah situasi tersebut di pasaraya besar atau kedai runcit tertentu, yang dikunjungi oleh suri rumah keturunan Tionghua.

Setakat ini, Teresa yang segar dengan kempen “sayangkan minyak sawit”, banyak memberikan fokus kepada pengguna domestik agar memperbanyakkan penggunaan minyak sawit. Lantas, orang ramai bertanya: sudahkah menteri mandi dengan minyak kelapa sawit?

Baru-baru ini, telah termeterai perjanjian untuk membeli minyak sawit dari Malaysia, tetapi sayangnya, syarikat yang terbabit ialah bukan daripada FGV, Sime Darby ataupun FELDA, syarikat itu adalah kepunyaan orang terkaya di Malaysia. Rakyat mula nampak permainan politik Kerajaan PH, kenapa syarikat milik individu bukan milik GLC yang ‘menyara’ lebih setengah juta peneroka, lebih 80 peratus adalah orang Melayu?

Bagaimana pula orang awam memandang penguatkuasaan undang-undang di Malaysia? Persepsi semakin memburuk apabila sejak Kerajaan PH berkuasa, semakin galak kelompok yang mempersoalkan tentang Islam, termasuklah mempersendakan Nabi Muhammad SAW. Meskipun sebahagiannya telah didakwa, ada pandangan ahli politik mempersoalkan hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah berhubung penghinaan agama. Di sini orang awam mula mempersoalkan, apakah ahli politik berkenaan memahami bahawa ‘bila agama dipersendakan’ sejarah telah membuktikan, ia boleh merebak kepada perang antara agama.

Hukuman penjara selama 10 tahun 10 bulan ke atas seorang pesalah dari Sarawak itu adalah lebih ringan daripada kesan buruk yang menyebabkan lebih ramai rakyat marah. Keharmonian kehidupan turut menjadi pertaruhan yang besar apabila ahli politik mula menuduh kerjasama PAS dan UMNO sebagai ‘isytihar perang’ atau ‘menyasarkan bukan Melayu’. Kerosakan pendirian tersebut menyebabkan orang Melayu-Islam marah, tetapi ahli politik bukan Melayu terus mencurah ‘minyak’ dengan menganalogikan saperti Aghanistan yang diperintah oleh Taliban. Lebih pedih lagi apabila ada membayangkan apa yang berlaku di Christchurch seminggu lalu akan berlaku di Malaysia sekiranya PAS dan UMNO memerintah. Jauh sekali pandangan, lebih teruk dari tesis seorang ahli akademik keturunan Yahudi mengenai teori “pertembungan peradaban” yang dikemukakan pada tahun 1995. Tahun 2001, terbukti ia sebuah konspirasi George Bush Jr untuk meluluh-lantakkan Iran, Iraq dan Afghanistan.

Nampaknya pemimpin politik Kerajaan PH sengaja untuk ‘membunyikan gendang perang’ tetapi dalam keadaan tertentu, seorang lagi menteri yang pernah berfikiran radikal sebelum berada dalam kabinet, menyarankan agar parti-parti pembangkang tidak meniru perangai pembangkang sebelumnya. Ini bererti, parti-parti yang berada dalam komponen PH sebenarnya telah mewarisi ‘sikap buruk pembangkang’ dan terbawa-bawa dalam Kerajaan PH.

Buktinya jelas, antara menteri saperti ‘bertelingkah’ sesama sendiri. Khalid bertelingkah mengenai pelaburan besar dari Timur Tengah untuk memulakan projek kereta nasional ketiga, tetapi menteri yang menjaga perihal tersebut menafikannya. Mohamad Sabu yang berlagak ‘penyiasat handalan’ akhirnya terlajak ghairah mengumumkan pembangunan tanah-tanah milik Kementerian Pertahanan merugikan kerajaan sejak tahun 1997. Alamak, tahun 1997 hingga 2003, Perdana Menteri ialah Perdana Menteri sekarang yang melantik beliau sebagai Menteri Pertahanan.

Kes penjualan Hotel Royale Chulan juga menarik. Menteri Pertahanan mengeluarkan kenyataan, ia belum muktamad dijual kepada sebuah syarikat dari Singapura dengan harga RM 197 juga. Akhirnya, disahkan hotel tersebut benar-benar dijual kepada firma berkenaan, cuma bayaran belum dijelaskan sepenuhnya, hanya sekadar dua peratus sebagai deposit.

Kisah anak lelaki Mohamad Sabu terus disindir keras oleh orang awam kerana proses perbicaraannya masih belum berjalan. Entah ujian kimia ke atas ‘bahan yang dikatakan dadah’ mengambil masa terlalu lama, sedangkan anak orang awam, hanya sekadar positif ujian air kencing sudah didakwa. Itulah ‘indah’ dan ‘nikmat’nya menjadi menteri, semua boleh ditangguhkan.

Kes Guan Eng telah dibebaskan daripada dakwaan ‘membeli banglo di bawah harga pasaran’ tetapi, kes mengenai Terowong Dasar Laut dan tiga lebuh raya, hangat semula.

Kalau sebelumnya pemimpin BN dianggap kleptokrat, kini, orang awam mula memahami bahawa ‘mulut besar Lim Kit Siang’ semakin sepi apabila ada kenyataan, Lim Guan Eng memiliki saham dalam sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Terowong Dasar Laut. Kertas siasatan yang bocor itu menyebabkan bapa Anti-Kleptokrat terpaksa berdiam diri, setelah turut membisu dengan kelulusan undang-undang ketika masih dalam tahanan.

Lim Kit Siang belum menjawab pertanyaan sah atau tidaknya ijazah undang-undang sedangkan anaknya Lim Guan Eng sudah terpalit dengan tiada sijil professional dalam bidang akauntan. Terjebak dengan ijazah atau kelulusan palsu, menyebabkan ramai menteri Kerajaan PH mula ‘merasa malu’ dan kurang diyakini oleh orang awam. Menteri Besar Johor, yang terjerat dengan diploma dari UPM akhirnya diketawakan kerana boleh bercuti ke Batam ketika lebih dua ribu masyarakat sekitar Pasir Gudang ‘lemas’ dengan pencemaran bahan kimia. Dr Mazlee Malik pula tidak dapat memahami makna “kebocoran gas” dengan buangan sisa toksik atau kimia ke dalam Sungai Kim Kim. Sebelumnya Mazlee tersilap menghulurkan takziah kepada Allahyarham Tan Sri Hassan, sepatutnya salam itu untuk keluarga Allahyarham.

MB Johor dengan kenyataan bodoh, penduduk tidak perlu bimbang kerana ‘boleh menutup pintu’ akhirnya diberikan gelaran saperti Mr Beans dalam produksi Dumb and Dumber. Kini, orang awam mula khuatir, jika kepimpinan Menteri Besar Johor berterusan begitu, rakyat akan terus membenci Kerajaan PH. Khazanah nak jual Legoland, kerajaan Johor sedia pertimbangkan pembeliannya. Orang awam tanya, buat apa?

Kerajaan PH dibenci bukan kerana gabungan yang dinamakan Pakatan Harapan, ia dibenci kerana gagal melunaskan janji-janji yang terpatri ketika memerlukan sokongan pengundi. Tentunya, sebagai parti pembangkang, BN akan mengasak Kerajaan PH menegur sebagai sebahagian dari proses ‘semak dan seimbang’, kerana tanpa teguran, Kerajaan PH akan menjadi terlajak leka sehingga menghampiri autokratik.

Tentunya, jika tiada ‘semak dan seimbang’ penguasaan Kerajaan PH dalam Dewan Rakyat akan berkisar kepada kemahuan politik dan agenda tertentu. Orang awam mungkin mula mempersoalkan sejauhmanakah adilnya proses perbincangan dan perbahasan berlangsung. Kisah Tan Sri Noh Omar yang dilarang menghadiri Sidang Dewan selama tiga hari (mulai 18 Mac 2019) oleh Timbalan Speaker turut menarik nilai autokratik.

Noh dihukum tanpa diberikan peluang ‘membela diri’. Keputusan dibuat semasa beliau tidak hadir, tetapi, cuba ‘dirawat’ kemudiannya oleh Speaker, tidak dapat memperbaiki kerosakan. Ia hanyalah suatu helah untuk melenturkan nilai autokratik, kerana peluang membela diri diberikan setelah hukuman telah dibuat. Ia seumpama memberikan ruang kepada Tan Sri Noh untuk merayu, walaupun akhirnya tidak berubah larangan. Ia saperti ‘pujukan’ tidak ikhlas, ajak-ajak ayam.

Kenyataan terbaharu seorang menteri mengenai Tabung Haji tidak seharusnya dibebankan dengan subsidi mengerjakan haji pada masa hadapan mengejutkan banyak pihak. Ini kerana, Tabung Haji sudah bertahun-tahun memberikan subsidi sekitar RM 400 juta bagi membolehkan mereka yang tidak mampu menunaikan haji. Bagi menteri berkenaan, seseorang itu mestilah memahami kaedah feqah, mengerjakan haji berdasarkan kemampuan. Sesuatu yang menyentak sebahagian besar orang awam yang menunggu untuk tiba giliran menunaikan haji.

Menteri-menteri sepatutnya melakukan penerangan yang lebih jelas untuk mendidik masyarakat agar boleh menerima sesuatu keputusan dengan baik, dan bukan terkejut. Ingatlah kepada istilah ‘future shock’ ia akan menyebabkan persepsi awam semakin bencikan Kerajaan PH apatah lagi bila banyak ‘janji manis’ hanyalah tinggal harapan. Buku Harapan semakin menuju Buku Kegagalan Kerajaan PH.

Sebab itulah ada pandangan Kerajaan PH mungkin hanya kekal untuk sepenggal. Bahkan, ada pemimpin dalam Kerajaan PH mula gusar, sayangnya kegusaran itu belum lagi diterjemahkan kepada tindakan yang memadai dalam meneutralkan imej buruk akibat ‘suka menyiasat dan mendedah’, tidak melakukan kerja dengan serius, bertelagah sesama sendiri dan paling mengecewakan ialah mengutip semula dakwaan buruk sebelumnya, dijenamakan semula serta dijadikan dasar bertindak.

Buruk itu sebenarnya ‘pembohongan’ kerana ia kini diteruskan oleh Kerajaan PH. Bahkan buruk perangai apabila aset yang dikumpulkan sejak sekian lama semakin cepat hendak  dilupuskan. Mengulangi apa yang pernah berlaku antara tahun 1982-2003, banyak aset milik UMNO lenyap dan berpindah kepada individu tertentu. Kroni kaya, rakyat terus dicengkam dakyah Melayu Malas dan Melayu Mudah Lupa.

Mengata dulang, paku serpih. Kerajaan PH sebenarnya terlebih-lebih silap, menuduh dan menuding jari. Ada sebuah petikan bestari yang menarik: Placing the blame are bad character; Taking the blame are sure build character.

Mahanor Saleha

 

No Comments

    Leave a reply