Mengapa melenting belajar jawi, disuruh nyanyi Negaraku?

Satu hantaran di laman Facebook Kelab Penyokong Imigresen Malaysia mendapat perhatian ramai apabila mengongsikan kisah tentang ‘padah’ tidak menguasai bahasa kebangsaan ketika memperbaharui pasport.

Cerita yang memetik laporan Sinchew Daily itu berkisar tentang seorang ibu yang memberitahu tiga anak remajanya telah diminta oleh pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk menyanyikan lagu kebangsaan dan membaca Rukun Negara untuk membuktikan bahawa mereka adalah rakyat Malaysia.

Ibu remaja itu dilapor berkata, pegawai JIM tersebut mengeluarkan arahan sedemikian selepas anaknya gagal menjawab soalan dalam bahasa kebangsaan.

Alasan ibu berkenaan anak-anaknya boleh bercakap dan memahami bahasa Melayu tetapi tidak tahu bagaimana untuk menjawab pada mulanya apabila ditanya tentang pekerjaan ayah mereka.

Ibu itu dilapor menambah bahawa pegawai JIM itu menegaskan kepada anak-anaknya bahawa sebagai rakyat Malaysia mesti memahami bahasa kebangsaan.

Malah, dakwanya lagi, pegawai-pegawai itu bertanya kepada anak-anaknya secara kasar sekali gus dianggap mungkin menyebabkan anak-anaknya gugup dan gagal menjawab dengan segera.

Walhal, arahan pegawai JIM agar mana-mana individu menyanyikan lagu kebangsaan boleh dianggap pendekatan yang lazim lagi mudah dilakukan dalam usaha mengenalpasti kesahihan kewarganegaraan.

Imigresen terpaksa lebih berhati-hati pada masa ini ekoran banyaknya kes pemalsuan dokumen pengenalan diri.

Isu ibu yang bersuara bagi pihak tiga anaknya sehingga mendapat liputan akhbar Cina itu pastinya tidak berlaku sekiranya setiap warganegara Malaysia fasih berbahasa kebangsaan.

Malangnya, selepas 62 tahun tanah air ini mencapai kemerdekaan, kita masih bergelut tentang sebahagian besar warganegara yang sudahlah tidak faham berbahasa Melayu malah tidak berusaha untuk menguasai bahasa yang sudah diiktiraf di tanah air ini sebagai bertaraf rasmi dan kebangsaan.

Lebih jelek, ‘spesies’ yang tidak peduli di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung itu seperti rasa tidak bersalah malah berdalih seribu alasan seolah-olah mereka pula ditindas atau lagi dahsyat kononnya menjadi mangsa perkauman! Ironi sungguh.

Kepada JIM, teruskan sahaja prosedur mengarahkan mereka yang tidak lancar berbahasa kebangsaan menyanyikan lagu Negaraku atau membacakan Rukun Negara yang telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 itu.

Menjengah tahun 2020 pun, kita semua sedia maklum adanya kelompok yang hingga berminggu-minggu gegak gempita membantah pengajaran jawi di sekolah vernakular yang hanya tiga halaman tentang ungkapan yang terpampang pada lambang negara, ringgit Malaysia dan setem.

Usah dilayan sangat segala kerenah. Bertegaslah kerana negara ini bermaruah. Utamakan dan pertahankan barisan hadapan keselamatan negara dan integriti kerajaan kerana rakyat Malaysia sejati tanpa mengira kaum akan terus mempertahankan.

Keharmonian kaum

Satu ruangan pendapat melalui kiriman SMS (walaupun sekarang sudah era WhatsApp) yang disiarkan dalam The Star, 17 Disember lalu bertajuk, “Tension is political”.

Berada di kedudukan teratas berbanding isu lain dalam akhbar milik MCA itu, penulisnya yang hanya memakai gelaran SA menyokong kolumnis Nathaniel Tan bahawa sistem politik berasaskan kaum sebagai punca ketegangan kaum di negara ini.

Soalnya, MCA yang wujud sejak sebelum merdeka lagi iaitu pada tahun 1952, bukankah parti politik berasaskan kaum?

Sistem pendidikan vernakular yang berasaskan kaum dengan label kebangsaan Cina dan Tamil, tidakkah bukan punca ketegangan kaum?

Jika benar ikhlas mahukan keharmonian kaum, mengapa seluruh anak Malaysia tanpa mengira kaum dan agama sebumbung belajar dan bermain di Sekolah Kebangsaan?

Usah apa yang dicanang sebagai, “cause of racial tension in our country” (menyebabkan ketegangan kaum di negara kita) seolah-olah milik mutlak orang Melayu sahaja.

Malaysia Baharu dengan kini menyaksikan gelombang global Revolusi Industri 4.0 sepatutnya menjadi medan muhasabah diri.

Sejauhmanakah kita jujur dalam menolak pendidikan berasaskan kaum tinggalan kolonial yang disambung pula dalam zaman BN sehingga jadi penyebab dinginnya interaksi antara kaum di negara ini?

Memupuk semangat kebangsaan melalui bahasa kebangsaan, sekolah kebangsaan dan kebudayaan kebangsan yang berteraskan kebudayaan rakyat asal rantau ini seperti terkandung dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan adalah tugas kita semua.

Selagi ada warganegara Malaysia masih berkiblatkan bahasa, pendidikan dan kebudayaan dari luar, selagi itulah kes tiga adik-beradik yang diminta menyanyikan lagu Negaraku dan bantahan berterusan terhadap pengajaran Jawi akan berterusan.

Punca masalah perkauman tidak pernah akan berkesudahan selagi sekolah vernakular masih tegar dikekalkan. Dr Sia Keng Yek dari Universiti Malaya (UM) dalam kajian peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) yang kemudiannya diterbitkan pada 2005 pun sudah merumuskan punca kegagalan perpaduan nasional.

Beliau merumuskan bahawa penentangan pertubuhan Dong Zong terhadap pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan di SRJK Cina menjadi antara penghalang kepada usaha kerajaan untuk merealisasikan integrasi nasional di bawah satu bumbung persekolahan yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar.

Wajarkah kita masih buat garu kepala melontarkan pertanyaan, mengapa isu perkauman masih berlaku?

*Artikel ini pertama kali disiarkan di akhbar Mingguan Amanah, Edisi 182, 22-28 Disember 2019. 

Sumber : malaysiadateline.com

Tags: , ,

No Comments

    Leave a reply