Tegas Ahli Parlimen Pasir Salak itu, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkenaan mungkin telah ‘tersasar’ dan perlu diperbetulkan. Lagipun orang Melayu pasti tidak mengendahkan kenyataan sensitif tidak matang itu. Begitupun, dalam perbualan 15 minit dengan wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL semalam, Tajuddin, 70, ingin berkongsi dengan kaum-kaum bukan Melayu termasuklah Syed Saddiq sendiri mengenai maksud sebenar ketuanan Melayu yang kata orang lama berpengalaman itu hakikatnya sungguh murni. Malah, ada nasihat yang ingin disampaikan Tajuddin kepada Ahli Parlimen Muar berumur 25 tahun itu.

TAJUDDIN: Saya fikir dia tahu apa yang dimaksudkan dengan ketuanan Melayu. Tapi dia bermain politik dengan orang bukan Melayu demi meraih sokongan politik untuk diri dan partinya. Setakat ini kenyataan Syed Saddiq ini belum lagi diulas menerusi pendirian rasmi dasar parti Bersatu berkaitan ketuanan Melayu.

Lagipun sokongan orang Melayu terhadap Bersatu sedikit kerana kemenangan mereka dalam pilihan raya umum lepas ditentukan oleh tangan bukan Melayu, sebab itu kenyataan kontroversi ini dibuat.

Apa kesan daripada kenyataan kontroversi ini?

Ibarat ‘senjata makan tuan’ sebab parti Syed Saddiq ini dikatakan memperjuangkan masyarakat pribumi yang bersesuaian namanya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Bukankah menjadi dasar Bersatu memperjuangkan nasib bumiputera? Malah, strategi Pakatan Harapan pun memang harapkan Bersatu akan dapat tarik undi daripada bumiputera orang UMNO. DAP dan PKR pula akan menjadi landasan kepada bukan bumiputera.

Namun saya yakin kenyataan kontroversi si Saddiq ini akan menjadi strategi ‘satu senjata yang tumpul’ kerana bumiputera dan orang Melayu pastinya tidak akan bersetuju dengannya, kecualilah ‘beberapa kerat’ bumiputera yang satu kepala dengan Saddiq. Saya berasa sedih kerana perjuangan untuk pastikan survival bangsa seolah-olah sudah dihumban demi kepentingan sempit persaingan politik.

Kelihatannya pemimpin bukan Melayu tidak pula secara terbuka mempersoalkan ketuanan Melayu sehinggalah muncul Syed Saddiq berbuat demikian, mengapa?

Dia tidak sedar senang-senang hendak buang (ketuanan Melayu). Konsep ketuanan Melayu saya fikir telah disalahtafsirkan seolah-olah orang Melayu hendak menindas, menguasai dan menzalimi kaum-kaum lain. Salah faham ini dilakukan oleh orang politik tertentu yang ragu-ragu dan bimbang dengan kepentingan orang Melayu dan dasar-dasar telah dibuat oleh kerajaan sebelum ini yang terbukti adil dan saksama.

Saya hendak tanya Saddiq, apa yang tidak saksama sebelum ini? Adakah Saddiq sebut ‘konsep saksama’ ini bermaksud apa lagi belum diberikan kepada kaum lain, yang sekarang dia kata tidak saksama supaya bukan bumiputera diberi apa yang tidak dituntut selama ini?

Barangkali telahan Datuk Seri pasal ‘tidak ada kesaksamaan’ itu benar?

Saya hendak bertanya, apa lagi yang tidak diberi kepada bukan bumiputera selama ini? Saya yakin pada fakta kerana sepatutnya apabila membangkitkan soal kesaksamaan, bumiputeralah yang wajar bercakap soal ini, seperti peluang penguasaan ekonomi, pendidikan dan dari segi menuntut nikmat itu ini. Janganlah disalah anggap ketuanan Melayu itu bermakna sebagai peribumi, kita tiada hak-hak sebagai peribumi dan nikmati hak-hak keistimewaan Melayu. Dalam pada itu kita tidak menafikan hak kaum-kaum lain, jauh sekali menzalimi, menindas dan mendiskriminasi.

Agaknya di Malaysia sahaja konsep ketuanan wujud, sebab itu ia ditentang habis-habisan?

Di Malaysia pelik situasinya sebab ada dasar yang memberi jaminan kepada kaum peribumi dalam pendidikan dan ekonomi. Namun, apa yang berlaku adalah bukan bumiputera yang hari ini telah diterima sebagai penduduk Malaysia telah jauh meninggalkan bumiputera. Tak pelikkah itu? Sepatutnya bumiputeralah yang tinggalkan kaum-kaum lain.

Sebab apa ini terjadi? Kerana dasar kerajaan selama ini yang diterajui oleh orang Melayu sangatlah baik – sebuah kerajaan yang beri segala peluang dan sokongan kepada kaum-kaum lain untuk membangun dan memajukan kawasan masing-masing. Kalau lihat kehidupan seharian, orang Melayu sentiasa beri sokongan kepada para peniaga Cina. Kalau beli kereta, mereka beli dari syarikat/premis milik siapa? Kalau lihat kedai runcit, pasar raya, bukankah majoriti dikuasai peniaga bukan Melayu, tapi siapa yang beli ikan, daging dan sebagainya? Bukankah surirumah Melayu? Itu sebabnya juga saya mahu ingatkan, jangan cakap UMNO atau Melayu ini rasis. Makna rasis apabila kita menindas kaum lain. Tapi, adakah ini berlaku?

Mungkin Datuk Seri sendiri ada pengalaman melihat sukarnya bumiputera bersaing dengan bukan Melayu kira-kira 30 atau 40 tahun lepas?

Ya, di zaman itu umpamanya pembangunan masyarakat peniaga bumiputera dalam industri automatif, kita hendak cari syarikat bumiputera sebagai syarikat pengedar, pengimport dan pemasang kereta langsung tidak ada. Yang ada semuanya syarikat Cina dan milik asing seperti Tan Chong Motor, Asia Motor, Continental Motor dan Borneo Motor. Pada tahun 80-an barulah ada bumiputera dalam perniagaan automatif. Apabila penyertaan ini berlaku, kita tidak nafikan atau tutup premis milik bukan bumiputera. Hari ini di samping syarikat-syarikat bumiputera yang berjaya seperti Naza Motor dan DRB-Hicom Berhad, adakah kita dapati perniagaan (kereta, automatif) bukan bumiputera semuanya sudah ditutup? Tidak, malah kita lihat banyak syarikat Cina yang berniaga, bahkan jadi lebih besar dari sebelumnya. Ini menunjukkan kek ekonomi itu membesar dari semasa ke semasa. Bila membesar, kita tidak ambil atau rampas hak orang lain, tetapi berkongsi lagi.

Jadi, sebagai orang lama dan umpama seorang bapa, apa nasihat Datuk Seri kepada Syed Saddiq?

Saddiq kena menginsafi tentang kedudukan orang Melayu dan bumiputera yang hari ini dalam keadaan masih bersaing dengan kaum lain. Jangan kamu terlalu konfiden dengan dasar liberal yang hendak dibawa. Ingat akan masa depan kamu sendiri yang masih jauh lagi perjalanan hidup selain fikirkan generasi akan datang. Kalau sudah hilang kuasa, survival bangsa itu sendiri terancam. Jangan kerana kepentingan politik yang sempit itu kita sanggup menggadai maruah bangsa sendiri. Kelak akibatnya nanti kamu akan dipertanggungjawabkan, dikutuk oleh bangsa sendiri. Bukan tunggu masa depan lagi untuk ini terjadi, sekarang pun boleh berlaku.

Perjuangan membela bangsa lebih besar ertinya daripada kerusi dan secebis jawatan. Percayalah! orang Melayu tidak boleh terima sama sekali apa yang kamu perkatakan (ketuanan Melayu sudah berakhir).