Menurut Tommy, peguam tersebut telah menerima pelantikan untuk mewakili kementerian serta JBPM dalam prosiding inkues berkenaan, dan pada masa sama dilantik bagi mewakili keluarga Allahyarham Muhammad Adib.

Beliau malah mengemukakan empat sebab mengapa Syazlin sepatutnya menolak pelantikan mewakili kerajaan.

Pertama menurutnya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan JBPM sebagaimana kementerian dan jabatan lain hendaklah mendapatkan nasihat undang-undang daripada jabatan ini dan peguam luar mestilah dilantik oleh Peguam Negara atau pendakwa raya.

“Kedua, Syazlin berada dalam kedudukan konflik kepentingan apabila beliau bersetuju untuk mewakili kementerian dan JBPM kerana beliau juga turut mewakili keluarga Allahyarham Muhammad Adib yang mempunyai kepentingan langsung dalam inkues ini. Kepentingan pihak ini mungkin bertentangan dan adalah suatu perkara yang tidak boleh diterima apabila beliau mewakili ketiga-tiga pihak.

“Ketiga, pegawai saya yang membantu koroner telah memaklumkan kepada saya bahawa Syazlin telah mengambil peranan aktif dalam inkues ini malah sering mengambil kedudukan bercanggah daripada kedudukan diambil oleh timbalan pendakwa raya. Perkara ini memalukan beliau dalam kapasitinya sebagai peguam bagi kementerian.

“Keempat, suami Syazlin adalah setiausaha akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Zuraida Kamaruddin), atas sebab di atas saya telah memohon agar menteri menarik balik pelantikan Syazlin daripada terus mewakili kementerian dan JPBM,” jelas beliau dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Tommy mengakui amat terkejut apabila mengetahui Syazlin turut menarik diri daripada mewakili keluarga Allahyarham Muhammad Adib.

Kata beliau, keputusan peguam itu dibuat secara rela tanpa sebarang pengaruh daripada Jabatan Peguam Negara.

“Akhir sekali, saya ingin memaklumkan bahawa sebelum prosiding inkues bermula semalam, salah seorang pegawai pengendali yang membantu koroner, Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin telah bercakap secara peribadi dengan Syazlin memaklumkan jabatan ini tidak mempunyai sebarang isu sekiranya beliau mahu mewakili keluarga Allahyarham Muhammad Adib.

“Faten meminta Syazlin untuk terus mewakili keluarga Allahyarham Muhammad Adib supaya prosiding inkues boleh diteruskan dan Prof. Dr. Shahrom Abd. Wahid boleh dipanggil semula untuk memberikan keterangan lanjut. Namun Syazlin tetap dengan keputusannya untuk menarik diri,” katanya.

Jelas beliau, Shahrom merupakan saksi pakar yang membantu koroner dalam inkues ini.

“Peranan beliau dalam inkues tidak terjejas dengan penarikan diri Syazlin sebagai peguam. Faten juga telah memaklumkan koroner bahawa jabatan ini bersedia untuk membantu koroner dengan mengeluarkan sepina kepada Shahrom. Kami akan berbuat demikian,” katanya. – UTUSAN ONLINE