MENGAPA TAKUTKAN MUAFAKAT UMNO-PAS?

MUAFAKAT UMNO-PAS terus diperdebatkan; ada pihak yang menyongsong arus  menyeru agar muafakat itu gagal. Mereka memberikan pelbagai istilah yang menakutkan, dari pemuafakatan dengan sebuah parti yang rosak, dasar bumi hangus, mengisytiharkan perang terhadap bukan Melayu hinggalah menyeru agar orang Melayu dan penganut Islam menjauhinya. Pemuafakatan itu dianggap sebagai langkah terkebelakang.

Sekali imbas, kaedah melabelkan dengan istilah buruk terhadap pemuafakatan UMNO-PAS, boleh disamakan kaedah propaganda barat untuk menakut-nakutkan masyarakat dunia kepada Islam. Awalnya, selepas kejatuhan negara-negara komunis dan berakhirnya Perang Dingin, Islam dilabelkan sebagai ‘hantu hijau’ atau green menace. Sebelumnya, ideologi komunis dilabelkan sebagai ‘hantu merah’ atau red menace.

Kenapa warna hijau dilambangkan kepada Islam? Warna merah dilambangkan kepada ideology komunis? Tentunya, kerana warna hijau adalah warna dominan dalam kalangan negara-negara Islam. Warna hijau merupakan salah satu dari tiga warna yang mencorakkan bendera Iran. Irak menggunakan warna hijau bagi tulisan Allahu Akbar, di tengah-tengah benderanya. Arab Saudi menggunakan warna hijau keseluruhannya dengan tulisan Laillahail Allah Muhammadur Rasullullah SAW berwarna putih.

Meskipun tidak ada warna hijau bagi bendera Malaysia dan Indonesia, Islam tetap dilabelkan sebagai ‘hantu hijau’ kerana terdapat parti politik yang menggunakan Islam sebagai ideologi politik. Parti Islam Se Malaysia bukan sahaja mencorakkan warna benderanya dengan warna hijau dan bulan berwarna putih, turut menjadikan warna hijau sebagai simbol korporat parti.

Nahdatul Ulama, sebuah pertubuhan intelektual Islam yang terawal (ditubuhkan pada 31 Januari 1926) di Indonesia dan dianggotai oleh lebih 40 juta orang menggunakan warna hijau sebagai latar belakang. Nahdatul Ulama ditubuhkan untuk membentengi pengaruh fahaman Syi’ah dengan memperjuangkan akidah ahli sunnah wal jamaah.

Muhammadiyah, sebuah pertubuhan yang diasaskan pada tahun 1912 oleh KH Ahmad Dahlan di Jogjakarta untuk memurnikan ajaran Islam yang bercampur baur dengan hal-hal yang bersifat mistik merupakan pertubuhan bukan kerajaan yang terbesar. Warna hijau turut diabadikan dalam logo Muhammadiyah, dan mengikut anggaran, lebih 140 juta orang mendokongnya di seluruh Indonesia. Ia bukan sahaja menjadi pertubuhan bukan kerajaan yang terbesar di Indonesia, bahkan di dunia.

Sebab itulah dalam pemilihan presiden Indonesia, seseorang calon yang disokong kuat oleh Muhammadiyah mempunyai potensi untuk menang. Muhammadiyah juga bergerak dalam bidang pendidikan dengan menubuhkan sekolah-sekolah di peringkat asas, menengah dan pendidikan tinggi.

Akidah ahli sunnah waljamaah adalah pegangan umat Islam di Malaysia. Atas kedudukan Islam sebagai agama persekutuan, sebarang usaha untuk menyebarkan pelbagai fahaman Islam ia mendapat tentangan hebat ketika era pemerintahan BN.

PAS dan UMNO merupakan pendokong kuat kepada pegangan ahli sunnah waljamaah, dan kerana itu, ia bukan sahaja dianggap ‘bermusuh’ dengan aliran pemikiran Islam Syiah, Ahmadiyyah, mahupun pemikiran Islam yang bercampur dengan falsafah liberal dan pluralism agama.

Mungkin kerana pertentangan itu menyebabkan mereka yang mengagumi aliran pemikiran politik barat memberikan label ‘hantu hijau’ apabila penganut-penganut Islam pelbagai aliran bermusuh sesame sendiri. Tindakan mereka yang terpengaruh dengan aliran pemikiran barat telah melihat bahawa usaha memperbetulkan pemikiran dan akidah berteraskan al-Qur’an dan Hadis sebagai satu bentuk peperangan dan bersifat agresif. Percaturan politik barat untuk memecahbelahkan kesatuan umat Islam, dan kerana itu, penyatuan negara-negara Islam tidak dapat dilakukan serta semakin sukar.

Apabila PAS dan UMNO bekerjasama untuk mempertahankan kedudukan orang Melayu-Islam di Malaysia, maka muncullah pelbagai andaian mengenai hasrat berkenaan. Ia bukan sahaja lahir dalam kalangan pemimpin bukan Melayu, bahkan dalam kalangan orang Melayu sendiri, hanya kerana berseberangan ideologi politik.

Dr Mahathir, dalam kenyataan terbaharunya cuba menakut-nakutkan bukan Melayu-Islam menerusi tindakan PAS dan UMNO bekerjasama. Kerjasama itu dianggap sebagai satu usaha untuk memisahkan Melayu dan bukan Melayu.

Sebelumnya, serangan Dr Mahathir hanya sekadar ‘memulangkan’ apa yang pernah dilabelkan oleh PAS kepada UMNO. Beliau mengingatkan kepada beberapa doktrin PAS sebelumnya sehingga apa sahaja tindakan yang diambil oleh UMNO sebagai ‘haram’, termasuk haram berkahwin silang parti (walaupun beragama Islam), haram bersembahyang berimamkan ahli UMNO, dan sebaginya. Dengan menyindir, Dr Mahathir mengeluarkan pertanyaan: Sudahkah UMNO diislamkan?

Sebenarnya, Dr Mahathir merupakan orang yang kecewa dengan perkembangan tersebut. Dr Mahathir begitu tertekan, apabila kerjasama PAS dan UMNO boleh membentuk sinergi politik, parti pimpinannya mungkin akan bermasalah besar. PPBM memang terlalu mengharapkan sokongan daripada orang Melayu, dan kekalahan sulong PPBM selepas PRU ke-14 menatijahkan keresahan tersebut. PRK DUN Semenyih menjadi petunjuk yang jelas.

Sebelumnya, dalam PRK Cameron Highlands, Dr Mahathir menyelar UMNO dengan menambahkan lagi titik-titik kebenciannya kepada Najib. Percubaan Dr Mahathir untuk mempengaruhi pengundi Melayu-Islam di Felda Sg Koyan tidak berjaya, dan hasilnya, calon DAP yang disokong oleh PPBM kecundang. Ia menjadi suatu ‘mala petaka’ buat PH, bila kalah seterusnya di Semenyih. Jika PRK DUN Rantau menunjukkan trend yang sama, kepimpinan Dr Mahathir bakal dipersoalkan dengan lebih hebat.

Akibat kalahnya DAP di Cameron Highlands, ada cadangan untuk melakukan ‘undi tidak percaya’ kepada Dr Mahathir. Rakyat Malaysia menanti dengan debar, tetapi atas tindakan untuk mempertahankan Melayu-Islam, PAS dan UMNO secara rasminya bersedia mempertahankan Dr Mahathir sehingga tempoh Parlimen ke-14 berakhir.

Berdasarkan pendirian tersebut, PAS dan UMNO sebenarnya tidak pernah bertindak untuk ‘menngisytiharkan perang’ ataupun ‘menyasarkan’ bukan Melayu sebagaimana dilafazkan oleh Lim Guan Eng. Lim Guan Eng sebenarnya tercabar dengan kerjasama PAS dan UMNO, kerana hasrat DAP untuk menguasai kawasan majoriti pengundi Melayu-Islam menjadi semakin tipis.

Atas keinginan itulah DAP seringkali menjadikan PAS dan UMNO sebagai musuh politiknya, kecualilah ketika PAS bersama dalam Pakatan Rakyat. DAP memperoleh kejayaan besar dalam kerjasama politik atau tahaluf siyasi, tetapi, kali ini, DAP amat memerlukan sokongan pengundi Melayu yang berpecah daripada PAS dan UMNO.

Seorang pejuang Parti Sosialis Malaysia, yang juga bekas Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr M Jeyakumar merasakan orang Melayu-Islam seharusnya takut dengan UMNO dan PAS. Ia merupakan satu pandangan yang cuba menakut-nakutkan orang Melayu-Islam, seolah-olah UMNO dan PAS merupakan pertubuhan politik yang ganas, melampau dan tidak akan ‘membela nasib bangsa dan Islam.

Apakah Dr M Jeyakumar hanya ingin mengulangi kenyataan Timbalan Yang di Pertua Dewan Rakyat, Nga Kor Meng dalam versi yang lebih lembut? Kalau Nga menyifatkan kerjasama PAS dan UMNO bakal melahirkan corak pemerintahan Taliban saperti di Afghanistan, Jeyakumar “Orang Melayu dan Islam harus takut kerana jika Umno-PAS pegang semula kerajaan persekutuan, apakah jenis fahaman yang mereka akan gunakan untuk masyarakat Islam dan Melayu?”

Soalan itu membawa maksud, jika PAS dan UMNO memerintah, umat Islam tidak akan akan mendapat layanan yang baik dan adil, bukan Islam pula akan dipinggirkan. Mungkin itu menjadi maksud tersembunyi bekas pemimpin PSM yang sudah kehilangan kerusi politiknya, selepas membayangkan partinya boleh menang secara bersendirian.

PSM sebenarnya bermasalah ketika dalam Pakatan Rakyat. Beliau hanya menang dalam PRU ke-12 hanya kerana bertanding atas tiket PKR. PRU ke-11 (2004) tewas kepada Samy Vellu dan PRU ke-14, tewas kepada calon PKR, S Kesavan. Jeyakumar hanya mampu meraih 1505 tiga kali rendah daripada apa yang diperoleh calon PAS, Dr Ishak Ibrahim 5194 undi.

Itu membawa maksud, PSM sebenarnya sebuah parti yang tidak mendapat sambutan, bahkan dalam PRK DUN Semenyih, hanya mampu meraih 847 undi. Dr Jeyakumar hanya menang di Sungai Siput (2008 dan 2013) adalah atas pengaruh PKR, bukannya pengaruh PSM sendiri.

Atas kapasiti itu, Dr Jeyakumar dianggap tidak layak untuk mengkritik hubungan PAS dan UMNO. Sepatutnya beliau berusaha keras untuk mempekuatkan PSM agar parti itu ada tempat dalam senarai 222 kerusi Dewan Rakyat dan 505 kerusi DUN. Tidak ada kerusi yang dimenangi PSM di Dewan Rakyat dan DUN dalam PRU ke-14.

Kerjasama antara PAS dan UMNO turut dilihat sebagai ancaman kepada keharmonian rakyat berbilang kaum sehingga ada pihak secara halusnya mengaitkannya dengan teori konspirasi. Bagi Dr Mahathir, kerjasama tersebut sebagai kaedah untuk menghalalkan semua kesalahan bekas perdana Menteri termasuklah menyindir slogan #MaluApaBossku dan PAS diminta supaya sedar nilai. Pada waktu ini, Najib digelar ‘pencuri’ manakala  UMNO adalah parti yang sudah rosak dan pemimpinnya hidup dalam kleptokrasi.

Mohamad Sabu, melontarkan pandangan bahawa PAS tidak mendapat persetujuan dari ahli-ahlinya untuk menjalinkan kerjasama, ia hanyalah keputusan beberapa orang yang berada di sekeliling presiden.

Anwar Ibrahim yang bakal diuji dengan PRK DUN Rantau cuba memperkecilkan tersebut dan tidak semua orang Melayu menyokongnya. Kerjasama tersebut akan dihadapi dengan program penerangan secara agesif dan tindakan mempedulikan rakyat. Anwar sebenarnya saperti tersedak dengan PAS setelah serangannya mengenai pembayaran RM 1.4 juta kepada pengarang Sarawak Report dilihat sebagai sandiwara politik, satu tindakan untuk memerangkap penyokong PAS di beberapa hari terakhir PRK DUN Semenyih. Percubaannya gagal membantu kemenangan calon PPBM, kerana Kerajaan PH berhadapan dengan krisis keyakinan pengundi-pengundi Melayu-Islam.

Menariknya, ketika defisit keyakinan orang Melayu terhadap PH semakin besar, Lim Guan Eng dan pemimpin-pemimpin DAP senada untuk menarik sokongan pengundi bukan Melayu dengan meletakkan kerjasama tersebut sebagai senjata menakut-nakutkan mereka. Lim Guan Eng dengan ‘mengisytiharkan perang’ sebelum ditukar ‘menyasarkan’ bukan Melayu; Liew Chin Tong, Timbalan Menteri Pertahanan dengan ‘dasar bumi hangus’ dan Nga Kor Ming dengan analogi Taliban.

Apa pun pelabelan yang diberikan kepada kerjasama PAS-UMNO, seorang pemimpin Melayu DAP dari Johor melihatnya sebagai satu keadaan yang semakin sukar bagi menghapuskan stigma buruk orang Melayu terhadap parti itu. Orang awam mula mempersoalkan semula apa yang pernah dilabelkan oleh Dr Mahathir terhadap DAP, sebuah parti rasis dan tidak wajar disokong.

Kenyataan Lim Guan Eng yang kemudiannya cuba diperlembutkan oleh Mohamad Sabu sebagai bersifat politik secara tidak langsung menarik perhatian umum bahawa PH memang terlalu besar keperluannya. DAP menjadi semakin besar kepala, kerana PPBM, PKR dan PAN perlu menambahkan talian hayatnya dengan DAP.

PKR yang dalam situasi ‘retak’ akibat kewujudan kem, pro Anwar Ibrahim dan pro Azmin Ali, menanti belah. Sekiranya calon pilihan Anwar Ibrahim untuk PRK DUN Rantau tewas, maka lebih banyak ‘bashing’ akan berlaku. Azmin yang tidak sehaluan dengan tindak tanduk Rafizi Ramli bakal membawa haluannya, dan besar kemungkinan akan menyebelahi Dr Mahathir.

Setakat ini ada gerakan untuk menyekat kedudukan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-8. Kem Azmin akan merasakan kedudukan mereka sedikit terancam sekiranya Dr Mahathir benar-benar mahu menyerahkan jawatan itu kepada Anwar Ibrahim sebagaimana dijanjikan bila cukup tempoh dua tahun. Kini lebih setahun berbaki. Tentunya, jika Anwar sebagai perdana menteri menanti mendapat jawatan tersebut sebelum PRU ke-15, Rafizi akan membuat percaturan baharu, termasuklah beberapa orang menteri yang pro Azmin digantikan dengan mereka yang proAnwar.

PPBM juga dikatakan ada masalahnya. Selain khabar angin Dr Mahathir akan diusulkan undi tidak percaya, ahli PPBM akan tetap mengharapkan kepimpinannya akan terus kekal sehingga PRU ke-15. Sekiranya ini berlaku, Anwar berhadapan dengan ‘suatu penantian’ yang menyiksakan, kerana PRU ke-15 belum tentu PKR menang besar. Jika keretakan tidak dapat dicantumkan, pengaruh PKR akan berpecah. Kem Azmin akan berusaha menyokong Dr Mahathir atau bergabung menyertai PPBM. Ia menjadi ‘pukulan hebat’ buat Anwar.

Mohamad Sabu membuka ruang keahlian kepada ahli PAS yang tidak bersetuju dengan kerjasama tersebut menyertai Amanah. Mohamad Sabu menggambarkan ahli PAS sedang kecewa dengan kerjasama berkenaan.

Orang awam semakin rasional apabila melihat kerjasama PAS dan UMNO bukanlah sesuatu yang salah dalam sistem demokrasi, kerana PH juga dibentuk berasaskan kerjasama dengan pelbagai parti yang bersifat perkauman. Tetapi kenapa parti yang bersifat perkauman (PAN dan PPBM) tidak dilihat saperti PAS dan UMNO yang turut memisahkan antara Melayu dan bukan Melayu? Apakah BN yang masih wujud, berdosa hanya kerana menghimpunkan parti-parti yang ditubuhkan berasaskan kaum?

Jika DAP mendakwa parti itu bersifat majmuk, Gerakan juga mempunyai kepelbagaian kaum. Gerakan didominasi oleh bukan Melayu, DAP pun sama. Kalau UMNO berteraskan Melayu, PPBM juga serupa. Jika PAN menumpang ideologi Islam, PAS bukanlah bersifat Taliban. Kerjasama PAS dan UMNO, yang mungkin akan berkembang ke pembentukan kerajaan campuran bagi Perlis, Pahang, Kelantan dan Terengganu, tidak pernah menyasarkan untuk meminggirkan bukan Melayu.

Bahkan bukan Melayu yang berada dalam pentadbiran PAS di Kelantan sejak tahun 1990, tidak pernah merasakan kedudukan mereka terancam. Ada yang mengajak bukan Melayu yang tidak pernah tinggal di Kelantan datang untuk melihat kedudukan mereka yang dianggap ‘come lote’ dan begitu harmoni. Antara Melayu dan bukan Melayu saling menghormati, bukan mengadudombakan sebagaimana dilaung-laungkan oleh Lim Guan Eng, Liew Chin Tong, Nga Kor Ming mahupun Dr Mahathir sendiri.

Mohamad Sabu mungkin pernah merasai situasi berkenaan semasa dipilih menjadi wakil rakyat atas tiket PAS di Kelantan. Mohamad Sabu tidak boleh menafikan bahawa bukan Melayu di Kelantan hidup begitu harmoni di bawah pentadbiran PAS, begitu juga bukan Melayu di Terengganu. Serangan oleh Setiausaha Agong DAP, Pengerusi PPBM dan Presiden PKR terhadap kerjasama PAS dan UMNO sebenarnya ketakutan luar biasa parti-parti tersebut kerana mereka sebenarnya telah melunturkan keyakinan pengundi.

PH telah dilihat sebagai kerjasama politik yang ‘membohongi rakyat’ maka PH bakal dihukum oleh pengundi dalam PRU ke-15, walaupun dianggap masih jauh. Kerjasama PAS dan UMNO menyebabkan sebahagian besar orang Melayu-Islam ‘kembali rasa selamat’ selepas PH mempersendakan apa yang dijanjikan, sepuluh bulan cukup menyiksakan dengan kos sara hidup semakin tinggi, rakyat diperbodoh-bodohkan, peluang pekerjaan yang tidak berkembang, pertumbuhan ekonomi yang menguncup, nilai ringgit yang merosot dan semakin banyak aset negara berpindah pemilik, yang sedihnya, kebanyakkan aset-aset itu ada kaitannya dengan dasar kerajaan terdahulu untuk meningkatkan ekuiti milik Bumiputera.

PH memang mahukan kerjasama PAS dan UMNO ‘putus’ dan dalam masa yang sama PH kurang sedar, semakin diserang kerjasama itu menjadi semakin besar dan kuat. Sebab itulah setiap kali serangan dilakukan, akan dilakukan secara berasingan, dan di dalamnya tetap ada agenda tersirat.

Agenda itu semakin cepat boleh dibaca oleh orang Melayu-Islam kerana tindakan Kerajaan PH ketika ini telah banyak melukakan ‘hati’ dan Dr Mahathir sendiri semakin lantang mengulangi kritikannya terhadap orang Melayu sebagai ‘bangsa yang malas’ manakala Islam yang dianutinya, membiakkan pemikiran jumud dan melampau. Stigma yang sama pernah dilontarkan oleh Dr Mahathir kepada PAS dan orang Melayu ketika beliau merasai apa yang dirancangnya menemui kegagalan.

Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply