MENGEKALKAN ASIA TENGGARA RANTAU SUNNI

Kejayaan negara dalam bidang ekonomi dan kemampuan rakyat menikmati kestabilan politik yang membanggakan, malah kebolehan para pemimpin mentadbir masyarakat majmuk berbilang kaum dan agama merupakan kejayaan besar yang tidak boleh diremehkan. Namun kejayaan hidup yang digalakkan oleh Islam tidak hanya terhenti pada tahap kejayaan kebendaan dan kestabilan politik semata-mata.

Kejayaan tersebut merupakan alat atau pemangkin bagi mencapai kejayaan yang lebih bermakna yang berhubung kait dengan mutu kehidupan dan nilai serta tamadun yang luhur seperti keadilan sosial, ketinggian budi pekerti dan akhlak, ketulusan tindakan dan amal serta nilai dan kualiti hidup yang tinggi.

Justeru, bagi menjamin kejayaan ini, khususnya dalam bidang agama, perlulah dipertahankan keamanan rantau ini dan memelihara akidah Ahli Sunah Waljamaah yang berpegang pada mazhab Shafie.

Oleh hal yang demikian, tindakan tegas ke arah menghalang perkembangan yang lain mestilah diambil supaya pegangan Ahli Sunah Waljamaah itu tidak tergugat. Rantau Nusantara yang stabil dengan fahaman Sunni atau Ahli Sunah Waljamaah tidak sepatutnya dibiar menjadi sasaran resapan mana-mana mazhab yang memungkinkan kepada perseteruan atau permusuhan.

Salah satu aliran teologi (akidah) dalam Islam adalah Ahli Sunah Waljamaah. Sekitar 70 peratus umat Islam di dunia mengikuti faham ini. Ahli Sunah Waljamaah sering juga disebut aliran Sunni. Sesuai dengan namanya, Ahli Sunah Waljamaah merupakan aliran yang percaya sepenuhnya kepada sunnah atau hadis Nabi Muhammad s.a.w yang sahih.

Aliran ini juga merupakan golongan majoriti dalam Islam, sehingga dinamakan jamaah. Golongan Ahli Sunah Waljamaah berasal dari dua kelompok Islam, iaitu pengikut aliran Asy’ariah dan pengikut aliran Maturidiah. Kedua-dua aliran itu lahir sebagai reaksi terhadap fahaman Muktazilah yang rasional dan falsafah, terutama dalam menanggapi hadis Nabi s.a.w.

Umat Islam Indonesia yang majoriti bermazhab Syafie dalam fikah juga merupakan penganut Ahli Sunah Waljamaah dalam akidah. Pemerintah Indonesia dikatakan memberikan kebebasan kepada penganut fahaman keagamaan yang lain seperti Wahhabi atau Syiah. Namun dalam hal ini, Indonesia berbeza dari Malaysia dan Brunei yang secara rasmi hanya membenarkan fahaman Ahli Ahli Sunah Waljamaah khususnya mazhab Syafie.

Tokoh yang berjasa membangun fahaman Ahli Sunah Waljamaah adalah Abu Hassan al-Asyaari dan Abu Mansur Muhammad al-Maturidi. Kedua-duanya berusaha menampung aspirasi umat Islam yang berpegang pada sunah Nabi s.a.w. dan tradisi sahabat.

Fahaman yang dikembangkan al-Asyaari (Asyaariah) dianut para pengikut Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Hambali di Iraq. Pada waktu berikutnya, tokoh yang paling berjasa mengembangkan fahaman ini adalah Imam al-Ghazali. Berkat usaha beliaulah fahaman ini tersebar luas di seluruh dunia Islam.

Terdapat empat sumber hukum bagi kalangan Ahli Sunah Waljamaah iaitu al-Quran, hadis Nabi, ijmak (kesepakatan para ulama terutama mengenai suatu pertimbangan hukum). Hal ini berbeza daripada kalangan Syiah yang menolak kias, dan kalangan Muktazillah yang tidak menggunakan ijmak.

Adalah penting seluruh ulama di rantau Nusantara melakukan ijmak, mengisytiharkan bahawa Nusantara sebagai wilayah sunni. Amat ditakuti apabila sesuatu fahaman lain bertapak kukuh dan berpengaruh di kala-ngan rakyat, sudah tentu apa yang kita bina sejak beratus-ratus tahun di rantau ini akan musnah begitu sahaja.

Dalam konteks negara kita Malaysia, para ulama dan cendekiawan Islam telah pun menegaskan perlunya Islam sebagai agama rasmi negara yang berpegang kepada pegangan Ahli Sunah Waljamaah.

Fahaman Ahli Sunah Waljamaah merupakan pegangan majoriti umat Islam sepanjang zaman yang merangkumi aliran salaf dan khalaf. Ia bersendikan empat mazhab, iaitu Hanafi, Maliki, Shafie dan Hambali.

Dan kita yakin dari segi kesepaduan budaya `akliah’ silam, melalui bahasa Melayu (jawi) yang merupakan lambang keutuhan jamaah Nusantara dengan Islam adalah hasil perjuangan ulama pembela dan penegak konsep Ahli Sunah Waljamaah.

Justeru, roh dan konsep Ahli Sunah Waljamaah harus dipertegaskan kembali. Para ulama harus mendekati semula hikmah ini. Dan menjadikan ia tapak ke arah kegemilangan berilmu dan berbudaya. Kita harus menegaskan bahawa Ahli Sunah Waljamaah bukan sekadar mazhab. Ia suatu konsep yang luas lagi murni dan berjaya menyerap hubungan persaudaraan dan kekuatan umat Islam.

Bayangkan sikap fanatik mazhab yang sanggup membatalkan sembahyang menyembah Allah al-Maliku al-Quddus kerana merasa lebih utama memerangi orang yang berlainan mazhab. Betapa perasaan Ubudiyyah dirosakkan oleh rasa sikap fanatik (merasa dirinya benar) dan menghukum orang lain yang berlainan fahaman dalam soal Furu’iyyah sebagai sesat dan wajib dipatuhi telunjuknya.

Oleh demikian, adalah menjadi kewajipan kepada kerajaan dan semua rakyat Malaysia untuk membanteras gejala kerosakan dan pencemaran akidah ini sebelum ia menular dan sebati dalam kehidupan kita. Sesungguhnya gejala ini amat berbahaya bagi umat Islam dan keselamatan negara.

Catatan: Ibnu Hayyan

No Comments

    Leave a reply