MENGEKALKAN NIKMAT KEAMANAN

Dalam sejarah ketamadunan manusia telah menunjukkan betapa nikmat keamanan memberi sumbangan besar kepada kemakmuran dan kesejahteraan dunia. Keamanan bererti kita bebas dari segala bentuk ancaman yang menggugat keharmonian hidup. kita amat bersyukur bahawa negara kita berada dalam suasana aman dan damai  walaupun pada ketika ini sedang menghadapai beberapa isu yang boleh mengancam keselamatan negara. Dengan keamanan kita dapat melakukan urusan kehidupan dunia  tanpa merasa takut, gerun dan dengannya juga boleh membawa banyak kebaikan serta rezeki kepada manusia dan negara. Firman Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 112 :

Maksudnya: “Dan Allah memberikan satu misalan; Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, tetapi penduduknya kufurkan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan disebabkan apa yang mereka telah lakukan.

Memelihara keamanan adalah suatu yang dituntut dalam kehidupan tanpa mengira anutan agama, bangsa atau keturunan. Sejarah telah membuktikan Nabi Ibrahim AS  semasa meneroka pembukaan Mekah sebagai pusat ibadah dan tanah suci telah mendoakan agar Mekah dikurniakan Allah SWT dengan keamanan dan kemakmuran. Kita juga telah menyaksikan betapa rugi dan malangnya negara-negara yang dilanda kekacauan, persengketaan dan perpecahan.

Negara-negara berkenaan bukan sahaja ketinggalan dan mundur dalam aspek kemajuan dan pembangunan malah keselamatan hidup seharian pun sentiasa terancam. Justeru itu, Agama Islam menolak  gerakan-gerakan yang boleh menghuru-hara  keamanan sesebuah negara termasuklah gerakan pelampau. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Hendaklah kamu menjauhkan diri daripada bersikap pelampau, maka sesungguhnya umat sebelum kamu telah dibinasakan kerana bersikap melampau dalam agama.” (Riwayat Ahmad)

Mutakhir ini kita dibimbangi oleh  gerakan golongan pelampau yang menggelarkan diri mereka sebagai IS atau ISIS dan macam-macam lagi. Golongan ini pada asasnya memperjuangkan kepentingan sesuatu organisasi atau fahaman tertentu tanpa mengambil kira sensitiviti dan kepentingan awam. Dalam usaha mencapai matlamat perjuangan, golongan ini akan melakukan perancangan untuk menakutkan masyarakat dengan perbuatan mereka seperti pengeboman dan senjata api.

Apa yang paling malang lagi, golongan ini berlindung atas nama perjuangan agama dan menggunakan media cetak dan elektronik, kemudahan internet dan meniru tindakan keganasan yang berlaku di negara asing bagi menekan dan mengugut pemerintah serta rakyat di negara ini dalam memenuhi tuntutan mereka. Tindakan golongan  pengkhianat seperti ini merupakan satu tindakan yang zalim dan haram bagi umat Islam mengikutinya kerana cara ini sebenarnya satu tindakan yang boleh mencampakkan manusia itu di dalam kebinasaan serta mendatangkan keburukan, kegelisahan dan kesusahan kepada masyarakat. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 195:

Maksudnya:dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya

Justeru, sebagai umat Islam yang cintakan agama, bangsa dan negara, maka kita dituntut agar tidak terlibat dalam segala bentuk hasutan dan terpengaruh dengan perjuangan mereka yang boleh merosakkan agama dan keamanan negara. Soal ancaman ini perlu di ambil perhatian oleh semua pihak kerana ia membabitkan masalah keselamatan negara. Sekiranya perkara ini tidak dipatuhi, maka akan hancurlah keutuhan bangsa yang boleh memusnahkan kedaulatan negara.

Anugerah keamanan dan keharmonian negara mestilah dipelihara dan dipertahankan dengan bersungguh-sungguh oleh seluruh warganegara. Islam menuntut bahawa cintakan keamanan negara sebagai tanda orang yang beriman dan bersyukur. Segala bentuk perjuangan mempertahankan keamanan dan keselamatan adalah sebahagian daripada ibadah dan tanda  jihad kita di jalan Allah SWT.  Firman Allah SWT dalam Surah al-Anaam ayat 82:

Maksudnya :Orang yang beriman dan tidak mencampurkan iman mereka dengan kezaliman, bagi mereka itulah keamanan dan merekalah yang mendapat petunjuk.”

Negara Malaysia adalah tanah air kita yang perlu dipertahankan. Di sinilah tempat kita membiakkan keturunan, membesarkan generasi Islam, menyuburkan syiar Islam dan menjaga kemaslahatan ummah yang kita warisi dari zaman berzaman.  Oleh itu, sebagai seorang yang beriman wajiblah kita berusaha mewujudkan dan mengekalkan keamanan yang telah dikecapi selama ini.

Catatan: Ibnu Baitar

No Comments

    Leave a reply