Mengeluh, Bertengkar dan mungkinkah “Bercerai?”

Tahun 1994, Emha Ainun Najib (Cak Nun) menulis lirik lagu Perahu Retak. Lagu itu dinyanyikan oleh Franky Sihalatua, yang juga merupakan pencipta iramanya. Saya tidak pernah kenal ‘secara maya’ atau alami siapakah Franky Sihalatua sebelum ini. Saya kenal Emha Ainun Najib berdasarkan karya-karyanya.

Namun setelah ‘mengembara’ beberapa minit di alam siber, saya menemui sosok peribadi Franky Sihalatua. Beliau adalah seorang penyanyi balada dan pernah bekerjasama dengan adiknya, Jane Sihalatua. Kerjasama itu berjaya menghasilkan 15 buah album sejak tahun 1970.

Bila adiknya berkahwin, Franky meneruskan nyanyian secara solo. Franky meninggal dunia pada 20 April 2011 akibat kanser tulang dalam usia 54 tahun (lahir 16 Ogos 1953 di Surabaya). Salah sebuah lagu yang pernah menjentik perasaan saya ialah Biarkan Hujan (1986). Waktu itu saya tidak pernah ambil kisah mengenai penyanyi atau penciptanya. Hanya sekadar hiburan semata-mata.

Emha Ainun Najib (juga lahir tahun 1953) turut mementaskan teater Perahu Retak pada tahun 1992, dua tahun sebelum terhasilnya lirik lagu itu. Saya tertarik dengan liriknya, bukan kerana apa, tetapi ia ditulis oleh seorang budayawan terkenal Indonesia, yang pernah jelajahi pemikirannya lewat buku-bukunya. Antaranya, Dari Pojok Sejarah (1985), Markesot Bertutur (1993), Markesot Bertutur Lagi (1994), Anggukan Ritmis Kaki Pak Kiyai (1995), Tuhan Pun Berpuasa (1995), Demokrasi Tolol Versi Saridin (1997); dan  Ziarah Pemilu, Ziarah Politik, Ziarah Kebangsaan (1998).

Emha awalnya bergiat dalam bidang teater dan puisi. Pernah menulis naskhah teater Patung Kekasih (1989), Mas Dukun (1982), Lautan Jilbab (1990) dan Perahu Retak (1992). Perahu Retak mengisahkan politik Indonesia pada zaman orde baru (orba), iaitu zaman pra Mataram yang sentiasa berkonflik.

Puisi-puisi Ainun Najib yang saya digemari ialah Nyanyian Gelandangan (1982), Sajak-sajak Cinta (1978), Cahaya Maha Cahaya (1991), 99 Untuk Tuhanku (1983), Abracadabra (1994) dan Syair-Syair Asmaul Husna (1994).

Antara tahun 1970-1975, Emha bergelandangan di sekitar Malioboro, Jogjakarta. Sempat berganding bahu dengan Ebiet G Ade (penyanyi lagu puisi rakyat dan ketuhanan). Pernah dibuang dari Pondok Moden Gorontalo dan sempat belajar selama satu semester di Fakulti Ekonomi, Universiti Gajah Mada. Emha berkahwin dengan Novia Kolapaking (1997), seorang artis, pelakon dan penyanyi yang sedang mencipta nama ketika itu.

Peranan sebagai Siti Nurbaya telah melekat dalam ingatan saya terhadap Novia Kolapaking ialah sebagai Siti Nurbaya. Drama bersiri TVRI bersiri Siti Nurbaya disiarkan antara tahun 1990 dan 1991. Ia adalah adaptasi novel Siti Nurbaya:Kasih Tak Sampai (1922) karya Marah Rusli, yang turut menjadi novel kegemaran saya sekitar tahun 1970-an dan 1980-an. Saya membacanya berkali-kali ketika mengambil kursus Sastera Moden Indonesia. Antara lagu nyanyian Novia yang popular ialah Untukmu Segalanya (1994) dan Biarku Simpan Rinduku (1994).

Indonesia diibaratkan sebuah perahu. Penumpangnya adalah rakyat Indonesia. Rakyatnya  adalah pelbagai etnik, agama dan budaya. Di hadapan perahu itu adalah cakrawala dan diburitannya adalah sejarah. Sejarah Indonesia dipenuhi dengan pertentangan dan perlawanan. Indonesia juga dihadiri oleh sekumpulan pendatang yang kemudiannya diterima sebagai warganegara. Setelah lama berlangsung, kumpulan yang asalnya adalah pendatang semakin menguasai ekonomi. Selepas ekonomi, mereka turut mengambil bahagian untuk menguasai politik.

Apa yang menyedihkan ialah keadaan perahu itu, semakin retak. Dinding-dinding perahu yang retak itu adalah tekanan kehidupan yang berlaku dalam pelayarannya. Ia berpunca daripada pelbagai usaha (atau kehendak) untuk memenuhi cita rasa dan keinginan sehingga sebahagiannya tidak lagi menampakkan ada sinar kebahagiaan. Sawah padi bertukar menjadi gedung niaga dan kawasan perumahan.

Sawah padi tidak lagi membangkitkan rasa gembira dan sejahtera kepada petani. Tanah semakin menjadi rebutan atas pelbagai keperluan. Keperluan pula semakin berbingkai kapitalisme. Atas desakan sedemikian, petani diperas, diugut dan dimanipulasi kerana sebahagiannya menanam padi di atas Tanah Kedawung. Sentiasa berlaku pergolakan, konflik dan di sana sini terjadi perpecahan. Perahu itu mula dirampas untuk dimiliki oleh para elit.

candle light

Perbalahan menjadi semakin meruncing atas pelbagai alasan –dari ekonomi hinggalah konflik agama. Keadaan ini menyebabkan rumah-rumah ibadat menjadi medan percaturan dan sebahgiannya turut didalangi oleh kelompok elit politik. Indonesia turut bermasalah mengenai pribumi dan kaum imigran. Turut melebar ialah mereka yang menguasai ekonomi, menyebabkan stratifikasi sosial dan ketaksamaan agihan pendapatan terlalu besar.

Semuanya itu dilihat sebagai satu bentuk ‘ketimpangan’. Ironinya, ‘yang salah dipertahankan’ dan ‘yang benar disingkirkan’. Akhirnya, Emha mengeluh: ‘Tanah Pertiwi Anugerah Illahi, Jangan ambil sendiri’ dan “Tanah Pertiwi Anugerah Ilahi, Jangan Makan Sendiri”.

Hal yang sama turut berlaku di Malaysia. Suara lembut Franky ketika mengalunkan irama lagu Perahu Retak itu menggambarkan sikap lemah lembut orang Melayu. Orang Melayu yang berjiwa lembut, dengan senang hatinya menerima bukan Melayu sebagai penduduk Tanah Melayu dengan syarat Bukan Melayu bersetuju kepada tiga ‘tiang asas’.

Tiang pertama ialah kedudukan orang Melayu sebagai penduduk asal dan majoriti yang perlu diberikan keistimewaan. Tiang kedua ialah menerima Islam sebagai agama rasmi sebuah negara bernama Tanah Melayu kerana Islam telah dianuti oleh majoriti penduduk dan sudah bertapak kukuh sebelum mereka datang. Mereka asalnya datang untuk mencari rezeki atas kesempitan hidup di tanah leluhur masing-masing. Penjajah mengambil kesempatan, buruh-buruh asing dieksploitasi demi memperkayakan ekonomi mereka. Tiang ketiga ialah kedudukan raja-raja Melayu sebagai ketua istiadat dan ketua bagi agama Islam.

Tiga tiang itu kemudiannya dipanggil Kontrak Sosial. Kontrak Sosial tidak berubah dan tidak boleh diubah kerana yang menjadi pengawalnya ialah Raja-Raja Melayu. Di sinilah letaknya salah satu peranan Raja-Raja Melayu, kuasa budi bicara untuk menentusahkan sesuatu undang-undang dan sumber rujukan terakhir dalam masalah pentadbiran negara. Atas alasan itu, kekuatan kuasa parti politik di Malaysia tidak akan boleh menentukan kuasanya sendiri tanpa perkenaan Raja-Raja Melayu di Tanah Melayu dan Yang di Pertuan Agong di Malaysia.

Persetujuan berlangsung dengan baiknya pada tahap awal pemerintahan Tanah Melayu dan sebelum terbentuknya Malaysia. Kemasukan Singapura (walaupun asalnya adalah sebahagian daripada jajahan takluk Johor) pada tahun 1963 menampakkan perjalanan perahu menuju cakrawala masa depan semakin retak.

Kemunculan PAP melebarkan pengaruhnya di Tanah Melayu menjadikan isu-isu yang berkaitan dengan tiga tiang utama tersebut mula dipersoalkan. Selepas PAP  tidak lagi dibenarkan mengambil bahagian dalam politik di Malaysia, DAP muncul sebagai sebuah parti yang membawa minat yang sama. DAP mula bertanding dalam Pilihan Raya Umum 1969, dan berjaya memenangi kerusi di kawasan bandar. DAP menang 13 kerusi manakala Perikatan menang 66 kerusi. Gerakan menang 8 kerusi. Parti Progresif Rakyat (PPP) menang 4 kerusi. PAS menang 12 kerusi.  Ini bererti 37 kerusi Dewan Rakyat adalah milik parti pembangkang.

sawit 4

Dalam kempen PRU 1969, DAP mendakwa MCA adalah sebuah parti yang berada di bawah telunjuk UMNO. Bentuk kempen sedemikian menyebabkan pengundi Cina mula mengalihkan sokongan sama ada kepada DAP ataupun Gerakan. Gerakan merupakan serpihan daripada MCA akibat percaturan ideologi perjuangan golongan muda yang dipimpin oleh Lim Chong Eu. PAS ditubuhkan pada tahun 1951 dengan mengambil Islam sebagai ideologi politik setelah sayap agama dalam UMNO itu melihat ideologi politik nasionalisma adalah satu bentuk politik asabiyyah.

Akibat percaturan kuasa, timbul pula masalah perkauman menyebabkan situasi politik selepas PRU 1969 berada dalam resah dan kekacauan di kawasan bandar-bandar utama di bahagian Pantai Barat, iaitu Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Di hari perarakan meraikan kemenangan DAP di Kuala Lumpur, berlaku rusuhan kaum yang kemudiannya terpaksa diisytiharkan perintah berkurung. Perintah berkurung pernah dikuatkuasakan pada masa darurat (1948-1960). Darurat diisytiharkan tamat pada 31 Julai 1960.

Darurat juga pernah diisytiharkan di Kelantan ekoran perbalahan dalam kepimpinan PAS antara kelompok Asri Haji Muda dan Datuk Haji Mohamad Nasir pada tahun 1977. Kelompok penyokong Haji Mohamad Nasir telah berarak membantah tindakan Asri Haji Muda untuk memecat menteri besar pada 24 September 1977. Dianggarkan lebih 80,000 berhimpun di Padang Merdeka manakala 20,000 orang lagi pada 19 Oktober 1977. Perhimpunan kedua ini berakhir dengan pengisytiharan perintah berkurung pada jam 3.15 petang. Pada 8 November 1977, demokrasi digantung dan kerajaan pusat mentadbir Kelantan secara de facto atau lebih dikenali MAGERAN (Majlis Gerakan Negara).

13 Disember 1977, PAS disingkirkan daripada Barisan Nasional. 12 Januari 1978, MAGERAN ditamatkan. Pilihan Raya peringkat negeri Kelantan diadakan pada 11 Mac 1978 dan BN memperoleh kemenangan besar. BN memerintah Kelantan sehingga 1990. PRU 1990, BN ditewaskan oleh gabungan Angkatan Perpaduan Ummah, iaitu kerjasama antara PAS dan Parti Melayu Semangat 46. Semangat 46 ditubuhkan selepas Tengku Razaleigh tewas dalam perebutan jawatan Presiden UMNO pada tahun 1986.

BN menguasai Malaysia sehingga 9 Mei 2018. Setelah 61 tahun berkuasa (1957-2018), BN ditewaskan oleh gabungan parti-parti yang lebih kecil, iaitu dua buah parti yang lahir daripada rahim UMNO, sebuah parti serpihan PAS dan DAP. Empat buah parti –PPBM, PAN, DAP dan PKR—membentuk Pakatan Harapan (PH) untuk menjatuhkan BN dan menolak Najib sebagai Perdana Menteri.

Setelah menang, PH dilihat bersungguh-sungguh memadamkan sejarah dan jasa pemerintahan BN dengan melabelkan ia sebagai pemerintahan kleptokrasi. Misi tersebut sangat mendapat sokongan DAP dan PKR walaupun sebelumnya, PKR dan DAP begitu lantang mengkritik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ke-4 (korup dan kuku besi).  Kempen mengkritik Dr Mahathir akhirnya dilupakan oleh DAP dan PKR. Dr Mahathir sanggup menyatukan semula parti-parti itu menjadi Pakatan Harapan, kecuali PAS.

Kalau dalam PRU 2008, aura Anwar masih dianggap kuat dan menjadi faktor besar dalam penyatuan parti-parti pembangkang. Ia berjaya dikekalkan sehingga PRU 2013. Ia berubah selepas Anwar dipenjarakan pada 10 Februari 2015. Disebabkan pertimbangan tertentu, tempoh lima tahun dikurangkan dan Anwar dijangka dibebaskan pada 8 Jun 2018.

images_69

Selepas PH menang, Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-7, beliau mengotakan janjinya, berusaha mendapat pengampunan Yang di Pertuan Agong. Pada 16 Mei 2018, Anwar dibebaskan setelah mendapat pengampunan penuh.

Saperti lirik lagu Perahu Retak, suara lembut Franky Sihalatua mengalunkan baris-baris berikut:“Tapi kuheran di tengah perjalanan, Muncullah ketimpangan”. Lebih memilukan apabila sampai di bahagian chorus: Aku heran, aku heran; Yang salah dipertahankan; Aku heran, aku heran; Yang benar disingkirkan’.  Siapa yang benar dan siapa yang salah, tentu ramai rakyat Malaysia boleh senaraikan. Senarainya mungkin menjadi lebih panjang untuk tempoh seterusnya apabila persoalan penggubahan wang haram, salah guna kuasa dan sebagainya selesai.

Siapakah ‘yang salah dipertahankan’? Rakyat Malaysia juga boleh membuat senarainya sendiri berdasarkan maklumat yang dikumpulkan hasil pembacaan laporan akhbar dan narrowcasting dalam media sosial. Apabila seseorang itu berada dalam kelompok yang berkuasa, maka kecenderungan untuk dilepaskan daripada didakwa lebih terbuka berbanding mereka yang sudah kehilangan kuasa. Kes yang dikaitkan juga tidak dapat ditentukan kebenaranya, kerana salah atau benar hanya bergantung kepada kecekapan mencari kesilapan teknikal.

Sebab itulah mereka yang berwang, sanggup berbelanja besar untuk mengupah pasukan peguam yang handal. Pemuda kampong yang mencuri beberapa ekor ayam dengan cepat boleh dikenakan hukuman, kerana mereka tidak berkeupayaan membayar khidmat guaman. Proses perbicaraan juga meletihkan, kadangkala menyebabkan mereka yang tidak mempunyai wang mudah menukar pengakuan. Bayaran guaman bukan murah. Paling sedikit ialah RM 500 sekali hadir mahkamah. Belum dikira bayaran ‘buka fail’ dan proses mitigasi.

Biarpun kes ditunda, apabila peguam hadir ke mahkamah, bayaran kehadiran tetap perlu dilunaskan. Semakin lama prosesnya, semakin banyak wang guaman terpaksa dibayar. Sebab itulah ramai peguam di Malaysia kaya raya hasil menjual perkhidmatannya. Seorang guru, walaupun tiga puluh tahun mengajar, ia masih belum bergelar jutawan sebaik sahaja bersara. Guru mendapat upah bulanan berdasarkan kelulusan dan kenaikan gaji tahunan yang tidak boleh ditentukan sendiri, ia ditentukan oleh sistem yang dirangka oleh majikan.

Apabila PH mensyaratkan setiap ahli parlimen mengisytiharkan harta, maka rakyat mengetahui sebahagiannya memiliki kekayaan. Mereka yang sudah kaya sebelum memasuki politik, rakyat tidak rasa terkilan. Tetapi, jika memasuki politik beberapa tahun sudah memiliki aset jutaan ringgit, ada sesuatu yang dimusykilkan. Ia hanyalah suatu kemusykilan. Untuk menyemak dan mengulas tentang kekayaan itu, rakyat tidak mempunyai alasan yang kuat. Banyak rahsia yang perlu dicungkil.

Atas sebab itu, rakyat meminta. Bukan sahaja wakil rakyat perlu mengisytiharkan harta sebaik sahaja dipilih. Rakyat mengharapkan selepas tamat perkhidmatannya sebagai wakil rakyat, sekali lagi diisytiharkan harta dan pendapatan bulanannya. Dari situ rakyat boleh membuat perbandingan. Apakah wakil rakyat itu tidak menggunakan kesempatan semasa bergelar wakil rakyat mengumpul kekayaan peribadi? Itu persoalan besar berkaitan integriti seorang wakil rakyat jika benar-benar tidak mahu digelar kleptokrat.

uhud

Dengan harapan besar, keinginan untuk berubah, Emha Ainun Najib menulis: Perahu negeriku, perahu bangsaku, Jangan retak dindingmu, Semangat rakyatku, derap kaki tekadmu, Jangan terantuk batu.” Sindiran itu adalah satu manifestasi ‘satu kenyang, seribu kelaparan’ agar ‘keserakahan tidak diagungkan.’

Sekarang rakyat sedang memerhatikan. Rakyat sedang menilai, Malaysia Baru. Hasilnya bagaimana, apakah lebih teruk daripada kepimpinan terdahulu, atau lebih baik. Masanya semakin ‘terdesak’ dan apabila Dr Mahathir mengajak semua parti Melayu dibubarkan, ramai-ramai menyertai PPBM, apakah mesej sebenarnya yang beliau inginkan?

Itulah natijahnya. Kenapa diajak memasuki PPBM? Kenapa tidak kembali ke pangkuan UMNO agar parti itu menjadi lebih kuat dan mampu mengendurkan tuntutan yang bukan-bukan daripada parti bukan Melayu? Daripada apa yang Dr Mahathir gambarkan, beliau sebenarnya lebih bersedia untuk memecahkan penyatuan PH, kerana kuasa. Dr Mahathir sedar, PPBM tidak akan menjadi dominan selagi orang Melayu berpecah-belah.

Pandangan itu bukan pendirian baharu. Ketika masih menerajui UMNO, Dr Mahathir menyuarakan perkataan yang sama agar semua orang Melayu menyokong UMNO. Natijah, Dr Mahathir bukan terlupa dan mudah lupa, beliau mahu orang Melayu terus menyokongnya. Sebabnya mudah, beliau mahu dilihat sebagai seorang lelaki yang paling berkuasa di Malaysia seperti tahun-tahun 1982-2003.

Semua orang akur kepada kehendak dan keinginannya. Walaupun beliau pernah mengakui masa hidupnya ‘tidak lagi panjang’, banyak lagi agenda yang belum selesai. Apakah agenda itu, hanya Dr Mahathir sahaja yang tahu. Memang Dr Mahathir kurang gemar memberitahu, kerana dirinya tidak mahu ‘terikat’. Apabila terikat, Dr Mahathir menjadi tidak cekap dan licik.

Sebab itulah Rais pernah memberitahu, Dr Mahathir hanya memberitahu kepada orang lain sekitar satu perempat sahaja. Tiga perempat lagi, dibiarkan orang ramai berspekulasi. Semakin banyak spekulasi, maka semakin banyaklah jawapan yang dapat beliau berikan. Kadangkala ‘menakjubkan’ dan tidak kurang pula ‘menakutkan’.

Memang perahu yang kita tumpangi sekarang adalah perahu yang retak. Dindingnya bukan sahaja kopak dilanggar batu. Dindingnya kopak kerana penumpangnya bercakaran dan sentiasa berebut mendapatkan ruang yang selesa dan boleh bersandar. Tentunya, akibat terlalu ramai yang bersandar itu, tekanannya menjadi semakin berat. Lagi memberatkan apabila ombak membadai ketika perahu itu merentas samudera dan teroleng-oleng.

Perahu adalah negara kita Malaysia. Penumpang adalah seluruh rakyat Malaysia yang berbeza etnik, suku kaum, agama dan budaya. Juragannya tetap Perdana Menteri. Juragan perlu bijak membaca ombak dan menerka kesamaran makna agar menjadi jelas dan cekap membaca kekuatan tiupan angin. Pelayaran yang baharu bermula, sudah ada masalah yang besar, dan seperti lazimnya, masalah dalam kalangan penumpang tidak mudah diselesaikan.

Di situlah Dr Mahathir mula mencari penyelesaiannya, tetapi, tidak mudah untuk melakukannya. Sebab, Dr Mahathir sudah dilihat sebagai seorang juragan yang tidak lagi cekap membaca petunjuk kompas, jarum kompas menggila kerana dua rakannya sentiasa mengacukan magnet. Untuk menghalang ‘gangguan tarikan magnet’ Dr Mahathir memerlukan kekuatan. Kekuatan itu adalah penyatuan kesemua parti-parti Melayu.

Dr Mahathir tidak akan dapat menyatukan kesemua parti-parti Melayu; bahkan, jika beliau mahu kembali ke pangkuan UMNO, ia tetap akan berhadapan dengan penolakan. Bukan ‘kecil anak’ penolakan itu.

Kenapa seperti ‘mengeluh’ Dr Mahathir membuat seruan itu? Kenapa selepas bertengkar, mahu bersatu semula? Apakah beliau sanggup bercerai dengan Pakatan Harapan? Politik tetap politik; nothing impossible. Aras kemungkinannya banyak sekali. Bahkan tak mampu orang biasa memahaminya. Apa lagi? Yang pasti ialah KUASA. Kekuatan Untuk Aku Sempurnakan Aspirasiku.  Itulah ‘ketimpangan’nya. Ketimpangan politik oleh mereka yang memegang kuasa dan mempertahankan kuasa biarpun ‘perahu retak’.

Terpesona dengan ‘kemewahan hidup’ membuatkan seseorang itu “mengeluh, sakit-sakitan, bingung, berebut dan bertengkar satu sama lain sepanjang siang dan malam” jelas Emha Ainun Najib dalam catatannya yang lain pada 12 Jun 2019 di CAKNUN.COM

 

Monosin Sobri.

 

Perahu Retak

Perahu negeriku, perahu bangsaku

Menyusuri gelombang

Semangat rakyatku, kibar benderaku

Menyeruak lautan

 

Langit membentang cakrawala di depan

Melambaikan tantangan

 

Di atas tanahku, dari dalam airku

Tumbuh kebahagiaan

Di sawah kampungku, di jalan kotaku

Terbit kesejahteraan

 

Tapi kuheran di tengah perjalanan

Muncullah ketimpangan

 

Reff:

Aku heran, aku heran

Yang salah dipertahankan

Aku heran, aku heran

Yang benar disingkirkan

 

Perahu negeriku, perahu bangsaku

Jangan retak dindingmu

Semangat rakyatku, derap kaki tekadmu

Jangan terantuk batu

 

Tanah pertiwi anugerah ilahi

Jangan ambil sendiri

Tanah pertiwi anugerah ilahi

Jangan makan sendiri

 

Reff:

Aku heran, aku heran

Satu kenyang, seribu kelaparan

Aku heran, aku heran

Keserakahan diagungkan

 

Lirik: Emha Ainun Najib

Lagu/Nyanyian: Franky Sihalatula (1994).

 

No Comments

    Leave a reply