Mengenali konflik dan punca masalah di Timur Tengah

Agenda jahat Yahudi, Zionis tidak terhenti setakat di Asia Barat

KONFLIK di Asia Barat telah mengundang banyak pandangan yang berbeza. Sesetengahnya berpendapat bahawa petroleum adalah faktor tercetusnya konflik. Sebilangan yang lain pula menyalahkan sifat tamak Amerika Syarikat (AS) dalam menguasai dunia. Ada pula berpandangan bahawa konflik itu berpunca akibat sikap bangsa Arab sendiri yang berpecah-belah.

Untuk memahami konflik yang sangat kompleks ini memerlukan usaha yang sangat panjang. Namun, sebagai permulaan, mari kita kenali dahulu negara-negara yang terbabit dalam konflik yang pernah berlaku di sana.

Israel

Negara yang penuh kontroversi ini ditubuhkan pada 1948 di atas tanah Palestin. Walaupun, bersaiz lebih kecil daripada negeri Perak (20,770km persegi), itu tidak menghalang mereka menjadi satu-satunya negara di Asia Barat yang mempunyai senjata nuklear.

Negara Israel ini ibarat ‘kecil-kecil cili api’, kerana sejak 1948, mereka sentiasa diperangi dari pelbagai sudut, namun tetap boleh bertahan.Antara kontroversi yang melingkari mereka, termasuk polisi yang menzalimi warga Palestin, tindakan melobi kerajaan AS dan beberapa kerajaan di Eropah demi kepentingan politik, di samping agenda mereka bagi menumbangkan negara-negara Arab dengan cara yang tidak demokratik, menggunakan strategi ‘regime-overthrow’ berbanding ‘regime-change’.

Palestin

Ini juga adalah sebuah lagi negara yang penuh kontroversi, kerana berkongsi tanah air dengan Israel. Membuatkan keadaan lebih ‘panas’ ialah apabila Masjid Al-Aqsa yakni kiblat pertama umat Islam juga terletak di sini.

Penduduk di sini terdiri daripada orang Arab dan Kristian, dan ini menjadikan Palestin/Israel sebagai satu-satunya negara di dunia yang mengalami pertembungan tiga agama samawi (Islam, Kristian dan Judaism).

Barangkali atas sebab ini jugalah sebilangan penyelidik melihat bahawa isu di sini akan mencetuskan peperangan yang besar pada masa akan datang.

Nasib warga Palestin dan Masjid al-Aqsa kebelakangan ini semakin mendapat perhatian dunia, dan oleh itu lebih banyak tindakan telah dilakukan bagi mengekang polisi Israel terhadap rakyat Palestin dan Masjid Al-Aqsa.

Dari aspek kemanusiaan, antara tindakan global yang sedang dipergiatkan, termasuk memperhebatkan sumbangan bantuan kemanusiaan di samping melakukan kempen boikot, yang turut disertai oleh nama-nama besar dunia termasuk pemain bass Pink Floyd, Roger Water.

Manakala, dari aspek kesucian agama Islam pula, negara Turki, misalnya pernah menggertak untuk menamatkan hubungan diplomatik dengan Israel sekiranya Baitulmaqdis diisytihar sebagai ibu negara mereka.

Syria

Kalau diukur dari segi sejarah peradaban Asia Barat yang panjang, Syria boleh diibaratkan sebagai bayi yang baru lahir. Mereka berada di bawah jajahan Perancis dan akhirnya mendapat kemerdekaan ketika Perang Dunia Kedua berlangsung, yakni pada 1944.

Oleh kerana ‘dilahirkan’ saat dunia sedang berperang, barangkali itu menjadikan warga Syria – yang terdiri daripada Islam dan Kristian – sangat cekal untuk hidup di benua penuh konflik itu.

Mereka adalah musuh ketat Israel, bahkan semua peperangan membabitkan negara Arab dengan Israel akan menyaksikan Syria terlibat, dan ini tidak menghairankan apabila melihatkan kedudukannya yang bersebelahan dengan Israel.

Kedudukan yang rapat itu juga menjadikan Syria sebagai rumah selamat kepada pelarian Palestin yang diusir Israel, bahkan kumpulan pejuang Palestin juga turut menerima bantuan latihan, logistik dan moral dari kerajaan Syria. Itu meningkatkan lagi kemarahan Israel terhadap kerajaan Syria. Selain itu, faktor lain yang menyumbang kepada konflik Syria termasuk dasar luar kerajaan mereka yang dilihat semakin membuka pintu kepada Russia dan Iran, di mana kedua-dua negara ini adalah seteru utama AS dan Israel.

Lubnan

Lubnan adalah antara negara di Asia Barat yang mempunyai populasi penganut Kristian paling besar, iaitu sebanyak 36 peratus. Ini menjadikan Kristian sebagai agama kedua terbesar di sana.

Sama seperti Syria, Lubnan turut berkongsi sempadan dengan Israel dan atas faktor itu, Israel turut melihat Lubnan sebagai musuhnya. Kenyataan ini dapat dilihat melalui langkah Lubnan yang lantang memperjuangkan nasib Palestin.

Perseteruan antara mereka menjadi lebih hangat kerana isu sungai Lithani di Lubnan, di mana Israel dan sekutu kuatnya AS berusaha merampas sungai itu untuk dijadikan sumber air bagi negara Israel. Tetapi, usaha itu masih gagal.

Iraq

Negara ini pernah mencetuskan kegemparan apabila pada 7 Jun 1981, keamanan Iraq – yang dihuni warga Arab Sunni, Syiah dan puak Kurdish – tiba-tiba dinodai apabila pesawat tempur Israel buatan AS melakukan serangan ke atas loji nuklear mereka, dalam operasi yang dinamakan Operation Sphynx.

Operasi itu membuka mata dunia bahawa Iraq pada masa itu ingin menyaingi Israel dalam industri nuklear, dan rata-rata warga Arab mula mengangkat presiden Iraq waktu itu, Saddam Hussein sebagai pengimbang kepada kekuatan ketenteraan Israel.

Namun, serangan itu meranapkan sebahagian besar projek nuklear Iraq, dan melalui serangan sabotaj Israel, maka akhirnya program nuklear Iraq tergendala.

Menyedari ancaman oleh negara Iraq, maka Israel melalui sayapnya yang digelar neoconservative akhirnya berjaya menjerat AS supaya memusnahkan Iraq pada tahun 2003 dalam operasi yang digelar ‘Operation Iraqi Freedom 2003’.

Neoconservative adalah sebuah ideologi politik yang dipopularkan oleh Irving Kristol, seorang Yahudi pro-Israel pada tahun 1960an.

Berbeza dengan fahaman plutokrat globalis seperti Trilateral Commission dan Bilderberger Group yang tidak mempunyai “‘hubungan istimewa’ dengan Israel, puak neoconservative – sekalipun mempunyai pengaruh yang tidak kurang hebatnya dalam mencaturkan politik dunia – namun mereka ini sangat menyokong keutuhan negara haram Yahudi di Israel.

Dalam operasi itu, AS – yang tunduk kepada pengaruh pelobi neoconservative – menggunakan dalil bahawa Iraq dan Saddam Hussein terpaksa diruntuhkan demi mengembalikan ‘demokrasi’ kepada rakyatnya.

Arab Saudi

Arab Saudi adalah ‘pemain utama’ di pentas Asia Barat, dan kenyataan ini dibuktikan melalui peristiwa penting yang berlaku di sana pada 1974. Pada tahun itu, satu perjanjian Perjanjian Petrodollar dimeterai di antara AS dengan Arab Saudi.

Dalam perjanjian itu, Saudi bersetuju menjual minyak mereka hanya kepada AS, dan sebagai balasan AS akan membantu Arab Saudi dari aspek ekonomi dan ketenteraan.

Perjanjian itu adalah permulaan kepada era petrodollar sekali gus menamatkan embargo minyak daripada Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) ke atas Israel dan AS, dan menempatkan Arab Saudi – yang dinaungi AS – sebagai pemain utama di pentas Asia Barat.

Lantaran perjanjian petrodollar itu, hubungan Arab Saudi dengan beberapa negara jirannya menjadi dingin, kerana dilihat mengkhianati perjuangan warga Palestin.

Iran

Iran – negara Syiah – adalah sebuah lagi negara di Asia Barat yang menjadi ‘pemain utama’, bahkan Israel dan Arab Saudi menganggap mereka sebagai musuh nombor satu, dan pemimpin mereka disamakan sebagai ‘Hitler’.

Keadaan ini berbeza sewaktu Iran diperintah oleh sistem beraja. Di bawah pengaruh Raja Mohammad Reza Shah Pahlavi, Iran menjalinkan hubungan baik dengan AS dan Israel, sehinggalah revolusi pada tahun 1973 menumbangkan beliau dan menggantikan Iran menjadi negara republik.

Sekalipun sering dilabel sebagai ‘negara pengganas’, Iran pasca revolusi pada hakikatnya adalah satu-satunya negara di Asia Barat yang paling lantang mempertahankan nasib Palestin, bahkan pemimpin mereka menjadikan isu Palestin dan Baitulmaqdis sebagai polisi utama kerajaan Iran, dan ini boleh dilihat melalui ucapan-ucapan rasmi mereka.

Iran juga menjalin hubungan yang baik dengan Russia, dan ini sekali gus menyeimbangkan pengaruh AS di Asia Barat yang menjadikan Israel sebagai sekutu paling rapat mereka.

Iran juga membantu puak Syiah di Baghdad selepas Sunni dikalahkan tentera AS, dan kini memerintah Iraq. Selain itu, Iran juga terbabit memberi dana dan bantuan kepada kumpulan militan Syiah Hezbollah di Lubnan. Tehran juga terbabit membantu rejim Bashar Al-Assad di Syria.

Kesimpulan

Justeru, setelah mengenali sosok-sosok di rantau penuh pergolakan itu, jelaslah bahawa hampir setiap naratif di sana akan menempatkan Israel sebagai punca masalah.

Jadi, adakah kalian masih ingin menyalahkan petroleum, atau lebih naif lagi, menunding jari ke atas sikap bangsa Arab yang kononnya berpecah-belah?

Sedangkan perpecahan itu adalah rencana pihak Barat yang dinaungi Israel dan Zionis, demi melemahkan kesatuan ummah!

Dan, apakah rencana jahat Yahudi dan Zionis hanya terhenti setakat di Asia Barat semata-mata?

Fahmi bin Faiz
Wartawan Ismaweb.net

Tags: ,

No Comments

    Leave a reply