MENGERJAKAN HAJI BUKAN KERJAKAN TABUNG HAJI

DUA tiga hari ini meledak perihal Lembaga Urusan Tabung atau Tabung Haji (TH). Isu TH ini kalau tidak dapat dikawal dengan baik boleh  meletup bila-bila masa seperti bom jangka.

Ia berikutan tularnya sepucuk surat bertarikh 17 Februari 2020 yang ditandatangani oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan pemangkua Ketua Pegawai Eksekutif, Zulkeffli Ahmad yang antar lain menyebut: setelah beroperasi selama tujuh tahun,  penamatan operasi dan perkhidmatan TH Hotel Bayan Lepas, TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel and Convention Center Alor Setar, Kedah dan TH Hotel and Convention Center Kuala Terengganu mulai 1 April 2020.

tutup hotel THtutup TH

Penamatan operasi dan perkhidmatan tersebut dilaksanakan kerana TH telah memindahkan aset-asetnya yang bernilai RM 19.9 bilion kepada Urusharta Jemaah Sdn Bhd. Aset-aset tersebut bukanlah ‘teras’ penubuhan TH, dan ia telah mengakibatkan TH menanggung kerugian sehingga menjejaskan peratusan pembayaran hibah kepada pendepositnya. Hibab TH pada tahun 2018 merupakan yang terendah dalam sejarah manakala tahun-tahun sebelumnya, TH dikatakan membayar hibah yang tinggi kerana mengambil sebahagian deposit yang diterima untuk diagih-agihkan kepada pencarumnya.

Semasa pemindahan aset-aset tersebut, TH dilaporkan menerima sukuk berjumlah RM 10 bilion dan wang tunai sebanyak RM 300 juta. Sukuk tanpa jaminan kerajaan itu adalah untuk tempoh matang selama tujuh tahun. Ini bermakna, sekiranya aset-aset yang dipindahkah dijual dengan harga lebih murah, TH tidak mendapat apa-apa keuntungan.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, portfolio Agama Islam, Dr Mujahid Yusuf Rawa, “kita mewarisi defisit RM4.1 bilion daripada pentadbiran terdahulu, iaitu aset pada waktu itu RM70.3 bilion, manakala tanggungan dan deposit ialah RM74.4 bilion.” Pemindahan aset tersebut bagi menutup ‘lubang besar’ yang dipanggil ‘defisit warisan UMNO’.

Pemindahan aset itu membabitkan “29 hartanah, satu syarikat tidak tersenarai dan 106 sekuriti ekuiti domestik,’ jawab Mujahid kepasa pertanyaan lisan di Dewan Rakyat pada 18 Mac 2019. (Berita Harian, 18 Mac 2019)

Awal tahun ini, TH Plantations berhasrat untuk “muncul semula sebagai syarikat perladangan bersaiz sederhana yang berdaya maju” dan berusaha ‘merasionalisasikan syarikat 73.84 peratus milik Lembaga Tabung Haji (TH) “  membabitkan penjualan beberapa ladang miliknya yang tidak mempamerkan prestasi mengikut jangkaan serta penyusunan semula syarikat. (Berita Harian, 24.1.2020)

TH dianggarkan mempunyai keluasan tanah ladang sekitar 110,000 hektar dan dengan menjual sejumlah 73.84 peratus, jumlah yang bakal diuruskan oleh TH Plantations ialah sekitar 30,000 hektar. Ini bermakna, aset-aset perladangan yang sudah dijual termasuk di Indonesia, Sarawak, Sabah dan juga di Semenanjung. Malangnya, proses penjualan ladang-ladang di dalam negara tidak didedahkan siapakah pemilik baharunya.

Hari ini, muncul jawapan daripada pengurusan TH bahawa empat buah hotel yang ditutup operasi dan perkhidmatannya bukanlah ditutup terus, tetapi akan diambilalih oleh UJ Property Management, subsidiari UJSB, iaitu syarikat yang dimiliki oleh Kementerian Kewangan Malaysia. Rangkain TH Hotel itu akan berubah jenamanya (Raia Hotel), sesuai dengan pengurusan atau pemilik baharu. Sebanyak 10 peratus pekerja akan diserapkan dalam TH Hotel Kelana Jaya, yang masih menjadi milik penuh TH.

Selebihnya, akan diserap oleh pengurusan dan pengendali baharu manakala sebilangan kecil dijangka akan menerima tawaran pemberhentian sukarela berdasarkan peraturan dan prosedur yang masih berkuat kuasa.

Sebelum ini, TH turut menjadi bahan kecaman politik apabila Rafizi Ramli menggesa pendeposit mengeluarkan simpanan mereka atas alasan berhadapan dengan masalah kewangan atau kecairan. Rafizi dilaporkan turut membuat pengeluaran depositnya dari TH. Akibatnya, ramai pendeposit kehilangan peluang untuk mengerjakan haji menerusi TH. Gilirannya dibatalkan dan jika masih berminat, mereka perlu mendaftar semula. Pendaftaran semula itu tidak dapat mengembalikan tarikh jangkaan sebelum, terpaksa mengekori senarai yang sedia ada.

Ketika isu pemindahan aset dan penutupan operasi TH Hotel menjadi panas, Rafizi tidak mengeluarkan apa-apa komen kerana beliau sudah bersara daripada aktiviti politik. Rafizi sedang giat menekuni bidang baharu, yakni berkaitan teknologi.

Dalam komen yang dibuat oleh Perdana Menteri, TH melakukan perkara yang betul memindahkan aset kerana ‘banyak cara lain untuk menghasilkan wang’ dan tidak ada gunanya menyimpan aset-aset yang tidak ‘menghasilkan wang’. (Buletin Utama, 18.2.2020).

Kata Perdana Menteri lagi, “Ada beberapa hartanah yang tidak beri keuntungan. Maka mereka perlu melupuskannya…Namun, ada beberapa cara lain untuk melabur duit berkenaan supaya memberi pulangan.”

Kadir Jasin berkata, “Seperti kita sudah maklum, TH telah menjual hotel terbabit kepada UJSB yang merupakan syarikat milik penuh kerajaan dan diwujudkan sebagai sebahagian daripada pelan pemulihan dan penstrukturan semula TH tahun lalu. Sejak mengambil alih hotel-hotel berkenaan, UJSB telah menyediakan modal baru bagi menambah baik kemudahan sedia ada demi manfaat dan keselesaan pelanggan.” (Sinar Harian, 18.2.2020)

Sebelum itu, Najib mempersoalkan mengenai kedudukan TH, ‘apakah kewangan TH begitu tenat’ sehingga terpaksa menutup operasi berkenaan? Pertanyaan itu sebenarnya mengundang pelbagai perkara, termasuklah mengungkitkan lebih banyak peristiwa yang pernah dilalui oleh TH sebelum ini.

Mungkin bagi sebahagian besar rakyat Malaysia masih ingat bagaimana Perdana Menteri ke-4 telah mengarahkan TH membeli dua buah bangunan dengan harga lebih tinggi. Untuk dua bangunan (TH Perdana dan TH Selborn), TH dipaksa membayar RM 436.38 juta sedangkan nilai semasa ialah RM 267.92 juta.

Menurut laporan, Dr Mahathir telah mengarahkan TH membayar dengan harga melampaui harga pasaran untuk kededua bangunan tersebut sebanyak RM 168.46 juta (RM 117.08 untuk TH Perdana dan RM 51,38 juta untuk TH Selborn). Ketika itu (1998), pengerusi TH ialah Tan Sri Ahmad Razali Mohd Ali, abang ipar Dr Mahathir.

Bukan setakat itu, TH juga digunakan untuk menyelesaikan banyak masalah kewangan syarikat-syarikat kroni termasuk Maju Holdings, syarikat pelaburan kendalian bekas juruhebah RTM (Allahyarham Ahmadi Hasan), kontrak penghantaran Jemaah Haji dengan Transmile (milik Mirzan), melabur dalam projek ERL milik YTL, Syarikat Wing Hup Teik dan beberapa projek hartanah lain di Johor yang tidak jadi.

Kini, aset TH cuba dijarah lagi dengan kaedah baharu, iaitu memindahkannya kepada sebuah syarikat di bawah Kementerian Kewangan. Ketika pemindahan itu dilaksanakan, orang awam mula curiga bahawa subsidi mengerjakan haji tidak ada lagi sebab TH tidak dapat untung daripada pelaburannya.

Bila Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengesahkan, disebabkan subsidi haji setahun memerlukan RM 400 juta maka ia mungkin hanya dihadkan kepada kategori B-40. Maknanya, subsidi haji secara pukal bakal berakhir. Bila hibah TH diumumkan sebagai yang terendah, Menteri pula berkata, tabungan yang dibuat bukan untuk tujuan pelaburan, ia untuk menunaikan haji. Menunaikan fadhu haji adalah kewajiban bagi mereka yang mampu, termasuk mempunyai sumber kewangan mencukupi, bukan lagi mengharapkan harga rendah disebabkan subsidi.

Sebab itulah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dikecam oleh orang awam. Dia dikecam kerana tidak ‘rahmah’ kepada bakal haji yang mengharapkan subsidi diteruskan. Dia dikecam kerana bertekad untuk memanipulasikan sejarah TH. Benar TH ditubuhkan daripada idea awal Profesor Di Raja Ungku Aziz untuk membantu umat Islam menabung bagi membolehkan mereka menunaikan haji. Apa yang tidak diberitahu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri bahawa TH melaburkan wang pendeposit untuk mendapat pulangan yang lebih besar, dan pulangan itu membolehkan hibah diberikan kepada pelanggan dan membiayai sebahagian kos mengerjakan haji.

Amalan itu telah lama dipraktikkan sebelum ini. Amalan itu telah mendapat pujian daripada masyarakat Islam antarabangsa, tetapi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada tahun lalu hanya mengungkapkan pengurusan pengendalian Jemaah haji yang cekap semasa berada di Tanah Suci. Melangit dipuji. Sayangnya, kerana melihat peruntukan sebanyak RM 400 juta setahun itu boleh digunakan untuk tujuan lain, maka cadangan untuk mengurang atau menghapuskan subsidi haji kedengaran di sana-sini.

Tahun lepas ia menjadi isu. Bila isu itu muncul, Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan, itu hanyalah cadangan yang belum diluluskan. Ertinya, mereka yang terpilih untuk mengerjakan haji kali pertama pada tahun ini terus mendapat subsidi lebih RM 9,000 seorang. Tetapi, itu tidak bermakna pada tahun-tahun berikutnya, amalan itu dipraktikkan lagi.

Mujahid sudah beberapa kali berkata, mengerjakan haji adalah untuk ‘mereka yang mampu’. Mereka yang kurang mampu “jangan berharap kepada subsidi”. Diulangi berkali-kali konsep ISTITO’AH (kemampuan menunaikan jaji) dan bagi orang awam, perulangan itu adalah  suatu petunjuk (dalam konteks semiotika) untuk menghalalkan penghapusan subsidi kepada bakal haji oleh TH.

Sebab itulah apa yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri ke atas TH bukan untuk menimbuskan ‘lubang luas’ atau mengurangkan ‘defisit warisan UMNO’ semata-mata, ia turut membuka natijah baharu bahawa memang Malaysia Baharu tergiur untuk mengerjakan TH. Ia seumpamanya tergiurnya ‘kekanda’ menasihati ‘adinda’ sebabnya banyak aset yang boleh digunakan untuk memperkayakan kroni sekali lagi.

Benar juga apabila seseorang menampalkan pelekat di motosikal roda tiganya ketika mundar-mandir “Rukun Islam ke 5 ialah menunaikan Haji…Bukannya mengerjakan Tabung Haji”#KGNR #usetadBerie. Ianya sudah tersebar meluas di media sosial sejak isu ‘penutupan empat hotel TH’ diperkatakan.

MONOSIN SOBRI

No Comments

    Leave a reply