Fikrah Islami penting dijadikan asas pandangan alam (tasawwur) supaya cara kita melihat dan menilai sesuatu sifatnya seimbang dan mencakupi. Pemikiran Barat umpamanya menjadikan asas rasional sebagai landasan memahami sesuatu dan sifatnya bebas nilai sedangkan pemikiran Islam terhubung dengan etika dan nilai.

Faktor dunia dan akhirat menghubungkan amalan manusia dengan Pencipta iaitu Allah. Lalu syariat menjadi pedoman bila melakukan sesuatu. Dalam tradisi Barat faham sekular dan liberal menjadikan akal semata-mata sebagai landasan terhadap sesuatu amalan dan tidak terhubung dengan kepercayaan terhadap Pencipta.

Oleh itu amat penting fikrah Islami menjadi sandaran dalam membina pemikiran hasil dalam pembelajaran dan pengetahuan yang diterima supaya bentuk pandangan semesta (tasawwur) yang terbina sifatnya holistik dan mencakupi.

Fahaman sekular memisahkan agama daripada pemikiran dan akal. Pendekatan empiris yang bersifat rasional dijadikan pendekatan memahami ilmu dan menjalani kehidupan. Agama dilihat sebagai dogma (khayali) kerana ia bercanggah dengan logik dan tidak boleh dilihat dan dipegang.

Fikrah Islami menyatakan akal itu penting, pemikiran amat dituntut tetapi etika dan nilai Qurani menjadi pedoman dan petunjuk. Ia membawa keseimbangan dalam binaan pemikiran dan amalan supaya kebenaran dalam proses tadabbur (kaji selidik) diterima dan keimanan kepada Pencipta yang ghaib dihayati.

Akhir-akhir ini banyak timbul kekeliruan dan ketidakjelasan terhadap Islam itu sendiri berakibat daripada fikrah yang tidak terbina. Agama difahami dan diamalkan dalam batas ritual semata tetapi tidak terhubung dengan kehidupan. Apabila datang pengaruh dari luar yang bercanggah sifatnya ia mudah diterima kerana fikrah Islami tidak dihayati. Fikrah Islami ibarat acuan yang membentuk jalur berfikir yang lebih seimbang dan mencakupi.

Fikrah Islami mengenai maju dan membangun tidak sama dengan pandangan Barat mengenainya. Maju dan membangun dalam fikrah Islami bermula dengan pembangunan rijal atau manusia seutuhnya. Manusia berilmu, berketrampilan dan berakhlak menjadi prasyarat maju kerana menguruskan sistem dan kehidupan ialah daripada manusia. Dengan ilmu dan ketrampilan sahaja tidak memadai dan boleh membawa kerosakan melainkan dengan akhlak yang kukuh menjadikan pengurusan dan pembangunan terpedoman dan terarah.

Berlakunya salah guna dalam kehidupan akibat ilmu mengurus diri tidak dihayati dan menyebabkan ilmu mengurus sistem menjadi pincang. Ilmu mengurus diri sifatnya rohaniah dan terhubung dengan Pencipta. Manusia yang beriman dan bertaqwa sentiasa dipedoman dengan sifat ubudiyyah atau kepatuhan terhadap suruhan dan larangan Allah. God-conciousness atau takwa sentiasa menjadi pedoman dan menyebabkan perbuatan dan amalan manusia terpandu.

Amat penting fikrah Islami ini dimiliki oleh setiap Muslim dan Mukmin kerana tanpanya pedoman penghayatan tidak memenuhi matlamat menjadikan diri insan soleh dan solehah. Insan soleh dan solehah mampu membangunkan sahsiah diri tidak saja melakukan pengabdian kepada Allah SWT tetapi juga melaksanakan amanah kekhalifahan terhadap manusia dan sistem. Inilah tuntutan beragama dalam Islam memberi manfaat kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.

DATUK DR. SIDEK BABA ialah Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).