Bagi menjamin kesejahteraan kehidupan, Nabi Yusuf AS mencadangkan agar seorang yang bijaksana dan berperibadi mulia dipilih bagi mentadbir Mesir agar dapat membuat simpanan ketika tujuh tahun dalam kemakmuran bagi kegunaan tujuh tahun yang sukar. Atas nasihat tersebut, akhirnya Nabi Yusuf AS telah dipilih oleh Raja Firaun mentadbir Mesir. Kemakmuran dan kesedihan merupakan putaran yang perlu dihadapi oleh semua manusia.

Tidakkah Allah mengajar kita di sini supaya membuat perancangan dan juga melakukan sesuatu bagi persediaan di hari muka?

Namun berfikir tanpa melakukan sesuatu tidak akan membawa kita ke mana, kecuali apabila kita melakukan sesuatu bagi mengubah situasi dan meningkatkan nilai dan status kewangan kita. Da­lam situasi begini apa yang per­­lu kita lakukan ialah meng­ambil langkah-langkah seperti menyusun semula dasar ke­wangan keluarga, hidupkan ama­lan menabung, melakukan ama­lan berjimat cermat dan tidak membazir serta elakkan berhutang.

Krisis kewangan global seku­rang-kurangnya mem­berikan pengajaran kepada kita bahawa amanah juga adalah pun­ca utama menyebabkan ber­laku krisis ini. Justeru kita kena pilih pemimpin yang amanah seperti mana al-Quran telah memberi petunjuk secara tersurat atau tersirat dalam pelbagai aspek ke­hidupan awal manusia, ter­ma­suk persoalan menjawab “Siapakah yang layak kita pilih”.

Contoh yang jelas adalah pelantikan Nabi Yusuf sebagai Ketua Perbendaharaan Kera­ja­an Mesir oleh rajanya dan diaba­dikan pula di dalam al-Quran menerusi firman-Nya, yang bermaksud: “Sesungguhnya eng­kau menurut penilaian Kami ada­lah seorang yang kuat lagi dipercayai.” (Yusuf: 54)

Manusialah sebenarnya yang mengundang kecelakaan de­ngan tidak menjadi amanah lagi pada diri sendiri, pada alam, pada tuhannya dan menjadi sombong serta merasakan dialah yang paling kuat dan gagah. Manusia kemudian tidak mahu bersyukur atas nikmat-Nya (Al-’Adiyaat: ayat 6), suka membantah (Al-Kahfi: ayat 54), melampaui batas (Al-’Alaq: ayat 6) dan berlaku zalim, tapi sekali gus bodoh terhadap dirinya sendiri (Al-Ahzab: ayat 72).

Justeru dalam menguruskan kewangan negara, pemimpin itu perlu bersifat amanah. Walaupun kita sedang diselubungi rasa benci terhadap seseorang atau golongan atau kaum, kita harus melaksanakan secara bijaksana dan adil. Demikian juga ketika dalam keadaan senang dan gembira.

Sejak berjuta-juta tahun, Allah SWT tetap menguji manusia dengan pelbagai ujian termasuk menurunkan pelbagai bencana bagi mengatasi sikap degil agar manusia belajar, sejauh mana kelebihan ilmunya, ia masih belum mampu menundukkan kekuasaan Allah SWT.

Apa yang berlaku dalam negara kita sekarang adakah kerana kemurkaan Allah SWT. Sejarah Al-Quran mencatat tentang kemurkaan Allah SWT ini dibangkitkan atas beberapa sebab. Antaranya sifat zalim dan fasiq manusia serta tidak mempedulikan perintah Tuhan. Kaum Nabi Lut contohnya mengamalkan homoseksual dan amalan itu dilakukan dengan meluas dan terbuka. Bandar raya diterbalikkan oleh kuasa Allah SWT dan angin ribut yang mengandungi batu-batu yang dibakar menghujani mereka bertubi-tubi seperti yang dirakamkan di dalam al-Quran yang bermaksud: “Akhirnya mereka pun dibinasakan oleh letusan suara yang menggemparkan bumi, ketika matahari terbit.” (Surah Hijr:73).

Demikian juga Kaum Tsamud (Kaum Nabi Salleh) menerima azab yang menamatkan riwayat mereka sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka mereka membesarkan diri terhadap perintah Tuhannya, lalu mereka disambar petir (dengan tidak dapat melarikan dirinya) sedang mereka melihatnya. Dengan yang demikian, mereka tidak dapat bangun lagi, dan mereka juga tidak mendapat pertolongan.” (Surah Az-Zariyyat: 44-45)

Bencana ini terus terjadi ke atas kaum Nabi Hud iaitu Aad yang tinggal di daerah Al-Ahqaf di Hadhramaut, Yemen. Kaum Aad yang zalim itu ditimpa azab angin amat kencang, yang meniup selama lapan hari dan tujuh malam. Mereka juga disambar oleh halilintar.

Oleh sebab sumber bencana itu datangnya daripada diri manusia, cara mengatasinya juga haruslah daripada manusia itu sendiri.