MENILAI DIRI MENJELANG 2017

MANUSIA seluruh dunia bakal melangkah ke tahun baru hanya beberapa minggu sahaja lagi. Tahun 2016 ditinggalkan dengan pelbagai rencam dan seribu kenangan – manis dan pahit.

Sebelum ini kita dikejutkan dengan berita bencana gempabumi di Aceh.Kita tidak mengharapkan bencana seumpama itu berulang kembali, tetapi sekiranya terjadi, anggaplah itu sebagai sebahagian daripada ujian Allah dan diterima dengan penuh rasa reda.

Musibah juga merupakan petanda akan datangnya limpahan rahmat Allah. Ummu Salamah menceritakan bahawa ketika suaminya meninggal, dia berdoa seperti diajarkan Rasulullah kepadanya. Tidak lama kemudian, dia mendapat pengganti yang jauh lebih baik daripada suaminya yang telah meninggal, iaitu menjadi isteri Rasulullah s.a.w.

Orang yang sabar itu menerima musibah kerana menyedari makna yang terkandung di dalamnya, bukan sahaja mendapat keampunan dan pahala, melainkan juga mendapat limpahan rahmat dan keberkatan daripada Allah s.w.t. “orang-orang yang bila ditimpa musibah mengucapkan, `Inna lillahi wa inna ilahi raji’un.’ Mereka itulah yang mendapatkan keberkatan yang sempurna dan rahmat daripada Tuhannya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.”

Kerana itu, bersyukurlah bila musibah datang kerana itu adalah petanda Allah sedang menyayanginya.

Betapa pahit dan getirnya musibah yang menimpa, baik berupa kemiskinan, kesakitan, ketakutan, kegagalan mahupun semua bencana di dunia ini, Syeikh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi ad-Dansyaqi menjelaskan di dalam kitabnya Mau’idhatul Mu’minin bahawa di dalamnya mengandungi lima perkara yang sepatutnya disyukuri.

Pertama, membayangkan jika musibah yang menimpa itu lebih besar dari yang dialami sekarang, kerana, Allah Maha Kuasa untuk membuat musibah itu lebih besar dari yang ada sekarang.

Kedua, musibah yang menimpanya itu tidak membabitkan urusan agama.

Ketiga, musibah yang menimpanya pada ketika dia masih berada di dunia. Ada pun musibah di dunia jauh lebih ringan bila musibah itu ditangguhkan sampai di akhirat. Hal ini kerana musibah yang terjadi di dunia masih memiliki peluang yang besar untuk mengatasinya, tetapi jika musibah itu ditimpakan di akhirat, sukar sekali untuk mengatasinya.

Keempat, setiap musibah itu telah tertulis lebih dulu dalam lohmahfuz, jauh sebelum seseorang itu lahir di dunia.

Kelima, pahala yang diterima daripada musibah itu jauh lebih besar daripada musibah bala itu sendiri. Ini kerana, musibah di dunia pada dasarnya merupakan ujian pahit dan akan mendapat manfaat di akhirat kelak.

Justeru dalam rangka melakukan introspeksi lebih-lebih lagi pada saat menjelang tahun baru, serangkaian hadis Rasulullah wajar dijadikan renungan.

Sabda Nabi yang bermaksud: Wahai manusia! Bagi masing-masing kamu ada semacam tonggak (ukuran) dalam kehidupan ini. Berhentilah kamu sejenak melihat tonggak (batu tanda) itu. Sesungguhnya bagi masing-masing ada tempat perhentian terakhir yang harus kamu berhenti betul-betul di tempat itu. Ketahuilah bahawa setiap hamba sentiasa (terumbang-ambing) antara dua ketakutan.

Pertama, adalah ketakutan terhadap masa lampau yang tidak diketahui bagaimana (penilaian) Allah terhadap keadaan itu dan yang kedua adalah ketakutan terhadap ajal yang masih tinggal yang tak dapat diketahui apakah yang akan diperbuat Allah dengannya (sisa umur itu).

Oleh sebab tu, sediakanlah di dunia ini bekalan hidup untuk hari akhiratmu dan dari hidup sekarang menjelang datang kematianmu. Sebab sesudah mati tidak ada lagi tempat untuk menghisab diri.

Melalui hadis ini, Rasulullah menggunakan metafora dengan membandingkan tahap-tahap perjalanan kehidupan manusia harus dilalui ini ibarat batu tanda yang ditemukan di pinggir jalan besar. Angka-angka pada batu tanda itu memperingatkan kepada setiap orang berapa jauh perjalanan yang sudah dilalui dan berapa jarak lagi yang harus ditempuh sebelum sampai ke destinasi yang dituju.

Oleh yang demikian, individu berkenaan boleh merancang perjalanan waima untuk melepaskan lelah dalam waktu yang tidak terbatas.

Menempuh alam kehidupan ini ibarat menempuh satu perjalanan yang panjang dengan ditandai oleh jarak bagi setiap kilometer sebelum sampai ke destinasi. Masa yang beredar – pagi bertukar malam, minggu bertukar bulan, bulan bertukar ke setahun serta seterusnya merupakan ukuran dalam kehidupan.

Oleh hal yang demikian, setiap perjalanan yang ditempuh akan mengingatkan setiap orang tentang putaran jarum kehidupan, apakah sekarang ini hari masih pagi, siang, senja atau sudah menjelang malam? Peredaran masa seperti saat ke minit, minit ke jam, zaman kanak-kanak menuju ke alam remaja, dari masa remaja menjadi dewasa, dan dari dewasa menempuh ke alam tua, itu semua merupakan petanda-petanda yang dapat berbicara sendiri.

Ahli falsafah Islam yang terkenal, Imam al-Ghazali, menganalogikan perjalanan manusia menempuh alam kehidupan ini laksana seseorang yang berlayar mengharungi lautan luas. Pantai pertama yang ditinggalkan oleh seseorang itu adalah perut ibunya. Sedangkan pantai terakhir di mana dia harus mendarat ialah lubang kuburnya.

Di antara perut ibu dengan lubang kuburnya itu, terkadang dia terpaksa berjuang menerjah gelombang dan badai. Ada kalanya terpaksa berpirau, mendayung dan menggerakkan kolek dalam posisi yang pelbagai membelah ombak ganas yang menghempas dan menerjang-nerjang. Sanubari pada saat itu berbaur harap. Dayungan dan perjuangan diteruskan agarkan kolek tidak karam di tengah lautan.

Imam al-Ghazali beranalogi yang lebih jauh – setiap tahun yang sudah dilampaui dalam kehidupan ini adalah laksana perhentian bagi seseorang yang sedang berlayar. Setiap bulan laksana tempat beristirahat, setiap minggu seperti singgah di kota pantai, setiap hari laksana menemukan sebuah pulau di tengah-tengah lautan, dan setiap kali bernafas adalah laksana sekali mengayuh pendayung.

Ini bermakna, setiap hembusan nafas yang dihela, mendekatkan pelaut tadi ke pantai yang menjadi tujuan terakhir (alam akhirat).

Dalam meneruskan kehidupan ini, kita harus bersyukur kerana kita dilahirkan dalam sebuah negara yang dilimpahi nikmat kekayaan, jauh daripada malapetaka alam yang besar serta penuh dengan kedamaian. Namun begitu, di sebalik kenikmatan yang melimpah-ruah, sekiranya kita tidak bersyukur, tidak mustahil kenikmatan yang Allah berikan itu akan hilang sekali gus ditarik seumpama peristiwa tsunami, sedangkan ia tidak pernah terjangkau oleh pemikiran kita sebelum ini.

Bencana juga boleh terjadi kerana manusia tidak mahu mensyukuri nikmat Allah, malah sebaliknya, mengingkari kurniaan Allah yang begitu banyak diterima. Nikmat Allah yang diberikan kepada manusia sangat berlimpah dan tak ada satu alat pun yang boleh menghitungnya. (QS. An Nahl [16]: 18).

Meskipun demikian, Allah tidak pernah meminta kepada para hamba-Nya untuk mengembalikan limpahan nikmat yang telah diberikan-Nya. Dia hanya meminta kepada para hamba-Nya untuk mensyukuri-Nya.

Maka ingatlah kamu kepada-Ku nescaya Aku ingat kepadamu dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari-Ku.(QS. al-Baqarah [4]: 147).

Mengapa Allah akan menyiksa kamu jika kamu bersyukur dan beriman? Dan Allah adalah Maha Mensyukuri lagi Maha Mengetahui. (QS an-Nisa’ [4]: 147).

Mengingkari nikmat daripada Allah atau kufur nikmat merupakan salah satu penyakit daripada umat terdahulu sebelum Nabi Muhammad diutus di muka bumi ini.

Baginda bersabda; Kelak, umatku; akan dilanda penyakit umat-umat terdahulu. Para sahabat bertanya, “Ya, Rasulullah, apakah penyakit umat-umat terdahulu itu?” Baginda menjawab, Kufur nikmat, penyalahgunaan kurnia Allah, bermegah-megah dengan harta, berlumba-lumba dalam mencari kekayaan, saling membenci, saling berdengki… ”(HR. Hakim dari Abu Hurairah r.a).

Allah juga memberitahu di dalam al-Quran tentang suatu negeri yang penduduknya hidup dalam suasana yang aman dan tenteram, rezekinya datang dengan mudah, tetapi kerana penduduk negeri itu mengingkari perintah Allah, suasana tadi berubah secara keseluruhan. Rasa aman dan tenteram bertukar menjadi ketakutan, sedangkan kemakmuran berubah menjadi kebuluran.

Dan Allah telah membuat rezeki suatu perumpamaan (dengan) sebuah negeri yang dahulunya aman tenteram, rezekinya datang kepadanya dengan melimpah-ruah dari segenap tempat, tetapi (penduduknya) mengingkari nikmat-nikmat Allah; kerana itu Allah merasakan kepada mereka pakaian kelaparan dan ketakutan, disebabkan apa yang selalu mereka buat. (QS. An-Nahl [16]: 112).

Secara lahiriah, kemakmuran boleh dilihat dengan jelas, namun tidak mampu melahirkan ketenangan dan kebahagiaan bagi para penduduknya. Sebaliknya, mereka berasa gelisah, cemas, bimbang dan takut.

Meskipun seseorang itu kelihatan kehidupannya aman dan makmur, namun sikap mereka seperti orang yang kelaparan. Mereka tidak henti-henti memburu harta, pangkat, kedudukan dengan cara yang tidak sah di sisi undang-undang. Mereka seperti manusia yang pelahap pada harta. Seolah-olah batinnya sedang kelaparan.

Peringatan demi peringatan serta nasihat demi nasihat diberikan, namun tidak diendahkan. Mereka tetap asyik dalam kenikmatan lahiriah tanpa mengutamakan kehidupan rohaniahnya. Itulah petanda turunnya bencana. Allah berfirman yang bermaksud; Maka tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kami pun membukakan semua pintu kesenangan untuk mereka, sehingga ketika mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, Kami seksa mereka dengan tiba-tiba dan tidak dijangka, maka ketika itu mereka terdiam berputus asa. (QS. al-An’aam [6]: 44).

Selain itu, bencana turun kerana orang begitu mudah melakukan kemaksiatan, sehingga tidak ada yang mampu mencegahnya dan tidak ada pula yang mampu mengajaknya ke jalan yang benar. Amar makruf nahi mungkar tidak dilaksanakan dengan baik, padahal Allah telah memperingatkan bahawa kehancuran umat terdahulu disebabkan kerana mereka tidak melakukan amar makruf nahi mungkar, yakni mengajak yang baik dan benar serta menjauhi yang mungkar, batil dan haram.

Masyarakat yang tidak melaksanakan amar makruf nahi mungkar bukanlah masyarakat yang baik. Begitu pula pemerintahan yang tidak melaksanakan amar makruf nahi mungkar bukanlah pemerintahan yang baik.

Amar makruf nahi mungkar adalah dua perkara yang harus dilakukan bersama. Kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain. Tidak boleh hanya satu yang dilakukan. Tidak ada amar makruf nahi mungkar, begitu pun sebaliknya.

Amar makruf nahi mungkar yang dilakukan oleh pemerintahan itu berupaya membimbing atau mengajak rakyatnya bersungguh-sungguh di dalam menegakkan peraturan dan undang-undang tersebut. Ada pun nahi mungkar yang dilakukan, berjaya melahirkan daya fikir yang baik, benar sehingga rakyat mahu menyampaikan kebenaran dan keadilan tanpa dibayangi ketakutan terhadap kekuasaan.

Jangan kita menjadi seperti kaum Nabi Nuh yang keras kepala dan penuh kezaliman dihancurkan dengan banjir besar (QS. Hud [11]: 40), kaum Nabi Syu’aib yang zalim dan melakukan penipuan dihancurkan dengan suara yang amat kuat dan membinasakan mereka (QS. Hud [11]: 94), kaum Nabi Saleh yang hidup bebas dan cinta dunia yang berlebihan dihancurkan dengan gempa yang mematikan mereka (QS. Hud [11]: 67-68), begitu juga kaum Nabi Luth yang melakukan maksiat dan perlakuan homoseksual diazab dengan gempa bumi yang sangat dahsyat (QS. Hud [11]: 82).

Semua kejadian ini sewajarnya menjadi renungan umat manusia seluruhnya. Kisah-kisah nyata itu diberitakan kembali di dalam kitab suci al-Quran Karim agar umat yang datang kemudian tidak mengulangi kembali kesalahan dan dosa yang telah diperbuat orang-orang sebelumnya.

Allah berfirman yang bermaksud; Apakah mereka tidak memerhatikan berapa banyak generasi yang telah Kami binasakan sebelum mereka. Padahal (generasi-generasi itu) telah Kami teguhkan kedudukannya di muka bumi, iaitu keteguhan yang belum pernah Kami berikan kepadamu, dan Kami curahkan hujan yang lebat atas mereka dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka kerana dosa mereka sendiri, dan Kami ciptakan sesudah mereka generasi yang lain. (QS. al-An’aam [6]: 6)

Marilah kita mengintrospeksi diri sedalam-dalamnya dan sesungguhnya setiap diri akan ditanya satu per satu dengan sangat teliti dan cermat di dalam pengadilan Yang Maha Adil. Ada pun anggota tubuhnya, mulai daripada tangan dan kaki, sampai mata, telinga, kulit dan lidah akan menjadi saksi atas semua perbuatan dan gerak-geri yang dilakukan selama hidup di atas muka bumi ini (QS. Yassin [36]: 65). Daripada hasil pengadilan dan pemeriksaan itu, maka akan keluarlah keputusan daripada Allah Yang Maha Adil, apakah seseorang itu selamat atau tidak?

Catatan Ibnu Majid

No Comments

    Leave a reply