MENILAI FAHAMAN NEW ATHEISM

Definisi

Ateisme menurut Oxford Dictionaries adalah merujuk kepada ketidakpercayaan atau kurang kepercayaan tentang kewujudan Tuhan atau tuhan-tuhan.[1] Secara etimologinya, perkataan “atheism” berasal daripada perkataan Greek atheos; “a” bermaksud tanpa dan “theos” bermaksud tuhan-tuhan. Lawan bagi ateisme adalah teisme iaitu fahaman yang mempercayai dan mengimani akan wujudnya tuhan.

Walaubagaimanapun, definisi ini masih kurang jelas pada pandangan kami kerana boleh sahaja seorang ateis itu:

  1. Mempunyai hujah berhubung pendiriannya.
  2. Pada masa tersebut, tidak terpengaruh dengan hujah teisme. Ia lebih hampir kepada fahaman agnostisisme dan seorang ateis dalam bentuk sebegini boleh berubah pendiriannya jika menerima hujah yang baik daripada seorang teis.
  • Hanya tidak mempercayai tuhan-tuhan tanpa sebarang hujah rasional.

Oleh itu, tidak ada definisi yang betul-betul jelas dan terperinci tentang ateisme dari sudut akademik.[2] Maka, definisi oleh Oxford Dictionaries akan menjadi asas perbincangan kami kerana takrifan ini diterima pakai secara rasmi.

Ateisme dalam Bahasa Arab adalah al-ilhad(الإلحاد). Menurut Ibn al-Faris, lam, ha’ dan dal merujuk kepada menyimpang daripada pandangan yang lurus. Alhad al-rajul (ألْحَدَ الرجل) bermaksud seorang lelaki telah menyimpang daripada jalan kebenaran.[3] Di antara contoh penggunaannya adalah kata al-lahd (liang lahad) dalam kuburan.  Dinamakan demikian kerana liang lahad tersebut menyimpang dari pertengahan (lubang) kuburan ke arah kiblat.

Maka, ilhad dari segi istilahnya adalah sebuah mazhab falsafah yang berdiri atas fahaman nihilisme yang mana asasnya adalah menafikan kewujudan Allah SWT sebagai Maha Pencipta. Golongan mulhidunmendakwa bahawa sesuatu ciptaan itu wujud tanpa Pencipta. Bagi mereka, material itu bersifat kekal dan abadi serta ianya juga adalah pencipta dan ciptaan dalam masa yang sama.[4]

Berdasarkan huraian definisi di atas, kami melihat bahawa ateisme adalah satu fahaman yang sama dengan naturalisme falsafah (philosophical naturalism) yang menolak akan kewujudan Tuhan dan alam ghaib kerana bagi mereka, alam ghaib juga termasuk dalam dunia tabi’e. Maka, penganut ateisme boleh dikira berdasarkan penolakan atau kurangnya kepercayaan kepada agama dan Tuhan. Ini bertepatan dengan kata-kata Richard Dawkins, ateisme adalah “believes there is nothing beyond the natural, physical world” [5]

Islam mengajar umatnya bahawa manusia secara fitrahnya adalah

Ateisme Dalam Tradisi Ilmuwan Barat dan Ulama’ Islam

Dalam sejarah Ateisme di Barat, Ateis yang agak ilmiah pendekatannya adalah yang bersikap kritis terhadap ajaran Kristian dan institusi gereja. Antara tokoh yang popular adalah Giordano Bruno, Pierre Carvin Paul Tillich dan Schleirmacher. Mereka adalah pengkritik ajaran Kristian dan dianggap ateis.

Ateis yang lebih agresif adalah yang berani mencabar Tuhan. Hegel dan Immanuel Kant antara yang pernah melabel Tuhan Yahudi dan Kristian sebagai….Schoopenhuer pula terlebih dahulu daripada Nietzche mendakwa “Tuhan sudah mati”.

Ateisme pada awal era moden muncul kerana agama Kristian pada ketika itu seakan tunduk sepenuhnya kepada falsafah. Ia diterajui oleh pemikir dan ahli falsafah seperti Lessius, Mersenne, Descartes, Malebrance dan Clark. Kesamaan mereka adalah berbicara tentang Tuhan, tanpa menyebutkan tentang Jesus.

Ateisme terbina atas asas kebencian dan kebebasan sepenuhnya daripada agama. Ada yang menolak kewujudan Tuhan, ada yang menolak kerelevenan agama, ada yang menolak pengetahuan tentang Tuhan dan kewujudan-Nya.

Berbeza dengan Islam, Al-Qur’an memberikan perumpamaan yang ringkas dan padat terhadap mana-mana individu ataupun golongan yang tidak mempercayai adanya Allah SWT. Firman Allah SWT,

أَمْ خَلَقُوا السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ بَلْ لَا يُوقِنُونَ

 Maksudnya: Adakah mereka yang mencipta langit dan bumi itu? (Sudah tentu tidak!) Bahkan mereka adalah orang-orang yang tidak meyakini (kebenaran apa yang mereka pernah mengakuinya).

      (Surah al-Tur: 36)

Firman Allah SWT,

وَمَنْ يَرْغَبُ عَنْ مِلَّةِ إِبْرَاهِيمَ إِلَّا مَنْ سَفِهَ نَفْسَهُ

Maksudnya: Tidak ada orang yang membenci agama Nabi Ibrahim selain dari orang yang membodohkan dirinya sendiri,

         (Surah al-Baqarah: 130)

Pandangan al-Qur’an tentang Ateisme

Firman Allah Taala:

وَقَالُوا مَا هِيَ إِلَّا حَيَاتُنَا الدُّنْيَا نَمُوتُ وَنَحْيَا وَمَا يُهْلِكُنَا إِلَّا الدَّهْرُ وَمَا لَهُمْ بِذَلِكَ مِنْ عِلْمٍ إِنْ هُمْ إِلَّا يَظُنُّونَ

Maksudnya: Dan mereka berkata: “Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup (silih berganti); dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan edaran zaman”. Pada hal mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang hal itu; mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata.

             (Surah al-Jathiah: 24)

Berkata Imam al-Tabari : “Orang-orang musyrik itu berkata bahawa kehidupan itu hanyalah kehidupan dunia sahaja, tiada kehidupan selain daripada itu, sebagai satu ketidakpercayaan terhadap hari kebangkikan selepas berlakunya kematian… (Kalimah mati dan hidup) itu bererti kehidupan anak-anak selepas mereka, dan boleh jadi bererti dua perkara yang sudah berlaku dan sedang berlaku berselingan. Manakala, kalimah al-dahr bererti umur yakni orang musyrik berkata bahawa tiada apa yang boleh menghancurkan kami melainkan pertukaran malam dan siang serta panjangnya umur, sebagai tanda ingkarnya mereka terhadap Tuhan Pentadbir yang menghancurkan dan memusnahkan mereka.”[6]

Berkata Imam Ibn Kathir: “Allah Taala mengkhabarkan tentang perkataan kaum Dahriyyah, daripada kaum kafir dan mereka yang mempunyai pemikiran yang sama dengan mereka daripada golongan musyrikin Arab yang mengingkari Hari Kiamat. Sebahagian mereka ialah golongan falsafah Dauriyyah yang mengingkari Tuhan yang menciptakan dengan kepercayaan bahawa setiap 36, 000 tahun semua benda akan menjadi seperti asalnya. Mereka mendakwa hal ini sudah berulang banyak kali dan tidak akan berakhir. Maka ini mustahil bagi dalil aqal dan dinafikan oleh dalil naqli.”[7]

Berkata Imam Fakhruddin al-Razi: “Ayat ini Allah taala menceritakan tentang mereka yang memiliki syubhat-syubhat  pada mengingkari Hari Kiamat dan Inkar terhadap Tuhan yang  berkemampuan…(Bagi keingkaran kategori kedua ini,) Allah menyebutkan dalil-dalil yang cukup banyak dalam al-Quran tentang kewujudan haiwan dan insan menunjukkan wujudnya Pencipta mereka yang Maha Bijaksana.”[8]

Firman Allah Taala:

وَإِذَا مَسَّكُمُ الضُّرُّ فِي الْبَحْرِ ضَلَّ مَنْ تَدْعُونَ إِلَّا إِيَّاهُ فَلَمَّا نَجَّاكُمْ إِلَى الْبَرِّ أَعْرَضْتُمْ وَكَانَ الْإِنْسَانُ كَفُورًا

Maksudnya: Dan apabila kamu terkena bahaya di laut, (pada saat itu) hilang lenyaplah (dari ingatan kamu) makhluk-makhluk yang kamu seru selain dari Allah; maka apabila Allah selamatkan kamu ke darat, kamu berpaling tadah (tidak mengingatiNya); dan memanglah manusia itu sentiasa kufur (akan nikmat-nikmat Allah).

     (Surah al-Isra’:67)

Berkata Syeikh al-Maraghi: “Apabila kamu mengalami kesukaran yang melampau di tengah lautan, nescata akan hilang segala lintasan di benak fikiran kamu yang kamu seru dan mengharapkan manfaat, daripada berhala, jin, raja, orang atau batu, maka kamu tidak ingat apa pun melainkan Allah.”[9]

Ada seorang pemuda bertanya kepada Imam Ja’far Sadiq: Apakah bukti terhadap wujud Allah. Lalu Imam Ja’far bertanya: Pernahkah kamu naik kapal mengharungi lautan? Pemuda itu menjawab: Ya. Beliau bertanya: Adakah pernah kamu merasai angin yang bertiup kencang sampai kamu takut tenggelam? Pemuda itu mengiyakan. Beliau berkata lagi: Sehingga satu saat kamu putus pengharapan terhadap para pelaut yang menolong dan kapal (yang menyelamat)? Pemuda itu mengiyakan lagi. Tanya Imam Jaafar: Maka adakah ketika itu, terlintas dalam kepala kamu, ada sesuatu yang boleh menyelamatkanmu? Kata pemuda tadi: Ya. Ja’afar menjawab: Itulah Allah.[10] Wujud Allah (hal. 20) oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi.

 Pandangan Ulama’ Silam Tentang Ateisme

Dalam dunia Islam, ateisme bukanlah satu ancaman yang besar dari sudut sosial dan intelektual sehingga kebangkitan aliran Dahriyyun pada abad ke-8. Mereka adalah empiris yang percaya semua ilmu hanya boleh dicapai melalui pancaindera. Mereka percaya bahawa kosmos adalah bersifat abadi dan tercipta daripada empat elemen yang bertanggungjawab terhadap semua yang wujud. Bagi mereka, semua benda tercipta dengan sendiri tanpa pencipta.

Al-Khawarizmi dalam kitabnya Mafatih al-‘Ulum mendefinisikan Dahriyyun sebagai golongan yang percaya kepada keabadian masa.[11] Dalam Mufid al-‘Ulum

Imam al-Ghazali dalam al-Munqiz min al-Dhalal menyatakan bahawa golongan Dahriyyun menolak Allah SWT sebagai Pencipta dan Pentadbir. Menurut mereka, dunia ini wujud dengan kekal abadi tanpa pencipta. Haiwan datang daripada air mani dan air mani datang daripada haiwan; ianya seperti itu dan sentiasa akan seperti itu.[12]

Ibn Hazm dalam al-Fisal fi al-Milal wa Ahwa’ al-Nihal menyenaraikan 5 bentuk pemikiran golongan Dahriyyun iaitu:

  1. Mereka tidak melihat sesuatu pun yang tercipta melainkan ianya daripada sesuatu atau dalam sesuatu.
  2. Apa yang menghasilkan jisim adalah tidak dapat tidak, jauhar dan aradh; iaitu semua yang wujud di dalam dunia.
  • Sekiranya wujud pihak yang menghasilkan, samada ianya sama dengannya atau berbeza sepenuhnya atau samada pada aspek tertentu dan berbeza pada lainnya. Perbezaan sepenuhnya adalah sesuatu yang tidak dapat diterima kerana tidak ada yang boleh menghasilkan sesuatu yang berbeza atau berlawanan dengan dirinya, sebagaimana api tidak boleh menghasilkan sejuk.
  1. Sekiranya dunia ada pencipta, pencipta ini pasti akan melakukan sesuatu yang memanfaatkannya, membetulkan sesuatu yang salah yang mana ianya bertindak seperti makhluk-makhluk dunia ini, atau dengan alam semula jadi, yang akan menyebabkan perbuatannya menjadi kekal abadi.

Pandangan Ulama’ Kontemporari Tentang Ateisme

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam al-Fiqh al-Awlawiyyat mengkritik fahaman Ateisme dengan menyatakan bahawa penganutnya tidak mempercayai konsep ketuhanan, kenabian dan pembalasan hari kiamat. Mereka sama dengan golongan yang digambarkan oleh firman Allah SWT,

وَقَالُوا إِنْ هِيَ إِلَّا حَيَاتُنَا الدُّنْيَا وَمَا نَحْنُ بِمَبْعُوثِينَ

Maksudnya: “Dan tentulah mereka akan berkata pula: “Tiadalah hidup yang lain selain dari hidup kita di dunia ini, dan tiadalah kita akan dibangkitkan semula sesudah kita mati”.

(Surah al-An’am: 29)

Syeikh Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buti memberikan penjelasan yang cukup tuntas di dalam bukunya Kubra al-Yaqiniyyat al-Kauniyyah berkenaan hujah kewujudan Allah SWT. Kami ringkaskan huraiannya untuk memudahkan pemahaman pembaca:

Pertama: Bukti Mustahil Beratnya Sesuatu Tanpa Benda Yang Memberatkan

Segala perkara atau bentuk yang tercapai oleh daya ingatan dan persepsi kita tidak terkeluar atau terlepas daripada salah satu daripada tiga sifat atau bentuk hukum akal, iaitu wajib, mustahil dan mumkin. Wajib, adalah yang mustahil pada akal tiadanya. Mustahil, adalah mustahil pada akal adanya, dan mumkin, adalah yang tidak mustahil pada akal adanya dan juga tiadanya.

Alam semesta yang dapat kita saksikan adalah daripada jenis mumkin, iaitu akal memutuskan secara pasti bahawa jika diandaikan ia tiada, maka tidaklah mustahil pada akal, kerana mungkin ada suatu sebab tertentu yang menidakkan sesuatu daripada keadaan yang asalnya ada tanpa melazimkan atau memastikan hal itu mustahil dan tidak diterima akal. Jadi, adanya alam semesta dari segi zatnya bukanlah suatu kepastian. Segala sesuatu yang demikian sifat dan halnya, sudah pasti ada suatu kesan dari luar yang memberatkan salah satu daripada dua sudut mumkinya. Ini bermakna bahawa alam semesta ini pada asalnya layak menerima salah satu daripada dua keadaan: Wujud (Al-Wujud) atau tidak wujud (Al-‘Adam) dalam taraf dan timbangan yang sama berat. Sudah pasti ada suatu kekuatan dari luar yang memberi kesan kepadanya, yang menentukan secara khusus sudut wujudnya. Kekuatan ini ialah kekuatan Allah SWT Tuhan Maha Pencipta.

Mungkin anda akan mengatakan, “Saya mengandaikan alam semesta telah wujud dengan zatnya sendiri tanpa kekuatan dari luar yang memberi kesan kepadanya”. Andaian anda inilah yang menepati prinsip pertama atau bukti pertama, iaitu beratnya sesuatu timbangan tanpa sesuatu yang memberatkannya. Prinsip ini adalah mustahil. Maka andaian anda itu adalah batil dan mustahil.

Kedua: Bukti Kemustahilan Tasalsul

Kita katakan kepadanya: Jadi, anda bermaksud bahawa alam ini terus-menerus ada dengan kuasa yang disebut Al-Tawalud Al-Zati atau kelahiran yang berterusan dari dalam dirinya sendiri, tanpa titik awal permualaan kepada kewujudannya. Andaian ini memastikan kemungkinan berlakunya Tasalsul. Semua manusia sedia mengatakan secara Badihi bahawa Tasalsul adalah mustahil. Berikutnya, mustahil pula andaian yang dibawa atau berpunca daripadanya.

Makna Tasalsul adalah andaian bahawa segala makhluk atau kejadian telah lahir daripada sebahagiannya, tanpa kesudahannya, dengan erti bahawa setiap satu daripadanya itu menjadi Ma’lul kepada yang sebelumnya dan menjadi ‘Illah kepada yang selepasnya, tanpa berakhir (persambungan dan rantaian tersebut) kepada satu ‘Illah terakhir yang tidak lagi menjadi Ma’lul, tetapi menjadi ‘Illah yang memberi kesan kepada semua peringkat rantaian kelahiran tersebut.

Andaian ini terbatal dan mustahil yang dapat dipastikan oleh hukum akal yang amat jelas, kerana rantaian itu bersambungan pada kejadian yang bersifat mumkin. Walau bagaimana panjang sekalipun, persambungan rantaian tersebut tidak mengeluarkan dirinya daripada keadaan sifatnya yang sememangnya bersifat mumkin.

Ketiga: Bukti Kemustahilan Dan Kebatilan Dawr Atau Pusing-Temuan

Kita andaikan bahawa selepas mendengar hujah di atas, orang yang meragui kewujudan Allah SWT Tuhan Maha Pencipta akan terus berfikir, lalu mengatakan, “Saya mengakui bahawa alam semesta ini bersifat baru seperti yang anda katakan. Alam ini juga mempunyai ‘Illah yang memberi kesan kepada kewujudannya. Tetapi ‘Illah itu tidak lebih daripada Al-Tafa’ul Al-Zati Al-Mutadarrij, iaitu suatu interaksi yang saling mempengaruhi dari dalam diri alam itu sendiri secara beransur-ansur. Ini bermakna bahawa wujud pada awal kelahirannya tidak lebih daripada hawa atau udara yang memenuhi ruang kosong, kemudian menjadi air, lalu terjadilah proses pemeluapan dan seterusnya terbentuklah gas-gas tertentu. Dari sinilah terbentuknya unsur-unsur pertama yang diperlukan oleh kehidupan seperti karbon, hidrogen dan oksigen. Daripada pertemuan di antara unsur-unsur tersebut, terbentuklah suatu susunan organik yang tidak terhingga banyaknya. Setelah melalui jutaan tahun, susunan organik itu saling melalui faktor masa dan istimrar (kesinambungan). Sehinggalah akhirnya terbentuk unsur-unsur kehidupan dan lain-lain. Alam ini bersifat baru, tetapi sebab kebaruan dan kewujudannya adalah interaksi tersebut yang bermula dalam bentuknya yang paling mudah, kemudian meningkat kepada bentuk yang semakin kompleks”.

Jawapannya, “Bahawa andaian ini memastikan suatu pendapat yang diistilahkan dengan Al-Dawr atau ‘pusing-temuan’. Andaian ini mustahil dan batil yang tidak wujud hakikatnya dan tidak diterima oleh seluruh orang yang berakal siuman”.

Makna Al-Dawr atau pusing-temuan adalah kewujudan sesuatu atau terbentuknya sesuatu dalam bentuk yang tertentu bergantung kepada sesuatu yang lain. Tetapi kewujudan atau pembentukan yang kedua ini bergantung pula pada kewujudan yang pertama atau yang mula-mula itu. Memang mustahil wujudnya sesuatu atau terbentuknya sesuatu melalui interaksi Al-Dawr atau pusing-temuan tersebut. Tidak terdapat seorang pun yang berakal yang mengatakan, “kedua-duanyasaling bekerjasama lalu masing-masing mewujudkan yang lainnya”.

Contoh lain seperti kita katakan, “Adanya telur bergantung kepada adanya ayam”. Kemudian kita katakan pula, “Adanya ayam kerana adanya telur”. Kalau kita andai tiada jalan lain untuk menentukan kewujudan telur atau kewujudan ayam, maka sudah pasti kedua-duanya akan terus tiada sehingga ada suatu kesan dari luar yang dapat memecahkan pusing-temuan tersebut.

Perkembangan Ateisme Zaman Sekarang

Kelompok New Atheists adalah dalam kalangan penulis-penulis buku abad ke-21 yang mempromosikan ateisme. Antaranya adalah Sam Harris Richard Dawkins, Daniel Dennet dan Christopher Hitchens. Label New Atheists diberikan kepada mereka selepas ulasan-ulasan kewartawanan yang diberikan kepada buku-buku mereka. Secara umumnya, golongan yang menerima New Atheism menzahirkan keyakinan yang tinggi dalam pandangan-pandangan mereka. Malah, ianya jauh lebih agresif daripada pendekatan Ateis di zaman silam. Kesemua golongan New Atheists berkongsi pendirian yang sama dalam isu-isu melibatkan agama dan Tuhan.  Isu-isu ni akan kami huraikan selanjutnya dalam bahagian 5 Prinsip Utama Ateisme.

Kajian oleh TNS Malaysia yang dilantik oleh WIN-Gallup International (27 Oktober, 2014 to 15 November, 2014) menunjukkan 3% rakyat Malaysia adalah convinced atheists.[13]Bilangan ini adalah membimbangkan dan ianya mungkin bertambah tanpa pengetahuan kita. Terbaru, telah tular sekeping gambar segelintir anak bangsa Melayu-Islam yang dikhabarkan meraikan pertemuan Konsulat Atheist Republic di Kuala Lumpur. Pengasas bagi Atheist Republic – Armin Navabi – menjelaskan bahawa

5 Prinsip Utama Ateisme

Secara tidak langsung, seorang yang bergelar Ateis berpegang kepada 5 prinsip utama ini. Ia menjadi satu dasar kepercayaan sebagai seorang Ateis yang betul-betul memahami falsafah Ateisme moden atau New Atheism.

  • Anti-Tiesme. Kepercayaan bahawa teisme dan agama secara umumnya perlu ditentang dan dihapuskan sepenuhnya kerana tidak dapat diadili secara intelektual dan berbahaya kepada manusia.

 

Sam Harris berkata: “If I could wave a magic wand and get rid of either rape or religion, I would not hesitate to get rid of religion.”[14]

 

Christopher Hitchens berkata: “I am not even an atheist so much as an antitheist; not only maintain that all religions are versions of the same untruth, but I hold that the influence of churches and the effect of religious belief, is positively harmful.”

  • Kepercayaan bahawa mana-mana atau semua perkara memerlukan bukti untuk diterima. Dalam kata lain, seseorang individu diadili samada beriman, tidak beriman atau menolak untuk menyatakan pendirian berdasarkan mereka mempunyai cukup bukti atau tidak, pada ketika kenyataan tersebut dibuat. Kebiasaanya digunakan ketika menentang konsep “iman” atau “meyakini tanpa bukti”.[15]

 

Richard Dawkins berkata: “Faith is the great cop-out, the great excuse to evade the need to think and evaluate evidence. Faith is belief in spite of, even perhaps because of, the lack of evidence.”

Saintisme adalah istilah yang digunakan untuk kepercayaan bahawa metodologi dan pendekatan ilmiah dapat diterapkan untuk segala hal. Sains adalah cara pandang dunia yang paling berautoriti hingga menafikan cara pandang lainnya. Scientism telah didefinisikan sebagai “pandangan bahwa metod induktif sains adalah satu-satunya sumber pengetahuan yang benar dan terutama bahawa sains dapat menghasilkan pengetahuan yang benar mengenai manusia dan masyarakat.”

Menurut Victor Stenger, “The new atheists firmly insist that the personal Abrahamic (Islamic) God is scientific hyphothesis that can be tested by the standard methods of science.”[16]

 

Kepercayaan bahawa manusia wajar menjadi titik utama perhatian bagi manusia sejagat. Tuhan tidak berhak dan tidak diperlukan dalam menentukan halatuju hidup. Manusia adalah sumber etika, perundangan dan nilai di dunia ini. Epicurus menyatakan, “Jika Tuhan itu Maha Berkuasa, justeru mengapa Dia tidak menghentikan kejahatan?”

A.C. Grayling berkata, “the human good is for human responsibility to discern and enact, without reliance upon, or invocation of, any of the many religions which claims the transcendental authority, and posthumous rewards or punishments.”

Mengapa Ateisme Sesuatu Yang Tidak Bersifat Tabii (Unnatural)?

Kami berikan satu analogi. Pada satu hari, Ali ditegur oleh seorang lelaki misteri yang berkata,

Boleh saya beritahu kamu sesuatu? Apa sahaja yang berlaku pada masa silam kamu – semalam, setahun lepas, sehinggalah pada hari kamu dilahirkan – adalah tak wujud. Itu cuma ilusi dalam kepala kamu. Soalan saya, adakah kamu percaya bahawa masa silam itu wujud? Ali tidak mempercayai kata-kata lelaki itu dan membalas, “Apa bukti yang kamu ada untuk masa silam itu tidak wujud?”

Ahmad juga menerima soalan yang sama dan menghabiskan lebih 2 jam berdialog dengan lelaki berkenaan untuk membuktikan bahawa masa silamnya itu wujud. Respon manakah yang anda pilih? Respon Ali atau respon Ahmad? Hakikatnya, respon Ali lebih tepat. Ali – seperti kita juga – mempercayai bahawa masa silam adalah satu bentuk kebenaran yang muncul dalam diri sendiri (self-evident truth).  Oleh, itu orang yang mempertikaikannya perlu mendatangkan bukti yang sebaliknya.

Kita tukarkan watak di atas menjadi Muslim dan Ateis. Jika tiada hujah yang menolak akan kewujudan Allah, maka pendirian yang rasional adalah mempercayai adanya Allah. Mengapa persoalan kewujudan Allah menjadi soalan utama? Ia tidak sewajarnya disoal “Adakah Tuhan wujud?” Sewajarnya soalan yang tepat adalah “Apa hujah yang ada untuk menolak kewujudan-Nya?”Daripada perspektif ini, maka ateisme adalah tidak bersifat tabii.

Ada beberapa perkara yang boleh dinamakan sebagai self-evident truths. Antaranya adalah

  • Keseragaman alam semulajadi.
  • Peraturan sebab musabab.
  • Kebenaran masa silam.
  • Keabsahan pertimbangan atau pemikiran kita.
  • Kewujudan alam semulajadi.

Semua di atas tidak memerlukan pembuktian kerana ianya sudah jelas kebenaran dan realitinya dalam diri kita sendiri. Selain itu, ada beberapa ciri-ciri self-evident truths yang disepakati:

  • Ia tidak menjadi produk dalam budaya tertentu. Ia bersifat rentas budaya.
  • Ia tidak dipelajari melalui ilmu aqli atau pemindahan maklumat.
  • Terbentuk kerana fungsi semulajadi jiwa manusia.
  • Pentafsiran yang paling mudah tentang dunia

Realiti perkara yang telah berlaku adalah self-evident truth kerana ianya bersifat universal, semulajadi, alami dan intuitif. Ianya bersifat universal kerana semua budaya percaya kepada masa yang lepas, dari sudut yang mana ianya pernah menjadi “masa sekarang”. Kepercayaan kepada masa lalu juga tidak perlu diajar kerana apabila seseorang menyedari bahawa masa silamnya adalah sesuatu yang sebenar-benarnya berlaku, tidak ada yang mengajarnya tentang hal ini. Ini diperoleh berdasarkan pengalaman seseorang. Realiti perkara yang lalu juga adalah alami kerana individu yang mempunyai pemikiran yang normal juga bersetuju yang perkara sila adalah hal-hal yang telah berlaku. Selain itu, kepercayaan bahawa masa silam pernah berlaku juga adalah pentafsiran yang paling mudah kepada pengalaman-pengalaman dan ianya berdasarkan kefahaman semulajadi tentang dunia. Untuk mendakwah yang masa silam adalah hanya ilusi akan menimbulkan lebih banyak masalah daripada menyelesaikannya.

Mengapakah Tuhan itu sesuatu yang bersifat self-evident truths? Idea asas berkenaan Pencipta dan satu kuasa yang mengawal selia alam ini adalah bersifat rentas budaya. Kepercayaan tentang adanya Tuhan adalah satu kepercayaan rentas budaya dan tidak terhad kepada satu-satu budaya. Perbezaan tentang konsep Tuhan juga tidak menafikan adanya kepercayaan tentang kuasa yang lebih besar. Secara logik yang lebih mudah, manusia yang mempercayai Tuhan hakikatnya jauh lebih ramai daripada manusia yang tidak mempercayai Tuhan.

Kepercayaan tentang kewujudan Tuhan adalah sesuatu yang tidak perlu diajar lagi. Ianya sejak azali menjadi fitrah kepada manusia. Dr. Justin Barret dalam syarahannya ada menjelaskan secara panjang lebar isu ini dan beliau meyakini bahawa hatta kanak-kanak ateis yang dibiarkan di tengah padang pasir pun akan meyakini bahawa adanya “sesuatu”[17]

Perkara Yang Berubah-Ubah Tidak Boleh Dijadikan Pegangan

Sains bukanlah sesuatu yang bersifat tetap dan boleh berubah-berubah pada masa akan datang. Boleh jadi teori yang ditemui pada hari ini, akan dikaji semula dan dibuktikan berbeza daripada dapatan yang sedia ada.

Terlalu banyak teori-teori sains yang pernah popular dan pada penghujungnya disanggah dengan dapatan yang lain. Ini kerana sifat sains itu sendiri adalah teoritikal dan perkara yang bersifat teoritikal adalah tidak mutlak. Maka, sains itu bukanlah penentu bagi segala-galanya. Ianya cuma wasilah bagi mencapai kepada kebenaran. Apabila sains juga tidak bersifat mutlak, ini membuktikan bahawa tidak semua perkara di dalam al-Qur’an yang masih tidak dapat dibuktikan oleh sains itu, tidak saintifik. Hasilnya, adalah tidak logik untuk terburu-buru menyatakan bahawa Islam itu agama yang tidak saintifik dan tidak rasional.

Antara teori sains yang popular dan disanggah oleh teori moden lain adalah emission theory (Isaac Newton) dan special relativity (Albert Einstein). Selain itu, antara lain juga adalah:

  • Fleischmann–Pons’s Nuclear Fusion
  • Phrenology
  • Luminiferous Aether
  • Einstein’s Static (or Stationary) Universe
  • Martian Canals
  • Phlogiston Theory
  • The Expanding or Growing Earth
  • Discovery of the Planet Vulcan
  • Spontaneous (or Equivocal) Generation

 

Hujah Kewujudan Tuhan

Bayangkan Ahmad berada di sebuah bilik, sedang duduk di sudutnya. Pintu bilik tersebut telah terkunci rapi dan tidak dapat dibuka. Tidak ada ruang untuk sebarang udara keluar dan masuk walaupun sebesar jarum. Setelah puas memikirkan jalan untuk keluar, Ahmad tertidur. Apabila membuka mata, ada sebuah meja di hadapannya. Di atas meja, ada sehelai kertas tertulis, “Meja ini ada dengan sendirinya, daripada tiada kepada ada.”

Adakah Ahmad akan percaya nota berkenaan? Semestinya tidak. Kata hati Ahmad pada pandangan pertama akan terdetik, “Mustahil ada dengan sendiri.” Memang secara logiknya adalah mustahil ianya wujud tanpa ada sesiapa yang memasukkannya. Kemudian, terlintas di fikiran beliau beberapa kemungkinan;

  1. Mungkin ianya datang secara tiba-tiba tanpa ada yang meletakkannya.
  2. Mungkin ianya terjadi dengan sendiri
  3. Mungkin ada yang meletakkannya.

Oleh kerana fakulti kognitif Ahmad adalah normal, maka sudah tentu [3] adalah pilihannya dan paling rasional. Al-Qur’an sebagai kitab suci yang tidak ada keraguan padanya, sentiasa membawakan hujah-hujah yang bersifat rasional dan intelektual. Maka, pada hakikatnya akal dan wahyu adalah sesuatu yang tidak dapat dipisahkan.

Al-Qur’an memberikan formula yang sangat ampuh dalam membuktikan kewujudan Tuhan. Firman Allah SWT;

أَمْ خُلِقُوا مِنْ غَيْرِ شَيْءٍ أَمْ هُمُ الْخَالِقُونَ (35) أَمْ خَلَقُوا السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ بَلْ لَا يُوقِنُونَ (36)

Walaupun hujah ini merujuk kepada manusia, ia boleh juga diaplikasikan kepada apa jua yang terwujud. Ayat di atas memberikan satu panduan asas dalil secara logik bahawa Tuhan itu sememangnya wujud. Berdasarkan ayat di atas, al-Qur’an menyenaraikan empat kemungkinan untuk menjelaskan bagaimana sesuatu itu tercipta atau terwujud;

  1. Diciptakan oleh “tiada”
  2. Menciptakan diri sendiri
  • Diciptakan oleh sesuatu yang diciptakan
  1. Diciptakan oleh sesuatu yang tidak diciptakan.

Kami alihkan kepada bentuk yang lebih mudah untuk difahami.

  1. Alam jagat ini terbatas/terhad.
  2. Perkara yang terbatas boleh jadi datang daripada “tiada”, diciptakan olehnya sendiri, sepenuhnya diciptakn oleh sesuatu yang diciptakan atau diciptakan oleh sesuatu yang tidak diciptakan.
  • Ianya mustahil datang daripada “tiada”, diciptakan olehnya sendiri, sepenuhnya diciptakn oleh sesuatu yang diciptakan.
  1. Oleh itu, ianya diciptakan oleh sesuatu yang tidak diciptakan.

Berbalik kepada bukti fakulti kognitif yang normal, tidak mustahil dunia ini diciptakan oleh sesuatu yang tidak diciptakan iaitu Allah.

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Kepada saudara-saudara kami golongan Ateis,

  1. Kami dapati terdapat unsur-unsur penghinaan dan provokasi kepada agama-agama di dunia, khususnya agama-agama di Malaysia seperti Islam, Kristian, Hindu dan Buddha samada dalam media sosial, mahupun buku-buku tulisan golongan Ateis. Apa yang paling baik adalah menilai agama-agama ini dengan hujah intelektual dan ilmiah, bukannya generalisasi, provokasi dan penghinaan yang melampau khususnya terhadap agama Islam.
  2. Kepada The Atheist Republic Consulate Group di Kuala Lumpur, kami selaku Mufti Wilayah Persekutuan mewakili ketua-ketua bagi semua agama di Malaysia menyeru anda semua untuk menghormati Rukun Negara kita yang pertama; Kepercayaan Kepada Tuhan. Kami yakin masih ada ruang yang luas untuk kita bertukar pandangan dan berdiskusi, seterusnya mencapai kata sepakat dalam isu ini. Bukalah minda untuk menerima maklumat daripada sumber yang benar dan tepat kerana di situlah menunjukkan samada kita bersedia atau tidak untuk menerima kebenaran.

Kepada saudara-saudara kami umat Islam,

  1. Usah terlalu cepat menghukum, mengugut dan memberikan label yang negatif tanpa memahami terlebih dahulu sesuatu hal dengan mendalam. Kejahilan golongan Ateis kemungkinan adalah daripada maklumat yang salah yang sampai kepada mereka terhadap agama.
  2. Usah jadikan sikap terburu-buru itu satu fitnah kepada agama. Seorang Muslim yang baik akan berakhlak dengan akhlak yang baik dalam mendepani apa jua urusan kehidupannya.

Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi pernah menyebut,

البحث عن وجود الله دليل على وجود الله

Maksudnya: Pencarian tentang wujudnya Allah adalah dalil akan kewujudan Allah.

Kita tidak akan mencari sesuatu yang tidak wujud, melainkan ianya sesuatu yang pasti wujud. Inilah logik akal yang diterima pakai oleh sesiapa sahaja dalam kalangan manusia.

Badi’uzzaman Said Nursi pernah menyebut

“Tujuan saya kini adalah untuk menentang kumpulan ateis. Oleh itu, saya menyeru semua Muslim untuk berada di jalan keimanan, dan itulah yang saya sedang usahakan walaupun saya menghembuskan nafas yang terakhir dalam penentangan ini…”[18]

Akhir kalam, kami ingin menegaskan bahawa hidup berTuhan adalah satu hal yang bersifat fitrah dan tidak dapat dinafikan oleh akal kita. Pintu taubat masih terbuka luas untuk mereka yang ingin kembali ke jalan yang benar.

[1]https://en.oxforddictionaries.com/definition/atheism

[2] Bullivant, S. (2015). Defining ‘Atheism’. In: The Oxford Handbook of Atheism. Oxford: Oxford

University Press, m. 11-21

[3] Mu’jam Maqayis al-Lughah, 5/ 236

[4] Al-Mausu’ah al-Muyassarah fi al-Adyan wa al-Mazahib wa al-Ahzab al-Mu’asarah, m.

[5] Dawkins, R. (2006) The God Delusion. London: Bantam Press, p. 14.

[6] Tafsir al-Tabari (22/77-78)

[7] Tafsir al-Azim (7/288)

[8] Mafatih al-Ghaib (27/678)

[9] Tafsir al-Maraghi (15/74)

[10]

[11] Mafatih al-‘Ulum, m. 55.

[12] Al-Munqiz min al-Dhalal, m. 128-133.

[13]http://www.wingia.com/web/files/richeditor/filemanager/Malaysia_Tables_V3_a.pdf

[14] https://thesunmagazine.org/article/196

[15] Letters to A Young Contrarian,

[16] The New Atheism: Taking A Stand For Science And Reason, m. 34.

[17] https://www.youtube.com/watch?v=ltB0WOVE444

[18] Badee-uz-Zaman Said Nursi of Turkey, m. 69.

No Comments

    Leave a reply