MENJADI WARAS KETIKA MABUK BERMEDIA SOSIAL

Serena Ngu Qian Xing begitu marah apabila gambar-gambarnya yang dipaparkan dalam aplikasi telegram telah dicuri oleh seorang guru. Guru tersebut memaparkan kembali gambar-gambar yang dicuri itu dalam aplikasi whatsapp kumpulan dengan memberikan sedikit keterangan mengenai gadis berkenaan. Gadis malang itu dikatakan ‘pelacur berbayar’, yakni boleh dilanggani oleh sesiapa sahaja yang sanggup membayar kadar tertentu. Jika bersetuju dengan jumlahnya, mereka boleh berasmara atau melakukan hubungan seks.

Akhirnya Serena mendapat tahu, gambar-gambarnya telah dicuri dari seorang kawan. Serena memohon untuk dimasukkan dalam kumpulan whatsApp dan akhirnya mendapati memang benar foto-foto itu telah dimanipulasikan. Tidak cukup berbalas kata-kata di dalam WhatsApp, Serena merasa ia adalah sesuatu yang tidak beretika dan akhirnya pada 5 Februari 2019, dia membuat laporan polis.

Apa yang menariknya, antara komen Serena yang tetap diingati ialah :”Kita ada hak nak pakai baju macam mana dan kita juga ada hak untuk post gambar sebab akaun (media sosial) itu atas nama kita. Kalau anda ghairah tengok foto saya, tolong kawal nafsu anda. Segalanya bermula dengan pemikiran anda“. Kata-kata itulah sebenarnya telah menjerat moral dan peribadi Serena sendiri, meskipun setiap orang mempunyai kebebasan untuk memaparkan apa yang dianggap menarik untuk dikongsikan dalam media sosial, perkongsian sedemikian membawa padah.

Kisah Serena itu bukan kisah luar biasa, dan boleh kita temukan dalam pelbagai platform media sosial yang semakin menjadi sebahagian daripada budaya hidup manusia di zaman digital. Dalam kes yang lain, ada sepasang kekasih tanpa segan silu sanggup mandi berbogel di sebuah kolam air pancur, hanya kerana berfikir itu adalah hak dan kebebasannya. Tanpa disedari, gambar sedang berpelukan itu tersebar luas sehingga masyarakat lebih besar boleh melihatnya. Bagaimanapun, kisah Serena dan pasangan kekasih yang mandi di air pancur di Kota Kinabalu tidak diketahui perkembangan selanjutnya.

Bagi ahli psikologi, tindakan memaparkan gambar-gambar ‘ghairah’, terlalu kerap mengepos dan mengemaskini gambar peribadi dalam media sosial boleh mengundang pelbagai risiko. Paling mudah ialah gambar-gambar tersebut akan dieksploitasi atau dimanipulasi untuk pelbagai tujuan, termasuk digunakan sebagai ikon untuk ‘menjual’ pelbagai produk tertentu, termasuklah ubat-ubatan yang dikaitkan dengan lelaki. Sebab itulah peniaga online yang menyasarkan pembelinya adalah ‘lelaki’ yang bermasalah ‘tenaga bersenggama’ menampilkan foto ghairah.

Dalam kehidupan sekarang, semakin ramai manusia merasa kesepian dan rimas bila berjauhan dengan kemudahan peranti elektronik yang canggih. Bahkan, ketika peranti tersebut kehabisan kuasa (keupayaan bateri), sesetengahnya kelihatan saperti orang bodoh, tidak tahu apa nak lakukan. Misalnya ketika dalam pengangkutan awam, ia tidak lagi menjadi sesuatu yang menarik untuk melihat pemandangan di luar menerusi cermin, sebaliknya lebih mudah tersenyum sendirian apabila menatap mesej atau masukan menerusi media sosial. Skrin telefon pintar sebesar 5 atau 6 inci lebih memukau daripada kehijauan flora dan fauna di luar badan kenderaan yang dinaiki. Ini bermakna memang betul bahawa sebahagian hidup kita telah dikawal oleh media sosial, bahkan ada yang sanggup berbelanja besar untuk tidak merasakan diri dalam situasi tertinggal.

Sentiasa ada cara untuk memperolehi gajet terbaharu yang menawarkan ‘keseronokan berselfie’ apatah lagi syarikat-syarikat pengeluar telefon genggam tidak mahu kalah dalam peperangan merebut pelanggan. Fenomena mempunyai lebih dari satu unit telefon genggam bukan lagi sesuatu yang menampakkan kemewahan atau kesibukan dalam urusan perniagaan atau membina jaringan, ia sudah menjadi satu kemestian untuk memisahkan peranti kegunaan peribadi ketika berhubung dengan orang-orang tertentu dan untuk perhubungan secara umum.

Dalam aktiviti berselfie misalnya, kita akan menemukan rakaman foto yang unik dan kadangkala melanggar aspek budaya. Kita akan menemukan foto ada yang sedang melompat keseronokan sehingga terlupa sebahagian auratnya terdedah. Juga ada foto yang diedit dengan ‘muncung khinzir’ walaupun wajah-wajah yang dirakamkan itu gadis bertudung. Situasi seperti menggambarkan psikologi yang sudah rosak, sanggup menambahkan kecantikan wajah dengan menempelkan aspek hodoh seekor khinzir, yang pada lazimnya jijik dan jelek.

Saperti dirumuskan oleh pelbagai penyelidikan, kegilaan berselfie sebenarnya membuktikan penggemarnya mempunyai masalah kesihatan mental iaitu narsisistik dan histrinoik. Narsisistik ialah kekaguman kepada diri sendiri yang berlebihan manakala histrinoik bermaksud perilaku keterlaluan seperti berdrama atau mengada-ngada. Secara asasnya, narsisistik dan histriniok bukanlah penyakit yang dimulai oleh selfie, ia sudah hadir dalam diri seseorang. Kehadiran telefon genggam dengan kemudahan berselfie menjadikan gejala tersebut tidak lagi dapat disembunyikan, ia ditunjukkan menerusi aktiviti berselfie kerana telah hadir medium untuk menampakkan gejalanya.

Juga ditemui dalam dunia maya, persoalan dan kreatif menonjolkan diri bagi menarik perhatian orang lain sebagai aktiviti utama. Bagi generasi muda, ada ketikanya masih dalam keadaan mencari identiti tetap melihat penting untuk memposisikan kedudukan yang lebih tinggi, menerusi aktiviti swafoto dan penampilan sosok peribadi, seperti pakaian cantik, solekan yang unik, peragaan diri dan pelbagai hiasan kosmetik. Mereka tertarik dengan keragaman minat (point of interest) dan berceloteh dalam pandangan berbeza (different point of view).

Sebahagiannya pula memilih untuk menyebut-nyebut makanan kegemaran, restoran yang menarik dan rasa teruja apabila kebetulan bertemu dengan seseorang yang dianggap selebriti atau idola. Mereka sentiasa ada rasa untuk meniru, berusaha melengkapkan cerita dan mengikuti pelbagai gaya idola sehingga sanggup mengekori apa sahaja yang boleh dilakukan asal ada sedikit ‘kebersamaan’. Para selebriti pula memerlukan followers untuk memperlihatkan dirinya popular di dunia maya.

Populariti itu menjadi nilai tambah ekonomi. Ia memungkinkan dilantik sebagai duta produk mahupun ikon bagi sesuatu aktiviti kemasyarakatan atau komersial. Ia diukur berdasarkan jumlah likes yang diterima mahupun jumlah retweet dan followers. Makin tinggi makin lumayan bayarannya. Tidak hairanlah bila ada selebriti menerima bayaran lebih RM 20,000 setiap kali mempamerkan dirinya berswafoto. Bahkan, ada peminat tegar lebih banyak memuatnaikkan foto dan video idolanya. Kadangkala dibanjiri video tik tok diri sendiri.

Setiap orang boleh menentukan sendiri untuk memuat naik foto atau video sesiapa pun dalam akaun media sosialnya. Tanpa disedari kadangkala ia menjadi sesuatu yang terlalu obses menjadi orang lain. Timbul pula pertanyaan: Kenapa sanggup menjadi orang lain untuk melihat diri sendiri?. Suatu enigma. Enigma itulah menjadikan sebahagian daripada kita sanggup ‘memuja berlebihan’ dan saperti tergila-gila.

Ketika terobsesi itulah kadangkala ada yang lupa diri: mudah dieksploitasi, ditipu atau dimanipulasi sekelompok manusia melalui penyamaran. Penyamaran  mungkin dalam bentuk aktiviti mengumpul fan, sembang santai dan sebagainya. Ia bukan berlaku secara percuma, ada juga dikenakan bayaran dengan apabila diadakan di sebuah kelab hiburan ternama atau hotel tertentu.

Setelah bayaran dibuat, aktiviti berkenaan hanyalah ala kadar ataupun dibatalkan atas alasan tertentu. Pihak yang melakukan penyamaran itu memperoleh sejumlah wang yang besar, dan apabila menimbulkan masalah, mereka menyembunyikan diri. Selebriti berkaitan sebenarnya tidak pernah mengetahui bahawa suatu aktiviti sembang santai akan berlaku, kerana kaedah penyamaran itu berlangsung secara terancang dan hanya secara langsung dengan pemuja secara berlebihan.

Lebih menyedihkan, dalam keghairahan menunjukkan aktifnya bersosial media, selalu ada yang terkorban. Wang ringgit habis termasuk wang simpanan kerana dijanjikan sesuatu yang menarik dan menghiburkan. Ada juga yang terjerat dalam pasungan cinta palsu dan tidak kurang pula menjadi asas kepada aktiviti berunsurkan seksual, termasuk sumbang mahram, maksiat dan seks bebas. Kini, pelacuran dan perjudian dalam talian semakin canggih dan sukar dikesan oleh pihak berkuasa. Begitu juga dengan perjudian dalam media sosial.

Sepatutnya, perkembangan teknologi membantu manusia untuk hidup lebih baik, bukannya menjadi lebih celaru dan berkonflik. Saperti dinasihatkan oleh John Patrick Hickey, Oops! Did I Really Post That: Online Etiquette in the New Digital Age (2015) Be a person that others will look for your posts daily because they know you will encourage them. Be the positive one and help others to have a great day and you will find that not only they like you but you will like you too.”

Biarpun kadangkala kita hanya sekadar berkongsi sesuatu, mestilah sesuatu yang memberikan faedah kepada diri sendiri dan orang lain. Mungkin kita boleh berkongsi untuk mengingatkan rakan-rakan media sosial agar ‘sedar diri’ dan menghormati nilai-nilai kehidupan yang selari dengan budaya, agama dan persekitaran setempat. Tidak terlalu ‘memuja’ kepada sesuatu yang ghairah dan aktiviti yang merosakkan.

Bahkan, Charles Leadbeater pernah menulis dalam bukunya We Think: The Power Of Mass Creativity (2008), “You are what you share.” Apa yang anda kongsikan itu sebenarnya mencerminkan apa yang anda fikirkan dan sikap anda sendiri. Hati-hatilah. Perkongsian boleh menyebabkan anda turut terperangkap atau bersubahat dengan hal-hal yang negatif sehingga boleh ditahan oleh pihak berkuasa, atas kesalahan di bawah Akta Multimedia dan Komunikasi kerana boleh menimbulkan suasana jelek dan memburukkan keadaan. Inilah yang sedang berlaku dalam media sosial berkaitan penularan wabak virus corona atau 2019 n-CoV yang sudah menyebabkan lebih 300 orang meninggal di wilayah Hubei, China dan seorang mati di Filipina (kes pertama di luar China).

Anda mungkin belum terlupa dengan hukuman yang terpaksa ditanggung oleh seorang pemuda dari Sarawak. Akibat ghairah membuat komen yang jelek terhadap Islam, pemuda berkenaan dihukum penjara 10 tahun 10 bulan. Sanggupkah anda dipenjarakan hanya kerana ‘ghairah’ mengeluarkan komen yang boleh membangkitkan kemarahan awam?

Ketika cepatnya maklumat disebarkan dan kita turut teruja untuk berpartisipasi, ketika itulah kita terpaksa menggunakan keupayaan minda untuk menyemak, menyaring dan seterusnya mempersoalkan apakah wajar melontarkan komen yang mungkin kita anggap berpatutan, sebenarnya bertentangan dengan peraturan-peraturan semasa. Secara warasnya, gunakanlah ‘common sense’ untuk menilai sesuatu masukan sebelum kita bersedia mengeluarkan pandangan atau pendirian.

 ‘Common sense’ itulah menjadi penyelamat dengan syarat, kita sentiasa bertanya dengan akal yang sehat, kerana kita tidaklah 100 peratus dapat mengesan kebohongan. ‘Common sense’  dapat menghindarkan diri kita daripada tersihir oleh aktiviti ‘cuci otak’ yang setiap hari memasuki ‘inbox’ akaun media sosial. Jangan terasa janggal atau bersalah jika tidak semua masukan itu kita baca. Sebahagiannya boleh sahaja kita bakulsampahkan tanpa perlu melihat kandungannya, dan tumpukan kepada perkara yang benar-benar bersifat pengetahuan dan membina akal sehat.

Boleh sahaja kita membersihkan senarai followers, friends dan sebagainya. Kita tidak perlu mereka yang hanya tahu mengkritik, memprovokasi dan terlalu memikirkan pandangan mereka sahaja yang betul, bernas dan tepat.  Kita mempunyai hak untuk menentukan apa yang baik dan perlu kita ikuti. Sebenarnya kitalah yang menentukan pilihan itu asalkan kita sedar, setiap apa yang hendak kita lakukan mestilah berpandukan adat, budaya, susila, peraturan dan nilai-nilai agama yang kita yakin dan percaya.

Kita boleh mati dalam provokasi dan juga boleh hidup tenang dengan tidak menimbulkan provokasi. “Fake people talk about other people being fake!” Dunia maya adalah dunia yang tidak nyata, terlalu banyak yang tidak jujur daripada mereka yang jujur. Penyamaran dibolehkan. Akaun palsu, pemiliknya adalah lelaki tetapi menggambarkan dirinya sebagai wanita.

Menipu ‘kesepian’, seorang janda yang sedang mencari pasangan, sedangkan dirinya adalah kasanova. Memiliki harta warisan, tetapi tidak boleh dicairkan kerana perlu membayar ‘duti’ atau kos guaman yang tinggi. Sanggup berkongsi wasiat itu asalkan ada yang sudi membantu; akhirnya, kita tertipu. Setelah kehabisan wang simpanan, barulah terngadah. Scammer memperoleh wang dengan mudah dan untuk mengesannya, ia sesuatu yang melibatkan banyak perkara, termasuk undang-undang dan pembuktian yang panjang. Ia belum tentu apa yang kita ‘laburkan’ itu dapat dipulangkan. Mereka sudah lesap entah ke mana.

Waraskah kita ketika kita ghairah bersosial media? Suatu pertanyaan yang perlukan jawapan secara instrinsik. Jawapan itulah sebenarnya mencerminkan sikap dan prinsip kita sendiri. Kita perlu menjawabnya kerana secara sedar kita tidak mahu diri sendiri menjadi mangsa eksploitasi dan manipulasi atau diperalatkan oleh pengguna media sosial yang pintar menipu dan mencuci otak. Ia turut dikaitkan dengan teori penjulukan atau labelling theory.

Menurut Profesor Deddy Mulyana dan kawan-kawan: “teori penjulukan (labelling theory) yang menegaskan bahawa ketidakwarasan seseorang dibangun oleh problem komunikasi dengan orang-orang di sekitarnya….proses penjulukan begitu dahsyat hingga korban salah tafsir tidak mampu menolak pengaruhnya…persepsi diri kita mengenai diri kita…sebenarnya  bergantung pada persepsi orang lain terhadap kita yang kemudian kita internalisasikan….Manusia memutuskan berbuat sesuatu berdasarkan penafsiran atas dunia di sekelilinginya.” (Membongkar Budaya Komunikasi, 2017: 50-51)

 

MAHANOR SALEHA.

No Comments

    Leave a reply