MENJAUHI PENASIHAT JAHAT

Sejarah membuktikan bahawa kebanyakan pemimpin jatuh bukan berpunca daripada kebodohan, tetapi disebabkan peranan para penasihatnya, iaitu orang-orang yang rapat dengan pemimpin. Tugasan utama penasihat ialah memberikan nasihat atau pihak yang dimintai pandangan. Pada umumnya, mereka adalah orang-orang kepercayaan, sehingga  pemimpin mempercayai pandangan apa sahaja yang mereka katakan, tanpa berusaha menyelidiki dan mengenalpasti terlebih dahulu perkara-perkara yang hendak disampaikan oleh mereka itu.  Disebabkan peranan  penasihat yang mustahak, tidak berlebihan untuk dikatakan bahawa tegak dan hancurnya suatu negara amat ditentukan oleh kearifan dan kesungguhan pemimpin mendengarkan kata hatinya dalam memilih dan menerima pendapat daripada penasihat.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud “apabila Allah menghendaki kebaikan kepada seorang pemimpin, maka ia memberikan untuknya seorang menteri (wazir) yang jujur”. Maknanya, jika pemimpin itu lalai, maka penasihat itulah yang akan mengingatkannya. Namun apabila Allah SWT menghendaki sebaliknya, maka ia akan memberinya penasihat jahat yang menjerumuskan pemimpin itu melakukan kejahatan tanpa berusaha menasihatinya.

Kearifan seorang pemimpin dalam menentukan siapa yang akan dijadikan pembantu atau orang kepercayaannya, tidak saja akan menentukan kredibiliti dan nasib si pemimpin, tetapi bahkan akan menentukan nasib sesebuah negara.  Al Ghazali mengatakan punca kejatuhan pemimpin disebabkan kecuaiannya dalam mengelola kerajaan yang dipimpinnya.

Dalam salah satu karyanya, al-Ghazali pernah berdialog dengan bekas pemimpin yang jatuh dan bertanya, “Apa punca kekuasaanmu musnah dan beralih tangan kepada orang lain”? Bekas pemimpin itu menjawab, “aku tertipu oleh kekuasaan dan kekuatan yang aku miliki. Aku melupakan mesyuarat, mengalihkan tugasan kepada penasihat yang tiada pengalaman dan menafikan pegawai kanan. Aku mensia-siakan peluang dan kesempatan yang diberikan dan tidak pula melaksanakan pada masa yang diperlukan.

Al-Ghazali bertanya lagi, “apakah perkara yang paling menimbulkan keburukan?” bekas penguasa berkata “iaitu pegawai yang tidak jujur, berkhianat dalam menyampaikan risalah kerana kepentingan perut mereka sendiri, betapa banyak kerajaan hancur akibat ulah mereka”.

Pada zaman al-Ghazali, praktik-praktik politik yang menyimpang dari ketentuan syari’at bermaharajalela, seperti amalan rasuah, salah guna kuasa dan wujudnya ulama jahat (su’). Imam al-Ghazali menilai bahawa praktik politik yang menyimpang tersebut disebabkan terdapat ulama yang terjerumus dalam perkara duniawi. Mereka tidak lagi mengikuti perintah dan petunjuk al-Quran. Jawatan sebagai penasihat penguasa dimanfaatkan untuk kepentingan pribadinya, membolot wang sebanyak-banyaknya tanpa memikirkan nasib orang yang lemah. Ulama, yang sepatutnya berperanan menasihati penguasa agar sentiasa berada di jalan kebenaran, malah berperanan sebagai perosak tatanan kehidupan bernegara.

Al-Ghazali berpendapat bahawa agama dan Raja bagaikan dua entiti kembar yang tidak dapat dipisahkan. Agama ialah asas negara, sedangkan Raja ialah pengawal negara. Sesuatu yang tanpa asas akan mudah runtuh, dan sesuatu yang tanpa pengawal akan hilang. Kewujudan Raja ialah suatu keharusan bagi ketertiban dunia, ketertiban dunia ialah cita-cita mulia dari semua agama, dan agama ialah wasilah terbaik untuk mendapatkan kebahagiaan di akhirat.

Dalam Islam, orang yang beriman dapat merasakan kebaikan dalam kehidupan dunia ini. Kualiti kehidupan akhirat selari dengan kualiti kehidupan di dunia. Oleh itu, ada hubungan rapat antara dunia dan agama untuk penubuhan kuasa dan kedaulatan negara melalui ketua negara yang taat dan yang mampu melindungi kepentingan rakyat, baik perkara duniawi mahupun perkara ukhrawi.

Ulama ialah pewaris para Nabi. Ia mempunyai tanggungjawab menjaga dan memelihara perkara yang dibawa oleh Nabi, iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Ulama tidak hanya menguasai khazanah pemikiran Islam, baik yang berkaitan dengan aqidah dan syariah, tetapi juga berupaya menerapkan, memperjuangkan dan menyebarkan nilai Islam. Dalam konteks ini, para ulama bukanlah sekadar memahami hujah-hujah daripada al-Quran dan al-Hadith melainkan harus terlibat dalam perjuangan mengubah realiti kehidupan yang bertentangan dengan warisan Nabi.

Ulama hendaknya berani mengingatkan penguasa apabila ada perkara-perkara yang tidak benar atas keputusan dan tindakannya berkaitan dengan hal ehwal pemerintahan. Al-Ghazali mengkisahkan bahawa para ulama salaf sudah terbiasa menghadapi keadaan bahaya dan menyerukan amar makruf nahi munkar secara terang-terangan tanpa disertai rasa takut menerima ancaman jiwa dan seksaan.

Sikap diam para ulama terhadap kemunkaran hanya menatijahkan pemerintahan yang zalim. Oleh itu, ulama perlu berusaha sekuat tenaga membantu para penguasa untuk tetap berada di “jalan” yang benar, walaupun keselamatan nyawa menjadi taruhannya.

Ulama menjadi simbol pemilik keilmuan yang luas dan mampu menguasai senario politik sama ada politik serantau dan antarabangsa. Ulama dengan kemampuan seperti ini akan mudah mengawal penguasa dalam menjalankan pemerintahan. Benih-benih pemberontakan dan gejala perpecahan dapat dielakkan dengan kemampuan berpolitik yang dimiliki oleh ulama yang sedemikian.

Al-Ghazali juga mengambil berat terhadap isu punca penjanaan raja-raja, cara-cara membelanjakan harta benda mereka, serta status sah dan haram harta mereka. Al-Ghazali juga menganggap bahawa kehancuran rakyat disebabkan terhakisnya akhlak raja. Beliau mengatakan bahawa rosaknya akhlak raja akibat rosaknya para ulama, dan rosaknya ulama ialah akibat daripada cintanya terhadap kekayaan dan kedudukan. Sesiapa yang dikawal oleh dunia, ia tidak akan mampu melaksanakan kebajikan dan mencegah kemungkaran terhadap raja dan pembesar.

Di samping itu, ulama juga harus tetap mengingati tugas asasnya iaitu untuk melindungi umat daripada kehancuran intelektual, khasnya di bidang agama. Agama mengajarkan manusia menjadi personaliti yang berkualiti dan dapat melahirkan para intelektual yang bermoral. Kejayaan suatu negara menuntut kualiti sumber daya manusia yang hebat. Hal ini bermula daripada pendidikan yang terbaik. Membangun warga yang berpendidikan merupakan modal berharga menuju pemerintahan yang “bersih”.

Oleh: Tan Sri Dr Alies Anor AbduI

Pengerusi Yayasan Maklumat

No Comments

    Leave a reply