MENJAWAB KEKELIRUAN

Penjelasan terhadap kekeliruan usul persendirian oleh YB Marang bagi mencadangkan rang undang-undang (ruu) ahli persendirian  bernama  rang undang-undang mahkamah syariah (bidang kuasa jenayah)(pindaan) 2016 [akta 355]

Pelbagai reaksi telah timbul dan dilontarkan oleh pelbagai pihak terhadap Usul Persendirian oleh YB Ahli Parlimen bagi kawasan Marang (YB Marang) bagi mencadangkan Rang Undang-Undang (RUU) Ahli Persendirian bernama RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah )(Pindaan) 2016  yang dikemukakan  pada 26 Mei 2016 dalam persidangan Dewan Rakayat pada Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat, Parlimen Ke-13.    Penulis mendapati timbul  beberapa kekeliruan dan kesilapan memahami usul tersebut.  Justeru, penulis terpanggil untuk memberi penjelasan agar kekeliruan tersebut tidak berpanjangan.

  1. “Pada 26 Mei, Presiden PAS YB Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang telah membentang Rang Undang-Undang (RUU)  Persendirian untuk meminda Seksyen 2, Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965..” atau “Pembentangan RUU pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) pada 26 Mei 2016 …”

Kenyataan ini tidak tepat, sebenarnya YB Marang membentangkan Usul Persendirian bagi mencadangkan Rang Undang-Undang (RUU) Ahli Persendirian  bernama  Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016.  Itu pun, sekadar membaca usul sahaja dan penghuraiannya ditangguhkan kepada persidangan di Mesyuarat  Dewan Rakyat akan datang mengikut Peraturan Mesyuarat 15(5). Oleh itu, RUU ini masih di peringkat awal pembentangannya dan perlu melalui pelbagai proses yang panjang di Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebelum RUU ini dikuatkuasakan.

  1. “ …Jika RUU Persendirian untuk meminda Akta 355 diluluskan pada sessi Dewan Rakyat akan datang (Oktober 2016)…” atau “..ia akan dibuat bacaan kali kedua pada bulan Oktober nanti.:

RUU tersebut tidak akan diluluskan oleh Dewan Rakyat pada bulan Oktober  dan November 2016 ini.  Apa yang akan berlaku, Usul Persendirian akan dibentang (dihuraikan), disokong, dibahas, di jawab oleh Kerajaan dan diputuskan  sama ada ianya dipersetujukan atau tidak bergantung kepada undi suara atau belahbahagian (jika ada permintaan) .  Ini pun, bergantung kepada kebenaran Kerajaan untuk mendahulukan Usul Persendirian tersebut berbanding urusan-urusan Kerajaan lain., walaupun, usul ini ditangguhkan mengikut Peraturan Mesyuarat 15(5).  Andaikata, jika Usul Persendirian bagi mencadangan RUU Ahli Persendirian dipersetujui, maka  RUU itu disifatkan telah dibuat bacaan kali yang pertama .

Mengikut Peraturan Mesyuarat 49, tindakan seterusnya adalah seperti berikut:-

  • Salinan RUU itu dihantar/diedar kepada Ahli-ahli tanpa dibahas.
  • Menteri yang bertanggung jawab menyediakan penyata.
  • Tiada had tempoh ditetapkan untuk penyediaan penyata, di mana ia mengandungi rumusan dan hasil kajian yang mendalam oleh pihak Kerajaan/Ahli yang menjaga RUU. Dalam konteks ini, RUU ini perlu melalui fasa rundingan dengan pelbagai pihak yang berkepentingan terutamanya pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri iaitu Majlis Agama Islam Negeri dan DYMM Sultan-Sultan sebagai ketua agama Islam di negeri-negeri. Seterusnya perlu dibincangkan dan dipersetujui oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam dan  Jemaah Menteri serta  diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja.  Selepas itu baharulah penyata itu diserahkan kepada Majlis Derwan Rakyat.
  • Setelah Majlis Dewan Rakyat menerima penyata, akan ditetapkan bacaan kali yang kedua pada hari yang dikehendaki oleh Ahli yang menjaga RUU itu ( Menteri berkenaan).
  • Bacaan kali yang kedua oleh Ahli yang menjaga RUU itu/ pihak Kerajaan (Menteri yang berkenaan) akan melalui proses pembentangan, perbahasan peringkat dasar dan jawatankuasa. Jika Kerajaan ingin membuat pindaan, Menteri akan mencadangkan di peringkat jawatankuasa. RUU perlu  dipersetujukan secara undian suara atau belahbahagian (jika ada permintaan 15 Ahli) pada semua peringkat bacaan kali yang kedua dan ketiga.
  • Seandainya proses penyediaan penyata mengambil masa yang lama dan tidak sempat di serahkan kepada Majlis Dewan Rakyat sehingga Majlis Parlimen dibubarkan, maka mana-mana RUU yang dalam pertimbangan Majlis akan terluput  selari dengan pembubaran tersebut  (Perkara 55, Perlembagaan Persekutuan).  [Lihat Rajah 1 dan 2].
 

Rajah 1: Peraturan Mesyuarat 49 [ Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat  ]

Rang Undangundang daripada ahli yang bukan ahli Kerajaan.

49. (1)  Dengan  tertakluk  kepada  syarat-syarat  dalam  Perkara  67  dalam  Perlembagaan  siapa-siapa ahli  yang  bukan  ahli  Kerajaan  yang  hendak  membawa  Rang Undang-undang boleh meminta izin Majlis  hendak  berbuat  demikian,  dan  ia  hendaklah juga  menyertakan  bersama  satu  naskhah  Rang Undang-undang  berserta  dengan  huraian  mengenai tujuan-tujuan  dan sebab-sebabnya, tetapi tidak boleh mengandungi  apa-apa  hujah  pada  masa  membawa Rang Undang-undang itu.

 

(2)  Tiap-tiap  permohonan  demikian  itu  hendaklah  dengan  cara  yang  dikeluarkan  usul,  dan  ahli  yang  mengeluarkan  permohonan  itu  hendaklah  juga menyampaikan kepada Setiausaha suatu  salinan  usulnya  mengandungi  nama  Rang  Undang-undang  yang  dicadangkan  itu.  Setiausaha  hendaklah  enggan  menerima apa-apa permohonan yang tidak menepati  kehendak  Peraturan-peraturan   esyuarat  ini  atau  mana-mana undang-undang Persekutuan.

 

(3)  Apabila  diperkenankan  permohonan  itu  setelah  dikemukakan  kepada  mesyuarat  dan  disetujukan usul itu, maka Rang Undang-undang itu  akan  disifatkan  telah  dibacakan  kali  yang  pertama  dan  diperintahkan  dicap;  dan  satu  salinan  Rang  Undang-undang  itu  hendaklah  disampaikan  kepada  Setiausaha.

 

(4)  Dengan  tertakluk  kepada  Peraturan  Mesyuarat  51,  Rang  Undang-undang  itu  hendaklah  dicap dan dihantar kepada ahli-ahli dan dengan tidak  dibahaskan,  terserahlah  Rang  Undang-undang  ini  kepada  Menteri  yang  berkenaan  dengan  perkaraperkara  atau  tugas-tugas  yang  terkandung  dalam  Rang  Undang-undang  itu  atau,  jika  tiada  Menteri yang  berkenaan,  maka  terserahlah  Rang  Undangundang  itu  kepada  Menteri  atau  ahli  yang  dilantik  oleh  Tuan  Yang  di-Pertua,  tidak  boleh  dijalankan  apa-apa  langkah  atas  Rang  Undang-undang  ini  sehingga Majlis menerima penyata daripada Menteri  atau ahli itu.

 

(5)  Setelah  diterima  penyata  yang  disebutkan  dalam perenggan yang lalu itu, maka Rang Undangundang itu akan ditetapkan bagi dibacakan kali yang kedua  pada  hari  yang  dikehendaki  oleh  ahli  yang menjaga Rang Undang-undang itu.

 

Rajah 2:Carta Alir:

Ahli yang bukan ahli Kerajaan  kemukakan naskhah Rang Undang-Undang Ahli Persendirian (lengkap) kepada S/U Dewan berserta Usul Persendirian (Mengandungi namaRUU itu)

Usul Persendirian untuk mencadangkan Rang undang-undang Ahli Persendirian [P.M 49(1)]

  • M.49
  • M 27
  • Notis 14 Hari
Usul disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat (Buku & Harian)

Usul didahulukan  dan seterusnya  dibentang, dibahas, & dijawab  oleh Kerajaan dan dipersetujukan. (Jika disetujukan dan disifatkan telah dibacakan kali yang pertama)

P.M 15 -Urusan Kerajaan Didahulukan. Ahli Parlimen minta kebenaran Kerajaan untuk mendahulukan Usul Persendirian.

Bacaan kali yang kedua oleh Menteri / Ahli yang bertanggungjawab [pada hari yang dikehendaki] dan proses seterusnya sehingga disetujukan.

 

Rang Undang-Undang Persendirian dihantar kepada Ahli-ahli Dewan &Menteri  yang bertanggungjawab / Ahli yang dilantik oleh Yang di-Pertua.
Menteri /Ahli yang bertanggungjawab menyediakan Penyata.
Majlis Mesyuarat menerima Penyata Laporan daripada Menteri.[Tidak boleh dijalankan apa-apa langkah sehingga Majlis menerima penyata]

  1. “… Perlu mendapat persetujuan 2/3 anggota Dewan Rakyat.”

Hanya pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan sahaja yang memerlukan undi atau persetujuan 2/3 anggota Dewan Rakyat dan juga Dewan Negara.  Manakala RUU lain atau pindaan kepada Akta sedia ada pula memerlukan persetujuan secara majoriti mudah sama ada melalui undian secara  suara atau belahbahagian (jika ada permintaan)

  1. “.. Pembentangan Usul Persendirian tersebut yang pertama dibuat oleh ahli Dewan Rakyat pembangkang dalam sejarah Parlimen …”

Kenyataan ini adalah tidak betul.  Usul-usul Persendirian  bagi mencadangkan RUU Ahli Persendirian telah sering kali diterima oleh pihak Parlimen, dalam ertikata dimasukkan dalam Aturan Urusan Mesyuarat.  Biasanya usul sedemikian daripada pihak pembangkang. Bahkan dalam sejarah persidangan Mesyuarat  Parlimen sebelum ini, telah terdapat 4 Usul Persendirian yang dibahaskan, iaitu:

  1. Usul untuk mengemukakan Rang Undang-undang Persendirian –Meminda Ordinance Kesatuan Sekerja , 1959 pada 24 Oktober 1977 di Penggal Ketiga Parlimen Keempat oleh Ahli Parlimen bagi kawasan Kinta.. Usul ini tidak disetujukan dengan undian suara.
  2. Usul untuk mengemukakan Rang Undang-undang Persendirian – Akta Melindungi Pekerja Pekerja dan Gaji Minima, 1977pada 24 Oktober 1977 di Penggal Ketiga Parlimen Keempat Ahli Parlimen bagi kawasan Kinta.  Usul ini tidak disetujukan dengan undian suara.
  3. Usul untuk mengemukakan Rang Undang-undang Persendirian – Akta Biro Siasatan Negara (Pindaan), 1977pada 2 4& 25 Oktober 1977 di Penggal Ketiga Parlimen Keempat oleh Ahli Parlimen bagi kawasan Kota Melaka. Usul ini tidak disetujukan dengan undian suara. [Ada permintaan undi belahbahagian, tetapi kurang 15 Ahli yang berdiri/menyokong]
  4. Usul untuk mengemukakan Rang Undang-undang Persendirian –Meminda Akta Pertubuhan 1966,pada 5 & 6 Disember 1988 (hari akhir persidangan) di Penggal Kedua Parlimen Ketujuh oleh  Ahli Parlimen bagi Kawasan Gua Musang.   Usul ini tidak disetujukan dengan undian belahbahagian (35 undi bersetuju dan 108 undi tidak bersetuju).

 

  1. “… Menggunakan RUU Persendirian adalah lebih mudah berbanding RUU Kerajaan. Ia perlu mendapat persetujuan pihak yang menguruskan sesuatu akta… “

Pandangan ini juga tidak tepat kerana cadangan RUU Ahli Persendirian melalui proses pembentangan yang lebih panjang seperti dijelaskan sebelum ini.

Walau pun cadangan pindaan terhadap Akta 355 ini melalui RUU Ahli Persendirian,  namun akhirnya mulai peringkat bacaan kedua, ianya akan melalui proses pembentangan sebagaimana  RUU Kerajaan. Ini kerana  setelah Usul Persendirian tersebut  dipersetujukan oleh Dewan Rakyat melalui undi suara atau belahbahagian, maka RUU yang dicadangkan itu akan disifatkan telah dibuat bacaan kali yang pertama  dan RUU akan diedarkan kepada Ahli-ahli Dewan untuk diteliti dan juga kepada Menteri yamg bertanggungjawab untuk menyediakan Penyata.

Bacaan kali yang kedua akan ditetapkan setelah Majlis menerima Penyata.  dan bacaan tersebut akan dibuat oleh Menteri yang menjaga Rang Undang-undang itu.  Seterusnya Rang Undang-Undang itu akan melalui proses pembentangan dan perbahasan peringkat dasar,  jawatankuasa  dan bacaan kali yang ketiga serta dipersetujukan.

 

  1. “… Menteri di Jabatan Perdana Menteri sudah memberi lampu hijau walaupun pada tarikh tersebut tidak dihadirnya. Ia disokong oleh Menteri di Jabatan Perdana yang mempunyai kaitan dengan undang-undang “.

Sebelum Usul Persendirian dikemukakan oleh YB Marang, pihak Kerajaan hendaklah bersetuju untuk mendahulukan atau menaikkan Usul Persendirian tersebut.  Ini kerana Peraturan Mesyuarat 15(1) telah menetapkan urusan Kerajaan hendaklah didahulukan dari urusan-urusan lain.  Persetujuan Kerajaan adalah melalui sokongan oleh Menteri yang berkaitan serta  Ketua Majlis ( YAB Perdana Menteri) dan/atau Ketua Whip Barisan Nasional yang juga YAB Timbalan Perdana Menteri.

Bagi mendahulukan Usul  Persendirian tersebut, pihak Kerajaan perlu memasukkan  dalam senarai urusan-urusan yang akan diselesaikan melalui Usul Urusan Mesyuarat mengikut Peraturan Mesyuarat 12(1) atau 14(2).   Sewajarnya usul ini dikemukakan oleh Menteri yang bertanggungjawab terhadap urusan Parlimen bagi pihak Kerajaan.  Manakala Menteri yang berkaitan dengan Usul RUU Ahli Persendirian  ini pula akan menjawab Usul Persendirian tersebut,  tetapi perbahasan Usul tersebut telah ditangguhkan.

  1. “RUU ini penting untuk pelaksanaan sebahagian kesalahan yang terkandung dalam Enakmen Jenayah Syariah Pindaan 2015 (Enakmen 2015) kecuali hukuman bunuh….. “ atau “..sebagai permulaan pelaksanaan hukum hudud di Malaysia.”

Sekiranya RUU ini diluluskan oleh Parlimen (Dewan Rakyat, Dewan Negara dan perkenan DYMM Yang di-Pertuan Agong) dan seterusnya diwartakan, bukan bermakna secara automatik pindaan Akta 355 dilaksanakan oleh negeri-negeri.   Kesalahan-kesalah jenayah syariah diperuntukkan Enakmen Negeri-negeri  atau Akta Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan.  Hukumannya  tidak melebihi penjara 3 tahun atau denda RM 5,000 atau 6 kali sebatan atau gabungan hukuman tersebut (Ringkasnya 356) dan hanya melibatkan orang-orang Islam sahaja.

Secara ringkasnya,  kesalahan-kesalahan jenayah syariah itu merangkumi:-

  1. kesalahan yang berhubung dengan akidah;
  2. kesalahan berhubungan dengan kesucian agama Islam dan institusinya;
  3. kesalahan berhubung dengan rukun Islam, arak, judi dan kesusilaan;
  4. kesalahan seksual;
  5. kesalahan berhubung dengan kesejahteraan orang lain; dan
  6. kesalahan Pelbagai.

Secara umumnya,  persetubuhan haram (zina), qazaf ( berbohong kerana zina), minum arak, ,keluar Islam (murtad)  adalah   kesalahan-kesalahan yang telah sedia ada di peruntukkan  dalam Enakmen Jenayah Syariah di Negeri-negeri Justeru, cadangan pindaan dengan membenarkan  Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman, “ selain dari hukuman mati.”   Ini  bermakna hukuman denda, penjara dan sebatan boleh ditingkatkan kepada bilangan sebatan menepati kehendak syarak dan tertakluk kepada kelulusan oleh  Dewan Undangan Negeri (DUN).  Ini bermakna  DUN masing-masing  perlu meluluskan pindaan yang di cadangkan oleh Majlis Agama Islam Negeri melalui kerajaan Negeri masing-masing.  Dengan lain perkataan, ia bukan secara automatik pindaan Akta 355 akan boleh dilaksanakan di negeri- kerana ia tertakluk kepada Butiran1, Senarai II – Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.  Jika tiada pindaan di buat di negeri-negeri, maka Enakmen Kesalahan Jenayah Negeri juga tidak berubah dan kekal seperti sedia ada.

Kesimpulannya,  bukan secara automatik pindaan Akta 355 ini memberi laluan pelaksanaan sebahagian hukuman hudud khususnya sebatan 40, 80 dan 100 kali bagi keslahan minum arak,qazab dan zina kerana ia tertakluk kepada kelulusan DUN.  Sebagai contoh, sekiranya DUN meluluskan sebatan tidak melebihi 20 kali, maka ia bukanlah dikira sebagai hukuman menepati syarak atau hudud.  Perlu diingat, sebatan yang dilaksanakan adalah sebatan mengikut kaedah syarak yang berbeza dengan sebatan yang dikenakan oleh Mahkamah Sivil.

Di negeri Kelantan, selain  Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan, 1985 yang sedang berkuatkuasa, juga telah diwujudkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Negeri Kelantan (EKJS II) pada tahun 1993 dan telah ditambah baik dengan pindaan 2015 {EKJS II (Pindaan) 2015.   Pindaan Akta 355 ini tidak terkesan kepada  EKJS II  atau lebih dikenali Kanun Hudud di negeri Kelantan kerana ia mengandungi kesalahan dan hukuman qisas (bunuh balas bunuh)  dan mencuri (syariqah ) dengan hukuman potong tangan.  Ini kerana EKJS II telah melangkaui bidang  kuasa yang  diperuntukkan dalam Akta 355.  Di mana kesalahan bunuh dan mencuri serta hukuman mati adalah terkandung di bawah Kanun keseksaan (Penal  Code) yang terletak dalam Senarai  Persekutuan.

Bagi meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah di negeri Kelantan, pindaan perlu dibuat ke atas Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan, 1985 yang sedang berkutkuasa mengenai hukuman bagi kesalahan sedia ada berkaitan dengan ajaran agama Islam termasuk  zina, qazaf, dan minum arak.   Misalnya Seksyen 11 mengenai zina  memperuntukan: –

Sesiapa yang berzina yang tidak boleh dikenakan hukuman hadd mengikut Hukum Syarak adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau kedua-duanya dan disebat enam kali.

Juga Seksyen 25 mengenai minuman yang memabukkan memperuntukan:- –

“(1) Sesiapa yang minum arak atau sebarang minuman yang memabukkan yang tidak boleh dikenakan hukuman hadd mengikut Hukum Syarak adalah bersalah atau suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan disebat enam kali.

(2) Sesiapa yang membuat, menjual, mempamirkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa arak atau minuman yang memabukkan adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Hukuman keatas kesalahan zina dan minuman yang memabukan (arak) tersebut bolehlah dipinda dengan hukuman denda, penjara dan  sebatan yang lebih tinggi, malah sebatan  yang memenuhi kehendak syariah.

  1. “ Kejanggalan dalam penggunaan laras bahasa undang-undang yang digunakan…”

Sebagaimana dijelaskan diatas, pihak Menteri bertanggungjawab atau Kerajaan akan menyediakan penyata terhadap Usul tersebut, isu-isu bahasa dan istilah akan diperhalusi dan jika perlu, pindaan akan dibuat di peringkat Jawatankuasa selepas bacaan kali yang kedua.

 

  1. Usul bagi mencadangkan Pindaan Akta 355 adalah tidak berperlembagaan?.

Semua usul khususnya Usul Persendirian bagi mencadangkan RUU Ahli Persendirian akan diteliti oleh Setiausaha dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat sebaik sahaja diterima bagi memastikan mematuhi Peraturan Mesyuarat 27(3) dan 49.

Pihak Kerajaan (Kementerian yang bertanggungjawab) dan Jabatan Peguam Negara dirujuk bagi memastikan usul tersebut tidak bercanggah dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan  Persekutuan dan juga undang-undang yang sedia ada. Sekiranya tidak mematuhi Peraturtan Mesyuarat dan/atau wujud percanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan atau mana-mana undang-undang, maka usul tersebut akan ditolak.  Oleh kerana  Usul Persendrian oleh YB Marang ini telah dimasukkan dalam Aturan Urusan Mesyuarat setelah memenuhi tempoh notis, maka tidak timbul isu ia tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Penulis Khas,

10 Ogos 2016, Putrajaya.

No Comments

    Leave a reply