MENTERI OHH MENTERI

Bila ada “kematian” akibat lemas, menteri dengan cepatnya buat kenyataan “nak ajar pelajar berenang”. Ia bermula dengan cepat tetapi menteri tak terfikir apakah proses mengajar berenang itu hanya boleh diajar dalam kelas ataupun di tepi pagar sekolah?

Siapa pula yang akan mengajar kokurikulum itu kerana tidak semua guru pendidikan jasmani terlatih dalam kolam renang, mahupun tasik ataupun sungai. Kemahiran mengajar bukan semudah kemahiran bercakap dan memberikan keputusan segera.

Bila ada ibu bapa merungut kasut sekolah cepat kotor, maka menteri dengan cepat buat keputusan tukar warna hitam. Bila dipersoalkan kewajarannya, menteri yang sudah ‘terkena bahang’ memberikan sedikit penjelasan, ia boleh dijadikan pilihan. Para pelajar masih boleh memakai kasut berwarna putih dan tidak tergesa-gesa membeli kasut baharu berwarna hitam.

Bila guru komplen banyak tugas pengkeranian sehingga tertekan dan sukar melaksanakan tanggungjawab dalam kelas, menteri pun prihatian untuk bebaskan sebahagiannya walaupun tidak boleh buat sepenuhnya. Bukan mudah untuk laksanakan cadangan tersebut kerana memerlukan perbelanjaan yang banyak, apatah lagi dalam keadaan kerajaan PH menanggung hutang yang ‘teramat besar’ sehingga mencecah lebih RM 1 trilion.

Sudah banyak kajian dan perbincangan telah dibuat bagi membantu meringankan beban guru, bahkan mencuba meletakkan jawatan pembantu guru. Percubaan di Melaka misalnya memberikan kesan yang baik, tetapi peratusan pencapaian murid tidak meningkat dengan ketara, kecuali guru merasakan sedikit lega.

Cadangan tersebut telah dicadangkan peluasannya, namun tidak dapat dilaksanakan kerana ia memerlukan perbelanjaan yang besar. Contohnya, untuk menambahkan seorang lagi kerani di setiap sekolah, ia membabitkan pewujudan lebih 10,OOO orang. Setakat ini, jumlah sekolah-sekolah dibawah KPM melangkaui 10,000 buah.

Bagi setiap kerani atau pembantu guru, katakanlah berkelulusan SPM. Tangga gaji terendah ialah RM 1, 200 sebulan. Bermakna setiap bulan mesti diberikan peruntukan tambahan RM 12 juta. Ia tidak termasuk lain-lain elaun, bayaran kwsp oleh majikan dan sebagainya.

Jika diambil kira, ia mungkin mencecah ke RM 15 hingga RM 18 juta. Ertinya, bagi setahun perlukan peruntukan tambahan antara 180 hingga RM 216 juta. Ini tentunya akan lebih ramai ‘pejuang-pejuang politik’ menempelak pemimpin PH kerana mengandaikan jumlah penjawat awam tidak munasabah dengan nisbah penduduk, dan ia merupakan satu langkah pembaziran.

Kalau pun mereka yang baharu dilantik tidak dimasukkan dalam kategori “tetap dan berpencen”, kos perubatan dan seterusnya caruman majikan tetap disumbangkan oleh kerajaan.

Bukankah ini suatu langkah ‘kurang bijak’. Mungkin menteri pendidikan boleh menganjurkan debat perdana dengan Tony Phua, “punah-sihat” khas Menteri Kewangan.

Bila ibu bapa mengadu anak-anak terpaksa galas beg yang berat, maka tangkas menteri jaminan akan atasinya termasuklah mengurangkan penggunaan buku teks.

Setakat ini kita belum didedahkan dengan inisiatif menyediakan loker di sekolah. Sama ada ia sudah berkubur ataupun semua loker sudah rosak. Adakah projek loker diperluaskan ke semua sekolah sebagaimana diharapkan sejak cadangan tersebut dibuat pertengahan 1990-an.

Begitu juga mengenai penggunaan buku teks dan buku kerja selain buku tulis. Setiap tahun sekolah menyenaraikan buku-buku tambahan tetapi begitu jarang digunakan di dalam kelas.

Sekolah masih bebas dan dibenarkan menggunakan buku kerja,, dan kerana itu menyebabkan berat beban yang digalas berganda.

KPM sepatutnya membuat satu ketetapan yang keras dan jelas bahawa tidak dibenarkan guru-guru menggunakan buku kerja dan setiap latihan yang diwajibkan disediakan oleh guru dentan menggunakan buku latihan sebagaimana berlaku pada suatu ketika.

Ketika itu industri buku tidaklah begitu kuat melobi dan menumpukan perniagaan buku-buku panduan peperiksaan, skor A, belajar smart dan sebagainya menerusi penggunaan buku tambahan oleh ‘pakar subjek’, bekas pemeriksa kertas soalan, berpengalaman menggubal kertas soalan dan sebagainya.

Apakah menteri berani untuk berhadapan dengan tekanan penerbit buku dan juga syarikat pembekal bahan-bahan akademik tambahan yang lebih tertumpu di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah hingga SPM.

Jarang ada syarikat penerbitan memberikan perhatian penerbitan buku peringkat universiti yang tidak seragam. Sebab itulah universiti terpaksa ‘berniaga’ dengan mewujudkan syarikat penerbitan buku walaupun tidak “pulang modal”, tidak laku di pasaran dan sikap pelajar yang gemar membeli buku teks walaupun pernah diberikan bantuan oleh kerajaan.

Pelajar menggunakan voucher untuk membeli bacaan popular saperti novel dan juga top-up telefon mudah alih.

Bila pegawai mengadu bahawa banyak sangat “ketidaktentuan dalam pengurusan pendidikan” dengan cepatnya mengeluarkan kenyataan, kakitangan yang menyokong BN agar meletakkan jawatan atau bakal dikrnakan tindakan. Maka terlantiklah menteri sendiri sebagai presiden sebuah universiti dan bagi mengurangkan ‘ketegangan’ diberitahu hasratnya ialah menjadikan UIA setaraf Oxford.

Bila peminjam enggan membayar hutang PTPTN, menteri yang pernah berjanji akan menangguhkannya jika pendapataj bulanan tidak mencecah RM 4000, beberapa hari lalu mempersoalkan prinsip moral.

Peminjam bukan mengeluarkan deklarasi “tidak mahu bayar hutang” tetapi menuntut janji menangguhkan pembayaran apabila “syarat baharu” itu tidak tercapai. Soalnya, apabila peminjam menuntut janji dilabelkan secara sinis tidak ada ‘moral tinggi’.

Inilah nasib rakyat negara demokrasi apabila bersuara dan menuntut janji ahli politik dianggap keterlaluan dan saperti tidak bermoral. Hanya ahli politik sahaja yang dianggap mempunyai moral yang tinggi setelah melakukan pelbagai fitnah, manipulasi dan agitasi politik untuk menang sedangkan tindakan sebelum memang itu jauh tidak bermoral.

Menolak alasan berlaku ‘percanggahan kepentingan’ , menteri dengan lantas menjawab, tidak melantik diri sendiri. Tetapi, menteri tidak sepatutnya dianggap ‘biadab’ kalau menolaknya atas alasan ia boleh menyebabkan presiden membuat keputusan menteri sebagaimana pernah mengkritik Menteri Kewangan membuat keputusan Perdana Menteri atas beberapa perkara.

Dengan janji akan kembali ke UIAM selepas sepuluh tahun berpolitik, tentunya menteri akan berusaha ‘membuka laluan kepulangan yang lebih baik dan terhormat.’ Bukankah ini juga sudah jelas prinsip ‘percanggahan kepentingan’.

Dari perspektif itu menteri saperti sedang merancang “kerjaya yang lebih baik” selepas bersara daripada politik. Kenapa kerjaya itu hendak dibina di UIA bukan di universiti lain yang beliau bukan presiden? Adakah kerana dalam tempoh 10 tahun UIAM sudah setaraf Oxford?

Oleh Kamarun KH

No Comments

    Leave a reply