MENU POLITIK KERAJAAN PH SEMAKIN TIDAK MENYELERAKAN

Pernahkah kita saperti bertaubat tidak lagi mengunjungi sesebuah restoran yang namanya begitu gah dalam persepsi umum setelah beberapa foto makanan yang disediakan begitu menyelerakan?

Mungkin pada ketika mendapat perkhabaran itu kita begitu teringin untuk sama-sama berkunjung ke sana, atas alasan untuk menikmati keenakan makanan yang disediakan. Kita mungkin mencari masa terbaik untuk ke sana.

Kita mungkin bersedia membelanjakan sebahagian besar wang kerana kita faham, menu-menu makanan yang disediakan itu bukan lagi murah, apatah dengan kedudukannya yang strategik ataupun dihiasi rapi.

Setelah sekali ke sana, hati kita mula terfikir. Apakah masakan yang disediakan itu memenuhi selera kita atau hanya sekadar gimik pemasaran. Kita mungkin kecewa kerana masakan yang disediakan bukan sahaja tidak cukup rasa, bahkan terlalu lama menunggu.

Kita menjadi hilang ghairah kerana lama menunggu. Kita bertambah kecewa kerana masakan itu tidak menyelerakan, bahkan lebih teruk dari menu makanan yang disediakan di gerai-gerai kecil di pinggir jalan. Harga yang sedikit mahal rasanya tidak berbaloi, maka tentunya hati kecil akan berkata: taubat, kami tak datang lagi.

Begitulah juga dalam situasi politik semasa, ketika Malaysia sudah melangkah ke Malaysia Baru sejak tengah malam 9 Mei 2018. Pada malam itu, untuk tempoh sekurang-kurang tiga bulan pertama kita memasang telinga untuk mendengar apakah yang akan berlaku dan diubah ‘menu tradisi’ menjadi ‘menu Malaysia Baru’.

diet sihat

Rancak diperhebohkan bahawa ‘menu tradisi’ penuh ‘ulat dan virus; korupsi, salah guna kuasa, kelakuan buruk dan bakal menyebabkan kita di serang penyakit, jika tidak segera diubati. Untuk mengubatinya, Malaysia Baru memerlukan duit yang banyak dan dalam masa yang sama membersihkan ‘ulat dan virus’ yang telah mendatangkan penyakit.

Ulat dan virus segera dibersihkan; premis-premis tertentu digelidah untuk mencari bukti salah laku dan korupsi. Apa sahaja yang dijumpai diambil, sama ada yang terpamer di dinding, disimpan dalam almari dan peti besi, ataupun yang ada dalam peti sejuk. Diangkut pergi, dikumpulkan di suatu tempat untuk dinilai oleh pakar, berapakah keseluruhan harganya.

Sampai kini, tidak diketahui, dengan jelas: nilai dan kaitannya dengan ‘wang yang dicuri’. Satu negara gempar. Satu dunia terkesima.

Dalam sibuk mencari bukti, fail-fail rahsia dan rakaman percakapan, akhirnya Malaysia Baru terlupa, menu masakan harian rakyat semakin kehilangan zat, walaupun secara keseluruhannya, rakyat masih boleh makan, minum teh tarik mahupun minuman bergula. Cerita baharu pun bermula, kerana rakyat sukakan minuman bergula, kerajaan berusaha untuk menaikkan cukai bagi mengurangkan perbelanjaan untuk merawat diabetes.

Selain diabetes, darah tinggi juga merupakan penyakit lazim yang dihadapi oleh rakyat Malaysia, bahkan ramai juga menteri-menteri Kerajaan PH bergantung kepada ubat-ubatan untuk mengawal hipertensi. Makna, garam juga merupakan salah satu pembunuh yang besar, tetapi, setakat ini belum ada cadangan untuk menaikkan cukai makanan bergaram.

Cuma, ketika membentangkan Bajet 2019, ada sedikit kemarahan rakyat bila ikan kering, sotong kering dan pelbagai jenis jeruk bakal dikenakan cukai. Kerajaan PH mengeluarkan senarai tersebut, dan tidak pula berkata, cukai dikenakan untuk mengubah rakyat agar mengamalkan ‘diet sihat’.

Selepas tiga bulan GST direhatkan, pada September 2018, Kerajaan PH mengembalikan SST sebanyak enam peratus. SST dimansuhkan sejak 1 April 2014 kerana sistem percukaian itu tidak lagi sesuai kerana para peniaga boleh ‘menipu’ untuk mengembalikan jumlah cukai yang mereka kutip setiap akhir tahun.

GST dirangka untuk menyekat aktiviti ‘penipuan’ oleh para peniaga, kerana setiap jual-beli yang berlaku, ia terus mengalir masuk ke ruang simpanan data Kastam dan Eksais Di Raja Malaysia. Ertinya, setiap bulan pihak berkuasa dapat mengetahui berapa banyakkah cukai yang telah dikutip dari pengguna oleh peniaga.

kos sara hidup

Dalam sukar untuk menipu, para peniaga masih ada caranya. Sesebuah syarikat yang tidak mencapai hasil jualan tahunan RM 500,000 tidak wajib mendaftar dengan Jabatan Kastam, maka ditubuhkan beberapa buah syarikat kecil untuk tujuan tersebut. Setiap syarikat itu dihadkan urusniaga tidak melebihi RM 500,000 setahun. Akhirnya, kaedah itu dapat dikesan dan  tindakan dapat diambil.

GST dikatakan menjadi punca kenaikan kos sara hidup, maka GST menjadi alat untuk menurunkan kos sara hidup. Awalnya, semua rakyat Malaysia percaya, harga barangan dan perkhidmatan akan turun, kerana tiada lagi GST. Seminggu dua rakyat masih boleh bersabar, harga barangan tidak turun sebagaimana yang diharapkan, cuma dikurangkan enam peratus kerana GST tidak ada.

Katanya, GST itu adalah cukai pelbagai peringkat, maknanya harga sepatutnya turun lebih besar, bukan hanya sekadar ditolak enam peratus yang sepatutnya pengguna perlu bayar.

Pemansuhan GST tidak menurunkan kos sara hidup. Pengembalian SST juga tidak menurunkan kos sara hidup. Harga barangan dan perkhidmatan menjadi makin mahal. Alasannya, kerana nilai ringgit Malaysia telah merosot.

Banyak bahan mentah atau barangan dibeli menggunakan dolar, maka pengimport memerlukan ringgit yang lebih banyak untuk membeli barangan dalam kuantiti yang sama. Sudah sebelas bulan situasi ini berlalu, ia belum menunjukkan kos sara hidup berjaya diturunkan.

Bukan sahaja barangan import semakin mahal, barangan tempatan juga meningkat. Maka, sedarlah pak-pak menteri, kenaikan harga barangan sebenarnya adalah permainan orang tengah. Mereka yang menjadi pemborong, pengedar dan menguruskan stok boleh menaikkan harga sebelum diedarkan kepada peruncit. Peruncit pula memasukkan margin keuntungan.

Pengedar menaikkan harga kerana kos-kos lain turut meningkat. Antaranya, kenaikan tariff elektrik untuk sektor industri, harga minyak diesel, cukai-cukai yang terpaksa ditanggung, gaji minimum dan sebagainya.

Jawabnya, bukan mudah untuk menurunkan kos sara hidup. Bukan mudah untuk memecahkan monopoli. Bukan mudah untuk menghapuskan orang tengah. Bukan mudah untuk pak menteri berkata: Kerajaan PH berjaya menurunkan kos sara hidup.

Banyak perkara yang perlu dilakukan. Ia mengambil masa, dan bukan boleh dilaksanakan semalaman. Tetapi, mekanismanya tidak juga diumumkan, yang diumumkan ialah stok ikan kembong dalam laut masih banyak, tidak sepatutnya harga ikan kembong mencecah RM 15 atau RM 18 sekilogram.

harga siling RON 95

Disebabkan rasa gembira kekalahan BN, ramai yang tidak teruja untuk memuatnaikkan gambar-gambar ikan kembong yang harganya adalah mahal. Akibat teruja dengan pesona Buku Harapan, tidak ramai yang turun ke jalan-jalan raya berguling-guling untuk menurunkan harga minyak walaupun dikekalkan untuk RON95 dengan harga RM 2.20 seliter begitu lama sebelum diumumkan mekanisme pengapungan secara mingguan dan ditetapkan, harga siling adalah RM 2.08.

Ketika harga kekal pada tahap RM 2.20 seliter, harga minyak mentah sebenarnya sudah lebih tujuh minggu rendah.

Bulan Ogos lalu, Kerajaan PH sedikit bimbang. Dua parti pembangkang terbesar, PAS dan UMNO bersama-sama badan bukan kerajaan (NGO) bekerjasama untuk menyampaikan isyarat bahawa hasrat meratifikasikan undang-undang bagi membolehkan negara menyertai ICERD tidak wajar dilaksanakan. Seorang menteri, yang bukan wakil rakyat, dan menurut istilah sebelumnya ‘dari pintu belakang’ bertegas, ICERD akan tetap dilaksanakan di mana ratifikasi undang-undang akan bermula awal tahun 2019.

rakyat ekspresikan rasa kecewa

Atas niatnya ‘menongkah arus bawah’ menyebabkan Perdana Menteri tidak boleh tidur lena. Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan akhbar, membatalkan cadangan tersebut. Tetapi, perhimpunan besar-besaran tetap berlangsung sehingga ada yang menganggarkan kehadirannya mencecah setengah juta orang di Kuala Lumpur.

Mesin propaganda Kerajaan PH mengeluarkan mesej, perhimpunan itu sebenarnya tidak perlu. Ia tetap diadakan, maka Kerajaan PH merasakan sedikit kecewa, kerana rakyat  mula mengekspresikan rasa kecewa.

Selepas kegagalan ICERD, Kerajaan PH terbabit pula dengan isu terbaharu, iaitu menandatangani Statut Rom. Sebenarnya, Statut Rom tidak perlu. Banyak negara tidak mengambil bahagian, tetapi Perdana Menteri tetap mahu melakukannya.

Perdana Menteri mahu membuktikan kepada dunia, bahawa kepimpinannya boleh bersama menonjolkan diri di peringkat antarabangsa. Ramai rakyat Malaysia mula membaca semula sejarah, sejarah Perdana Menteri dan hubungan dengan Raja-raja Melayu. Ia telah mengingatkan rakyat mengenai pindaan Perlembagaan pada tahun 1983 dan 1993. Hubungan dengan istana sedikit terjejas.

Menteri Luar Negeri, Saifudin Abdullah menyatakan Malaysia sudah menandatangani surat cara penyertaan dalam Statut Rom pada 4 Mac 2019. Kenyataan itu menyebabkan ramai pihak mempertikaikan pendirian Perdana Menteri, alasannya ialah mendahului perkenan Majlis Raja-Raja, ia adalah satu keputusan sepihak.

Paling lantang mengkritiknya Tengku Mahkota Johor (TMJ) dan akhirnya, Dr Mahathir membuat keputusan untuk menarik diri dengan berkata: Kita tahu (isu) dipolitikkan oleh pihak tertentu yang tujuannya mahu institusi Raja menentang kerajaan sekarang. Sesetengah anggota kerabat diraja mungkin terbabit, tetapi keseluruhan rancangan ini adalah supaya kerabat diraja di Malaysia menentang kerajaan sekarang, itulah motifnya.(Berita Harian, 6.4.2019).

Reaksi keras Dr Mahathir itu mengundang lebih banyak ‘kemarahan orang awam’ setelah TMJ dicabar untuk menyertai politik. Menariknya lagi Mufti Perlis menulis dengan nada yang mengecewakan, melihat sisi-sisi negatif ‘kaum bangsawan’.

Walaupun tidak menyasarkan kritikan itu kepada TMJ, orang ramai boleh faham apa yang ingin dipertahankan oleh Mufti Perlis itu, dan orang ramai mula mempersilakan beliau untuk masuk sepenuhnya ke gelanggang politik dengan meninggalkan jubah muftinya.

polemik kuasa melantik Menteri Besar

Beberapa hari lalu, Dr Mahathir menjadi sedikit lembut apabila mengatakan TMJ ‘adalah rakyat biasa’ dan beliau berhak untuk mengkritik asalkan tidak bersifat fitnah. Jika bersifat fitnah, boleh disiasat di bawah Akta Hasutan. Kebetulan, atau sengajar dirancang, semalam (9.4.2019), Dr Mahathir mengumumkan Menteri Besar telah meletakkan jawatan.

Selepas itu, timbul pula polemik bahawa Sultan Johor mempunyai kuasa untuk memperkenankan mana-mana wakil rakyat daripada parti yang menang untuk menjawat jawatan Menteri Besar. Bagi Dr Mahathir, Sultan Johor tidak berhak menentukan siapakah Menteri Besar, yang berhak menentukannya ialah parti yang menang.

Sekali lagi rakyat mula kebingungan dengan percaturan politik itu. Meskipun parti yang menang berhak menentukannya, calon yang dipilih itu seharunya mendapat perkenan Sultan.

Rakyat masih ingat bagaimana PKR mencadangkan Dr Wan Azizah menggantikan Tan Sri Khalid selepas Langkah Kajang, tetapi Sultan Selangor mengesyorkan sekurang-kurangnya dua nama. Akhirnya, Azmin Ali dipilih. Rakyat juga masih ingat bagaimana DAP beriya-iya untuk dilantik sebagai Menteri Besar Perak (2008), tetapi akhirnya wakil rakyat PAS dipilih.

Episod itu tetap menjadi rujukan orang ramai, maka Dr Mahathir perlulah berhati-hati untuk mengeluarkan kenyataan berkaitan Raja-Raja Melayu.

Beliau sepatutnya belajar daripada sejarah, kerana beliau pernah mengutip kata-kata George Santayana (1863-1952), ahli falsafah dari Sepanyol yang meninggal di Itali: Those who fail to learn from history are condemned to repeat it. Dan, ketika ini Dr Mahathir dianggap sedang mengulangi apa yang pernah berlaku, tidak berhati-hati dalam hubungannya dengan istana. Dr Mahathir seolah-olah sedang meregangkan kembali hubungan tersebut berdasarkan kenyataan-kenyatannya, maka dalam pencarian calon Menteri Besar Johor, beliau terpaksa melihat secara halus siapakah yang boleh diterima oleh Sultan Johor.

Kalau dalam tahun 1986, Tun Ghafar dipilih sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana hubungannya dengan Raja-Raja Melayu adalah baik. Tun Ghafar berjaya melaksanakan tanggungjawab itu, tetapi Tun Ghafar akhirnya ‘saperti kain buruk’ bila terpaksa menarik diri bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO apabila Dr Mahathir memberikan sokongan kepada Anwar Ibrahim (1993).

Perkembangan mutakhir ini akan memberikan kesan kepada imej Kerajaan PH, termasuklah keputusan yang bakal berlaku di PRK DUN Rantau. Sebelumnya, Dr Mahathir yang ‘mendera dan memperlekehkan Najib’ akibat gelombang media sosial “ApaMaluBossku” telah menyumbang kekalahan calon PH di Cameron Highlands dan DUN Semenyih.

gelombang kebangkitan pengundi

Dua PRK sebelumnya Dr Mahathir turut sama berkempen, tetapi setakat ini, belum ada petunjuk bahawa beliau akan turun membantu walaupun amat diharapkan oleh Dr S Streram. Gelombang kebangkitan pengundi terhadap BN semakin besar, apatah lagi di DUN Rantau, Mohamad Hassan atau Tok Mat dilihat begitu kuat pengaruhnya.

Setakat ini pengundi Melayu tidak tergugat dengan cara kempen PKR yang mirip menyerang peribadi Tok Mat, bahkan memperlekehkan sumbangan beliau sebagai Menteri Besar selama 14 tahun. Tok Mat begitu tenang, dan tidak mudah melatah sebagaimana Dr Mahathir.

Tok Mat menjawab dakwaan bahawa ‘bukan tidak ada duit’ tetapi tidak membeli rumah di Seremban, maka calon PKR saperti kepanasan dengan menyerangnya dengan sebuah banglo berharga RM 6 juta berbumbungkan Minangkabau di Seremban 2. Selamba Tok Mat menjawab, beliau bukanlah ada kaitan dengan budaya Minangkabau, tetapi dari rumpun Melayu Negeri Sembilan.

Jawapan itu memperkuatkan imej Tok Mat bahawa dirinya tidak ‘lupa daratan’ dan sentiasa berusaha untuk bersama penduduk Rantau. Secara tidak langsung memberikan gambaran bahawa Dr S Streram bukanlah calon pilihan DUN Rantau, kerana beliau yang berasal dari Kluang, Johor hanya baru aktif di Rantau dalam tempoh tiga tahun terakhir.

Beliau adalah ‘pendatang’ dan tidak mungkin akan kekal bersama-sama penduduk Rantau. Dalam emosi politik orang Melayu, calon tempatan lebih diterima berbanding calon luar, kecualilah calon tempatan itu kurang dikenali atau bersifat ‘chipsmore’: sekejap ada, sekejap tidak ada.

Hampir semua menu yang disediakan oleh Kerajaan PH dalam tempoh sebelas bulan ini tidak cukup kuat meningkatkan sokongan rakyat. Bahkan, rakyat semakin kuat bercadang untuk menukarkan selera, kerana menu yang disediakan terasa tidak secukup rasa, da nada ketikanya, terlalu masin akibat menjilat semula apa yang diperlekehkan daripada kerajaan terdahulu.

BN bakal memperoleh kemenangan hatrik di DUN Rantau; terlalu banyak ‘bola tanggung’ yang dihulurkan oleh Kerajaan PH ketika kempen PRK ini sedang rancak. Juga belum Nampak kerjasama yang berkesan oleh DAP bagi membantu calon PH menang; sebaliknya, hanya PKR kem Anwar Ibrahim sahaja yang bersungguh-sungguh untuk meraih kemenangan. Ia adalah sesuatu yang memang diduga,

Anwar sedang menguji secara langsung keberkesanan kepimpinannya selaku Presiden PKR. PRK DUN Rantau adalah ujian pertama beliau selaku presiden kerana sebelumnya, beliau adalah Ketua Umum PKR.

Apakah Dr Mahathir akan menambahkan lagi garam dalam ‘menu politiknya’ apabila berkata: Malaysia bukan lagi sebuah negara demokratik apabila Sultan memilih Menteri Besar?

Terbaharu,  Sultan Johor bertitah : “Berkenaan Johor, jangan sibuk mencampuri urusan negeri ini kerana negeri yang berdaulat ini masih mempunyai seorang sultan. Saya akan membuat keputusan yang terbaik demi rakyat saya apabila tiba masanya nanti.”

Monosin Sobri

 

No Comments

    Leave a reply