MENUAI BAHAGIA DALAM RUMAH TANGGA

Berita penceraian pelakon Fizo Omar (34) dan Mawar Abdul Karim (30), usahawan tudung berjenama Fareeda pada 10 Julai 2019 tidak sedikitpun mengejutkan saya. Reaksi spontan saya ialah, penceraian tersebut menambahkan lagi kisah perkahwinan yang gagal dalam kalangan rakyat Malaysia walaupun penceraian dibolehkan dalam Islam. Fizo dan Mawar masih ada peluang untuk merujuk, atas faktor zuriat yang dianugerahkan Allah SWT setelah enam tahun berkahwin.

Kisah perkahwinan dalam kalangan artis begitu mengasyikkan, berbanding kisah penceraian mereka yang menyedihkan. Ketika pasangan artis ingin melangsungkan perkahwinan, mereka telah bertahun-tahun memikirkan persiapan yang bukan sahaja lain daripada orang kebanyakan, bahkan ada yang ingin melangsungkan perkahwinan seperti dalam cerita ‘fairy tales’. Saya tidak tahu apa persiapan yang sedang difikirkan oleh Zara Zya dengan kekasihnya untuk perkahwinannya yang ditangguhkan ke tahun selanjutnya.

Bukan murah untuk melakukan semuanya itu. Bukan mudah untuk merealisasikan suasana romantik perkahwinan dalam taman atau syurga buatan yang terbayang. Ianya memerlukan persiapan berbulan-bulan dan menggunakan kepakaran agensi perancangan perkahwinan dan pengurusan acara yang cekap. Tidak cukup dengan itu, kad jemputan dan makanan serta susun atur mestilah tip-top.

Ironinya, tidak sampai sedekad perkahwinan mula berantakan. Ada pelbagai masalah yang muncul, walaupun ketika melafazkan kata cinta, sanggup menerima seadanya dan berharap, cinta akan mekar hingga ke akhir hayat, akhirnya melafazkan epilog pilu, jodoh hanya setakat itu. Apakah kita tidak berusaha untuk hidup lebih lama sebagai pasangan bahagia?

Jawabnya, kita sebenarnya mempunyai peranan untuk mengekalkan rumah tangga bahagia. Kita perlu laksanakan sesungguh hati, bukan bersifat ‘touch n go’. Kita perlu belajar menerima dan memahami. Belajar mengikat sabar dan bertoleransi. Belajar menjadi seorang yang berempati dan menterjemahkan makna kasih sayang. Tuhan telah menentukan jodoh kita, dan Tuhan juga mengajar kita bagaimana untuk mencari kebahagiaan dalam hidup, termasuk bahagia dalam rumah tangga.

Sedikit tergaman apabila membaca cerita dan menganalisis perihal punca keberantakan institusi perkahwinan di Malaysia, terutama dalam kalangan pasangan Muslim. Paling lazim dan banyak diperkatakan ialah tidak adanya persefahaman setelah beberapa tahun hidup sebumbung. Ada perkara yang sentiasa membuatkan mereka berselisih dan tidak dapat diselesaikan dengan baik sehingga memfailkan proses penceraian.

Jika melihat trend peceraian pasangan Islam di Malaysia, hati kita tersentuh dengan maraknya keberantakan sebuah institusi yang patut dipertahankan sebagai asas peradaban. Secara malunya kita terpaksa akui, daripada 5.9 pasangan yang berkahwin, 1.6 pasangan berakhir dengan penceraian bagi seiap 1,000 orang rakyat Malaysia. Maknanya, kalau 59 pasangan berkahwin, 16 pasangan akan bercerai.

Berdasarkan rekod, pada tahun 2012,  56,760 pasangan telah bercerai. Perangkaan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia ( JKSM), bilangan pasangan Islam bercerai meningkat 2.3 kali daripada 20,916 pada tahun 2004 kepada 47,740 pada tahun 2012, dan 49,311 tahun 2013. Antara 2014 hingga Julai 2016, dilaporkan sejumlah 171,252 kes yang melibatkan pasangan Islam bercerai. Penceraian yang tinggi juga berlaku dalam kalangan pasangan bukan Islam. Tahun 2004, sejumlah 3,291 pasangan bercerai dan meningkat sebanyak 2.7 kali pada tahun 2012 dengan mencatatkan 9,020 kes

Kajian Lembaga Penduduk, Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mendapati satu pertiga penceraian berlaku dalam tempoh lima tahun pertama perkahwinan. Ertinya, lima tahun perkahwinan adalah suatu tempoh yang amat mencabar bagi pasangan yang berkahwin untuk kali pertama. Puncanya, bagi lelaki tiada persefahaman (56.2 peratus), isteri curang (11.8 peratus) dan campur tangan mertua atau ipar duai (10 peratus).

Bagi wanita pula ialah tiada persefahaman (38% peratus), suami curang (20.5 peratus) dan suami tidak bertanggungjawab (15.2 peratus).  Jika diberikan perhatian kepada faktor curang, ia mungkin boleh menyelesaikan sebahagian masalah penceraian. Sebenarnya, isteri atau suami curang dan tidak bertanggungjawab adalah sikap kita terhadap pasangan. Jika kita mengambil sikap optimis dan melihat perkahwinan itu sebagai amanah, ia dapat menghindarkan keberantakan keluarga.

cerai di malaysia

Bahagia adalah apa yang kita rasai, dan untuk merasainya, kita perlu lakukan bersama. Itulah makna sebenar kebahagiaan bukan berdasarkan wang atau kelebihan material, faktor ekonomi hanya sebagai pendorong untuk pasangan lebih bertanggungjawab menguruskan sumber, bukan menghabiskan sumber atau melengahkan tanggungjawab. Kemewahan juga menyebabkan berlakunya penceraian, sebab kehidupan keluarga tidak disirami dengan keimanan dan kasih sayang.

Beberapa hari lalu, heboh diperkatakan mengenai prosedur penceraian di Selangor begitu mudah menjadikan sebab negeri itu menjadi pelopor kadar penceraian yang tertinggi di Malaysia. Bagi negeri-negeri yang kadar penceraiannya adalah lebih rendah, ia bukan disebabkan oleh prosedur penceraian yang lebih ketat dan sukar, tetapi, ia mungkin boleh dikaitkan dengan stigma masyarakat yang kuat terikat dengan norma dan persepsi. (Rujuk: Cerai dalam tempoh enam jam, elak wanita digantung tidak bertali‘, Malaysiakini, 10.7.2019)

Bagi persekitaran masyarakat yang terikat, proses penceraian boleh dielakkan apabila orang tua sebagai penasihat giat membantu berbanding dengan pasangan yang hidup di luar atau jauh daripada keluarga besar mereka. Sebahagian besar pasangan yang bercerai adalah mereka hidup sebagai satu keluarga kecil di kawasan-kawasan perumahan dan tertekan dengan persekitaran pekerjaan seharian.

Kita amat jarang menemui pasangan muda di mana isteri adalah suri rumah sepenuh masa. Punca pendapatan utama adalah dari suami. Masing-masing mempunyai kerjaya sendiri, bahkan ada keadaan pendapatan isteri melebihi pendapatan bulanan suami. Ada juga kes, disebabkan oleh masalah tertentu, suami menjadi ‘suri rumah’ manakala isteri keluar bekerja untuk mencari rezeki keluarga.

Atas alasan suami mempunyai masalah kesihatan kritikal mungkin boleh diterima (misalnya lumpur, angin ahmar ataupun gangguang psikologi) tetapi, kalau merasakan terbeban untuk membayar upah menghantar anak ke pusat jagaan kanak-kanak dan pengasuh, ia sesuatu yang boleh dianggap tidak memadai. Seorang anak, memerlukan perbelanjaan yang besar kerana semua kos perlu ditanggung termasuk membeli lampin pakai buang, susu dan sebagainya.

isu remeh

Seorang rakan memberitahu. Perbelanjaan bulanan seorang anak sekarang melebihi RM 500, hanya untuk membeli lampin pakai buang, susu dan sebagainya. Harga susu bukan lagi murah, bahkan ada di antaranya mencecah seratus ringgit setin, yang isi kandungan kurang satu kilogram. Setin susu hanya mampu bertahan untuk seminggu. Lampin pakai buang juga mahal, purata sehelai adalah lima puluh sen. Sehari membabitkan 10 hingga 15 helai. Sebulan sudah mencecah RM 300. Belum dikira upah pengasuh atau yuran pusat jagaan kanak-kanak.

Kos membesarkan kanak-kanak semakin meningkat, jika tinggal dibandar. Ertinya, setiap bulan pasangan yang mempunyai anak terpaksa melupakan kehidupan peribadinya, termasuklah keinginan untuk membeli pakaian berjenama dan sesekali melancong ke luar negeri atau dalam negeri.

Begitu juga untuk balik kampong setiap bulan, semakin sukar sebab banyak perbelanjaan yang wajib disisihkan untuk membayar sewa rumah (ansuran bulanan rumah), perbelanjaan dapur, perbelanjaan anak-anak, ansuran kereta, bayaran utiliti dan sebagainya. Memang hidup sebahagian besar pasangan yang berkahwin begitu sempit dan kadangkala mengeluh sendirian. Tak cukup!

Biarpun masalah ekonomi menjadi faktor yang kedua terbesar menyumbang kepada penceraian, ia memerlukan satu kaedah penyelesaian terbaik untuk menyelamatkan institusi perkahwinan di Malaysia. Ia bukan bermakna pihak majikan wajib menaikkan gaji pekerjanya, tetapi, bagaimana pasangan tersebut menguruskannya. Sumber terhad akan menjadikan sesuatu yang kita miliki itu lebih bermakna dan bermanfaat menerusi perancangan perbelanjaan dan sentiasa mengingati konsep ‘value for money’.

Misalnya, walaupun telefon bimbit adalah keperluan masa kini, kita tidak memerlukan sebuah telefon yang begitu canggih dan penuh idea hebat untuk berswafoto. Belilah telefon yang sederhana harganya, sesuai untuk kegunaan berkomunikasi, tidak perlu yang mempunyai tiga kamera belakang dan megapixel yang tinggi. Kita memerlukannya untuk berhubung, dan hadkan pula penggunaannya. Tidak sepatutnya kita membeli paket data yang besar, cukup sekadar dengan top-up bulanan sebanyak RM 30.

Penggunaan telefon bimbit yang terlalu terikat cuba menjadi salah satu punca perbalahan dalam keluarga. Ia bukan disebabkan apa-apa, ia telah mencuri masa berkualiti untuk keluarga. Setelah beberapa jam bekerja, dari pagi hingga ke lewat petang, pulang ke rumah, asyik melayan masukan mesej dalam facebook mahupun kumpulan whatsApp. Telefon bimbit menjadi teman tidur, bahkan sebaik sahaja terbangun, terus menyemak mesej terbaharu, yang kadangkala boleh mencelarukan pemikiran atau menukarkan mood pagi.

Semasa berada di kamar tidur, elakkan membawa masuk telefon bimbit, walaupun dalam bayangan ada sesuatu yang terasa ‘missing’. Sesekali membawanya, kadangkala mempengaruhi kita untuk membawang. Akibat asyik membawang itu akhirnya menyebabkan pasangan kita mula merasakan kehidupan dan sentuhan semakin hilang, suami atau isteri lebih tersentuh dengan mesej yang diterima menerusi aplikasi yang ada dalam telefon bimbit, akhirnya, terasa, hidup di rumah tidak ada lagi keindahannya, lebih indah di luar atau melayani rakan-rakan dalam whatsApp atau facebook.

Memang banyak cerita menarik yang menggoda kita untuk menghabiskan masa lebih lama dengan telefon bimbit. Ada cerita lama (nostalgia) masa persekolahan yang indah, rakan-rakan memulakan suapan kenangan secara menarik, yang kadangkala kita sendiri pun sudah terlupa. Rakan-rakan mengembalikan ingatan, bagaimana kita berhias diri ketika bersekolah, di penjuru manakah kedudukan lazim dalam kelas (posisi) dan dengan siapakah teman yang paling rapat. Memang indah cerita sedemikian, tetapi, ia adalah sejarah.

motivasi

Hidup berkeluarga memang indah, dan keindahannya bukan hadir seperti kita terpesona dengan ‘fairy tales’. Kita perlu menghiasinya, agar setiap apa yang kita lakukan dilihat cantik dan menarik, bukan bermakna dipenuhi dengan hiasan dinding dan pakaian yang berjenama. Dalam Islam, keindahan hidup berkeluarga ialah menerusi asas keimanan yang kuat dan teguh.

Dalam rumah tangga, suami adalah nakhoda yang membawa jalan untuk hidup bahagia. Isteri pula berusaha menterjemahkan kebahagiaan itu berdasarkan akar sifat nalurinya, memberikan kesenangan kepada suami, agar suami sentiasa dilimpah perasaan empati dan kasih sayang. Sebab itulah dalam pergaulan pertama, selepas mendirikan rumah tangga diisyaratkan panggilan suami dan isteri dengan panggilan yang manja dan indah, panggilan yang disulami makna kasih sayang. Walau apa pun berlaku, elakkan memanggil nama sebenar. Bahasa sapaan perlu dikekalkan dalam setiap masa.

Setiap hari, dalam apa keadaan sekali pun, lakukan aktiviti bersama. Misalnya sentiasa bersembahyang secara berjemaah dan berdoa bersama-sama agar Allah SWT memelihara kehidupan dan memberkati apa yang kita lakukan setiap hari.

Begitu juga bila memasak makanan untuk keluarga, tidak perlu mengeluh kepenatan dan tidak selesa dengan ruang dapur yang kecil, sebaliknya beriltizamlah untuk menjadikan makanan yang disediakan itu lazat dan penuh keberkatan. Makanan yang disediakan secara ikhlas, jujur dan penuh penghayatan nilai-nilai agama, dengan doa dan harapan agar tidak menjadi ‘makanan beracun’ untuk keluarga.

Si suami tidak wajar membungkam diri dan berteleku ketika isteri sibuk di dapur. Berikan perhatian untuk bersama anak-anak, membantu membancuh susu atau menukar lampin jika perlu dan ringankan tulang membasuh atau mengemas rumah. Tidak salah atau melanggar norma kelelakian jika suami memegang penyapu menyapu di halaman rumah atau di dalam rumah. Tidak gugur maruah seorang lelaki kerana membantu isteri membasuh pinggan atau mengemas meja sebelum makanan siap untuk dihidangkan.

Isteri pula jangan terlalu banyak memberikan komen sekiranya suami silap meletakkan susun atur pinggan mangkuk yang siap dicuci. Jika susunannya tidak teratur, boleh sahaja memperbetulkannya, bukan berleter. Leteran itulah membuatkan suami terasa pertolongannya tidak dihargai.

Bila pertolongan itu tidak dihargainya, suami akan mula meluat dan seterusnya mengambil sikap, tidak lagi banyak membantu kecuali bila disuruh. Lama kelamaan situasi ini menjadi petaka dalam rumah tangga, petaka inilah sebenarnya membawa kepada tiada lagi persefahaman, sebab semakin lama kita berumah tangga semakin banyak tanggungjawab dan perkara yang perlu dilakukan.

Sepatutnya semakin lama kita hidup bersama, maka semakin banyaklah nilai-nilai kemanisan hidup berkeluarga dapat kita rasai. Semakin lama kita hidup bersama, maka semakin matanglah kita berfikir dan bertindak. Kita bukan sahaja saling menyayangi tetapi menginsafi bahawa ego perlu dibatasi kalaupun tidak boleh dikorbankan keseluruhannya.

Ingatlah Allah SWT telah berpesan: Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu istri-istri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berpikir. (Q.S. Ar-Rum: 21).

Kamarun KH

 

No Comments

    Leave a reply