Bagi Pramoedya, menulis adalah sebuah keberanian. Dalam melontarkan kata-kata dan buah fikiran, penulis mestilah jujur dan berani bertanggungjawab terhadap apa yang ditulis.

Tidak mustahil apa yang dituliskan itu boleh mempengaruhi pembaca dalam melakukan tindakan-tindakan yang berfaedah atau sebaliknya. Kerana seseorang penulis itu merupakan jambatan yang menghubungkan masyarakat dengan kebenaran.

Kita harus sedar masyarakat hari ini sudah lalai dengan kehadiran pelbagai medium sosial seperti muka buku, Instagram, Twitter ataupun WhatsApp. Juga kemungkinan sudah mual dengan hidangan bahan-bahan bacaan sama ada bercetak atau elektronik yang tidak bermutu.

Dunia digital sebenarnya amat memudahkan lagi para penulis untuk berkarya. Ketajaman pena dalam menghasilkan pelbagai karya akan lebih mudah dan menjimatkan masa.

Penulis seperti wartawan atau siapa pun yang bergelar penulis, mempunyai tugas dan tanggungjawab bukan sahaja kepada dirinya tetapi peranan yang lebih besar adalah memberikan pencerahan melalui fakta kesahihan kepada masyarakat di luar sana.

Dunia penulisan merupakan satu bidang berkepentingan yang mesti dipandang serius. Sejarah telah membuktikan dengan sebatang pena, juga menyebabkan Indonesia dijajah selama 350 tahun oleh Belanda.

Di Malaysia, Utusan Melayu merupakan akhbar perjuangan sejak zaman berzaman, yang bermula tahun 1939. Perjuangan menuntut kemerdekaan menerusi penulisan jauh lebih awal daripada perjuangan sesebuah parti politik.

Kebanyakan penulis yang terdiri daripada para wartawan menjadikan akhbar ini sebagai medan kebangkitan rakyat menentang penjajah.

Kata-kata pembakar jiwa melalui pelbagai genre berjaya menyedar dan membangkitkan semangat bangsa untuk bersatu menuntut kemerdekaan dan seterusnya menegakkan keadilan.

Karya-karya mereka bukan sahaja penuh dengan kritikan, tetapi juga penuh dengan sindiran-sindiran tajam terhadap pihak-pihak tertentu.

Berpegang kepada kebenaran dan keberanian, nama-nama seperti Pak Sako, Dr. Burhanuddin Helmy, Rahim Kajai dan Usman Awang (hanya beberapa nama sebagai contoh) terus diingati dalam dunia penulisan negara.

Semangat para penulis ketika itu tidak ubah seperti seorang perajurit di hutan yang sedang menggalas senjata. Bezanya para penulis ini menggalas pena umpama senjata yang menanti sasarannya.

Benarlah kata-kata pujangga, mata pena lebih tajam daripada mata pedang. Pena yang jatuh ke tangan pejuang akan menjadi senjata. Tetapi pena yang jatuh di tangan biasa-biasa tidak akan menjadi apa-apa.

A. Samad Said, Zurina Hassan dan Kemala adalah para penulis yang gemar menterjemahkan suara hati rakyat dalam bentuk puisi atau sajak. Bait-bait indah yang penuh sindiran berjaya menambat jiwa rakyat,dan menampar dada para pemimpin supaya sedar dari lena.

Begitu juga Awang Sariyan yang sentiasa memperjuangkan bahasa ibunda dan segala pancang negara agar sentiasa kukuh dan terpelihara sampai bila-bila.

Ternyata peranan penulis dalam mengayakan pena mereka lebih berkesan, cepat dan menepati sasaran dengan segala bantuan teknologi terkini.

Dilihat secara lebih tersirat, betapa tajamnya mata pena itu yang bisa mempengaruhi ribuan rakyat pelbagai bangsa dan agama untuk sebuah kebangkitan. Hingga runtuhnya sebuah empayar dalam sebuah pilihan raya baru-baru ini.

Berbanding sebilah pedang yang hanya mampu menewaskan seorang musuhnya.

Seperti kata Napoleon Bonaparte: “Saya lebih takut pada sebuah pena daripada 100 meriam.”

Di pihak kerajaan,tentulah mempunyai satu harapan agar para penulis menggunakan segala kedudukan, kelebihan, pengalaman dan bakat dalam penulisan untuk membantu sebuah kewujudan negara bangsa.

Bagi seorang penulis yang baik dan berkarisma,sudah tentu akan menulis dengan telus dan mulus. Berdasarkan apa yang berlaku di sekeliling, tanpa menimbulkan kesangsian atau memberikan fakta-fakta yang boleh mengelirukan rakyat.

Inilah nilai dan falsafah sebenar perjalanan hidup seorang penulis, ia mesti membina dan memberikan perspektif yang sebenar dan di luar daripada kelaziman.

Untuk menjadikan penulisan itu benar-benar berkesan dan mempunyai impak jangka panjang, tentunya memerlukan gabungan antara pengalaman dan bakat seseorang dalam kepelbagaian hasil karya.

Memandang dengan mata helang, menulis dengan mata pena dan membaca dengan mata hati. Ketiga-tiga mata ini jika disatukan, jangankan seribu,tetapi sejuta pun dapat dibangkit dan dihimpunkan dalam satu-satu masa.