MENYAYANGI MELAYU, ITU ASABIYYAH?

Ya Allah, perkuatkanlah orang-orang Islam bangsa Melayu atas bangsa-bangsa kafir dan kembalikanlah negeri-negeri kami kepada kami, perkenankanlah Ya Allah Ya Rabbal ‘Alamin.”

BEGITU doa Maulana Syeikh Wan Ahmad Syeikh Muhammad Zain Syeikh Wan Mustaffa Faqih Wan Musa al-Jambusi al-Fathani menerusi kitab Hadiqatul Azhar.

Maka kalimah “Melayu” ini jika ditujukan kepada individu, maka dipanggil “Orang Melayu”; jika kepada kumpulan, dipanggil “Bangsa Melayu”; jika kepada negeri, dipanggil “Negeri Melayu”; jika kepada Raja, dipanggil “Raja Melayu”; jika kepada negara, dipanggil “Persekutuan Tanah Melayu”; jika kepada semenanjung, dipanggil “Semenanjung Tanah Melayu”; jika kepada gugusan, dipanggil “ Gugusan Selat Kepulauan Melayu”, jika kepada dunia, dipanggil “Alam Melayu”, sehingga terbentuk Empayar Alam Melayu yang kuat dan kukuh berkuasa sepenuhnya 375 tahun sehingga 1511, sehingga kini berusia lebih daripada 876 tahun.

Islam sendiri meraikan “ketuanan” bangsa-bangsa tertentu berasaskan kepada faktor sejarah dan sebagainya. Ketika Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah, Baginda tidak menghapuskan identiti kaum Ansar yang terdiri daripada suku Aus dan Khazraj. Mereka diberi peluang terlibat sama dalam kepimpinan politik bernegara.

Begitu juga setelah berlaku pembukaan Kota Mekah, Rasulullah tidak mengambilalih kepimpinan politik tempatan daripada pembesar Quraisy di Mekah walaupun Islam menguasai ketika itu.

Selesai pembukaan Kota Mekah, Baginda sendiri mengisytiharkan sesiapa yang tinggal di dalam rumah masing-masing tidak akan dicederakan. Walaupun Baginda pernah diusir daripada Mekah, tetapi Baginda tetap meraikan tanah asal usul sesuatu bangsa dan pulang ke Madinah. Mekah tetap dipulangkan kepada bangsa Quraisy di bawah pemerintahan Islam.

Ibnu Khaldun menegaskan dalam kitabnya yang terkenal, al-Muqaddimah: “Kepimpinan negara hendaklah daripada kalangan kaum yang terkuat pengaruhnya.”

Adapun kecintaan kepada bangsa adalah perasaan fitrah yang dikawal sikap kesaksamaan dan batas keadilan, meletakkan Islam dan akhlak yang luhur menjadi penyelamat bangsa. Menyelamatkan bangsa yang terpesong dan mundur tidak menjadi kesalahan, bahkan menjadi anak bangsa yang mulia, manakala membela bangsa sendiri atas dasar kezaliman, maka itu dianggap terpesong daripada landasan “kecintaan” yang sebenarnya.

Rasulullah s.a.w pernah ditanya oleh para sahabat: “Wahai Rasulullah… adakah dari kalangan asabiyyah, seseorang itu sayang akan kaumnya sendiri.” Baginda menjawab:Tidak! Akan tetapi asabiyyah adalah seseorang itu membela kaumnya pada perkara zalim.” (Riwayat Imam Ahmad dan Ibn Majah)

Jadi… asabiyyahkah kita?

Catatan: Abu Haitham

Tags: ,

No Comments

    Leave a reply