Menyelami ‘perjalanan mencari makrifat’ dalam Sidang Unggas

Sidang Unggas: Perjalanan Mencari Makrifat adalah sebuah karya puisi sufi yang hebat dan untuk memahaminya, seseorang itu memerlukan pembacaan berulangkali serta tidak mudah membuat kesimpulan, kerana puisi tulisan Farid ud-Din al-Attar mempunyai kaitan berlapis-lapis dalam beberapa anekdot yang digunakan sebagai pendokong kerohanian.

Sidang Unggas ini merupakan terjemahan daripada edisi bahasa Inggeris, Conference of Birds yang dikumpul, disunting dan diberikan keterangan mengenai tokoh-tokoh yang ditonjolkan Farid ud-Din al-Attar oleh Dick Davies. Diterbitkan pertama kali pada tahun 1983 dan Sidang Unggas adalah versi terjemahan yang diusahakan oleh Lisa Khalilah Khalili manakala penerbitannya dilaksanakan oleh Institut Terjemahan Buku Malaysia (2017).

Menariknya puisi sufi ini ialah ‘keindahan maksud’ yang cuba dibangunkan oleh Farid ud-Din al-Attar, seorang pemuisi ternama yang hidup pada zaman pemerintahan Empayar Abasiyah, yang berpusat di Baghdad. Berdasarkan sejarah, Farid ud-Din al-Attar adalah nama pena (bermaksud ‘penjual minyak wangi’) yang kebiasaannya digunakan dalam kalangan ahli sufi, yang ketika itu mempunyai kelompoknya yang khusus.

Sebahagian ahli sufi berselindung di sebalik nama pena disebabkan ‘pengaruh dan aliran pemikiran yang dianutinya’ dan sebahagiannya pula terpengaruh dengan aliran kebatinan (batiniyyah) yang ditolak oleh Al-Ghazali sebagai falsafah pemikiran sesat.

Tidak semua kelompok sufi berjaya menghasilkan puisi. Bagaimanapun, Farid ud-Din al-Attar merupakan penganut Islam Sunni dan sedikit sebanyak terpengaruh dengan aliran pemikiran Al-Ghazali, yang ketika itu sudahpun tersebar luas.

Nama sebenar Attar ialah Abū Ḥamīd bin Abū Bakr Ibrāhīm. Menurut Dr Shafie Abu Bakar, Attar dilahirkan pada tahun 1117 dan meninggal 1193 (http://drshafie.blogspot.my/2013/12/mikraj-rohani-fariduddin-al-attar.html:). Dick Davies pula berpendapat, kelahiran Attar ialah ‘antara tahun 1146 hingga 1158 dan meninggal dunia pada tahun 1220-an, mungkin ketika bangsa Mongol menakluki wilayah (Khorasan) dan bandar (Nishapur).’ Penaklukan itu menyebabkan sejumlah besar penduduk terbunuh. Dalam pelbagi naskhah Sidang Unggas, menyatakan 1175, 1178 atau 1187 sebagai tarikh ia siap.

Dan, sekiranya dua tarikh yang lebih awal itu tepat, 1158 seolah-olah ‘terlalu lewat untuk kelahiran Attar, kerana ia bermakna beliau mengarang puisi itu ketika remaja, dan ini nampaknya tidak mungkin sekali berlaku memandangkan kecanggihan teknik dan kekayaan ilmu yang dipaparkannya. Jika kita menerima tahun yang lebih awal (1146) dan yang terakhir siap karangannya (1187), ini bermakna puisi itu ditulis ketika beliau berumur kira-kira 40 tahun, dan ini andaian yang nampaknya munasabah.” (hal.viii).

Menurut Dick Davies, seluruh kehidupan Attar berkisar di Nishapur, Iran dan beliau merupakan sebahagian besar penyair Parsi Zaman Pertengahan yang tergolong dalam kelompok Sunni kecuali Naser Khosrow (nama sebenar Abu Mo’in Hamid ad-Din Nasir ibn Khusraw al-Qubadiani, dilahirkan di Tajikistan 1004 dan meninggal di Afghanistan pada tahun 1088), “iaitu seorang Syiah Ismaili dan mungkin Firdausi”. Iran bukanlah merupakan ‘sebuah negara yang majoriti Syiah sebelum kurun ke-16.

Al-Ghazali (1058-1111) juga berasal dari wilayah tersebut. Antara pemuisi sufi terkenal Iran lahir di situ ialah Omar Kayyam (Ghiyāth ad-Dīn Abu’l-Fatḥ Omar ibn Ibrāhīm Khayyām Neīshāhpūrī 1048-1131). Perjalanan puisi Farid ud-Din dipengaruhi oleh Bayazid Bastami (804-874), Sanai (Abul-Majd Majdūd ibn Ādam Sanā’ī Ghaznavi 1080-1131 dan berasal dari Afghanistan) dan Omar Kayyam. Puisi-puisi Farid ud-Din al-Attar kemudiannya turut mempengaruhi Maulana Jalaluddin Rumi Muhammad bin Hasin al Khattabi al-Bakri (Jalaluddin Rumi 1207-1273), pemuisi sufi terkenal dari Turki.

Puisi sufi, menurut Abdul Wadi HM (Sastera Sufi: Sebuah Antologi, 1983) telah mengangkat puisi ke tahap tertinggi. Ia merupakan pertemuan antara seni puisi dengan seni rohani dan kerana itulah untuk memahami puisi sufi, seseorang memerlukan sedikit sebanyak pengetahuan agama, terutama latar sejarah dan pesan ibadat dalam Islam.

Pengaruh sastera sufi sangat besar dan menjangkau dunia barat selain Islam. Bagaimanapun, sastera sufi banyak dikaji secara ilmiah oleh ‘orang barat’ kerana mereka berhasrat mencari kearifan Islam bagi pelbagai tujuan, termasuk sekularisasi pemikiran dan melentur prinsip kerohanian penganut Islam.

Menurut Prof Hashim Musa pernah mengungkapkan tentang keindahan seni Islam dalam eseinya “Islam dan Pengucapan Seni” sebagai seni rohani yang suci dan murni: “Dan roh yang digerakkan demikian akan bersemarak dan bergelora menyinarkan keindahan cahayanya memancar keluar dalam bentuk kreativiti seni, bak kuntum-kuntum mengelopak memenuhi ruang, bak riak-riak suara memecahkan kesunyian dan kesenyapan.

“Dan kreativiti seni demikian jika tidak dikaburi dan dinodai oleh pengaruh-pengaruh nafsu badaniah, sesungguhnya merupakan pencarian dan pernyataan terhadap keindahan dan kesempurnaan yang hakiki. Ianya melambangkan keharuan, kecintaan dan kerinduan roh insan terhadap keindahan dan kesempurnaan yang hakiki itu, iaitu yang menjadi sumber tempat asal kedatangannya iaitu Roh al-Quddus, puncak segala keindahan dan kesempurnaan. Dalam keadaan sedemikian seni itu merupakan pengucapan individu yang terbit dari dimensi roh yang suci murni.” (dlm. Kesusateraan Melayu dan Islam, 1980:207).

Puisi Attar yang terkandung dalam Sidang Unggas atau dalam bahasa asalnya, Mantiq al-Tayr melambangkan keinginan menduduki tempat yang tertinggi menerusi pengembaraan ribuan jenis burung mencari istana Simurgh. Dalam mitologi Parsi, Simurgh adalah ‘raja segala burung’ yang berada di ‘puncak Gunung Kaf’ dan Simurgh ‘sentiasa dekat dengan kita, walau kita tinggal jauh dari keagungannya yang tidak terjangkau manusia.” (baris 698-701).

Dalam persidangan burung-burung, burung hud-hud telah dipilih sebagai ‘pemimpin’ yang akan mengetuai pengembaraan panjang atas sifatnya, berpengetahuan luas, mempunyai ilmu yang mendalam mengenai Simurgh, berjiwa kental, sabar dan penyayang, tetap pendirian dan tegas dalam membuat sesuatu keputusan.

Hud-hud juga adalah ‘pemimpin yang penuh semangat’ dan sentiasa menyuntik motivasi kepada burung-burung lain yang bersikap pesimis, putus harapan, enggan berubah dan terlalu selesa dengan kehidupan sebelumnya, ego dengan pencapaian dan sifat diri, yang baginya, ia adalah sesuatu yang terlalu bersifat sementara dan mudah hilang.

Jelas hud-hud: “Ikut aku, akhirnya bila tamat usaha kita; Raja kita menyambutmu sebagai tetamu-Nya yang muliaJangan bayangkan Laluan ini mudah; Laut dan padang pasir luas terbentang depan istana-Nya, Fikir dengan teliti sebelum mulakan; Jalannya panjang, lautannya dalam –bila terbang, Mulanya diterjah gembira kemudian keluhan; Jika kau dambakan usaha ini, serahkan jiwamu; Jadikan istana Pemerintah kita matlamat tunggalmu.”

Setelah bermusyawarah, kesemua burung-burung yang awalnya rasa tidak bersedia atas pelbagai alasan, menemui ‘semangat berkobar-kobar’ memuji keindahan Raja ‘tak sabar untuk terbang ke angkasa’ walaupun pada awalnya ‘dengan berat rasa’. Ini dapat digambarkan melalui pelbagai alasan yang diberikan oleh burung bulbul, burung hantu, ciak, nuri, merak, helang, itik, pucung, ayam hutan dan lain-lainya.

Atas ketinggian ‘ilmu’ dan kebijaksanaan hud-hud, pelabagai alasan yang dilontarkan berjaya diberikan keyakinan bahawa apa yang dimiliki itu adalah kelebihan sementara manakala kekurangan yang ada bakal berganti dengan lebih ‘kekal abadi’ apabila berjaya sampai ke istana Simurgh. Ia melambangkan betapa hidup ini adalah suatu keadaan yang amat terikat dan keterikatan itu perlu ‘dilepaskan’ melalui perjalanan mencari makrifat.

Dalam pandangan ahli sufi, makrifat itu ialah “mengenal Allah secara yakin atau melihat Allah dengan mata hati.” Sekaligus, ia merupakan’puncak perjalanan’ dari segala ilmu pengetahuan. Dari situ muncul pula istilah makrifatullah, yang membawa erti ‘kumpulan ilmu pengetahuan tentang syari’at dan amalan-amalan untuk mencapai rasa cinta dan keindahan jiwa’ bagi memasuki ‘alam ghaib’ sebagai bukti kebesaran-Nya.

Kisah siding burung yang ditulis oleh Attar membawa pengertian bahawa ‘jalan cinta’ hanya boleh diperoleh menerusi ‘pengadbian kepada Sang Pencipta’ dan ini selaras dengan maksud al-Qur’an: “Aku menciptakan Jin dan manusia tiada lain supaya mereka mengabdi atau beribadah kepada-Ku.” (QS. Al-Dzariyat: 56).

Makrifat terhadap Allah sebagai Zat pencipta alam ini adalaj fitrah dalam diri manusia, dan untuk mengenal Allah, Dia telah memperkenalkan diri-Nya sebagaimana disebutkan dalam surah Yaasin ayat ke-33, 37 dan 41;

Dan dalil yang terang untuk mereka (memahami kekuasan dan kemurahan Kami), ialah bumi yang mati; Kami hidupkan ia serta Kami keluarkan daripadanya biji-bijian, maka daripada biji-bijian itu mereka makan.” (Ayat 33)

Dan lagi dalil yang terang untuk mereka (berfikir) adalah malam; Kami hilangkan siang daripadanya, maka dengan serta-merta mereka berada dalam gelap gelita.” (ayat 37)

Dan satu dalil lagi untuk mereka (insaf) adalah, Kami membawa belayar jenis keluarga mereka dalam bahtera yang penuh sarat.” (ayat 41).

Fariduddin al-Attar menggambarkan jiwa hamba yang terpenjara dalam kerangka badannya (saperti pelbagai alasan burung-burung untuk menolak ‘perjalanan mencari Simurgh’) yang dijarakkan dengan Yang Tertinggi, kerana makhluk ciptaan-Nya disaluti oleh “kekotoran dan kebiasaan” dan untuk menjadi lebih bahagia ia memerlukan “pembersihan rohani”, iaitu mendekatkan antara jarak yang terpisah.

Perjalanan ‘membersih jiwa” itu adalah perjalanan kualiti dan mikraj rohani ini tidak mudah dilalui, ia memerlukan mujahadah dan tarbiah. Di sinilah kebijaksanaan hudhud melaksanakan tarbiah bagi taqarrub kerohanian yang tinggi.

Dalam usaha dan ujian inilah terpancar dari jiwa sufi kepedihan, kerinduan dan kecintaan dalam ungkapan-ungkapan dan madah-madah mutiara, yang kemudiannya diterjemahkan oleh Farid ud-Din Attar dengan indah,  gemerlap dan perlukan pemahaman yang mendalam ikhtibar dalam sejarah, yang sebahagian besarnya dipaparkan dalam al-Qur’an manakala sebahagiannya adalah sejarah hidup umat Islam, sebelum, semasa dan saat-saat penyusupan pelbagai pengaruh pemikiran.

Seperti dijelaskan oleh hud-hud, “, “Negara-negara di dunia perlukan raja: Kenapa kita saja yang tak begitu pula? Hanya kerajaan dapat mentadbir adil saksama; Kita perlukan raja dan wajib mencarinya.” (hal.42, baris 675-678). Kemudian para burung mula bertanya mengenai raja mereka, Attar menggambarkan (hal.42-43):

Berhujah mereka memulakan pencarian.

Hud-hud mengepak ke depan; di dadanya nan bidang

Tampak bersinar lambing Laluan Roh

Mahkota Kebenaran di kepala, balung pelepah terbentu.

Memahami, soleh bagi bijaksana

Ujarnya ‘Matlamatku ditentukan-Nya;

Kusimpan rahsia Tuhan, berunsur biasa dan ketuhanan,

Sebagai bukti menunjukkan tanda kesucian

 Bismillah di paruhku terukir abadi.

Penerangan hud-hud telah menghapuskan keraguan burung-burung yang terbabit dalam Sidang Unggas, dan seterusnya bersetuju untuk memulakan perjalanan panjang menuju ke istana Simurgh: “Bangkit tak sabar untuk terbang ke angkasa; Setiapnya meninggalkan Diri dan menemani Sahabat ke matlamat kembara ini.” (hlm. 45)

Dikisahkan, pada suatu malam sang Maharaja Simurgh terbang di kegelapan malam. Tiba-tiba jatuhlah sehelai bulunya yang membuat geger seluruh penduduk bumi. Begitu mempesonanya bulu Simurgh hingga membuat tercengang dan kehairanan. Semua penduduk gegak gempita ingin menyaksikan keindahan dan keelokannya. Dan dikatakan kepada mereka, “Andaikata sehelai bulu tersebut tidak jatuh, nescaya tidak akan ada makhluk yang bernama burung di muka bumi ini.”

Disebabkan perjalanan itu sukar, panjang dan meletihkan, hud-hud perlu memotivasikan kerana ‘besarnya beban, teramat panjangnya jalan!’ di ‘Laluan sepi, kosong’. Nasihat hud-hud diselitkan dengan pelbagai anekdot, dan antaranya ‘kisah si bodoh bermasalah (hlm.97); ‘Jibril dan si kafir (hlm.99); Tuhan menegur Musa (hlm. 100); Cemburu malaikat terhadap manusia (hlm.102); Dua sufi ke mahkamah (hlm.105); Penggali kubur (hlm.107); dan, Saudagar mengadakan jamuan (hlm.119). Kisah-kisah tersebut berjaya ‘membangun semula semangat yang hilang oleh kelesuan dan rasa kecewa.’

Sebagai seorang pemimpin, hud-hud sangat bijak dan sabar mendengar semua keluhan dan alasan burung-burung dengan mempersoalkan keengganan meneruskan perjalanan suci walhal Simurgh ‘sudah jelas dan dekat, laksana matahari dengan cahayanya.’ Dengan semangat yang tinggi (himmah), boleh menghadapi segala rintangan, bertawakkallah, kerana berada di jalan yang benar.

Apa yang jelas dalam perjalanan itu, kedudukan burung-burung yang ‘melihat dirinya begitu istimewa’—bulu-bulu yang indah, paruh yang tajam, sayap yang kuat, cengkaman kaki yang perkasa, suara yang merdu, bersarang di tempat yang sejuk, tinggi dan nyaman—sudah tidak lagi terfikirkan. Ia seumpama menunaikan kewajipan di rumah Allah, seperti mengerjakan haji di mana, kekayaan, pangkat dan kedudukan bukan lagi penting, tetapi keikhlasan mengabdikan diri kepada-Nya, dengan berpakaian yang sama, dari kain kapas berwarna putih tidak berjahit. Kain kapas putih tidak berjahit itulah juga ‘kain kafan’ yang dipakaikan kepada si mati.

Itulah gambaran kehidupan yang fana’ tetapi dalam kefanakan itulah manusia seringkali bersengketa atas pelbagai alasan. Ada mereka yang berilmu, menggunakan ilmunya untuk mengaibkan ‘orang lain’; ada yang bodoh tetapi mengakui berilmu hanya kerana ingin meraih keseronokan palsu. Seharunya, semakin berilmu seseorang, semakin menunduk dan bersedia berbakti untuk kesejahteraan hidup orang lain, kesejahteraan bersama sebagaimana Islam meletakkan kepentingan Jemaah atau kemaslahatan ummah.

Kisah hud-hud ini membawa kepada ‘kekentalan semangat’ yang dibangunkan oleh sebuah ‘perjalanan spiritual’ untuk menemui Simurgh, bukan untuk mendapatkan kedudukan sebagaimana dilakukan oleh sesetengah mereka yang berilmu. Lihat sahaja, dalam keriuhan ‘burung-burung atau manusia mencari titik persetujuan’ seperti seekor helang seorang tokoh ‘menyambar’ lalu mencerca. Sikap inilah yang sepatutnya dihindarkan, sebagaimana hud-hud berjaya ‘melemahkan’ ego pelbagai burung untuk merentas ruang perjalanan suci dan menemui ‘cahaya keabadian’.

Sebuah buku menarik, yang wajib dibaca oleh semua ahli politik Islam dalam mencari kebijaksanaan kepimpinan dan kemaslahatan setiap orang yang dipimpinnya, sebagaimana ditunjukkan oleh hud-hud. Tahniah atas terjemahan ini, walaupun dianggap terlewat, ia tetap tidak mengecewakan kerana ‘keluasan makna’ dalam puisi Attar masih tetap relevan dengan sikap politik yang sedang berlaku di Malaysia, yang akan kita kenal watak dan bentuknya.

Judul Buku  : Sidang Unggas: Kembara ke Puncak Makrifat; Terbitan : Institut Terjemahan Buku Malaysia, 2017, Jumlah Halaman :  275; dan Harga : RM 40.00

Kamarun KH

 

 

 

 

 

No Comments

    Leave a reply