MERAIKAN KEKASIH ATAU MERAYAKAN MAKSIAT?

Setiap kali tibanya tarikh 14 Februari, setiap kali itulah ada pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh pihak tertentu untuk membuktikan ‘kesetiaan’ kepada kekasih hati.

Menyambut hari kekasih bukanlah merupakan tradisi Islam. Hari kekasih buat pertama kali diraikan oleh masyarakat Rom yang mengamalkan kepercayaan pagan pada Abad ke-3.

Hari kekasih atau Valentine’s Day mempunyai beberapa versi tetapi pihak gereja telah mengharamkannya pada tahun 1969. Perayaan ini bukanlah merupakan hari berkasih sayang antara pasangan yang sah. Ia lebih merupakan hari untuk melakukan maksiat atau perhubungan antara lelaki dan perempuan hingga memungkinkan hubungan kelamin tanpa ikatan perkahwinan.

Menyambut hari kekasih yang pada asalnya tidak membabitkan nilai-nilai komersial. Kini, setiap kali tibanya menjelang 14 Februari pelbagai bentuk promosi dan iklan telah dibuat bagi menarik ‘pasangan kekasih’ berasmara tanpa diganggu. Bahkan ada premis yang menyediakan ‘bilik khusus’ untuk setiap pasangan melakukan apa sahaja yang diinginkan mereka atas nama ‘kasih sayang’.

Disebabkan pelbagai tarikan yang dipromosikan, pasangan kekasih sanggup berhabis kerana menganggap ‘perayaan itu adalah sesuatu yang istimewa bersama orang yang paling istimewa’ yang mungkin membawa kepada alam perkahwinan.

Atas keinginan itulah juga muncul pula pelbagai ‘tawaran’ dibuat oleh orang perseorangan untuk ‘memikat’ sehingga individu yang tertarik sanggup berbelanja mahal atas dasar ‘eksklusif’.

Sayangnya, dalam keghairahan itu tidak kurang juga individu yang ‘tertipu’. Menurut kenyataan pihak berkuasa, hasil siasatan selama lima hari (6 hingga 10 Februari 2017), dianggarkan hampir RM 22 juta kerugian ditipu oleh African Scam. Yang menjadi mangsa ialah rakyat Malaysia dan Singapura.

Penipuan itu turut berlaku di Britain. Menurut satu laporan, setiap tiga jam berlaku satu ‘penipuan asmara’ dan purata kerugian setiap ‘pasangan asmara’ ialah 10,000 pound sterling (RM 56,000). Terdapat purata tujuh penipuan sehari dan ini bererti dalam sehari hampir RM 400,000 ‘duit dikebas’ oleh sindiket penipuan di Britain.

Laporan itu juga menyebut, kebiasaannya ‘orang kena tipu’ akan memindahkan sejumlah wang dalam tempoh sebulan selepas perkenalan pertama mereka. Perangkaan itu dikeluarkan oleh pelbagai pihak yang bekerjasama dengan Online Dating Association, yang tujuannya untuk memahami perilaku dan pola penipuan ‘pertemuan dalam talian’.

Ada juga mangsa yang hilang segala-galanya. Wang, kepemilikan rumah, kereta dan yang paling menyedihkan ialah ‘kegadisan’nya kerana terlalu percayakan ‘kekasih’. (http://www.independent.co.uk 10 Februari 2017).

Hari Kekasih dikaitkan dengan ‘hari untuk mengisytiharkan ketulusan cinta’ dan ‘penglahiran kasih sayang kepada pasangan’ yang tulus dan suci. Ia membawa pengertian ‘cinta sejati’ yang hadir dalam hidup pasangan, walaupun kadangkala tidak ‘mencerminkan keikhlasan dan kejujuran.’

Ada yang menganggap hari tersebut sebagai titik permulaan yang membenarkan mereka untuk meneruskan perhubungan yang lebih intim. Atas anggapan itulah hari kekasih menjadi ‘lesen’ kepada sepasang kekasih membuat maksiat atau perbuatan yang sebelum ini dilihat ‘keterlaluan’ atau terlarang.

Ketika meraikan hari kekasih, pasangan seperti dibenarkan oleh berpelukan hatta memadu cinta tanpa ada batasan dan segan silu lagi. Ia dimulakan dengan ‘pertemuan’ dan kemudian saling bertukar hadiah. Setelah dirasakan ‘ada keserasian’ dan ‘terpengaruh’ dengan ayat-ayat cinta, pasangan berkenaan mula menunjukkan ‘keintiman hubungan’ yang hanya bertemankan ‘cahaya malap’.

Tidak kurang juga ‘keintiman hubungan’ pada malam menyambut hari kekasih berakhir dengan hubungan seks. Sebab itulah kita seakan tidak dapat menolak bahawa salah satu penyebab kepada ‘kelahiran tidak sah taraf’ ialah keasyikan cinta yang terjalin di malam menyembut hari kekasih.

Mulai tahun ini, pihak berkuasa di Jawa Barat telah mengeluarkan fatwa bahawa penduduk di wilayah tersebut diharamkan meraikan hari kekasih. Dua tahun lalu, sebuah agensi antarabangsa yang berpengkalan di Indonesia melaporkan sejumlah 83 peratus remaja di Thailand melakukan seks bebas pada malam menyambut hari kekasih.

Thailand merupakan negara Asia Tenggara yang mempunyai kadar kehamilan remaja yang tertinggi. Sebab itulah kerajaan Thailand begitu bimbang dengan kemungkinan penyakit yang berkaitan seks bebas. Thailand juga mempunyai bilangan pengidah HIV/AIDS yang tinggi. Jika fenomena ini tidak dapat dikawal, Thailand dijangka mengambil alih kedudukan Afrika sebagai negara yang teramai bilangan pengidap HIV/AIDS dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Bagi membendung penularan HIV/AIDS, pihak berkuasa Thailand mengeluarkan arahan melarang golongan remaja melakukan hubungan seks pada malam menyambut hari kekasih. Di Bangkok, pihak berkuasa telah menambahkan bilangan anggota polis pada malam tersebut. Pihak polis diberikan tanggungjawab untuk ‘memaksa pasangan pulang ke rumah masing-masing’ selepas pasangan berkenaan selesai menikmati jamuan makan di restoran atau hotel. Remaja di bawah umur juga dilarang untuk memasuki kelab-kelab malam dan pusat hiburan.

Tentunya ramai juga pihak yang menentang arahan tersebut. Bagaimanapun, pihak polis dan kerajaan tidak berganjak dengan peraturan itu. Peraturan dan kuatkuasa undang tetap dilaksanakan tanpa curiga. Kerajaan tidak tunduk kepada desakan dan permintaan pusat-pusat hiburan, atas alasan pencegahan tidak perlu tunduk kepada tekanan bertentangan dengan hak asasi dan kebebasan individu.

Sikap bersungguh-sungguh pihak berkuasa itu wajar dicontohi oleh Malaysia. Walaupun Malaysia bukanlah sebuah negara yang mempunyai jumlah pengidap HIV/AIDS yang tinggi, wabak itu sudah berkembang dan sukar dikawal. Sebahagian pengidap HIV/AIDS ada kaitannya dengan perlakuan seks bebas atau berbilang pasangan selain perkongsian jarum suntikan dadah.

Pihak berkuasa di Malaysia wajib melaksanakan tindakan tegas kepada pengusaha pusat hiburan dan kelab malam agar tidak membenarkan pasangan kekasih meraikan hari kekasih secara berlebihan. Premis hiburan perlu memastikan bahawa operasi hiburan mereka pada malam itu tidak berlanjutan sehingga awal pagi. Seboleh-bolehnya, pengusaha pusat hiburan disyaratkan meletakkan ‘jaminan tertentu’ sekiranya mahu membuka aktiviti menyambut hari kekasih.

Pusat hiburan wajib mendaftarkan para pelanggannya atau menyedikan senarai pelanggannya manakala pelanggan perlu membuat tempahan lebih awal. Tidak ada ‘walk in’ dibenarkan memasuki premis hiburan. Aktiviti pada malam itu hendaklah berakhir sebelum lewat malam manakala minuman yang boleh mendatangkan kemudaratan tidak dijual. Begitu juga penggunaan dadah.

Para pelanggan yang memasuki premis hiburan mestilah diperiksa sebaik sahaja melangkah kaki ke dalamnya. Pihak berkuasa wajib membuat ‘scan’ agar setiap pengunjung bebas daripada pengaruh dadah.

Jika tindakan ini dapat dilakukan, tentunya kebimbangan umum terhadap kebanjiran ‘anak tidak sah taraf’ boleh dikurangkan. Ia akan menjadi lebih berkesan apabila budaya menyambut malam hari kekasih dibatalkan manakala premis hiburan yang menganjurkannya atas panggilan lain turut dikenakan tindakan tegas.

Pada tahun 2015, perangkaan Kementerian Kesihatan mendedahkan terdapat 3,980 atau 28.8 peratus kes remaja (berusia 10-19 tahun) melahirkan ‘anak tidak sah taraf’. Keseluruhan anak tidak sah taraf dilahirkan pada tahun 2015 ialah 13,831. Ertinya, sebahagiannya mungkin disebabkan keterujaan meraikan malam hari kekasih.

Walaupun agak sukar untuk membendung kelahiran anak tidak sah taraf, masyarakat wajar memberikan sokongan agar tidak meraikan sambutan hari kekasih, kecualilah bagi pasangan yang berkahwin secara sah.

Dari segi Islam, pemilihan satu tarikh untuk meraikan hari kekasih dalam setahun adalah suatu tindakan yang sepatutnya berlaku. Islam sebagai cara hidup yang dibina berdasarkan nilai dan amalan kasih sayang perlu diraikan sepanjang hayat, tetapi ia wajib diraikan dalam batas dan etika yang dibenarkan.

Pasangan bukan muhrim diharamkan bergaul antara mereka, kerana pergaulan bebas akan menyebabkan lebih banyak keburukan. Ia bukan sahaja membuka pintu kepada kemaksiatan, bahkan boleh menjerumus kepada masalah sosial yang serius.

Islam yang dihadirkan dalam peradaban manusia ialah untuk membangunkan akhlak dan memperbaik nilai kehidupan manusia. Sebaliknya, pergaulan bebas akan merendahkan martabat manusia itu sendiri, kerana sesungguhnya Allah SWT menginginkan manusia hidup secara beradab dan dengan kasih sayang yang luhur, bukan atas ‘nafsu tanpa kawalan.’

Menyambut hari kekasih membuka kepada gerbang maksiat dan memungkinkan aktiviti persundalan. Sesungguhnya, maksiat adalah perbuatan yang menjadikan manusia sebagai kumpulan pendosa dan golongan yang terkutuk.

No Comments

    Leave a reply