Sememangnya Hari Kebangsaan yang disambut saban tahun mempunyai signifikan terutama dalam konteks memperingati jasa pahlawan, pejuang serta perwira bangsa yang sanggup menggadaikan nyawa demi sebuah kebebasan buat negara ini.

Juga diakui proses peralihan daripada British kepada Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj berjalan dengan cukup baik sehingga ke peringkat Persekutuan Tanah Melayu ketika itu berjaya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, namun sejarah perjuangan sebelum itu jangan sesekali dilupakan.

Pahlawan-pahlawan Melayu se­perti Datuk Bahaman, Datuk Muhamad Salleh Perang, Datuk Maharaja Lela Pandak Lam, Dol Said, Tok Gajah, Mat Kilau, Mat Salleh, Rentap, Haji Abdul Rahman Limbong dan Tok Janggut adalah antara nama besar yang sanggup berkorban nyawa dan harta semata-mata mahu membebaskan negara ini daripada cengkaman penjajah.

Mereka inilah yang menjadi pencetus ke arah membebaskan tanah Semenanjung, Sabah dan Sarawak daripada terus dipe­rintah oleh penjajah British. Bagi mereka tanah-tanah ini adalah hak penduduk tempatan dan bukannya milik orang asing.

Begitu juga dengan sumba­ngan yang diberikan oleh pejuang-pejuang terkemudian seperti Datuk Seri Dr. Burhanuddin al-Helmi, Ahmad Boestamam, Ibrahim Yaakob, Pak Sako, Aziz Ishak serta rakan-rakan seangkatan yang tidak pernah patah sema­ngat walaupun sebahagian besarnya pernah dipenjarakan kerana berjuang menentang penjajah.

Tidak ketinggalan peranan akh­bar tempatan seperti Utusan Melayu yang tidak putus-putus menyedarkan orang Melayu tentang peri pentingnya nilai sebuah kemerdekaan. Justeru, sebaik sahaja Utusan Melayu dilancarkan pada 29 Mei 1939, akhbar itu terus menjadi lidah perjuangan bagi orang Melayu dalam menuntut kemerdekaan.

Dengan menggunakan tulisan Jawi iaitu tulisan Arab, akhbar tersebut telah didukung oleh pejuang-pejuang serta intelek-intelek nasionalis Melayu ketika itu. Pelbagai artikel dan berita telah dihasilkan oleh wartawan-wartawan bersifat nasionalis. Kesannya, mereka berjaya membangkitkan obor api perjuangan dalam kalangan rakyat untuk bersama-sama memerdekakan negara tercinta ini.

Penghargaan juga diucapkan kepada tokoh-tokoh pemimpin bukan Melayu seperti Tan Cheng Lock, Tun H.S. Lee dan Tun V. T. Sambanthan atas sumbangan me­reka memulakan kerjasama antara kaum sehingga mencetuskan idea penubuhan Parti Perikatan (UMNO, MCA dan MIC) yang kemudiannya berjaya mendapatkan kemerdekaan buat Persekutuan Tanah Melayu daripada British.

Inilah sejarah ringkas kemer­dekaan negara yang mungkin dilupakan oleh sebahagian generasi muda di Malaysia. Tanggapan ini ada asasnya kerana anak-anak selepas merdeka hidup dalam keadaan aman, damai dan harmoni. Tiada istilah susah dan sukar dalam kehidupan mereka. Mereka tidak perlu berjuang se­perti nenek moyang kita dahulu.

Semuanya telah tersedia. Apa yang mereka mahu, boleh didapati dengan mudah. Mereka bo­leh mendapatkan pendidikan, khidmat kesihatan dan peluang pekerjaan tanpa sebarang ma­salah. Sungguhpun begitu da­lam kelekaan kita hidup dalam sebuah negara yang merdeka dan bebas, berwaspadalah kerana penjajahan sebenarnya boleh datang dalam pelbagai bentuk.

Penjajahan ekonomi, penjajahan minda, penjajahan budaya, penjajahan sosial adalah antara bentuk penjajahan yang terpaksa kita hadapi masa kini. Jika kita tidak berhati-hati penjajahan dalam bentuk baharu ini boleh merosakkan rakyat sekali gus negara.

Tidak dinafikan perlakuan jenayah seperti rasuah perlu dibanteras habis-habisan kerana kesan buruknya terhadap sosial, ekonomi, tahap perkhidmatan kerajaan dan kehidupan masyarakat sesebuah negara tetapi pada masa sama segala bentuk penjajahan yang boleh merosakkan rakyat dan negara seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) tidak boleh diambil mudah.

Oleh itu, pandangan individu tertentu bahawa isu LGBT tidaklah seberat rasuah adalah sesuatu yang sukar diterima sama sekali. LGBT tetap satu perbuatan keji kerana berlawanan dengan fitrah manusia biasa.

Jika perbuatan ini dibiarkan tanpa tindakan sewajarnya daripada pihak berkuasa, akan berlaku kecelaruan yang hebat dalam masyarakat. Paling ditakuti boleh mengundang pelbagai penyakit berbahaya antaranya Aids. Sebab itu Allah SWT merakamkan kisah hujan batu daripada tanah terbakar yang ditimpakan ke atas umat Nabi Lut a.s (yang melakukan hubungan sejenis) dalam Surah Al-A’raf (80-84) dan Surah Hud (77-83).

Apa tujuannya ayat-ayat ini di­turunkan? Tujuannya untuk menjadi panduan kepada manusia. Kita sebenarnya beruntung kerana tidak dilahirkan sebagai umat Nabi Lut sebaliknya dilahirkan sebagai umat Nabi Muhammad SAW. Antara keistimewaan umat Nabi Muhammad SAW ialah segala bala yang diturunkan untuk orang berdosa ditangguhkan sehingga hari akhirat.

Ini yang membuatkan ada di antara kita mudah lupa sehingga sanggup mengetepikan hukum agama dan hukum fitrah kerana mahu memenuhi kehendak nafsu dengan mengamalkan hidup LGBT. Bagi kelompok ini hak asasi (tanpa batasan) dan kebebasan adalah segala-galanya.

Secara jujurnya, atas nama kebebasan penulis khuatir satu hari nanti ada dalam kalangan anak-anak kita yang membawa rakan (sejenis sama ada lesbian, gay atau transgender) pulang ke rumah dan isytiharkan mereka adalah pasangan kekasih dan minta persetujuan supaya dibenarkan berkahwin. Adakah kebebasan seperti ini yang kita mahu dan pertahankan?