MEROYAN DAN GILA TALAK BILA PAS DAN UMNO ‘BERSANDING’

 

SERUAN perpaduan antara PAS dan UMNO sudah lama kedengaran. Sejak berlaku penceraian PAS pada tahun 1977, banyak pihak melihat perpecahan dua buah parti Melayu-Islam yang lahir dari induk yang sama pada tahun 1946 sebagai titik mula perpecahan politik Melayu secara dasarnya. Meskipun UMNO pernah berpecah semasa kepimpinan pengasasnya, Datuk Onn Jaafar, PAS belum muncul sebagai sebuah pertubuhan politik dan masih kekal sebagai sayap ulama dalam UMNO.

PAS mula ditubuhkan secara rasminya pada tahun 1951. Ini bermakna, percantuman PAS dalam gagasan BN pada tahun 1974 adalah kerana ingin memperkuatkan kedudukan dominasi politik Melayu-Islam selepas kemunculan parti-parti yang baharu sebagai serpihan MCA, iaitu Gerakan bagi menyekat pengaruh Malaysian Malaysia yang dicanangkan oleh DAP setelah PAP tidak lagi dibenarkan bertapak di Malaysia. PAP, parti yang diasaskan di Singapura di bawah kepimpinan Lee Kuan Yew telah berubah menjadi lebih radikal apabila kalah dalam beberapa pilihan raya kecil di tangan Parti Buruh atau Pekerja.

Ketika penggabungan itu, PAS berusia 23 tahun dan penggabungan kedua hanya dengan UMNO yang berlaku secara rasminya pada 5 Mac 2019, ketika berusia 68 tahun. Kali ini, ia bukan lagi dilihat sebagai penggabungan, ia adalah ‘perkahwinan’ ketika UMNO berusia 73 tahun, ‘perkahwinan warga emas’ untuk membentuk suatu blok kuasa bagi berhadapan dengan PH yang baharu berusia 2 tahun. Walaupun usia PH hanya dua tahun, ia telah menunjukkan penggabungan tiga parti serpihan, iaitu dua dari UMNO dan satu dari PAS. Serpihan daripada UMNO ialah PPBM dan PKR. Serpihan daripada PAS ialah PAN.

Sebelum kemunculan PH, gabungan parti-parti pembangkang sudah terbentuk pada tahun 2007 dan berjaya menghasilkan blok pembangkang yang kuat pada tahun 2008. Gabungan tersebut, Pakatan Rakyat berusaha untuk ‘merombak’ ikatan politik BN dan semakin kuat mencabar dalam PRU ke-13 (2013). Bagaimanapun, Pakatan Rakyat akhirnya berhadapan dengan kecairan PAS apabila parti yang menggunakan ideology politik Islam mengambil sikap ‘bermusuh dengan DAP’ selepas PRU ke-13.

Kemunculan semula Tun Dr Mahathir ekoran ‘kemarahan’nya kepada Najib, memberikan semangat baharu penggabungan parti-parti pembangkang pada tahun 2017. PAS saperti sudah berpatah arang dengan DAP, tidak berhajat untuk kembali bergabung walaupun dipujuk dan dirayu oleh Dr Mahathir, atas alasan, tidak boleh menerima DAP yang bermain kayu tiga untuk menerima PAN sebagai pengganti. PAN, yang muncul selepas kumpulan professional dalam PAS gagal mendapat sebarang kedudukan di peringkat pusat apabila akar umbi menolaknya dan mahukan parti itu kembali ke landasan ‘kepimpinan ulamak’.

Pada tahun 2008, PAS pernah mengutarakan cadangan untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan UMNO, tetapi ia menerima tentangan hebat dari dalam PAS sendiri apabila Mursyidul Am PAS, yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat melihat percubaan itu sebagai ‘malapetaka’. Gempita kemarahan telah menyebabkan tindakan untuk ‘membuang buah busuk’ wajar dilakukan, hasilnya, Nasharudin Mat Isa dipecat sebagai Timbalan Presiden PAS dan Nik Aziz ‘mengawal’ kehadiran pemimpin-pemimpin PAS bagi membantu PRK DUN Manik Urai, Kelantan pada tahun 2009.

Menurut Timbalan Presiden UMNO, yang turut menjalankan tugas sebagai Presiden UMNO, Datuk Sri Mohamad Hassan, upacara pertunangan dengan PAS bermula ketika PRK Sungai Kandis, yang kemudiannya disarungkan cincin pertunangan dalam PRK Seri Setia. Perkahwinan berlangsung selepas mesyuarat pertama untuk menetapkan hala tuju kerjasama di PWTC pada 5 Mac 2019, selepas PAS membantu kemenangan BN dalam PRK Cameron Highlands dan PRK Semenyih.

Secara statistiknya, perkahwinan UMNO dan PAS bakal ‘menggugat’ penguasaan PH dalam beberapa kerusi parlimen dan DUN di Semenanjung. Media sosial mula memperkatakan, seandainya berlaku PRK di kawasan-kawasan tersebut, peluang untuk PH menang adalah tipis, berdasarkan penjumlahan undi PAS dan BN dalam PRU ke-14. Antaranya ialah Pokok Sena dan Parit Buntar yang dimenangi oleh PAN, asalnya adalah pemimpin PAS. Kedudukan Datuk Mahfuz Omar di Pokok Sena dan Dr Mujahid Yusof Rawa di Parit Buntar boleh menyebabkan kekalahan sekiranya PRK diadakan atau boleh tergugat dalam PRU ke-15 nanti.

Senario itu menyebabkan ramai pemimpin PH, terutamanya dari PPBM mula mengalami ‘rasa geram’ kepada PAS kerana parti itu menghampiri hasratnya untuk menjadi ‘king maker’ atau penentu yang boleh menggugat kemenangan kerusi-kerusi yang dimenangi oleh PAN. Dengan corak kepimpinan UMNO di bawah Mohamad Hassan, PPBM turut rasa tergugat dan kesan turut dirasakan oleh PKR di beberapa kawasan tertentu. Sebab itulah Anwar Ibrahim yang baharu mengesahkan kedudukannya sebagai ahli parlimen dan Presiden PKR cepat memberikan reaksi, PKR juga mempunyai agenda politik untuk memperkasakan Melayu-Islam, bahasa Melayu dan keahliannya adalah turut disertai oleh Melayu-Islam. Namun, retorik Anwar tidak menolak rasa bimbangnya dengan ‘perkahwinan PAS dan UMNO’ sebagai pasangan politik yang berpengaruh.

Rasa tidak senang terhadap persandingan itu jelas terbukti apabila Dr Mahathir sendiri menyoal adakah PAS berjaya mengislamkan UMNO, sebuah parti yang rosak. Pandangan Dr Mahathir yang sinis menyindir membawa tafsiran bahawa sebahagian daripada kerosakan yang berlaku ke atas UMNO adalah hasil peninggalannya. Beliau telah memimpin UMNO untuk tempoh yang lama turut menzahirkan budaya politik wang dalam parti dan sehingga dua kali keluar daripada pertubuhan berkenaan, masalah politik wang tidak berjaya diatasi.

Politik wang dalam UMNO dikatakan menjadi budaya yang meluas ketika berlakunya pemilihan pucuk pimpinan parti. Sebelumnya, ketika UMNO dikuasai oleh bukan kalangan orang korporat, perjuangan dan proses pemilihan tidak banyak membabitkan wang. Dikatakan kemenangan Dr Mahathir dalam pemilihan jawatan presiden UMNO pada tahun 1987 juga ada kaitan dengan ‘politik wang’; para perwakilan disogokkan oleh ‘political broker’ yang berkempen untuk Mahathir.

Ketika memimpin UMNO, Dr Mahathir telah membawa masuk kalangan korporat dalam parti. Sebahagian daripada mereka berusaha mendapatkan habuan projek, pemilikan saham dan tidak kurang ialah bertindak sebagai proksi dengan menubuhkan syarikat-syarikat baharu, yang kemudiannya memiliki aset-aset parti yang diswasta, atau dipindahmilikkan. Siapakah yang menjadi pemilik Pos Malaysia Berhad?

Siapakah yang memiliki saham dalam United Malayan Banking Berhad? Siapakah yang memperoleh kontrak pembinaan Projek Lebuh Raya Utara-Selatan? Syarikat manakah yang mendapat kontrak pembinaan Daya Bumi? Syarikat manakah yang menjadi peneraju dalam pembinaan Jambatan Pulau Pinang? Bagaimana Malaysian Airlines System dipindah kepada seseorang dan kemudiannya dibeli semula oleh kerajaan apabila berhadapan dengan masalah? Siapakah yang mendapat keuntungan besar sebaik sahaja kontrak penyewaan kenderaan kerajaan dibawah SPANCO?

Semuanya itu memberikan gambaran bahawa hubungan dengan ahli politik, kemasukan kelompok korporat telah mewarnai imej UMNO dan mula menjadi rosak. Apakah itu tiada kaitan dengan lowongan dan peluang yang diciptakan oleh kepimpinan Dr Mahathir, walaupun beliau mendakwa, tidak pernah merompak dan mencuri wang.

Kalaupun Najib cuba dipersalahkan dengan kleptokrasi, Dr Mahathir sepatutnya sedar hampir setahun dakwaannya belum lagi terbukti. Akibat terlalu lambat, bahkan dalam kenyataan terbaharu Ketua Polis Negara agar menyeranaikan semua barangan yang disita dan dikaitkan dengan 1MDB perlu disegerakan, membawa pengertian ia cukup untuk mengheret Najib. Setakat ini, Najib hanya dituduh salah guna kuasa dan penggubahan wang haram. Apakah trend ini boleh menghancurkan ‘perjuangan PH’ untuk tempoh selanjutnya.

Ada dakwaan, kononnya persandingan PAS dan UMNO bertujuan untuk mengembalikan Najib sebagai Perdana Menteri. Dakwaan sedemikian adalah suatu tindakan terdesak, kerana Najib belum tentu diterima sebagai sekali lagi untuk dilantik sebagai Perdana Menteri sekiranya gabungan berkenaan berjaya menyingkirkan PH dalam PRU ke-15. Untuk Najib kembali memimpin UMNO di peringkat pusat, bukan sesuatu yang mudah. Pasti ada tentangan dan halangan.

Bagi Dr Rais Hussin, ‘persandingan’ antara PAS dan UMNO ibarat ‘sumbang mahram’ membuktikan bahawa bekas pemimpin UMNO itu sudah kehilangan asas politik berhemah. Dakwaan tersebut membawa pengertian bahawa UMNO dan PAS sanggup melakukan perbuatan keji dan dilaknat oleh agama. Tidak semudah itu PAS dan UMNO bersedia untuk melakukan ‘sumbang mahram’, kerana apa yang berlaku sejak semalam ialah ‘ikatan yang rasmi’ dan sah, bukan lagi percintaan tanpa ‘pernikahan’.

Sebagai bekas pemimpin UMNO, Rais memang khuatir. Rais khuatir, kekuatan yang bakal terlahir daripada ‘persandingan’ tersebut boleh menyebabkan kedudukan politiknya terumbang-ambing. Untuk kembali ke pangkuan UMNO, Rais akan dianggap ‘gila talak’ dan sekarang sedang ‘meroyan’ saperti duda yang kesepian. Parti yang diharapkan juga tidak terlihat gagah kerana proses pembentukan bahagian-bahagian masih belum berjalan dengan lancar.

Mereka yang memimpin parti di peringkat negeri, adalah atas lantikan, bukannya dipilih oleh akar umbi. PPBM tidak mempunyai kekuatan di peringkat akar umbi. PPBM adalah parti yang kelihatan kuat di permukaan, ia umpamanya pokok kiambang. Ia berbeza dengan UMNO, walaupun didakwa rosak, struktur di peringkat bahagian dan negeri tetap tersusun. UMNO belum ketandusan bakat-bakat yang lebih baik, bahkan, migrasi sebahagian kecil UMNO adalah satu kelebihan untuk membersihkan parti daripada kelompok oportunis. Rais merupakan salah seorang yang dianggap oportunis, dan bukannya seorang setia dalam perjuangan.

Kalaupun UMNO pernah melakukan kesilapan, proses pemulihannya sedang berjalan. Menurut pemangku presiden, UMNO sedang direjunevasikan. UMNO mula mendapat perhatian golongan muda, sebaliknya PPBM semakin dibenci oleh golongan muda. Golongan muda membenci PPBM dan rakan-rakannya dalam PH kerana ‘harapan orang muda’ telah dikembirikan, mereka tidak lagi sanggup ditipu. Cukuplah dengan PRU ke-14, sebab itulah PH tewas di Cameron Highlands dan Semenyih.

Persoalan seterusnya, dengan bersandingnya PAS dan UMNO, PAN juga ikut tergugat. Ini kerana, kemenangan PAN dalam PRU ke-14 adalah kerana pengundi termakan dengan janji-janji PH. PH sedang berhadapan dengan masalah integriti, dan imej politiknya yang dilihat pro-DAP. Menteri-menteri dari PAN dinilai telah gagal dalam melaksanakan tanggungjawabnya, termasuklah Menteri Agama, Menteri Pertahanan dan Menteri Kesihatan.

Sebagai Menteri Kesihatan, Dr Zulkifly Ahmad turut ditolak atas kesilapannya menguatkuasakan peraturan dilarang merokok dalam restoran, dan restoran tidak dibenarkan menyediakan kawasan merokok. Ia saperti suatu penghinaan kepada perokok, sedangkan pihak berkuasa boleh memberikan peluang kepada peminum arak untuk berada dalam rumah-rumah hiburan, bahkan minum secara terbuka kerana minuman alkohol tidak disekat penjualannya. Ia boleh dibeli oleh sesiapa pun, dan mudah diperoleh, termasuk di kedai runcit dan serbanika.

Memang tujuan larangan itu adalah baik. Sayangnya, Menteri Kesihatan tidak melakukan rundingan awam yang mencukupi sebelum larangan tersebut dikuatkuasakan. Sedangkan pada ketika ini, Menteri Kesihatan sedia mendengar pandangan, kritikan dan pendirian masyarakat mengenai cadangan mewajibkan vaksinisasi. Jumlah kanak-kanak yang mati kerana enggan mengambil vaksin adalah lebih sedikit berbanding kematian akibat merokok. Tetapi, dalam sistem demokrasi, rokok dijual secara terbuka dan belum diharamkan, ia sepatutnya tidak dilaksanakan tanpa penerangan kesihatan yang memadai.

Sekiranya benar Menteri Kesihatan pernah mengeluarkan kenyataan, tidak mengharapkan undi daripada perokok, ia sudah memadai untuk mengaitkannya dengan kekalahan PH dalam dua PRK dalam tempoh kurang dua bulan. Pastinya, kenyataan sombong itu akan terus diulang-ulang, dan ia sedikit sebanyak akan mempengaruhi trend pengundian dalam PRK selanjutnya.

Bersandingnya PAS dan UMNO di pelamin politik menjelang 2020, akan menyebabkan Kerajaan PH semakin terhimpit, terhimpit dengan kegagalannya sendiri kerana tidak benar-benar berusaha menunaikan janji. Meskipun ada yang menyatakan Kerajaan PH sudah berjaya melaksanakan 28 janji sejak berkuasa, rakyat tidak diberikan maklumat yang cukup, dan ini juga bermakna Kerajaan PH telah gagal dalam sistem penyampaian.

Sekiranya perbandingan harga minyak di negara-negara tertentu dikutuk dan dikecam semasa Kerajaan BN, maka, kecaman yang sama dikembalikan kepada Kerajaan PH, sebab menggunakan kaedah perbandingan yang serupa. Rakyat terasa mereka sedang diperbodohkan oleh Kerajaan PH dan penyatuan UMNO-PAS membolehkan rakyat semakin yakin, Kerajaan PH hanya mampu berkuasa untuk sepenggal.

Itulah punca kemarahan, khuatir pemimpin-pemimpin PH sehingga sanggup melabelkan persandingan PAS-UMNO sebagai tindakan keji. Ia dianggap keji kerana bekas pemimpin UMNO dan PAS merasa takut untuk berhadapan dalam keadaan Kerajaan PH dilanda krisis keyakinan.

Mahanor Saleha

 

No Comments

    Leave a reply