Sebagai kaedah menggerakkan minda anda hari ini, kecanggungan melibatkan perwatakan individu iaitu kelakuan dan kata-kata; di mana dia berada ketika itu misalnya, ketika kempen multi-level marketing sedangkan dia tidak berminat.

Satu lagi ialah berkait kekekokan, misalnya ketika menghadiri majlis randau bahasa, tersipu-sipu sendirian menginsafi buku paling terakhir dibaca ialah semasa menduduki SPM, lebih sedekad lalu.

Sudah dapat idea? Bagus. Sekarang mari kita teliti hujah Merrepak berkaitan kecanggungan berikut sama ada benar-benar menepati definisi canggung atau tidak:

1. Minta rakyat ‘ikat perut’ dan pada hari yang sama, diumumkan suntikan dana RM8 juta untuk projek kereta nasional. Tidak salah meminta rakyat sama-sama berkorban dan bersusah-payah demi mengembalikan kekuatan ekonomi negara. Tidak juga salah hendak buat projek kereta nasional walaupun setakat ini, model Perodua sahaja yang betul-betul menguntungkan. Yang canggungnya ialah banyak benda boleh dibuat dengan RM8 juta untuk rakyat supaya tidaklah sampai kena ikat perut.

2. Bila Nurul Izzah meletak jawatan daripada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), ramai yang menyokong tindakan beliau sebagai bermaruah. Kemudian, wakil pembangkang pun turut serta meninggalkan PAC. Yang canggungnya, tiada apa-apa perubahan dibuat. Harap-harap kecanggungan ini diselesaikan segera. Sebab hal integriti ini, bukan boleh dibuat tak endah.

3. Pengekalan parti MCA dan MIC di dalam Barisan Nasional terpaksa melalui ribut taufan. Bertalu-talu buat kenyataan berbaur ugutan sebab tidak mahu kembang setaman dengan Pas. Inilah yang menjadi canggung. Sudah kutuk habis-habisan, kemudian bersalaman. Lain kali, kawal-kawallah sikit emosi. Masing-masing tidak boleh bergerak sendirian. Sekarang hentikan retorik. Sila fokus kerja.

4. Perihal projek kereta terbang, nampaknya cukup bertuah kerana menerima penekanan sama berat seperti projek kereta nasional. Canggung sama seperti disebut di atas. Apakah keperluan mendesak kedua-dua projek ini boleh membaiki kos kehidupan tinggi yang dibebani rakyat sekarang?

5. Satu insiden awal bulan ini yang menepati definisi kecanggungan ialah pencemaran toksik di Sungai Kim Kim. Beribu-ribu masuk hospital akibat terkena biasan toksik tapi kawasan itu tidak diisytiharkan darurat. Meneliti dokumen Arahan No.20 Majlis Keselamatan Negara, kejadian bencana seumpamanya tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan yang berpendapat tiada keperluan mengisytiharkan darurat. Situasi canggung ialah masa begitu lama untuk membersihkan sungai itu.

6. Hangat diperdebatkan di Parlimen rasional pemindahan aset Tabung Haji kepada syarikat tujuan khas, Urusharta Jamaah. Kerajaan bertegas ia perlu diadakan demi ‘membersihkan kekotoran’ di dalamnya. Baiklah. Sudah ada Urusharta Jamaah. Bila hendak umum hibah?

7. Seronok tengok berita PNB bayar dividen paling tinggi sejak 1981. Duit RM15 bilion bukan sikit. Untunglah pemegang amanah saham. Cuma yang canggungnya, bila diteliti laporan pengagihan dividen tiada yang paling tinggi. Tiada yang salah, canggung sikit saja.