M’PERTEGASKAN NARATIF ISLAM KITA UTK KEAMANAN GLOBAL: SIRI 2

Oleh: Dr Amran Muhammad

Ketika pelbagai pihak mempromosikan naratif masing-masing ke arah mewujudkan keamanan global menurut ajaran Islam, kita tidak sewajarnya membiarkan segala bentuk naratif ini diterima tanpa usul-periksa. Di sebalik naratif-naratif yang pelbagai ini terselindung ‘ideologi-ideologi’ tertentu mengikut agenda para penganjur naratif-naratif tersebut. Cakap-cakap yang menganjurkan naratif yang mereka bawa mewakili naratif ‘tulin’ dan ‘murni’ dan ‘hakiki’ ajaran Islam mengenai keamanan global tidak lebih dari omong-omong kosong yang tidak berpijak kepada realiti dan sejarah perkembangan kefahaman dan penghayatan Islam itu sendiri.

Para pengkaji Islam yang peka lagi teliti tentu sahaja dapat mengesan perbedaan manifestasi Islam di Timur Tengah, Asia Tengah, Afrika Utara, Benua India-Pakistan, Asia Selatan, China dan termasuk juga Asia Tenggara atau Kepulauan Melayu atau NUSANTARA. Ini merupakan syarat pertama untuk memahami NARATIF NUSANTARA iaitu kefahaman dan penghayatan Islam dalam sepanjang sejarahnya mempamirkan kepelbagaian manifestasi mengikut konteks sosio-budaya dan geo-politik tempatan. Memahami kepelbagaian manifestasi Islam inilah yang penting untuk dimengertikan kepada para penganjur naratif keamanan global agar mereka tidak memaksakan naratif mereka sebagai naratif Islam yang perlu terima di daerah dan rantau ini.

Berbicara mengenai NARATIF NUSANTARA tentang Islam tidak bermakna kita menolak bahawa Al-Qur’an dan Al-Sunnah/Al-Hadith serta Ijma dan Qiyas sebagai sumber utama umat di rantau ini memahami dan menghayati ajaran-ajaran Islam sepertimana juga umat Islam di daerah dan wilayah lain. Malah NARATIF NUSANTARA melalui sumbangan besar para ulama Alam Melayu telah ratusan tahun melakukan proses kontekstualisasi, adaptasi dan asimilasi sumber Quraniyyah dan Nabawiyyah menjadikan kedua-dua sumber ini sebati dan mendarah-daging dalam jiwa-nurani penganut-penganut Islam di Kepulauan Melayu ini. Proses jangkapanjang Islamisasi kosmologi dan psikologi umat Melayu yang melahirkan umat Melayu Islam yang pandangan alam dan jiwa-nurani mereka menuruti acuan Islam tetapi dalam konteks sosio-budaya tempatan dan juga ekologi-geografi tempatan inilah yang membentuk apa yang kita namakan sebagai NARATIF NUSANTARA.

NARATIF NUSANTARA yang memanifestasikan kefahaman dan penghayatan Islam di Kepulauan Melayu secara aman dan damai jauh dari pertumpahan darah. NARATIF NUSANTARA yang penuh dengan belas-kasihan dan kelembutan jauh dari keganasan, kepuakan (tribalism) juga dendam-kesumat keturunan merupakan hakikat dan fakta yang terbukti sepanjang sejarah Islam di wilayah ini dari dahulu sehingga kini. Inilah NARATIF NUSANTARA yang berupaya menjadi model dan paradigma keamanan global yang sebenarnya wajar dipelajari oleh penganjur naratif-naratif keamanan global yang lain. NARATIF NUSANTARA ini meskipun telah terjelma hasil acuan sosio-budaya dan ekologi-geografi tempatan tetapi masih jelas dicorakkan oleh ruh Quraniyyah dan Nabawiyyah yang berakar tunjang kepada tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam arus perdana.

Para penganjur naratif-naratif keamanan global mestilah dipertegaskan bahawa keamanan global bukan sekadar idea, retorik dan impian semata-mata di rantau ini. Menyaksikan kepada kegagalan pelbagai naratif lain mengenai keamanan Islam malah juga mengenai Islam ditempat-tempat lain sudah sampainyanya mereka ini membuka mata dan hati untuk mempelajari NARATIF NUSANTARA sebagai model keamanan global dan tidak sekali-kali memaksakan naratif-naratif mereka sebagai ‘one model fits all sizes’ naratif kepada orang dan dunia lain pula.

No Comments

    Leave a reply