Mufti: Api marak jangan disimbah minyak

Tiada mana-mana rakyat Malaysia yang sudi mempertaruhkan masa depan bersama melalui sesuatu isu yang boleh diselesaikan dengan semangat muhibah, kata mufti Wilayah Persekutuan.

Justeru kata Dr Zulkifli Mohamad semua pihak yang terlibat dalam konflik kuil Sri Maha Mariamman itu wajib dimulakan secepat mungkin agar segala ketegangan dapat diselesaikan dengan baik.

Pada masa sama kata mufti itu tidak perlu mana-mana pihak memburukkan lagi keadaan sedia ada.

 “Peringatan kepada mana-mana pihak supaya tidak mencurah minyak ke dalam api yang marak kerana ia bakal membawa kerosakan yang lebih memudaratkan,

“Isu ini perlu ditangani dengan serius tetapi (dengan) amat berhati-hati.

“Kita sebagai rakyat Malaysia tidak sudi mempertaruhkan masa depan kita bersama atas isu yang pada hakikatnya boleh diselesiakan dengan penuh muhibah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Isu kuil di Putra Heights, Subang Jaya itu mula menjadi semakin panas apabila berlaku keganasan dan turut melibatkan kecederaan, termasuk seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Untuk rekod pertikaian berlaku apabila sebuah syarikat pemaju mahu membangunkan tapak kuil tersebut selepas mendapat perintah mahkamah.

Pemaju terbabit juga bersetuju menderma sebanyak RM1.5 juta kepada pihak kuil terbabit.

Bagaimanapun sebahagian penganut Hindu enggan kuil berkenaan berpindahkan.

Kata Zulkifli sebarang tindakan yang bersifat provokasi dan boleh mencetuskan ketegangan – termasuk di media sosial – mesti dielakkan.

“Semua pihak perlu bertenang dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh menyebabkan konflik menjadi lebih meruncing,” katanya.

 

 

Sumber : malaysiakini

https://m.malaysiakini.com/news/453764

No Comments

    Leave a reply