MUFTI BUKAN JAWATAN IDAMAN

Haji Yusof Pulau Ubi atau nama lengkapnya Haji Yusof bin Abdul Rahman bin Abdul Ghani dilahirkan di Sungai Pinang, Kelantan pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad II. Ketika itu taufan melanda dan membawa kemiskinan kepada negeri Kelantan, menyebabkan banyak ternakan dan tanaman yang musnah; ada di kalangan penduduk Kelantan yang mati kebuluran dan ada pula yang terpaksa memakan umbut kelapa atau umbut pinang dan sebagainya untuk hidup.

Haji Yusof diasuh sebagai anak kesayangan pasangan suami isteri Abdul Rahman dan Che Jamilah. Beliau belajar di bawah didikan Tuan Guru Haji Abdul Malek, dan terutamanya dengan bapa sepupunya, Haji Abdul Latif Patani. Haji Yusof kemudiannya melanjutkan pendidikan di Patani dan selepas itu, Haji Abdul Latif, bapa sepupunya itu, membawanya ke Mekah untuk menyambung pelajarannya kerana ibu bapanya miskin dan tidak berupaya membiayai pengajiannya. Haji Yusof tinggal di Mekah selama sepuluh tahun.

Haji Yusof belajar dengan Tok Wan Ali Kutan dan Haji Wan Ahmad bin Muhammad Zain Patani. Beliau belajar al-Quran dengan Haji Abdullah Senggora. Ketika belajar di Mekah, Haji Yusof telah bersahabat rapat dengan Tok Selehor, Tok Kenali, dan Pak Da Ail.

Setelah sepuluh tahun belajar dengan sungguh-sungguh, walaupun terpaksa menempuh pelbagai kesulitan, namun berkat sabar dan tabah hatinya itu beliau telah berjaya menjadi seorang ulama. Setelah kembali ke Sungai Pinang, beliau telah membukapPondok dalam kawasan rumah Dato’ Menteri Che Hasan bin Muhammad Saleh, tidak jauh dari Pondok Tuan Guru Haji Abdul Malek. Beliau mengajar pelbagai kitab. Di antara kitab-kitab yang beliau ajar ialah Furu’ al-Masa’il, Kashf al-Litham, Aqidah al-Najid, Al-Durr al-thamin, Jauhar al-Mauhub, Hikam, Hudhud, Qatr al-Nada, Fath al-Muin, dan lain-lain. Kelebihannya dalam ilmu fiqh dan tauhid. Di antara murid-muridnya ialah Haji Ali Pulau Pisang, Syeikh Uthman Jalaludin Penanti, dan lain-lain.

Setelah Mufti Haji Wan Musa meletakkan jawatan pada tahun 1916 , Dato’ Menteri meminta Haji Yusdof memegang jawatan Mufti Negeri Kelantan tetapi beliau menolak tawaran itu. Bagaimanapun, beliau masih berhubung rapat dengan Menteri tersebut. Jawatan itu kemudiannnya ditawarkan kepada Haji Wan Muhammad, abang kepada Mufti Haji Wan Musa. Tidak lama kemudian, Haji Yusof berpindah dari Sungai Pinang ke Pulau Ubi, di mana pada masa itu tidak ada penghuni. Cuma rumput-rumput yang panjang. Haji Yusof mempunyai hasrat supaya kawasan itu menjadi kawasan yang maju kerana selepas berpindah ke situ, banyaklah orang yang datang membuka pondok. Rumput yang panjang telah musnah oleh tangan manusia, kawasan yang lengang telah mula menjadi riuh dengan suara manusia membaca kitab suci al-Quran. Pondoknya berkekalan hampir 50 buah sehingga pendudukan Jepun di Tanah Melayu.

Pelajar-pelajar yang datang ke situ dari Patani, Tabal dan beberapa negeri di Tanah Melayu. Pondok dan pengajarannya makin memuncak setelah Tuan Guru Haji Husain Mustafa Besut menjadi menantunya dan kedua-duanya mengajar bersilih ganti.Walaupun beliau tinggal di Pulau Ubi tetapi Dato’ Menteri masih menghormatinya. Beliau diberi sepucuk senapang untuk menjaga keselamatan diri dan perkampungannya. Perhubungan kedua-duanya sentiasa teguh.

Haji Yusof Pulau Ubi adalah seorang ulama yang amat kuat ingatan. Menurut sumber yang layak dipercayai, apabila satu-satu kemusykilan ditanya kepadanya, beliau memberi jawapan dengan menerangkan nama kitab dan halamannya sekali. Walaupun ada ramai lagi guru sezaman dengannya di sekitar Geting dan Pengkalan Kubur, namun beliau masih dihormati oleh guru-guru itu kerana kemahiran kematangannya dalam ilmu agama dan al-Quran. Salah satu kelebihannya ialah perbuatan-perbuatan maksiat tidak dapat dilakukan di hadapannya. Jika dibawa ayam sabung, ayam sabung itu tidak dapat bersabung. Kalau bergendang di kawasannya, gendang akan pecah. Diceritakan bahawa seorang lelaki telah cuba mencuri buah kelapa, namun ketika turun dia nampak seekor ular besar pada batang pokok kepala itu. Sejak berlakunya peristiwa-peristiwa ‘aneh’ itu, orang rasa takut kepadanya. Demikianlah dijelaskan oleh Encik Taib bin Ismail, dari Kampung Geting (berusia lebih 100 tahun).

Tuan Guru Haji Abdul Hamid pula menjelaskan bahawa ayahnya itu sangat gemar membaca al-Quran pada waktu malam, suka mentelaah kitab-kitab dan malam-malam hari juga beliau mengawal murid-murid dari keluar tidak tentu arah. Oleh sebab kemasyhuran namanya sejak ketika berada di Sungai Pinang lagi, maka pondok beliau telah menjadi tempat persinggahan dan perlindungan pelbagai golongan masyarakat seperti Cik Yusof, anak Tok Kaya Semantan bersama-sama isterinya, dan Saadiah, isteri Tok Kaya Semantan.

Satu daripada sifat Tuan Guru Haji Yusoff Pulau Ubi ialah ‘gemar’ berdakwah dengan berpindah dari suatu tempat ke suatu tempat. Dari Sungai Pinang ke Pulau Ubi, dan dari Pulau Ubi ke Telaga Lanas. Perpindahan kali pertama itu jauh jaraknya, tetapi perpindahan kali kedua agak dekat. Tuan Guru Nik Muhammad bin Abdullah Geting (pendakwah pelawat) adalah di antara murid yang paling rapat dengannya. Perpindahan kali kedua itu adalah atas dorongan Nik Muhammmad dan pertolongannya dari segi tenaga dan material kerana perhubungan Pulau Ubi dengan daerah luar adalah susah sedangkan di Telaga Lanas di sebaliknya.

Haji Yusof Pulau Ubi meninggal dunia pada tahun 1957 ketika berusia 70 tahun. Beliau meninggalkan anaknya, Haji Abdul Hamid dalam melangsungkan kegiatan dakwahnya.

Anak-anak beliau ialah:

  1. Tok Guru Haji Abdul Hamid (meninggal dunia pada 23 September 1978)
  2. Haji Abdullah (meninggal dunia pada 6 Julai 1977)
  3. Muhammad Saud (meninggal dunia)
  4. Mariam (meninggal dunia)
  5. Zainab (meninggal dunia)
  6. Azirah (sekarang menetap di Kampung Telaga Lanas), dan yang lain-lain telah meninggal dunia (Tok Guru Pulau Ubi mempunyai 13 orang anak, tidak termasuk lima orang lagi yang keguguran dalam kandungan).

Sesungguhnya jasa Haji Yusof Pulau Ubi menerusi kegiatan dakwah begitu besar maknanya dalam perkembangan kefahaman Islam di Tanah Melayu khususnya, juga di Nusantara amnya.

Kesederhanaan sikap beliau dalam menangani permasalahan ummah setempat menjadikan beliau seorang ulama yang senang didekati dan mudah dimesrai. Beliau tidak memandang darjat dan pangkat. Baginya, setinggi mana sekalipun pangkat dan darjat manusia, ia akan tetap kembali kepada-Nya. Segala di dunia akan tinggal. Apa yang dibawa hanyalah amalan semasa hidup di alam fana ini.

Catatan: Ibnu Khaldun

No Comments

    Leave a reply