MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN DAN AMANAH MEMPERKASA AHLI SUNNAH WAL JAMAAH SEBAGAI NARATIF ARUS PERDANA ISLAM DI MALAYSIA

 

Dengan berakhirnya teka-teki pelantikan Mufti Wilayah Persekutuan yang baru, maka majoriti umat Islam di Malaysia bolehlah menarik nafas lega terhadap iltizam yang tidak berbelah-bahagi DYMM Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni A-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan YAB Perdana Menteri Tan Sri Dato’ Hj Muhyiddin bin Hj Mohd Yassin kepada kepentingan melantik seorang Mufti yang jelas pendiriannya terhadap pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ini tidak lain dan tidak bukan adalah penegasan Ketua Negara dan Agama serta Ketua Kerajaan Malaysia bahawa bertepatan dengan sejarah, perkembangan dan pembudayaan Islam di negara ini, pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah wajib terus dipertahankan sebagai Naratif Arus Perdana kefahaman dan penghayatan Islam di Malaysia. Justeru atas pelantikan Sahibus Samahah Dr Luqman Abdullah sebagai Mufti kelapan Wilayah Persekutuan seperti yang dihajati oleh majoriti umat Islam di Tanah Air, maka ucapan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga sayugia diberikan kepada DYMM Yang di-Pertuan Agong dan YAB Perdana Menteri.

Pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang termaktub dalam perundangan (hampir) kesemua negeri di Malaysia yang berakar dari pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di Alam Melayu lebih 500 tahun yang lalu adalah berdasarkan kepada Hadis Jibril yang masyhur menggabungkan sekaligus kesemua dharuriyyat/aksiom-aksiom/pokok-pokok ajaran Islam iaitu Iman-Islam-Ihsan atau Akidah-Syariat-Akhlak yang kemudiannya dikembangkan oleh para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam disiplin-disiplin keilmuan khusus Kalam, Usuluddin dan Akidah (Iman/Akidah); Usul-Fiqh dan Fiqh Mazhab (Islam/Syariat); dan Tasawuf (Ihsan/Akhlak) merupakan formulasi Naratif Arus Perdana Islam yang berstruktur lagi sistematik dan akhirnya menghasilkan kesinambungan tradisi, kewibawaan otoriti serta keterperincian rasionalisasi yang sehingga kini tidak mampu ditandingi apatahlagi ditukar ganti dengan naratif-naratif anti-tradisi, anti-otoriti dan juga anti-rasionaliti aka liberalisme dan literalisme yang diwar-warkan atas nama tajdid, islah dan reformasi Islam sejak lebih 100-200 tahun yang lepas.

Atas pelantikan beliau sebagai Mufti kelapan Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Dr Luqman Abdullah justeru perlu berusaha memperkasakan Naratif Arus Perdana Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah dari dimensi Iman/Akidah meliputi pemahaman Akidah, Usuluddin atau Kalam dari tradisi Asha’irah-Maturidiyyah yang bersumberkan dari sistemisasi akidah oleh Imam Ash’ari, Imam Maturidi, Imam Baghdadi, Imam Baqillani, Imam Juwayni dan muridnya Imam Ghazali, Imam Fakhruddin al-Razi, Imam Taftazani, Imam Nasafi, Imam Sanusi, Imam Iji, Imam Jurjani dan ramai lagi Imam-Imam Asha’irah-Maturidiyyah sehingga kehari ini yang mana kefahaman akidah mereka diikuti lebih 80% umat Islam diseluruh dunia.

Atas pelantikan beliau sebagai Mufti kelapan Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Dr Luqman Abdullah justeru perlu berusaha memperkasakan Naratif Arus Perdana Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah dari dimensi Islam/Syariat yang berhubungan dengan perlaksanaan ibadat dan mumalat bersumberkan dari sistemisasi Usul-Fiqh dan Mazhab Fiqh Syafi’iyyah oleh Imam Syafie, Imam Juwayni, Imam Ghazali, Imam Nawawi, Imam Ramli dan ramai lagi disamping memanfaatkan formulasi Mazhab-Mazhab Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Ahmad dan ramai lagi Imam-Imam Usul-Fiqh dan Fiqh Mazhab dari empat Mazhab Fiqh Muktabar yang juga diikuti lebih 80% umat Islam global.

Atas pelantikan beliau sebagai Mufti kelapan Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Dr Luqman Abdullah justeru perlu berusaha memperkasakan Naratif Arus Perdana Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah dari dimensi Ihsan/Akhlak yang berkaitan dengan disiplin penyucian hati dan peningkatan akhlak yang mulia sudah tentu bersumberkan dari tradisi Tasawuf Imam Junayd dan guru beliau Imam Muhasibi yang diikuti oleh Imam Talib al-Makki juga Imam Ghazali, Imam Syazili, Imam Ibn Ataillah Sakandari, Imam Abu Madyan, Imam Rabbani serta ramai lagi Imam-Imam muktabar Tasawuf

Seruan kepada Sahibus Samahah Dr Luqman Abdullah untuk memperkasakan Naratif Arus Perdana Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah Asha’irah/Maturidiyyah-Syafi’iyyah-Junayd/Ghazali ini bukanlah bermaksud kita sekadar bernostalgia atau beretorik tetapi melihatkan kepada kegagalan naratif-naratif anti-tradisi, anti-otoriti dan juga anti-rasionaliti aka liberalisme dan literalisme serta kekeliruan umat yang bakal mendatangkan kebosanan terhadap sifat, tabiat dan hakikat beragama (fenomena liberalisme, skeptisme, atheisme, hedonisme dan lain-lain yang sedang meningkat dikalangan umat), maka usaha-usaha terancang dan tersusun kearah penjelasan malah penambahbaikan Naratif Arus Perdana Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah Ahli Sunnah Wal Jamaah sesuai bagi Abad ke 21 perlu dimulakan dari sekarang. Apatah lagi dunia global masakini yang semakin hari semakin berleluasa fenomena liberalisme, radikalisme, ekstremisme, terorisme, rasisme, anarkisme dan atheisme dan yang sudah pasti literalisme beragama mendambakan satu tradisi, sistemisasi, rasionalisasi dan formulasi agama yang komprehensif dan holistik dalam menangani isme-isme/naratif-naratif ini.

Naratif Arus Perdana Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah ini yang merangkumi dharuriyyat/aksiom-aksiom/pokok-pokok ajaran Islam iaitu Iman-Islam-Ihsan atau Akidah-Syariat-Akhlak yang difahami dan dijelaskan oleh para ulama’ dalam tradisi Ahli Sunnah Wal Jamaah ini tentu sahaja lebih lengkap, berwibawa dan dirasionalisasikan secara sistematik dan berstruktur sehingga terbina darinya disiplin-disipin ilmu yang berkembang serta boleh terus dikembangkan lagi sehingga kehari ini serta berupaya menjambatani ilmu-ilmu semasa serta akhirnya membentuk peradaban kemanusiaan. Inilah yang dimaksudkan dengan Naratif Arus Perdana Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berakar-umbi dari tradisi yang panjang lagi sahih, memiliki kewibawaan berdasarkan otoriti ilmu dan amal berdasar tradisi Islam serta dibina dari asas-asas epistemologi, ontologi dan aksiologi yang jelas yang tidak wujud dalam naratif-naratif Islam anti-tradisi, anti-otoriti dan juga anti-rasionaliti aka liberalisme dan literalisme. Inilah aspirasi dan hajat majoriti umat Islam di Malaysia atas pelantikan Sahibus Samahah Dr Luqman Abdullah sebagai Mufti kelapan Wilayah Persekutuan untuk beliau laksanakan. Semoga Sahibus Samahah Dr Luqman Abdullah diberikan petunjuk dan kekuatan oleh Allah SWT untuk melaksanakan amanah yang digalas beliau ketika ini. InshaAllah.

Oleh Dr  Amran Muhammad

Islamic and Strategic Studies Institute (ISSI)

No Comments

    Leave a reply