MUHAMMAD SEBAGAI ROLE MODEL KORPORAT

Salah satu faktor yang menyebabkan umat Islam ketinggalan dalam dunia perniagaan ialah disebabkan prinsip-prinsip Islam mengenai ekonomi telah diabaikan. Konsep dan teori-teori ekonomi yang ‘melambak’ baik dalam al-Qur’an dan hadis tidak dijadikan sebagai pegangan kaum muslim dalam menjalankan perniagaannya. Begitu juga dengan contoh yang telah dipraktikkan oleh Nabi Muhammad dalam berniaga tidak dijadikan pengajaran dan pembelajaran.

Mengapa Nabi dijadikan sebagai contoh terbaik dalam dunia perniagaan? Menurut pakar runding pengurusan kewangan Islam Ustaz Mohd Helmy Hj Ahmad, ada beberapa aspek yang menjadi kayu pengukur. Pertama, Nabi merupakan sosok peniaga dan tokoh korporat yang berjaya dalam menguruskan perniagaan. Dalam sejarahnya, Nabi tidak pernah mengalami kerugian baik sebagai duta ekspedisi perniagaan ke luar negara mahupun yang menjalankan perniagaan di dalam negara.

Dalam berniaga, Nabi bukanlah seorang pekerja yang hanya mendapat upah dan gaji tetap. Sebaliknya, Nabi merupakan perancang perniagaan yang teliti, sistematik dan pandai mengurus dari sudut kewangan. Justeru, Baginda menjalankan perniagaan hanya pada musim-musim tertentu (seasonable trading) yang memberi pulangan dan keuntungan yang pasti. Nabi tidak mahu menjalankan perniagaan berasaskan spekulasi dan berdepan dengan resiko rugi.”

Rasulullah merupakan peniaga profesional. Bukan seorang peniaga kurma, minyak wangi dan kurma sepertimana kalangan tertentu yang menjalankan perniagaan di surau-surau. Baginda mempunyai entiti perniagaan sendiri yang diurus sepenuhnya berdasarkan perhitungan yang matang seperti mempunyai klien, subseksyen perniagaan yang kesemuanya bagi mempastikan perniagaan itu berjalan.”

Dalam menjalankan perniagaan, Rasulullah selalu ada perancangan pemasaran (plan marketing) terlebih dahulu sebelum memulakan perniagaan. Baginda tahu mahu berniaga apa dan bila patut pergi. Sememangnya Rasulullah dianugerahi bakat  semulajadi dalam berniaga (bisniss nature).”

Rasulullah telah mengenalpasti dan tahu situasi keperluan semasa pasaran. Hal ini misalnya, pada musim sejuk Rasulullah akan pergi berniaga ke Syam (Syria) dan membawa barangan yang sesuai dengan keperluan masyarakat di sana, dan akan balik semula ke Mekkah pada musim panas.

Faktor kedua mengapa Nabi Muhammad patut dijadikan model peniaga ialah sifat-sifat mulia yang ada dalam diri Nabi. “Dalam hal ini, Nabi dibekali dengan FAST iaitu sifat Fatonah (competen), Amanah (credible), Siddiq (reliable) dan Tabligh (transparancy). Melalui sifat ini, Nabi memberi contoh yang baik bagaimana seorang peniaga mesti mempunyai ciri-ciri usahawan yang beretika dan berpegang teguh kepada prinsip-prinsip agama untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya.”

Perniagaan yang berasaskan kepada prinsip FAST dalam aplikasinya dapat dilihat dalam beberapa ciri-ciri iaitu pertama, pendedahan kepada kaedah niaga yang tepat; kedua, menguasai selok belok perniagaan secara terperinci; ketiga mengenalpasti barang-barang yang diniagakan; keempat, memanfaatkan masa sepenuhnya dan mengelakkan membuang masa dengan banyak melepak; keenam, ada perancangan strategi yang mantap sama ada daripada segi apa nak buat, siapa pesaing, sampai bila dan sejauh mana peluang perniagaan ini dapat bertahan. Sebab apabila kesemua itu tidak dapat dirancang dengan baik, maka hal itu hanya akan menghabiskan modal dan mengalami kerugian.

Selain daripada faktor-faktor bakat dan keupayaan Nabi sebagai manusia biasa dalam menguruskan perniagaan yang cemerlang, perkara penting dan utama ialah perniagaan yang dijalankan Nabi Muhammad mendapatkan bimbingan langsung daripada Allah SWT. Segala tindak tanduk dan keputusan Nabi berasaskan kepada wahyu (ayat 3 surah an-Najm). Justeru itu, perniagaan merupakan bidang kerjaya yang diwahyukan. Malah, bidang perniagaan sepertimana yang dipopularkan dalam satu hadis bahawa sembilan per sepuluh rezeki berpunca daripada perniagaan.

Perniagaan menjadi ‘jantung’ kehidupan sehingga ramai yang sanggup untuk menggunakan segala cara untuk mendapatkan kejayaan. Lantaran itu, umat Islam yang menceburi dunia perniagaan sentiasa diingatkan untuk berpegang teguh kepada prinsip dan nilai-nilai yang dicontohkan oleh Nabi Muhammad. Sistem kapitalisme yang mendominasi dunia perniagaan pada zaman ini selain hanya menjadikan manusia sebagai manusia yang rakus juga mendedahkan perniagaan kepada resiko kerugian yang besar kerana sifatnya yang eksploitatif, penuh dengan sistem ribawi dan jauh daripada yang diajarkan dalam Islam.

Dalam sistem kapitalisme ini juga manusia diajarkan untuk lupa kepada Tuhannya. Sistem ini hanya memikirkan keuntungan sebesar-besarnya dan menggunakan segala cara termasuk dengan cara haram. Perkara ini yang paling membezakan secara ketara berbanding dengan konsep perniagaan Islam di mana harta itu bermula daripada Allah, berpunca daripada Allah, bertujuan untuk Allah dan dibelanjakan di saluran Allah.

Petikan: Majalah Dakwah Terbitan Yadim Bilangan 35 sep/Okt 2016

No Comments

    Leave a reply