Multaqa Kebangsaan Alumni Al-Azhar ke-II

AKHIR-AKHIR INI, konsep Islam sebagai agama Rahmatan lil ‘Alamin semakin menjadi sebutan ramai apabila kerajaan Malaysia berusaha untuk menolak pelbagai imej buruk yang ditimbulkan oleh pelbagai pihak atas alasan cemburu, curiga dan peningkatan semangat kebangkitan semula Islam untuk mengatasi kelemahan peradaban barat.

Senario politik dunia tidak mudah untuk menjadi ‘satu arah’ kerana kemunculan peradaban baharu telah menyebabkan Islam sering dikambinghitamkan kerana tidak ada penyatuan dan perpaduan yang kuat di antara negara-negara Islam itu sendiri. Negara-negara Islam seringkali bertelagah sesama sendiri manakala politik dalam negeri sentiasa dicaturkan oleh pelbagai ‘rasukan strategik’ oleh pertubuhan-pertubuhan tertentu yang mendapat bantuan pelbagai organisasi antarbangsa, termasuklah bantuan kewangan, kepakaran manipulasi (propaganda) dan pembingkaian minda (mind framing) dan sokongan moral sehingga asas bernegara dipersoalkan.

Di Malaysia, asas politik negara yang dibentuk berasaskan ‘kontrak sosial’ semakin hangat dipersoalkan atas alasan ia tidak adil kepada masyarakat bukan Islam. Kedudukan Islam sebagai ‘agama rasmi’ dipertikaikan sehingga ada tindakan tertentu untuk menghapuskan institusi-institusi Islam sebagai sebahagian daripada organisasi pemerintahan dan berkerajaan dengan dakwaan ‘mendiskriminasikan agama-agama lain yang turut dijamin amalannya dalam Perlembagaan’.

Penegasan konsep Rahmatan Lil ‘Alamin bakal menjadi tema utama Multaqa Kebangsaan Alumni Al-Azhar ke-II yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 7 dan 8 September nanti. Dua kertas kertas kerja akan dijadikan bahan perbincangan penting sepanjang multaqa yang akan dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.Acara ini dianjurkan oleh Rabitah Antarabangsa Alumni al-Azhar Malaysia dengan kerjasama Persatuan Bekas Mahasiswa Islam Timur Tengah. Duta Mesir di Malaysia, Gamel Abdil Rahim Muhamed Mutawalli dijangka hadir sama.

Dua kertas kerja yang akan dibentangkan ialah “Al-Rahmah al-Mudhah: Pelaksanaannya Dalam Masyarakat Majmuk Malaysia” oleh bekas Pengerusi Jawatan kuasa Fatwa Kebangsaan, Datuk Dr Ismail Ibrahim manakala kertas kerja kedua bertajuk “Pendekatan Rahmatan Lil ‘Alamin Dalam Pemerintahan Masyarakat Majmuk: Pengalaman Indonesia” oleh Dr TGH Muhammad Zainul Majdi, Gabenor Nusa Tenggara Barat (Indonesia), yang juga Presiden WOAG Indonesia (The World Organisation of Al-Azhar Graduate Indonesia).

Dato Dr. Mujahid Yusof Rawa dijangka akan menyampaikan ucap utama bertajuk “Rahmat Asas Perpaduan Malaysia” dan kemudiannya akan diikuti dengan forum “Peranan Alumni Al-Azhar dalam Memperkasa Perpaduan Ummah” di sebelah petang.

Menurut sekretariat Multaqa, resolusi yang dihasilkan akan dipanjangkan kepada Jawatan Kuasa Tertinggi Hal Ehwal Islam yang ditubuhkan oleh Majlis Raja-Raja pada 10 Julai lalu. Resolusi itu mungkin boleh diperkemaskan untuk dijadikan input kepada Jawatan Kuasa tersebut yang diberikan tangggungjawab untuk menyediakan laporan bagi memperkasakan Hal Ehwal Islam di Malaysia.

Rahmatan lil ‘Alamin membawa maksud, Islam adalah cara hidup yang meletakkan keamanan di tangga teratas dan ianya disulami dengan nilai kasih sayang. Kekerasan, kebencian dan permusuhan bukanlah milik sebenar Islam, ia adalah tindakan yang dipengaruhi oleh pelbagai hasutan dan desakan ‘jiwa jahat’ yang lahir daripada ‘balas dendam syaitan’.

Ungkapan itu tertera dengan jelas dalam al-Qur’an, Surah al-Anbiya, ayat 107, yang bermaksud: “Kami tidak mengutus engkau, Wahai Muhammad, melainkan sebagai rahmat bagi seluruh manusia”. Nabi Muhammad SAW diutus dengan membawa ajaran Islam, maka Islam adalah rahmatan lil’alamin, Islam adalah rahmat bagi seluruh manusia.

Dari perspektif bahasa Arab, rahmatan lil ’alamin, rahmat membawa maksud, kelembutan yang berpadu dengan rasa hiba (Lisaanul Arab, Ibnu Mandzur).

Dalam konteks penggunaan istilah, ar-Raghib al-Ashfahani menjelaskan ar-rahmah kadangkala berkonotasi al-riqqah (kelembutan), al-ihsan (kebajikan) atau al-khayr (kebaikan) dan an-ni’mah (kenikmatan). Ini bermakna, lafazan istilah itu mengandungi lebih dari satu makna dan pemaknaannya ditentukan oleh petunjuk lainnya. Secara dasarnya, rahmatan lil ‘alamin membawa maksud kasih sayang bagi seluruh alam dan nabi Muhammad SAW diutuskan oleh Allah SWT untuk menyemarakkan nilai kasih sayang kepada seluruh manusia yang menghuni alam ini.

Ini terbukti daripada perilaku Nabi Muhammad SAW sehingga akhir hayatnya tidak menjadikan bukan Islam sebagai musuh yang wajib ditentang dengan kekerasan. Misalnya, seorang Yahudi buta yang amat membenci baginda tidak diapa-apakan. Baginda sentiasa berbuat baik dengan Yahudi itu di mana setiap hari disuapkan makanan sehinggalah Nabi Muhammad SAW wafat. Apabila Khalifah Abu Bakar as-Sidik menggantikan kepimpinan Rasullullah SAW, rutin itu diteruskan sehinggalah Yahudi berkenaan sedar bahawa tangan yang menyuap makanan ke mulutnya bukan lagi orang yang biasa melakukannya.

Peristiwa itu akhirnya membawa kepada perubahan besar dalam keyakinan Yahudi berkenaan. Dia mulai sedar bahawa ‘orang yang paling dibenci itulah yang setiap hari menyuapkan makanan tanpa rasa benci’ dan akhirnya membawa keinsafan untuk memeluk Islam. Pendekatan itu berjaya membawa pengertian bahawa Islam bukanlah agama kekerasan, ia adalah agama yang berasaskan kelembutan dan kasih sayang.

Begitu juga apabila Islam mula membentuk asas bernegara. Keharmonian hidup masyarakat pelbagai bangsa dan suku kaum di Madinah berdasarkan bai’ah ‘menghormati Islam’ telah membantu agama Islam berkembang pesat sehingga melangkaui Semenanjung Arab, Afrika Utara dan seluruh dunia. Kini, jumlah penganut Islam dianggarkan lebih satu billion dan dalam tempoh kurang lima puluh tahun lagi, jumlah penganut Islam seluruh dunia dijangka dapat mengatasi jumlah penganut Kristian. Ketika ini, jumlah penganut Kristian sekitar dua billion dan masih menjadi jumlah penganut agama terbesar.

Ibnu Katsir mentafsirkan surah al-Anbiya, ayat 107 saperti berikut: Pada ayat ini Allah SWT berfirman bahwa Dia telah menciptakan Muhammad SAW sebagai rahmat bagi seluruh alam (rahmatan lil ‘alamin). Ertinya, Dia mengirimkan Nabi Muhammad SAW sebagai rahmat untuk semua orang. Barang siapa menerima rahmat ini dan berterima kasih atas keberkatan itu, dia akan bahagia di dunia dan akhirat.

Namun, barang siapa yang menolak dan mengingkarinya, kenikamatan dunia dan akhirat akan lepas darinya, sebagaimana dijelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Tidakkah kamu perhatikan orang-orang yang telah menukar nikmat Allah (perintah-perintah dan ajaran-ajaran Allah) dengan kekafiran dan menjatuhkan kaumnya ke lembah kebinasaan? Iaitu neraka jahannam; mereka masuk kedalamnya; dan itulah seburuk-buruk tempat kediaman.” (QS. Ibrahim:28-29)

Dalam surah al-Fusslilat, ayat 44, Allah SWT berfirman: “Katakanlah: “Al Quran itu adalah petunjuk dan penawar bagi orang-orang mukmin. Dan orang-orang yang tidak beriman pada telinga mereka ada sumbatan, sedang Al Quran itu suatu kegelapan bagi mereka (tidak memberi petunjuk bagi mereka). Mereka itu adalah (saperti) yang dipanggil dari tempat yang jauh.”

Apabila ada dalam kalangan muslim melihat hanya kebaikan itu hanya untuk orang Islam, jelaslah amalan sektarian masih tebal dalam kehidupan mereka. Ini kerana, Allah SWT tidak mengatakan ‘rahmatan lil mu’minin’ tetapi menyatakan ‘rahmatan lil ‘alamin‘. Allah SWT memberikan rahmat bagi seluruh makhluknya dengan diutusnya pemimpin para Nabi, Muhammad SAW.
Bagaimana pun, dalam mentafsirkan rahmatan lil ‘alamin, toleransi yang ditetapkan ialah tidak sampai kepada ‘merobohkan tembok pemisah’ antara amar makruf dan nahi mungkar, terutama dalam persoalan akidah. Stigma itu diharapkan dapat dipecahkan secara tuntas dan berhemah dalam Multaqa Alumni al-Azhar kali kedua ini selepas pada tahun 2015 berjaya mengupas dengan baik persoalan perpaduan merentasi ideologi politik. Kemuncaknya, pada tahun 2016, diisytiharkan sebagai ‘tahun perpaduan’ tetapi akarnya musnah akibat gelombang politik menerobos masuk ‘matlamat menghalalkan cara.” Dan, pada tahun ini, resolusinya bakal menjadi input penting kepada Jawatan Kuasa Tertinggi Hal Ehwal Islam yang baharu diperkenankan penubuhannnya.

Oleh Mohd Shauki Abd Majid
Timbalan Pengerusi Biro Media Dan Publisiti
Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia(WOAG)

No Comments

    Leave a reply