Mungkinkah Kita Berdialog dengan Tuhan?

Di zaman ini, mungkinkah kita masih boleh berkomunikasi dengan Tuhan? Bukankah Nabi terakhir telah lama meninggal dunia, dan kitab suci terakhir telah diturunkan lima belas abad yang lampau serta Tuhan telah menyatakan sempurnanya agama kita. Masihkah terjadi dialog antara hamba dengan Tuhan?

 

Neale Donald Walsch percaya akan hal itu. Walsch mengaku masih dapat berdialog dengan Tuhan. Ia kemudian menuliskan hasil dialog dengan Tuhan itu dalam bukunya “Conversations with God: An Uncommon Dialogue”, sebuah buku yang telah berulang kali dicetak ulang.

 

“Aku tidak berkomunikasi semata dengan kata. Bentuk komunikasi yang Kupilih lebih melalui “perasaan” (feeling). Perasaan adalah bahasa jiwa. Jika kamu ingin tahu apa yang benar tentang sesuatu, lihatlah bagaimana perasaanmu terhadap sesuatu itu.

 

Aku juga berkomunikasi menerusi “fikiran” (thought). Fikiran dan perasaan tidaklah sama, meskipun keduanya dapat berlangsung pada masa yang sama. Dalam komunikasi menerusi fikiran, Aku menggunakan media imajinasi dan gambaran. Oleh itu, fikiran lebih berkesan daripada menggunakan “kata” sebagai alat komunikasi.

 

Sebagai tambahan, Aku juga menggunakan media “pengalaman” sebagai media komunikasi. Dan akhirnya, ketika perasaan, fikiran dan pengalaman semuanya gagal, Aku menggunakan “kata-kata”. Kata-kata adalah media komunikasi yang paling tidak berkesan. Kata-kata lebih sering disalahtafsirkan dan disalahfahami. Dan mengapa itu terjadi? Kerana demikianlah kata-kata itu. Mereka hanya simbol dan tanda. Kata-kata bukanlah kebenaran; juga bukan sesuatu yang hakiki.” (Walsch:1997, h. 3-4)

 

Inilah “jawapan” Tuhan, ketika Walsch bertanya tentang cara Tuhan berkomunikasi dengan kita. Anda boleh tak setuju dengan pengakuan Walsch. Tak ada larangan kalau anda bersedia menggelari dia dengan “pendusta”.

 

Tapi, buat saya, yang menarik adalah petikan di atas. Bahkan seorang  bukan Muslim seperti Walsch pun percaya bahawa Tuhan masih berkomunikasi dengan kita. Sayang, terkadang kita terlupa akan hal ini, bahawa Tuhan masih berkomunikasi dengan hamba-Nya.

 

Ketika Walsch–atau “Tuhan”– menyebutkan perasaan, fikiran, pengalaman dan kata-kata sebagai bentuk komunikasi dari Tuhan, saya teringat, Syaikh Terbesar, Ibn Arabi yang mengatakan bahawa alam semesta merupakan bentuk tajalli dari Allah. Oleh itu ke mana sahaja kita halakan pandangan mata kita, sebenarnya kita menangkap “tanda” Tuhan di sana.

 

Malangnya, kita suka enggan berkomunikasi dengan Tuhan. Solat pun menjadi berat. Beban kerja yang berat menjadi alasan. Saat kita menzalimi saudara kita, kita sering lupa bahawa saudara kita masih dapat berkomunikasi dengan Tuhan dan mengadu perbuatan kita. Ketika duka datang menerpa kita, kita lebih percaya untuk berkomunikasi dengan “orang pintar” dibanding kita adukan derita kita langsung kepada Tuhan. Bukan melihat “tanda” dari Tuhan, hambatan ekonomi malah menjadi justifikasi ketika kita menerima wang yang bukan hak kita.

 

Anda boleh tak setuju bahawa buku Walsch merupakan hasil komunikasinya dengan Tuhan. Anda boleh tak setuju ketika Ibn Arabi mengaku “diajar” Malaikat ketika menulis Futuhat al-Makkiyah, namun tak ada salahnya saya memetik lagi isi buku Walsch, ketika “Tuhan” berkata: “Aku bicara kepada setiap orang. Pada setiap waktu. Masalahnya bukan kepada siapa Aku bicara, tetapi siapa yang mahu mendengarkan?”

Nadirsyah Hosen @nadir.net

No Comments

    Leave a reply