Musdah Mulia: Antara Fitnah dan Pencerahan Umat

Apabila kita melayari nama Musdah Mulia di laman internet, maka secara umumnya kita akan mendapati pandangan yang negatif terhadap wanita bergelar profesor politik Islam itu. Beragam label disematkan kepadanya. Daripada Ratu Sepilis (sekularis, pluralis dan liberalis), professor sesat, gembong liberal, penganut syiah hingga ke gelaran penghalal homoseks dan pelbagai gelaran buruk yang lain.

Gelaran itu dinisbatkan kepada Musdah setelah beliau dilaporkan membuat kenyataan bahawa penganut homoseksual dapat diterima di sisi Islam. Apakah betul beliau seorang yang digambarkan sedemikian? Saya telah mewawancarai beliau secara eksklusif baru-baru ini berkaitan dengan label negatif kepada dirinya terutama di media sosial dan di laman-laman web picisan.

Menurut beliau, label negatif yang disematkan kepada dirinya berasal daripada kumpulan konservatif dan radikal. Melalui laman-laman web yang mereka miliki, mereka menyebarkan fitnah kepada dirinya dengan gelaran yang buruk dan keji.

“Mereka menggelar saya dengan gelaran buruk dan menyebarkan fitnah kepada saya kerana mereka marah dan benci dengan pemikiran saya yang amat bertentangan dengan pemikiran mereka. Mereka mengganggap saya akan menjejaskan keimanan dan akidah umat Islam menerusi idea dan perkongsian ilmu yang mencerahkan dan bersifat progresif” tegas beliau yang merupakan pakar sastra Arab.

Salah satu isu yang paling panas dan kontroversi ialah kenyataannya mengenai Lesbian Gay Biseksual dan Transgender (LGBT). Musdah dianggap sebagai tokoh inteleketual yang memberi justifikasi keagamaan kepada kumpulan LGBT untuk terus berjuang menuntut hak-hak mereka dalam kehidupan sepertimana yang dimiliki oleh manusia yang normal.

Menurut Musdah yang meraih penghargaan “The Courage Women of the World” daripada kerajaan Amerika Syarikat pada tahun 2007, kita perlu menghormati pilihan seksual kaum LGBT kerana pada asasnya mereka tiada kuasa untuk menolak ketentuan tersebut.

“Pada hakikatnya, menjadi seorang gay atau lesbian itu bukan kehendaknya dirinya, melainkan sesuatu yang terberi (given) dari Pencipta. Tak seorang pun dapat memilih untuk dilahirkan dengan orientasi seksual tertentu. Sama juga dengan warna kulit kita yang kita tiada kuasa untuk menolak menjadi kulit hitam, putih, atau kuning. Itu adalah perkara kodrati atau sunnatullah” tegas Musdah lagi yang merupakan professor wanita kenamaan dari Indonesia tersebut.

Musdah berpendapat bahawa selagi seorang LGBT itu patuh pada undang-undang, tidak berbuat jahat, tidak korupsi, taat menjalankan perintah agama, kewujudan kumpulan ini tiada masalah dalam kehidupan kita.

“Tetapi mengapa mereka diperlakukan secara hina dan semena-mena lebih rendah dari binatang, didiskriminasi dan terpinggirkan dek kerana mereka LGBT? Sedangkan, apabila seseorang itu manusia normal tetapi melakukan kejahatan seperti korupsi, pecah amanah, zalim, tidak menjalankan perintah agama dibiarkan begitu saja tanpa penghakiman. Ini kan tidak adil” kata pejuang feminis dan gender itu lagi.

“Saya memperjuangkan mereka berasaskan kepada nilai-nilai keadilan yang menjadi teras utama dalam ajaran Islam. Islam menyeru pemeluknya untuk berbuat adil kepada umat manusia tanpa pandang bulu. Allah menilai manusia bukan dari orientasi seksualnya. Meskipun, seseorang itu mempunyai perasaan seksual yang normal tetapi melakukan kejahatan dan melanggar perintah agama, orang itu tidak diterima di sisi Allah. Ini kan ajaran yang paling fundamental dalam al Qur’an” tegasnya lagi.

Walau bagaimanapun, beliau mengakui bahawa beliau memperjuangkan kumpulan LGBT terutama hak-hak mereka sebagai manusia yang berkeinginan untuk hidup sesuai dengan pilihan mereka. Beliau juga memperjuangkan kumpulan minoriti lain yang merasa tertindas.

“Golongan LGBT perlu dibela kerana mereka ini manusia yang mempunyai hati, perasaan dan kasih sayang. Mereka juga makhluk sosial yang perlu makan, minum, bersosial, berpolitik dan berinteraksi dengan manusia yang lain. Sama dengan manusia heteroseksual (seks lawan jenis). Saya juga memperjuangkan kelompok-kelompok minoriti lain yang mengalami diskriminasi, penghinaan, dilanggar hak asasi manusianya seperti kumpulan Ahmadiyah termasuklah golongan LGBT” kata peraih pelbagai penghargaan antarabangsa itu.

Disebabkan pemikiran dan perjuangannya seperti itulah beliau dianggap menghalalkan perkahwinan sesama jenis. Wal hal menurut beliau:

“Saya tidak pernah sekalipun mengatakan atau menghimbau untuk menghalalkan homoseksual. Hukum halal dan haram bukan wilayah saya, tapi hak prerogatif Tuhan. Saya hanya ingin mengajak kita semua mengakhiri stigma, dan sekaligus bersikap adil pada mereka yang berbeza, baik agama, suku, bangsa, bahasa, termasuk orientasi seksual,” tegas Musdah yang juga tokoh penggerak dialog kerukunan antara agama.

Beliau membidas pihak-pihak tertentu yang memetik pandangan dan pemikirannya bukan daripada buku atau karyanya. Sebaliknya, mengambil daripada sumber-sumber yang selama ini berseberangan pemikiran dengannya.

“Mereka memetik daripada sumber pendapat atau tafsiran orang lain mengenai pandangan saya terhadap sesebuah isu. Mereka juga tidak menulis secara utuh pendapat saya sehingga ia boleh mengelirukan pembaca. Mereka ini lebih gemar memetik pendapat yang tidak bersumber terus kepada saya kerana mereka ada`agenda membunuh karakter saya. Ini kan jahat sekali” keluhnya.

Pada zaman digital dan terbuka ini, harus ada nawaitu yang baik dari diri penulis dengan menulis secara objektif. Sebelum mengambil satu kesimpulan, ia perlu menelusuri dan mengkaji terlebih dahulu karya saya atau laman rasmi web saya. Sebelum merumuskan satu pendapat, sepatutnya melakukan tabayyun terlebih dahulu kepada saya”.

Beliau mendakwa pihak-pihak yang memutar belit kenyataannya ialah orang-orang konservatif dan kelompok radikal yang selama ini bertentangan pemikiran dengannya. “Semenjak dua puluh tahun yang lalu, saya terlibat perang pemikiran dengan kumpulan konservatif dan radikal. Sebab itu mereka menyerang saya dan menyebarkan fitnah bahawa saya menyokong perkahwinan sesama jenis.”

Namun demikian, meskipun dirinya ditohmah, dilabel dan difitnah sedemikian rupa, beliau menganggap itu sebagai resiko perjuangan dalam mencerahkan umat Islam yang progresif dan maju. Malah, beliau bersyukur dengan situasi ini kerana banyak hikmah yang beliau dapatkan daripada peristiwa tersebut.

“Pelbagai serangan dan fitnah itu mendatangkan hikmah yang luar biasa kepada saya (blessing in disguisse). Nama saya tiba-tiba menjadi popular dan saya dikenali di seluruh dunia. Tapi bukan itu maksud dan tujuan saya. Niat saya selama ini semata-mata kerana Allah dan cintakan kepada agama saya”.

“Semenjak itu saya banyak menerima jemputan dan menjadi pembicara seminar, bengkel kerja, persidangan di seluruh dunia. Lucunya, kebanyakan para penganjur program terutama dari luar negara mengetahui saya daripada laman-laman web milik golongan konservatif dan radikal yang menyerang saya” katanya lagi sambil tertawa.

Oleh itu, beliau berpesan agar menjadi manusia yang berani dan jujur dalam mengutarakan pandangannya. Jangan takut dilabel dengan gelaran buruk kerana kita yakin bahawa pemikiran kita ada asas, ada hujah dan dalil yang bersumber daripada sumber yang autoritatif iaitu Al Quran dan Hadis. Sebab pada hakikatnya, hanya Allah semata yang berhak menilai ketakwaan dan keimanan manusia. Manusia tidak layak menilai, apatah lagi menghukum kafir disebabkan perbezaan pendapat.

Oleh Amin Fadlillah

No Comments

    Leave a reply