Muslim New Zealand, hijrah kembangkan Islam, jihad ekonomi

MANGSA serangan pengganas kulit putih di dua masjid di Christchurch, New Zealand yang kini mencecah 50 jiwa itu, adalah sebahagian umat Islam yang sebenarnya berhijrah dari tanah air mereka yang bergolak ke negara baharu untuk menyebar serta mengembangkan agama Islam.

Ada dalam kalangan mereka yang terkorban itu, menghabiskan seluruh hidupnya dengan mengasaskan dan membina masjid serta membantu pelarian yang baru ke negara itu sejak berhijrah pada dekad 1980-an.

Justeru, ketika seluruh dunia menangisi tragedi hitam bukan saja kepada New Zealand, bahkan dunia, sudah tentu umat Islam akan sensitif terhadap sebarang tanggapan yang salah terhadap saudara mereka di negara berkenaan.

Ia termasuklah salah faham terhadap kedudukan umat Islam yang menjadi pelarian dan berhijrah ke New Zealand serta sebarang kenyataan khususnya di media sosial yang cuba mengaitkan mereka dengan tindakan tidak berjihad di negara asal.

Apatah lagi apabila salah faham yang disebarkan itu cuba dikaitkan dengan ayat al-Quran tetapi dengan menggunakannya dalam konteks yang berlainan.

Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muhammad Aunurrochim Mas’ad, berkata umat Islam di New Zealand yang asalnya menjadi pelarian dikategorikan sebagai mereka yang berhijrah untuk mendapatkan suasana kondusif mendalami Islam bermatlamat untuk berdakwah dan mengembangkan agama.

“Hijrah dalam konteks fiqh Islam ialah aktiviti atau tindakan supaya umat Islam dapat melakukan perkara yang tidak dapat dilaksanakan di tempat yang diduduki itu,” katanya.

Menurut Muhammad Aunurrochim, jika dapat disingkap hijrah Rasulullah SAW, Baginda ketika berada di Makkah tidak dapat banyak berbuat apa-apa, hatta orang beriman menunaikan solat pun terpaksa dilakukan dalam keadaan sembunyi.

“Maka, proses hijrah Rasulullah SAW itu bermatlamat menguatkan keimanan, memperkukuh syariah dan menyusun strategi untuk mengembangkan Islam.

“Jika Rasulullah SAW masih berada di Makkah, tentunya tidak akan berjaya seperti yang dapat kita nikmati sekarang.

“Justeru, hijrah ialah strategi untuk menyusun kekuatan dan membina komuniti yang berpegang kepada satu akidah, sekali gus daripada situ pergerakan Islam dapat disebarkan,” katanya.

Maka, penghijrahan umat Islam yang berada di bumi bergolak tidak bertentangan dengan ajaran Islam, apatah lagi sekiranya mereka tidak mempunyai kekuatan untuk berjuang.

Tambahnya, dalam konteks jihad secara fizikal sekalipun, ia memerlukan persiapan menyeluruh, bukan terus berjuang secara melulu.

Firman Allah SWT: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan daripada pasukan berkuda yang lengkap sedia untuk menggerunkan dengan persediaan itu, musuh Allah dan musuh kamu serta musuh lain daripada yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.” (Al-Anfal: 60)

Muhammad Aunurrochim turut menegur penafsiran dan penggunaan ayat al-Quran secara sewenang-wenangnya tanpa memahami konteks sebenar.

“Netizen yang menggunakan ayat ke-156 surah Ali Imran untuk mengaitkan mangsa korban sebagai tidak melakukan jihad di jalan Allah SWT, sebenarnya tidak tepat pada konteks sebenar.

“Ini kerana ayat itu teguran kepada golongan munafik yang ketika menerima panggilan jihad dan apabila didekati, mereka terus lari.

“Ini berbeza dalam konteks hari ini dan situasi pelarian menetap di New Zealand, penghijrahan mereka tidak dikira sebagai munafik tetapi malangnya ada menyalahgunakan ayat ini untuk menjustifikasi dakwaan mereka,” katanya.

Sementara itu, Felo Utama dan Pengarah Pusat Kajian Syariah Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr Mohd Farid Mohd Shahran, berkata jihad sewajarnya dilihat dalam konteks luas dan bukan semata-mata membabitkan individu tetapi tanggungjawab kepada negara.

Mohd Farid berkata, tanggapan jihad hanya perang adalah pemahaman sempit sedangkan konsep sebenarnya bukan sahaja perlu diperluas, bahkan diperbetulkan semula.

“Lihat sahaja pada zaman Nabi Muhammad SAW, ada sahabat yang tidak dibenarkan pergi berjihad hanya kerana mempunyai ibu bapa yang uzur. Ini kerana jihad menjaga orang tuanya lebih utama kepadanya jika dibandingkan turun ke medan perang.

“Jadi kalau kita memahami jihad dalam konteks luas, kita berupaya melihatnya bukan saja dalam konteks perang, bahkan mengelakkan daripada membuat penilaian tidak adil seperti dilakukan segelintir masyarakat,” katanya.

Mohd Farid berkata, dalam konteks tragedi membabitkan kebanyakannya pelarian yang berasal dari Asia Barat itu, kita sepatutnya bersangka baik terutama terhadap niat mereka melakukan penghijrahan.

Katanya, berhijrah kerana mencari rezeki juga adalah antara bentuk jihad dalam Islam.

“Hikmah sesuatu perkara yang berlaku itu adalah hak Allah SWT dan hanya Dia yang Maha Mengetahui segala-galanya.

“Kita sepatutnya memahami tindakan ganas itu sebagai kezaliman dan kekejaman yang dilakukan individu tidak berperikemanusiaan terhadap orang yang sedang dalam masjid serta beribadah.

“Kita sepatutnya bersedih dan mendoakan kebaikan terhadap mereka serta berasa simpati dan takziah atas apa berlaku, bukannya tampil dengan tuduhan menunjukkan sikap prejudis atau berfikir buruk,” katanya.

Menurutnya lagi, dalam keadaan itu, apa yang perlu ditonjolkan ialah kesatuan atau solidariti kasih-sayang terhadap sesama ummah apatah lagi mereka diperlakukan dengan begitu kejam.

“Dalam menanggapi isu sebegini, paling kurang tunjukkanlah kasih sayang, barulah semangat kesatuan akan menjadi lebih kukuh.

“Bukan pada saat ini, kita menambahkan perpecahan dengan memberikan hukuman, tuduhan dan penilaian yang akan terus memecahbelahkan umat Islam.

“Ini juga bukan masa untuk mengeluarkan kenyataan berbaur politik, seperti tidak suka kepada keadaan politik atau keadaan umat Islam di negara lain,” katanya.

Sumber : Berita Harian Online

No Comments

    Leave a reply