MUSLIMAH PERTAMA PENERIMA HADIAH NOBEL

Pada tahun 1948, keluarga Shirin Ebadi telah berpindah ke Teheran. Ayah beliau, Mohammad Ali Ebadi, merupakan ketua pentadbir awam di bandarHamadan, Iran dan merupakan seorang profesor dalam bidang undang-undang komersial.

Shirin Ebadi telah memasuki Jabatan Undang-Undang, Universiti Teheran pada tahun 1965. Beliau telah lulus dalam peperiksaan kelayakan sebagai peguam selepas mendapatkan ijazah pada tahun 1969.

Setelah enam bulan menjalani latihan, beliau secara rasminya telah memulakan kerjayanya sebagai peguam pada tahun 1970. Dalam masa yang sama, beliau telah menyambung pelajarannya di Universiti Teheran serta menerima ijazah sarjana, juga dalam bidang undang-undang pada tahun 1971.

Kemudiannya, pada tahun 1975, beliau telah menjadi wanita pertama dalam sejarah perundangan Iran yang mengetuai jabatan yang bertanggungjawab menggubal undang-undang.

Ketika berlaku Revolusi Iran pada tahun 1979, di mana para ulama konservatif berkeras menyatakan bahawa penglibatan wanita dalam bidang perundangan dan kehakiman adalah dilarang dalam Islam, beliau kemudiannya telah ditugaskan untuk memegang jawatan yang lebih rendah di jabatan yang sama, iaitu sebagai setiausaha.

Shirin Ebadi dan beberapa peguam wanita yang lain telah membuat bantahan berikutan keputusan tersebut dan beliau dinaikkan jawatan kepada pakar undang-undang.

Beliau tidak dapat bertugas sebagai peguam sehingga 1993 akibat bantahan beliau yang telah ditolak itu. Akibat daripada itu, beliau telah menggunakan waktu yang terluang untuk menulis beberapa buah buku dan artikel yang kemudiannya telah membuatkan beliau terkenal.

Beliau berhasil menulis beberapa buku akademik dan artikel yang mengangkat isu hak asasi manusia.

Di antara bukunya yang telah diterjemahkan di dalam Bahasa Inggeris adalah A Study of Legal Aspects of Children Rights in Iran (Teheran, 1994), yang diterbitkan dengan sokongan daripada UNICEF, dan History and Documentation of Human Rightsin Iran (New York, 2000).

Artikel-artikelnya juga banyak mengangkat nama beliau terutama mengenai isu undang-undang, wanita dan kanak-kanak di Iran seperti “The Major Legal Problems of Children in Iran”, “Abolishing Slavery in Any Form”, “The legal Punishment for Murdering One Child” dan sebagainya.

Kemudian, beliau bertugas sebagai pensyarah di Universiti Teheran, dan berkempen untuk memperkukuhkan lagi taraf sah bagi wanita dan kanak-kanak yang kemudiannya menjadi kunci kemenangan besar bagi Mohammad Khatami di dalam pilihanraya Presiden pada Mei 1997.

Sebagai seorang peguam, beliau telah terlibat dalam beberapa kes politik dan beberapa kes lain yang kontroversi. Beliau telah mewakili keluarga penulis dan cendekiawan, Dariush Forouhar yang dibunuh bersama isterinya pada tahun 1999.

Beliau juga pernah mewakili keluarga Ezzat Ebrahimnezhad, satu-satunya kes pembunuhan yang diterima secara rasmi semasa bantahan pelajar Iran pada Julai 1999.

Pada tahun 2002, semasa proses pembicaraan, beliau telah menyebarkan rakaman video pengakuan Amir Farshad Ebrahimi, seorang teroris yang mendakwa bahawa pemimpin konservatif terkenal telah melakukan serangan fizikal ke atas perhimpunan pro-reformasi.

Beliau mendakwa, telah merakam pengakuan tersebut hanya untuk ditayangkan di mahkamah sahaja. Beliau kemudiannya dijatuhi hukuman penjara beberapa minggu. Kes Shirin Ebadi ini telah menarik perhatian pertubuhan hak asasi manusia dari luar negara terhadap Iran.

Shirin juga telah mempertahankan beberapa kes penderaan kanak-kanak dan kes pengharaman majalah berkala (termasuk kes Habibollah Peyman, Abbas Maroufi, and Faraj Sarkouhi).

Beliau telah menubuhkan dua pertubuhan bukan kerajaan di Iran iaitu “Iranian Society for Protecting the Rights of the Child” dan “Centre for the Defence of Human Rights”.

Selain itu, beliau juga telah mendrafkan teks asal undang-undang berkaitan penderaan fizikal kanak-kanak pada tahun 2002.

Pada 10 Oktober 2003, beliau menerima anugerah Hadiah Nobel bagi Keamanan. Dalam sidang akhbar selepas pengumumam anugerah tersebut, beliau dengan jelas menolak campur tangan negara asing di dalam urusan negara Iran.

Sebagai seorang Muslimah, beliau melihat tidak ada pertentangan fundamental antara Islam dengan hak asasi manusia. Atas penghargaan yang diterimanya itu, beliau menunjukkan bahawa seseorang boleh menjadi umat Islam yang sekali gus mengamalkan demokrasi.

Pemerintah Iran secara rasmi menyampaikan ucapan tahniah kepada Shirin Ebadi. Walaupun demikian, pihak pembangkang Iran mengecam keras pemberian Hadiah Nobel Keamanan kepada beliau.

Mereka mengatakan bahawa penghargaan tersebut merupakan sokongan terhadap gerakan sekular dan menganggap Jawatankuasa Hadiah Nobel Norway telah menjadi alat politik dan mencampuri masalah-masalah dalaman negara itu.

Shirin Ebadi sendiri menilai bahawa dirinya ‘dipilih’ bukan kerana alasan politik. Baginya, dunia harus menyedari bahawa keamanan hanya akan wujud melalui penghargaan terhadap hak asasi manusia.

Kini beliau hidup bersama suaminya, seorang jurutera elektrik dan dua anak perempuan yang sedang menuntut di universiti. Beliau juga merupakan wanita Islam pertama yang telah dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan Dunia.

Menyorot ke belakang, Shirin Ebadi telah dilahirkan di Hamadan, Iran pada tahun 1947.

Catatan: Ibnu Khaldun

No Comments

    Leave a reply