MYANMARISME DAN TRAGEDI ROHINGYA

Etnik Rohingya hendak dihapuskan selepas taraf kewarganegaraannya dilucutkan oleh pemerintah Myanmar. Myanmar sama sekali tidak mengakui bahawa etnik Rohingya adalah penduduk asal yang mendiami wilayah Rakhane yang bersempadan dengan Bangladesh.

Perbuatan jenayah pembunuhan kejam beramai-ramai atau dikenali sebagai genosid dilihat sebagai gerakan penghapusan etnik oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Menurut John McKissik, pegawai kanan Agensi Pelarian PBB dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 24 November 2016, tragedi di Rakhine itu adalah genosid.

Menurut laporan Organisasi Burma Untuk Rakyat Rohingya yang berpengkalan di United Kingdom, antara 9 Oktober hingga 20 November 2016, jumlah kematian yang membabitkan etnik Rohingya ialah 428, 192 wanita dirogol dan 120 orang lagi telah dihilang angkara balas dendam tentera Myanmar.

Tentera Myanmar mendakwa, pihaknya melakukan tindakan tersebut sebagai tindakan pembersihan bagi mencari sekumpulan etnik Rohingya yang merusuh dan menyerang beberapa buah pos keselamatan di kawasan pedalaman yang bersempadan dengan Bangladesh. Pos-pos sempadan itu sengaja didirikan bagi menyekat etnik Rohingya mendapatkan bekalan makanan dan melarikan diri ke negara lain setelah kehidupan mereka semakin tertekan.

Pertengahan tahun 2012, etnik Rohingya turut menjadi mangsa pembunuhan kejam oleh pengikut agama Buddha selepas tersiarnya berita seorang wanita berusia 27 tahun mati dirogol oleh tiga orang pemuda Islam. Kejadian itu berlaku pada 28 Mei 2012 di sebuah kampung bernama Kyauknimaw, Yanbye.

Wanita yang bertugas sebagai tukang jahit itu, Ma Thida Htwe dalam perjalanan balik kerja  dijumpai mati dalam keadaan ngeri di sebuah hutan bakau di simpang jalan menuju Kyaukhtayan pada jam 5.15 petang. Saudara mangsa, U Win Maung kemudiannya membuat laporan polis dan keesokannya, polis menggelidah perkampungan Kyauknimaw mencari bukti dan berjaya menangkap tiga orang suspek: Htet Htet @ Rawashi bin U Kyaw Thaung, Rawpi bin Sweyuktamauk dan Khochi bin Akwechay. Ketiga-tiga pemuda tersebut adalah keturunan Bengali-Muslim.

Berdasarkan maklumat polis, Htet Htet memang mengetahui jalan yang dilalui oleh Ma Thida Htwe setiap hari untuk ulang alik ke tempat kerja antara Kampung Thabyecahung dan Kyauknimaw. Polis melaporkan, motif pemubunuhan adalah Htet Htet memerlukan wang bagi membolehkannya berkahwin dengan seorang gadis. Untuk mendapatkan wang, Htet Htet merancang untuk merompak barangan kemas yang dipakai oleh Ma Thida Htwe.

Suatu petang, Htet Htet mendapatkan bantuan Rawphi dan Kochi. Mereka bertiga menunggu kepulangan Ma thida Htwe dan bila ternampak wanita tukang jahit itu berjalan seorang diri, ketiga mereka mengacukannya pisau dan melarikannya ke hutan.

Sebelum ditikam bertubi-tubi, Ma Thida Htwe telah diperkosa secara bergilir-gilir. Barang-barang kemas yang dipakai turut dirampas. Keesokannya, kira-kira 100 orang pemuda Buddha dari Rakhine berhimpun di balai polis meminta agar tiga orang pemuda Rohingya yang disyaki terbabit diserahkan kepada mereka. Bila polis enggan menurut permintaan mereka, pemuda Buddha melakukan rusuhan dan menyebabkan polis melakukan tembakan ke udara sebanyak lima kali bagi menyuraikan perhimpunan.

Pada 4 Jun, gambar Ma Thida Htwe yang dibunuh kejam disebarkan kepada penduduk sekitar bandar Taunggup dengan penerangan ringkas, mangsa dibunuh oleh tiga orang pemuda muslim Rohingya. Petang pada hari yang sama, tersebar berita bahawa terdapat sebuah bas yang dinaiki oleh pemuda muslim Rohingya dari Twandwe ke Yanggon dan sedang berhenti di Terminal Bas Ayeyeiknyein.

Apabila terdengar bakal diserang, petugas stesen bas berkenaan mengarahkan bas yang padat dengan muatan meneruskan perjalanan ke Yangon. Ketika memulakan perjalanan, beberapa orang pemuda mengekori bas berkenaan dan bila tiba di persimpangan Thandwe-Taunggup, kira-kira 300 orang penduduk tempatan mengarahkan penumpang muslim keluar dari bas. Di dalam bas berkenaan terdapat sejumlah 10 orang pemuda muslim. Seluruh bas itu kemudiannya menjadi sasaran dan rosak teruk manakala semua pemuda Muslim dibunuh.

Insiden itu menyebabkan berlakunya rusuhan yang lebih besar dan merebak hampir ke seluruh kampung di Arrakan. Rumah-rumah penduduk muslim dibakar manakala lebih 6,000 orang etnik Rohingya dibunuh.

Dalam pergaduhan terbaharu pada 9 Oktober 2016, 300 lelaki didakwa telah membunuh sembilan pegawai polis yang bertugas di pos kawalan bersempadan dengan  Bangladesh. Pihak berkuasa menuding jari kepada etnik Rohingya berdasarkan bahasa yang digunakan ketika berlakunya rusuhan. Selepas serangan pos kawalan, tentera Myanmar masuk ke kampung-kampung untuk mencari penduduk etnik Rohingya. Menurut Fortify Rights, sebuah badan pemantau, penggelidahan pihak tentera merupakan  satu kesalahan ke atas  pelanggaran hak asasi manusia dan pembunuhan di luar penghakiman.

Pada tahun 1982, kerajaan Myanmar meluluskan undang-undang untuk melucutkan kerakyatan etnik Rohingya dan mereka hanya layak diberikan kerakyatan sekiranya mampu membuktikan bahawa nenek mereka sudah berada di bumi Myanmar sehingga tahun 1832, iaitu semasa penjajahan Inggeris.

Berdasarkan sejarah etnik Rohingya, pemerintah dinasti Arakani India Chandra, Raja Sing Mahat Daya (788 M) mencatatkan beberapa buah kapal milik saudagar Arab telah karam di Pulau Ramree. Mangsa yang selamat didaratkan di Arakan dan mereka menetap di situ sehingga kini. Pada tahun 957, berlaku pencerobohan Mongolia (Burma) dan kejatuhan Chandra ke tangan empayar Tabaung Mongoloid. Penduduk Rohingya asal berhijrah beramai-ramai ke timur India (Chittagong).

Raja Min Khaung Yaza pada tahun 1406 melakukan serangan ke atas Arakan manakala raja Arakan ketika itu, Noromi-kala bersama-sama pengikut memohon perlindungan dari Sultan Gaisuddin Azam Shah, Raja Bengal. Noromi-kala kemudiannya dilantik sebagau pegawai tentera.

Antara tahun 1666 hingga 1670, etnik Rohingya mula diusir oleh Lanun Mogh dan pada tahun 1760, Burma cuba melakukan serangan ke atas Chittagong tetapi berjaya ditewaskan oleh Inggeris dengan bantuan askar Bengali. Berlaku beberapa kali penghijrahan etnik Rohingya ke Chittagong apabila Arakan mula ditawan oleh Raja Burma antara tahun 1784 hingga 1824.

Pada tahun 1824, British berjaya menakluki Arakan dan etnik Rohingya kembali menetap di Arakan. Semasa pentadbiran British, Burma menyerahkan kawasan pesisir pantai Arakan antara Chittagong dan Cape Negrais. Pada tahun 1917, muncul pergerakan Pejuang Kebangsaan Burma menerusi pembentukan Persatuan BuddhaLelaki Muda (Young Man’s Buddhist Associatin (YMBA).

Burma berpisah dari British India pada tahun 1935 dan tahun 1935 berlaku konflik besar-besaran antara penganut Buddha dan Muslim. Semasa penjajahan Jepun (1942), nasionalis ultra Burma melakukan pembunuhan kejam ke atas etnik minority Haren, Shans, Chin dan Rohingya. Dilaporkan lebih 100,000 etnik Rohingya dibunuh. Kerajaan Burma menanggil Rohingya sebagai pemisah.

Selepas Jepun menyerah kalah (1945), British kembali berkuasa di Burma dan etnik Rohingya kembali ke Arakan. Tiga tahun kemudian, Burma diberikan kemerdekaan oleh British menyebabkan etnik minority Karen, Mon dan Rohingya melancarkan pemberontakan. Lima tahun kemudian, pemimpin Burma, Maungdaw menandatangani memorandum awam untuk menghantar balik etnik Rohingya yang meninggalkan Arakan pada tahun 1942 ke Chittagong.

Etnik Rohingya yang enggan mula ditindas dan hartanah milik mereka dirampas dan pada tahun 1959, Burma bersetuju dengan Gabenor Pakistan Timur (Bangladesh), Zakir Hossain untuk menerima kembali etnik Rohingya yang berlindung di Chittagong pada tahun 1958.

Pada tahun 1961, mujahid Rohingya menyerah kalah. U Perdana Menteri Burma ketika itu, U Nu mengisytiharkan Buddha sebagai agama rasmi dan menggariskan pembentukan pentadbiran tentera di kawasan Rohingya. Setahun kemudian, PBB memutuskan satu persidangan kebangsaan bagi meneliti dan mengumpul masalah golongan minoriti. Bagaimanapun, sebaik sahaja mengambil alih pemerintahan, Jeneral Ne Win membatalkan persidangan tersebut pada 2 Mac 1962.

Di bawah pemerintahan Jeneral Ne Win etnik Rohingya mula diusir dari Arakan dan Rohingya mula menjadi pelarian dengan berjalan kaki ke India dan Pakistan. Sebahagian besar daripada mereka mati dalam perjalanan manakala sebahagian lagi masih kekal di Arakan di bawah pentadbiran tentera Arakenese Burmese. Tahun 1973 lahirlah Rohingya Patriotic Front dan 1974, hak etnik Rohingya sebagai pengundi dinafikan. Seluruh Arakan berlaku demonstrasi dan berlakulah penangkapan besar-besaran etnik Rohingya oleh tentera.

Pada tahun 1978, sejumlah 207,172 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh dan setelah disiasat oleh agensi antarabangsa, pelarian Rohingya telah membuktikan dokumen adalah warganegara Burma, kerajaan akhirnya bersetuju menerima mereka kembali.

Tahun 1982, kerajaan tentera meluluskan Akta Kewarganegaraan untuk menafikan kerakyatan Rohingya. Etnik Rohingya yang dilantik sebagai penjawat awam sebelumnya dilucutkan jawatan manakala pergerakan mereka disekat dan harta benda dirampas.

Menurut laporan agensi antarabangsa, antara tahun 1991-1992 etnik Rohingya ditindas berterusan dan seramai 250,000 orang telah melarikan diri. Dianggarkan 200,000 pelarian Rohingya tinggal secara haram di Bangladesh. Pada tahun 2004, kerajaan Burma telah merampas perkampungan Rohingya dan kemudiannya diserahkan kepada penduduk beragama Buddha. Setahun kemudian, berlaku penangkapan ke atas ahli parlimen Rohingya.

Menurut Aye Chan, penulis buku Influx Viruse,  Rohingya dianggap sebagai musuh yang perlu dihapuskan dari muka bumi. Dan sejak itulah beberapa kejadian yang dikaitkan dengan etnik Rohingya seringkali dijadikan bahan propaganda yang besar untuk menimbulkan kemarahan penganut Buddha.

Gerakan ultranaisionalisme Burma yang dipelopori oleh Jeneral Ne Win telah bermula dan gerakan itu kemudiannya dikenali sebagai Myanmarisme. Pihak tentera telah mengeksploitasikan sentimen kaum dan agama sebagai tindakan genosid, iaitu pembersihan etnik Rohingya.

Dasar Myanmarisme sudah menjadi seni propaganda yang semakin sempurna kerana rakyat yang berlainan agama diasimilasikan secara paksa menerusi gerakan burmanisasi dan buddhanisasi ketika di bawah pemerintahan Jeneral Saw Maung. Pada tahun 1988, akibat rusuhan berdarah, Jeneral Saw Maung terpaksa menyerahkan kuasa. Penghapusan etnik Rohingya telah menjadi projek nasional bagi Myanmar dan kerana itulah sebaik sahaja pemimpin prodemokrasi memenangi pilihan raya negara itu, beliau tidak melakukan apa-apa perubahan ke atas dasar penghapusan etnik oleh tentera.

Beberapa hari lalu, Aung San Suu Kyi didesak untuk menyatakan pendiriannya mengenai pembunuhan kejam etnik Rohingya dan menurut John McKissick, ketua agensi pelarian PBB, “Myanmar menjalankan pembersihan etnik terhadap muslim Rohingya dan sikap membisu Suu Kyi adalah petunjuk ‘bersetuju’”. Bagaimanapun, Suu Kyi sebelumnya bersuara adalah tidak adil untuk menyalahkan kerajaan Burma mengenai perkara tersebut, kerana rusuhan terjadi ekoran keengganan etnik Rohingya sendiri.

Suu Kyi yang pernah diberikan Hadiah Nobel Keamanan pada tahun 1991 didesak oleh masyarakat antarabangsa agar benar-benar melaksanakan tanggungjawabnya, sekurang-kurangnya menerima etnik Rohingya sebagai warganegara yang sah. Etnik Rohingya diberikan peluang untuk menjalani hidup secara aman manakala perusuh-perusuh agama dikenakan tindakan yang setimpal. Sebarang bentuk propaganda yang boleh menimbulkan ketegangan agama dipertanggungjawabkan kepada tentera yang masih mengamalkan Myanmarisme dalam bentuk baharu, dan kegagalan Suu Kyi bersuara ‘mengejutkan masyarakat antarabangsa” kerana beliau dianggap sebagai ikonik hak asasi manusia.

Parti LDP yang dipimpinnya berkuasa di Myanmar, tetapi Suu Kyi teramat bingung untuk memutuskan status etnik Rohingya dan membiarkan tentera melakukan propaganda keterlaluan bagi membangkitkan kemarahan penganut Buddha. Misalnya, pembunuhan 10 orang etnik Rohingya ekoran balas dendam kematian seorang tukang jahit wanita adalah satu bentuk pembohongan kerana yang membunuh wanita itu bukanlah etnik Bengali-Islam, ia dilakukan oleh beberapa orang pemuda Buddha. Diberitakan beberapa orang pemuda Buddha teringin mengambil wanita itu sebagai pasangan hidup mereka, tetapi, setelah diberitahu, keluarga wanita malang itu tidak bersetuju.

Akibat kecewa, dan seringkali diperlekehkan oleh saudara mara, akhirnya mereka membuat komplot untuk menculiknya. Begitu juga dengan serangan ke atas pos keselamatan oleh perusuh Rohingya. Ia disengajakan oleh pihak tentera apabila mendapat tekanan antarabangsa untuk membenarkan bantuan antarabangsa tiba di Arakan bagi tujuan misi kemanusiaan.

Untuk menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan ke atas etnik Rohingya yang ditindas, pihak tentera dikhuatiri mencipta mesej propaganda untuk memperlihatkan kepada dunia bahawa etnik Rohingya adalah puak pelampau dan tidak wajar diberikan perhatian atau perlindungan. Dan, dalam masa yang sama, tentera berusaha untuk membunuh setiap etnik Rohingya yang bercadang meninggalkan wilayah yang didudukinya. Etnik Rohingya tidak sanggup lagi hidup menderita dan melihat di hadapan mata kejadian rogol, perkampungan dibakar, rumah-rumah diroboh dan kanak-kanak dibunuh tanpa belas kasihan.

Tentunya, Suu Kyi perlu didesak untuk mencari titik permulaan bagi menghalang Myanmarisme dan genosid ke atas etnik Rohingya, manakala ASEAN wajar memberikan amaran keras ke atas negara itu walaupun prinsipnya dilihat bercanggah dengan neutralisasi. ASEAN wajar memahami bahawa derita Rohingya bukan lagi berlaku di Myanmar, ia sudah menjalar masuk ke Malaysia, Indonesia dan Thailand. Kapal terapung sedang menanti peluang untuk meninggalkan Arakan, tetapi yang lebih parah ialah bila pelarian terus dijadikan mangsa pemerdagangan manusia sebagaimana dibuktikan dalam kes penemuan beberapa kubur besar di Padang Besar dan Songkla.

Lebih memilukan ialah apabila permusuhan di Myanmar berlarutan hingga ke negara ketiga sebagaimana berlaku di Kelantan sebulan lalu. Beberapa mayat etnik Rohingya dicampak ke hutan di sebuah kawasan di Bacok, sedangkan pembunuhannya dikenalpasti berlaku di tempat lain. Kes-kes seperti ini bukanlah satu perkara yang baharu, kerana rakyat Myanmar yang menjadi pekerja di Malaysia sama ada secara sah atau haram tetap akan melakukan genosid ke atas etnik Rohingya kerana mereka sudah dibekalkan dengan ideologi Myanmarisme, penganut Islam dari minoriti Rohingya perlu dihapuskan dan tidak boleh dibiarkan hidup sebagai manusia.

Oleh Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply