NAJIB KATA DAP JADI KILANG FITNAH BURUKKAN KERAJAAN BN

PEKAN : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan DAP sebagai ‘kilang fitnah’ yang sentiasa berusaha mencari isu untuk memburukkan imej Barisan Nasional (BN) dan kepimpinannya.

Najib berkata, hal itu diakui sendiri oleh salah seorang anggota jentera parti DAP yang mengatakan, parti itu sengaja mereka berita-berita palsu dan menabur fitnah untuk memastikan matlamat parti itu untuk mengambil alih pentadbiran di negara ini tercapai.

“Hari ini saya terbaca di telefon pintar saya berita seorang yang mengendalikan berita untuk DAP mendedahkan dia tidak sanggup lagi untuk menabur fitnah kepada kerajaan yang selama ini dijadikan sebagai arahan kerja mereka. Ia memang dirancang.”

“DAP kata kalau undi PKR maknanya sama dengan undi DAP, jadi maknanya jika kita berbuat demikian kita memberi kuasa kepada DAP. Saya nak tanya selama ini DAP pernah ke sayang kepada Felda atau pernah ke memperjuangkan agenda bumiputera.”

“Apa akan jadi kepada UiTM dan Felda itu sendiri pada masa akan datang kalau dalam hati mereka tidak ada langsung memikirkan soal itu,” katanya ketika menghadiri Program Bersama Warga Felda Gugusan Chini di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri oleh calon yang juga penyandang kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Datuk Seri Abu Bakar Harun.

Akhbar hari ini melaporkan ahli seumur hidup DAP, Amran Ahmad membuat pendedahan bahawa DAP sengaja memburuk-burukkan BN dan Najib serta keluarganya dengan matlamat untuk meracuni pemikiran rakyat.

Amran yang masih bekerja dalam Biro Publisiti di ibu pejabat parti itu berkata DAP menggunakan nama gabungan pembangkang PKR demi memenangi PRU14 dan pendedahan itu diakukan untuk mengelak masa depan negara tergadai.

Dalam masa yang sama, Najib yang juga penyandang kerusi Parlimen Pekan menyelar sikap Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad yang disifatkan sebagai mengamalkan tahap kepura-puraan politik paling ekstrem kerana menjadikan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai modal meraih sokongan.

“Hari ini keluarga Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz kunci pintu masuk ke tanah perkuburan itu kerana tak mahu Dr Mahathir masuk sebab kalau ikhlas kenapa tidak melawat kubur itu selama ini.

“Kalau ikhlas tunggulah selepas PRU, selama ini dia kutuk Nik Aziz macam-macam, dia kata Nik Aziz terlalu tua patut berhenti politik sedang NIk Aziz lagi muda daripada dia, ” katanya. – Bernama

Tags: ,

No Comments

    Leave a reply