NARATIF NUSANTARA SIRI 31 : ANTARA TURKI, ARAB SAUDI DAN MALAYSIA: NARATIF SEBAGAI SUMBER KETAHANAN NEGARA

Ketika para pemimpin negara-negara Arab masih terpinga-pinga tentang apa yang ingin mereka lakukan berikutan pengistiharan Bayt al-Maqdis sebagai ibukota Regim Zionis Israel oleh Presiden Trump, Presiden Erdogan tanpa berlengah-lengah memanggil segera para pemimpin negara-negara OIC ke Istanbul untuk mengistiharkan pula Bayt al-Maqdis sebagai ibunegara Palestin. Selama ini pun kepantasan dan ketegasan malah keberanian pemimpin berbangsa Turki ini dalam pelbagai isu umat Islam telah menerbitkan kekaguman dikalangan umat malah meletakkan beliau sebagai pemimpin harapan mereka untuk menerajui dunia Islam. Pun begitu bagi ramai yang kagum dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan ini tidak memahami rahsia atau menyedari strategi Presiden Erdogan dilatari oleh visi dan misi Naratif Khilafah Uthmaniyyah yang menjadi sumber kekuatan Turki Erdogan ketika ini.

Negara Turki Moden yang kita kenali hari ini dibina atas runtuhan Empayar Khilafah Uthmaniyyah yang merupakan Khilafah Islam yang paling panjang usianya melebihi 600 tahun (1299-1922). Umat Islam sekadar mengetahui Empayar Khilafah Umayyah (661-750) yang  tidak sampai 100 tahun dan Empayar Khilafah Abassiyyah (750-1258) yang berusia 508 tahun sebagai dua Empayar utama Khilafah Islam. Malah dalam pengajian sejarah dan peradaban Islam dalam dunia umat Islam sendiri, peranan dan sumbangan Empayar Khilafah Uthmaniyyah sangat sedikit dan hampir tidak dibicarakan untuk tatapan generasi pelajar muslim. Seolah-olahnya, selepas Umayyah dan Abassiyyah, umat Islam terus berada di Abad ke 20 iaitu ketika Uthmaniyyah dihancurkan oleh Kuasa-Kuasa Barat. Keadaan ini telah melenyapkan langsung peranan dan sumbangan satu empayar besar dan penting Islam zaman moden dari memori kolektif umat Islam yang sebenarnya boleh membantu membina kebanggaan dan jatidiri mereka berdepan dengan Kuasa-Kuasa Barat selama ini.

Justeru kebangkitan Negara Turki Moden bilamana terdapat pemimpin yang bijaksana seperti Erdogan bukanlah satu perkara yang menghairankan kerana sejarah Negara dan Masyarakat Turki itu sendiri terbina diatas sebuah Naratif Pemikiran dan Peradaban Uthmaniyyah yang mampu bertahan lebih 600 tahun. Ramai yang tidak mengetahui apatah lagi memahami bahawa Naratif Empayar Khilafah Uthmaniyyah selama 600 tahun itu ialah Naratif Akidah Imam Maturidi – Fekah Imam Hanafi – Tasawuf Shaykh Jalaluddin al-Rumi dan Tarikat Mawlawinya dengan Shakyh Ahmad Sirhindi yang lebih dikenali dengan Imam Rabbani dan Tarikat Naqshbandinya. Justeru jika sering kita sebut Naratif Nusantara yang telah berusia lebih 500 tahun ini terbina atas sintesis Asha’irah-Shafi’iyyah-Ghazzaliyyah maka perkara yang sama juga berlaku kepada Naratif Uthmaniyyah yang terbina atas sintesis Maturidi-Hanafi-Rumi dan Imam Rabbani. Tenunan Naratif Nusantara dan Naratif Uthmaniyyah mewakili tenunan asli Iman, Islam dan Ihsan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang terbukti keberkesannnya, kestabilannya, kesinambunganya malah keberkatannya dalam membimbing kehidupan umat Nusantara dan Uthamaniyyah dahulu dan sekarang.

Sebagai perbandingan jika kekuatan dan keteguhan Negara dan Masyarakat Islam Turki terbina atas Naratif Uthmaniyyah dan kestabilan dan keharmonian Negara dan Masyarkat Malaysia terbina atas Naratif Nusantara, kita sepatutnya melihat dengan mata kepala dan mata hati kita sekaligus bahawa ketiadaan Naratif-Naratif seperti ini amat menyerlah bagi kebanyakkan negara-negara Arab Moden termasuklah negara yang sering menjadi Idola umat Melayu Islam Nusantara tidak lain dan tidak bukan Arab Saudi. Fabrik keagamaan atau tenunan keagamaan Negara dan Masyarakat Islam Arab Saudi sangat berbeza dari fabrik atau tenunan keagamaan Negara dan Masyarakat Islam Turki dan Malaysia. Dengan tiadanya gabungan atau sintesis aqidah-fekah-tasawuf yang berakar dari khazanah dan tradisi keilmuan Islam yang asli bagi membentuk sesebuah Negara dan Masyarakat, akibatnya Negara dan Masyarakat tersebut akan menjadi rapuh dan tidak menentu hala-tujunya. Dan inilah situasi terkini yang berlaku di Arab Saudi misalnya dengan tindakan-tindakan yang dilakukan oleh MBS.

Naratif Uthmaniyyah berfungsi lebih dari 600 tahun dan Naratif Nusantara beroperasi lebih dari 500 tahun sehingga kini berjaya memberikan jatidiri, sikap, visi dan misi Negara dan Masyarakat Turki dan Malaysia dalam soal beragama dan bernegara mereka. Sebaliknya Arab Saudi tidak terbina atas Naratif yang lama apatah lagi kaya sumbernya serta terbukti dalam perjalanan sejarah umat Islam. Semua memaklumi Arab Saudi mendakwa mereka beraqidah Hanabilah dan berfekah juga Hanabilah yang semuanya bersumber utama kepada Imam Ahmad Ibn Hanbal. Dan semua memaklumi Arab Saudi mendakwa tasawuf, sufi dan tarikat bukan dari ajaran Islam. Justeru Naratif Negara dan Masyarakat Islam Arab Saudi sangat berbeza dari Naratif tradisi Negara dan Masyarakat Umat Islam sejak zaman berzaman yang menggabungkan Iman, Islam dan Ihsan dalam manifestasi akidah, fekah dan tasawuf seperti yang ditunjukkan oleh Naratif Uthmaniyyah dan Naratif Nusantara.

Perlu disedari kekuatan dan kelebihan Naratif Uthmaniyyah Maturidi-Hanafi-Rumi dan Sirhindi inilah dahulu yang juga menguasai wilayah-wilayah masyarakat Arab yang ketika itu masih sekadar negara entah berantah. Sewaktu Empayar Khilafah Uthmaniyyah dengan Naratif Maturidi-Hanafi-Rumi dan Sirhindi dikemuncaknya bukan hanya Bayt al-Maqdis di Palestin malah juga kedua-dua Haramayn di Mekah dan Madinah dibawah naungan mereka. Dalam konteks ini keberanian Presiden Erdogan mengistiharkan Bayt al-Maqdis sebagai ibukota Palestin bukanlah bersifat retorik semata-mata kerana sebelum Perang Dunia Pertama Bayt al-Maqdis dan Palestin berada di bawah naungan Empayar Khilafah Uthmaniyyah. Malah jika Presiden Erdogan ingin mengistiharkan bahawa kedua Haramayn Mekah dan Madinah juga masih boleh berada dalam naungan Turki bukanlah perkara yang luarbiasa kerana untuk lebih 600 tahun sebelum orang-orang Arab bersekongkol dengan Kuasa-Kuasa Barat bagi menjatuhkan Empayar Khilafah Uthmaniyyah, ketiga-tiga Tanah Haram, Bayt al-Maqdis, Mekah dan Madinah merupakan sebahagian dari wilayah naungan Uthmaniyyah.

Sudah tiba masanya umat Islam di Malaysia khususnya untuk melihat peranan dan sumbangan Naratif Uthmaniyyah kepada Negara dan Masyarakat Turki supaya mereka boleh merasa betapa bertuahnya kita dirantau ini memiliki Naratif Nusantara yang bentuknya serupa dengan Naratif Uthmaniyyah meskipun terdapat perbedaan dari segi perinciannya. Juga lebih penting untuk umat Islam di Malaysia menyedari bahawa kelemahan kebanyakkan Negara dan Masyarakat Arab termasuklah Arab Saudi tidak memiliki kelebihan, keunikan dan keistimewaan Naratif yang umat Turki dan umat Melayu warisi sejak ratusan tahun yang lalu. Selagimana Naratif Uthmaniyyah masih terpahat pada jiwa Negara dan Masyarakat Islam Turki dan selagimana Naratif Nusantara masih tertanam pada jiwa Negara dan Masyarakat Islam Malaysia, kestabilan, keharmonian dan kesinambungan kita akan berkekalan – sesuatu yang sekadar menjadi impian dan dambaan Negara dan Masyarakat Arab sejak mereka melepaskan diri dari Empayar Khilafah Uthmaniyyah kira 100 tahun yang lalu atas bantuan Para Penjajah Barat terutamanya British dan Perancis.

Oleh Dr Amran Muhammad

NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISLAMIC AND STRATEGIC STUDIES INSTITUTE (ISSI) bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam (NARATIF NUSANTARA SIRI 31)

No Comments

    Leave a reply