NARATIF NUSANTARA UNTUK KEAMANAN GLOBAL: SIRI 1

Oleh: Dr Amran Muhammad

Sejak peristiwa pengeboman bunuh diri 9-11 di New York (2001) yang dikuti dengan rangkaian siri pengeboman bunuh diri di Bali (2002), Casablanca (2003), Jakarta (2003), Istanbul (2003), Madrid (2004), Bali (2005), London (2005), Paris (2015), Brussels (2016), Nice (2016), Istanbul (2017), St Petersburg (2017) serta puluhan lagi pengeboman bunuh diri yang melibatkan mangsa-mangsa yang tidak berdosa, kehidupan manusia di planet Bumi menjadi tidak lagi selamat dari ancaman pengeboman bunuh diri ini. Pembentukan kelompok-kelompok literal, radikal dan ektsrem seperti Al-Qaeda, Al-Shabab, Boko Haram, Abu Sayyaf dan seterusnya ISIS atau Daesh (2013) menjadikan fenomona ekstremisme radikal lebih berleluasa dan tidak terkawal sehingga ke hari ini sekaligus memusnahkan cita-cita terwujudnya keamanan global terutamanya melihat kepada apa yang sedang berlaku di dunia Arab Pasca-Arab Spring dewasa ini seperti Iraq, Libya, Syria, Yaman dan Mesir.

Pada waktu yang sama sejak hampir dua dekad Abad ke 21 ini, pelbagai usaha telah dilakukan oleh para ulama dan sarjana Islam bagi mempertegaskan semula ciri-ciri keamanan Islam sebagai Rahmatan lil Alamin (Rahmat ke Seluruh Alam) meliputi sifat, prinsip, amalan dan intipati Agama Islam itu sendiri. Penghasilan Mesej Amman (2004),  Manifesto Muskat (2009), Deklarasi Marakesh (2016) dan terbaru Konferen Chechnya 25-27 Ogos 2016 kesemuanya menjurus kepada pengembalian semula kepada ciri-ciri asasi Islam sebagai Agama penegak Keamanan, pembawa Rahmah dan penerima Barakah berlandaskan kepada petunjuk Qur’ani, bimbingan Nabawi dan pegangan Tradisi. Pengemblengan atau gabung-jalin kefahaman dan penghayatan dari pancaran Al-Qur’an, panduan Al-Sunnah dan pegangan Tradisi Ahlu Sunnah wal Jamaah menjadi tumpuan dan nukilan pokok Mesej Amman, Manifesto Muskat, Deklarasi Marakesh dan Konferen Chechnya.

Ketika mana seluruh dunia khusus di Timur Tengah, Amerika dan Eropah sedang mencari-cari dan mencuba-cuba untuk membina Naratif Keamanan Global bagi menangani fenomena ekstremisme keganasan dan radikal ini, sudah tiba masanya untuk rantau sebelah sini, Kepulauan Melayu atau Alam Melayu atau mudahnya NUSANTARA menggagaskan atau lebih tepatnya mempertegaskan kembali NARATIF NUSANTARA sebagai paradigma atau model yang terbukti boleh digunapakai untuk menghasilkan Keamanan Global. Sudah tentunya NARATIF NUSANTARA ini yang terbit dari pengolahan Qur’ani dan Nabawi dalam Tradisi Ahlu Sunnah wal Jamaah untuk tempohmasa tidak kurang dari 500 tahun yang lalu ditunjangi dengan gemblengan dan gabungjalin tradisi Iman-Islam-Ihsan Imam Al-Asha’ari, Al-Shafie dan Al-Ghazali. NARATIF NUSANTARA yang berakar tunjang dari tradisi keilmuan dan kerohanian besar Islam ini tidak mungkin untuk digantikan dengan naratif-naratif baru berusia seratus-dua ratus tahun pembentukannya khususnya naratif Islam Abad ke 20 yang sangat gersang dengan nilai-nilai keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam berusia lebih 1000 tahun tersebut.

Dunia Islam hatta ketika keruntuhan Khilafah Uthmaniyyah Turki adalah sebuah masyarakat yang telah mencapai darjat keilmuan, kerohanian dan ketamadunan pada tahap tinggi. Sebarang usaha membina naratif-naratif baru Islam termasuklah naratif keamanan global yang buta sejarah pencapaian keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam tidak akan membawa umat dan dunia kemana-mana malah kehancuran sepertimana yang ditunjukkan oleh kelompok-kelompok ekstremism radikal dan literal ketika ini. Begitu juga pembentukan naratif keamanan global di Malaysia khususnya jika cuba diperkenalkan tanpa mengambil kira atau tanpa memberi perhatian yang khusus kepada NARATIF NUSANTARA yang telah lebih 500 tahun tumbuh mengakar dan merimbun memberikan keamanan, rahmah dan barakah kepada Rantau Alam Melayu atau Kepulauan Melayu ini hanya akan mengundang musibah dan malapetaka sepertimana yang sedang melanda negara-negara Timur Tengah ketika ini.

Sudah tiba masanya NARATIF NUSANTARA ini khususnya model keamanan dalaman dan luaran Imam Al-Ghazali seperti yang diungkapkan dalam magnum opus beliau Ihya Ulumuddin dan diperkembangkan di NUSANTARA oleh Shaykh Abdul Samad al-Palembani dalam Siyar al-Salikin menjadi modus operandi perlaksanaan Keamanan individu, kolektif, nasional dan akhirnya global. Sehingga kita ditunjukkan oleh penaja-penaja baru naratif keamanan global dengan modus operandi, model dan paradigma keamanan yang dikehendaki, NARATIF NUSANTARA ala Al-Ghazali dan Al-Palembani masih viable, kompeten dan terbukti membina keamanan rantau ini untuk lebih 500 yang telah berlalu sehingga kini.

(NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISSI bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati keamanan, rahmah dan barakah melalui pendekatan dialog, polisi dan strategi)

No Comments

    Leave a reply