NARATIF NUSANTARA UNTUK KEAMANAN: SIRI 4

IHYA ULUMUDDIN IMAM AL-GHAZZALI SEBAGAI MANUAL ANTI-KEGANASAN, RADIKALISME, EKSTREMISME DAN TERORISME

Oleh: Dr Amran Muhammad

Dunia hari ini mungkin tidak akan menyaksikan fenomena pengeboman maut (terkini di Manchester, Jakarta dan Marawi) sekiranya para pelaku fenomena ini mendapat sentuhan karya agung Imam Al-Ghazzali Ihya Ulumuddin. DAESH aka ISIS aka ISIL aka IS, Al-Qaedah, Boko Haram, JI, Abu Sayyaf dan pelbagai lagi kumpulan radikal, ekstrem dan teror tidak mungkin muncul sekiranya Ihya Ulumuddin Imam Al-Ghazzali menjadi silibus dan kurikulum pendidikan Islam mereka. Barangsiapa yang meneliti lokasi-lokasi pengeboman maut di Amerika Syarikat, England, Perancis, Sepanyol, Belgium dan Jerman yang dilakukan oleh para pengebom maut ini, juga latarbelakang para pengebom maut itu sendiri akan jelas mendapati sekiranya ekologi Ihya Ulumudddin itu wujud di lokasi kejadian juga pada diri para pengebom, tidak mungkin fenomena tersebut boleh berlaku.

Faham ekologi Ihya Ulumuddin Imam Al-Ghazzali dalam membentuk psikologi dan kosmologi umat Islam rantau Nusantara sangat penting dalam usaha kita mempertegas dan mengetengahkan semula NARATIF NUSANTARA sebagai model keamanan global yang sedang dicari-cari oleh pelbagai pihak Islam dan bukan Islam ketika ini. Terlebih dahulu insiden-insiden pengeboman maut, radikalisme, ekstremisme dan terorisme yang berlaku di Indonesia, Selatan Thailand dan Selatan Filipina meskipun telah terjadi di rantau NUSANTARA tidak boleh dianggap mewakili keseluruhan sifat aman-damai yang wujud sejak sekian lama dalam penghayatan Islam di sini melainkan akibat campurtangan anasir-anasir luar bukan NUSANTARA yang datang dalam tempoh waktu terkemudian dan mutakahir ini sahaja.

Juga kita mendapati suasana yang sentiasa bergolak di Timur Tengah di kalangan negara dan masyarakat Arab semasa adalah wilayah di mana apresiasi atau penghargaan terhadap Ihya Ulumuddin Imam Al-Ghazzali adalah paling berkurangan malah kadang-kala di haramkan jika tidak dibakar oleh setengah-setengah golongan. Pergi sahajalah ke negara-negara yang masih berada seperti Arab Saudi, Qatar, Kuwait, UAE, Jordan, Mesir, Mahgribi, Algeria dan Tunisia atau negara-negara yang tidak tentu adanya seperti Iraq, Syria dan Libya untuk mendapatkan pandangan popular umat Islam di sana tentang kitab Ihya Ulumuddin Imam Al-Ghazzali. Tentu kita akan mendapati apresiasi atau penghargaan terhadap Ihya Ulumuddin malah Imam Al-Ghazzali itu sendiri tidak akan lebih tinggi dan baik seperti di NUSANTARA tanpa menafikan telah muncul juga generasi baru Islam NUSANTARA akibat pengaruh Timur Tengah mula menolak dan memperlekehkan Ihya Ulumuddin dan Imam Al-Ghazzali dan tradisi yang mengikuti kedua-dua Kitab dan Imam ini.

Umat Islam di rantau NUSANTARA sebenarnya tidak menyedari mereka memiliki sebuah manual anti-keganasan, radikalisme, ekstremisme dan terorisme yang sangat sukar untuk diperolehi ditempat lain didunia ini. Manakala di peringkat global usaha-usaha membina naratif baru bagi melawan keganasan, radikalisme, ekstremisme dan terorisme masih belum benar-benar dikenalpasti dan tidak lebih sekadar retorik dan kenyataan politik kosong. Umat Islam di rantau ini perlu menyedari mereka telah membina satu ekologi keamanan serantau yang pada bila-bila masa boleh diterjemahkan kepada keamanan antarabangsa melalui kefahaman dan penghayatan Ihya Ulumuddin Imam Al-Ghazzali sejak ratusan tahun lalu.

Ramai yang menganggap Ihya Ulumuddin tidak lebih dari sebagai salah sebuah kitab lama dari ribuan kitab-kitab lama tradisi keilmuan Islam tanpa mempunyai relevan dalam kehidupan semasa. Malah lebih teruk bagi yang mengganggap Ihya Ulumuddin dipenuhi dengan hadis-hadis dhaif, kitab mengingati mati dan kitab yang akan memundurkan umat Islam dibaca dan disebarkan. Mereka jelas tidak memahami rahsia dan keistimewaan Ihya Ulumuddin sebagai kitab yang membina 1) psikologi umat Islam yang membina jati-diri kehidupan mereka, 2) kosmologi umat Islam yang membina misi dan visi kehidupan mereka dan 3) ekologi atau interaksi kontekstual umat Islam dengan manusia lain Islam dan bukan Islam juga dunia atau alam fizikal ini bagi menjadikan Islam ini sebuah agama yang aman-damai, penuh kasih-sayang dan rahmat bagi sekalian alam. Kesemua 3 elemen psikologi, kosmologi dan ekologi Ihya Ulumuddin ini tidak mungkin kita perolehi pada diri para pengebom maut dan bakal-bakal juga rekrut-rekrut atau kader-kader pengebom maut, pada DAESH, ISIS, ISIL, IS, Al-Qaedah, Boko Haram, JI, Abu Sayyaf dan seumpamanya.

 (NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISSI bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam)

No Comments

    Leave a reply