NASIHAT DEBAT YANG MENGGELIATKAN LIM KIT SIANG

Dalam tempoh tiga hari, Lim Kit Siang saperti mengaku kalah kerana sehari selepas bersetuju berdebat mengangkat ‘bendera putih’ membatalkannya dengan alasan tidak bersedia berkompromi dengan ‘negara dan semua rakyat Malaysia’. Apakah kompromi yang dikatakan di perenggan akhir tulisannya itu dalam Malaysiakini yang disiarkan menjelang waktu berbuka puasa pada hari ini (Khamis, 23 Mei 2019) adalah alasan yang boleh diterima atau hanya sebuah nada gelisah dalam kekaburan alasan?

Saya yakin, mereka yang memberikan pandangan agar debat tersebut tidak diteruskan kerana yakin Lim Kit Siang tidak dapat mengawal emosinya apabila diserang, sikap semulajadi pemimpin DAP yang sudah diketahui umum sejak dia dikenali sebagai tokoh pembangkang yang pernah diadili oleh Perdana Menteri ke-4 yang kini kembali menerajui Pakatan Harapan sebagai Perdana Menteri ke-7 dengan label ‘rasis’ dan ‘perkauman.’

perjuangan politik

Jika inilah sikapnya, maka jelaslah Lim Kit Siang sedang bersiap sedia untuk meleburkan perjuangan politiknya selari dengan situasi yang dimunculkan dalam keadaan masyarakat pascakebenaran. Pasca kebenaran atau post-truth society ialah masyarakat yang bergerak berasaskan persepsi dan bukannya kehendak untuk mencari kebenaran. Kebenaran bukan sesuatu yang murni dan sakral, kebenaran adalah satu permainan persepsi.

Lim Kit Siang masih belum berjaya menghapuskan imej tersebut meskipun beliau sedaya upaya membuktikan dirinya bukan pengamal politik perkauman kerana persepsi telah menunjukkan banyak tindakannya mempertahankan budaya politik bukan Melayu-Islam dan lebih cepat melakarkan reaksi menentang apa sahaja yang dikaitkan dengan Islam.

Rakyat Malaysia masih belum terlupa mengenai pendiriannya untuk menentang cadangan untuk mengsyariatkan undang-undang Islam di Malaysia walaupun khalayak terbesar peraturan itu adalah umat Islam manakala bukan Islam masih kekal dengan sistem undang-undang yang berasaskan ‘common lawa’ atau digelar undang-undang sekular.

Akibat pendiriannya yang tegas untuk mempertahankan undang-undang sekular, PAS tidak sanggup bekerjasama atau tahaluf siyasi selepas terasa dikecewakan oleh Pakatan Rakyat sepanjang marriage of convenience  yang bermula pada tahun 2007.

persepsi awam

Ramai yang masih ingat bagaimana kecenderungan Lim Kit Siang untuk menghentam PAS apabila parti itu tidak membenarkan pelanggan lelaki menggunakan perkhidmatan dandanan rambut di Kota Bahru yang dikendalikan oleh pekerja wanita.

Tentunya, sejarah itu akan menjadi sebahagian daripada persoalan yang memungkinkan debat antara Najib dan Lim Kit Siang menjadi bahan ‘pertarungan’ dan akhirnya membentuk persepsi awam.

Sebagai seorang yang pernah terkesima dengan lagak Robocorp dalam kempen Tanjung II pada tahun 1995, Lim Kit Siang tidak boleh menutupi sikap gelojohnya untuk menjadikan polisi negara ini saperti tidak beremosi sekiranya DAP berjaya menguasai Pulau Pinang ketika itu.

Beliau yang merasakan dirinya kuat kerana berjaya mengalahkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, mendiang Lim Chong Eu di DUN Pengkalan Kota, pada PRU 1990, tidak teragak-agak untuk mengambil imej Robocorp, simbol manusia mesin yang tidak ada ruang kompromi dan menuju kepada nyah manusiawi.

Suatu ketika, Lim Kit Siang turut ‘menipu’ rakyat Malaysia apabila mengkritik seorang tahanan wanita yang dipaksa ketuk ketampi dalam keadaan separa bogel, yang dikatakan sebagai wanita Cina.

Akibatnya, Perdana Menteri ketika itu (Tun Abdullah Ahmad Badawi) terpaksa memohon maaf kepada pemimpin China dan selepas dibuktikan bahawa wanita berkenaan itu bukan keturunan Cina, Lim Kit Siang berdiam diri tanpa memohon maaf atas ‘pembohongannya’.

bentuk kompromi

Sejak itu, rakyat Malaysia semakin hilang keyakinan kepada Lim Kit Siang kerana gerak kerjanya hanyalah untuk menjaga kepentingan bukan Melayu, bukan seluruh rakyat Malaysia. Detik itu juga boleh dianggap sebagai satu bentuk kompromi yang tidak menepati seruan DAP sebagai parti multietnik.

Apabila DAP terus mempamerkan nilai agresifnya untuk mempengaruhi sokongan politik bukan Melayu, ramai rakyat Malaysia sedar apakah ‘kilatan dan cerminan’ sebenar yang terpamer dalam bayangan perjuangannya yang dikatakan tanpa batasan kaum dan etnik.

Dalam banyak perkara, Lim Kit Siang tidak bersedia untuk memperkatakan secara lantang kutukan ke atas penjarahan Israel terhadap PAlestin, kerana yang dibelasah dan dijarah oleh Israel itu adalah umat Islam.

Itulah sebahagian pembohongan Lim Kit Siang walaupun dalam tulisannya beliau mengatakan bahawa bekas Perdana Menteri, Najib Tun Razak adalah seorang kleptokrat yang sudah kehilangan kuasa dan sedang mencari ruang untuk menutupi kebohongan dan tindakan tiak bermoral yang dicanangkan melalui debat antara mereka berdua.

Rakyat Malaysia tidak boleh ditipu, kerana banyak perkara yang sepatutnya diketahui dengan jelas masih dirahsiakan oleh pemimpin DAP itu termasuklah ketiadaan pemimpin-pemimpin Melayu dalam barisan CEC yang dipilih oleh perwakilan.

rantaian praktis

Persoalannya, apakah benar DAP sebuah parti yang bersih dan bebas perkauman? Apa pun yang diperkatakan, ia akan terus bersifat retorik kerana dalam rantaian praktisnya, DAP terus mencari ruang untuk meletakkan calon-calon bukan Melayu bertanding di kawasan majoriti kaum tertentu dan tidak sanggup berkompromi untuk meletakkan calon Melayu.

Tidak juga kedengaran cadangan yang jelas, kawasan majoriti Melayu diletakkan calon bukan Melayu manakala kawasan majoriti Cina diletakkan calon Melayu. Inilah persoalan yang membingkai tradisi politik DAP yang mekar dengan perkauman, belum lenyap daripada mitos pelbagai etnik walaupun ada orang Melayu menganggotainya.

Begitu juga ketika DAP bersendirian sebagai parti pembangkang, Lim Kit Siang akan mempertikaikan apa sahaja yang dilaksanakan oleh kerajaan termasuk menolak pembinaan Jambatan Pulau Pinang sebagai tindakan membazir dan wang yang digunakan itu sepatutnya digunakan untuk menyediakan lain-lain keperluan yang mendesak. Pendiriannya berubah apabila anak lelakinya menang di Pulau Pinang dan dilantik sebagai Ketua Menteri.

Beliau bukan sahaja menyokong idea untuk membina Jambatan Pulau Pinang II, bahkan menggesa agar ia dipercepatkan untuk mencergaskan pembangunan Pulau Pinang yang sedikit terencat akibat pemindahan beberapa kilang operasi syarikat multinasional ke beberapa buah negeri lain dan ke Thailand atau Vietnam yang lebih murah kos operasinya.

terowong dasar laut

Ketika anaknya dipersoalkan dengan isu pembinaan terowong dasar laut dan lebuh raya pesisir pantai, Lim Kit Siang tidak memberikan ulasan mahupun menyatakan pendiriannya walaupun anaknya dikatakan ada kaitan dengan salah guna kuasa, membuat bayaran kepada perunding untuk kajian dalam jumlah yang besar lebih awal tanpa siapnya laporan berkenaan.

Bayaran tersebut kini dikaitkan dengan pembabitan anaknya dalam sebuah syarikat, yang beliau ada kepentingan.

Sikap sedemikian membuktikan bahawa Lim Kit Siang sebenarnya tidak konsisten mengenai prinsip kleptokrasi dan rasuah atau salah guna kuasa. Ia bukan sesuatu yang bersifat universal, kerana beliau sendiri mengelak untuk mengulas mengenai tindakan anaknya.

Sesuatu yang dianggap dwistandard, formula kompromi politik untuk menyelamatkan anaknya sendiri. Lim Guan Eng adalah harapannya untuk meneruskan legasi politik dalam DAP, dan sentiasa mencari ruang agar kemenangan berpihak kepadanya.

mengata dulang paku serpih

Begitu dengan isu lain yang membabitkan anaknya. Lim Guan Eng tidak mempunyai kelulusan ikhtisas dalam bidang amalan perakaunan untuk diakui sebagai akauntan bertaulih. Lim Kit Siang membisu sebagaimana membisunya apabila kelulusan dalam bidang guamannya dipersoalkan.

Daripada situasi tersebut, integritinya untuk bercakap mengenai kleptokrasi dilihat sebagai retorik dan hanya bersikap ‘mengata dulang paku serpih’.

Walaupun beliau menyenaraikan sepuluh justifikasi yang diterima daripada pihak-pihak tertentu untuk menolak pelawaan debat dengan Najib, sebahagian masyarakat akan tetap melihat sebab itu hanyalah terlalu kecil berbanding ‘keberanian’nya bercakap di ruang legar terbuka dan disaksikan oleh masing-masing penyokong.

Beliau dianggap ‘cukup berani’ untuk ‘membuka mulut luas’ di Dewan Rakyat dan dalam kelompok penyokongnya sendiri.

Itulah sebab sebenar beliau menolak pelawaan tersebut, bukan kerana apa kecuali untuk mempertahankan eksklusivitinya. Jika benar Lim Kit Siang mempunyai bukti dan hujah yang benar, bukan berifat post-truth yakni berdasarkan persepsi, tidak seharusnya ditolak pelawaan tersebut kerana yang menilainya ialah rakyat bukannya juak-juak dan penyokong tertentu.

Masih ramai yang menyokong, kerana mereka ingin mengetahui apakah rasional dan hujah mengenai Malaysia Baharu yang diinginkan lebih berintegriti dengan mengambil ikhtibar daripada nuansa kleptokrasi yang diperkatakan menjadi budaya dalam kehidupan politik sebelum PH berjaya menguasai kerajaan.

tamak haloba

Masih ramai lagi rakyat Malaysia tidak dapat mengaitkan apa yang diperkatakan itu sebagai kleptoktrasi kerana hubungannya dengan 1MDB belum jelas dan terbukti. Kalaupun Najib bersalah dalam dakwaan ‘penggubahan wang haram’, itu tidak bermakna Malaysia akan bebas sepenuhnya daripada rasuah.

Sebabnya, rasuah turut berlaku dalam pelbagai bentuk dan wajah selagi manusia disimbahi oleh keinginan besarnya, cepat kaya dengan perangai tamak haloba.

Selepas cabaran itu ditolak oleh Lim Kit Siang, dengan angkuhnya seorang wakil rakyat DAP dari Jelutong, Pulau Pinang menawarkan diri untuk menggantikan ahli politik veteran tersebut dengan alasan Lim Kit Siang adalah tandingan yang sepadan.

Bagi RSN Rayer yang muncul dengan wajah tipikal penganut Hindu yang taat berkata dirinya adalah ‘lebih daripada berkemampuan untuk menyahut cabaran pemimpin veteran itu yang juga merupakan bekas perdana menteri.’

Alasan RSN Rayer itu dianggap oleh netizen suatu ‘keangkuhan’ melampau kerana tempoh pembabitan dalam politik antaranya dengan Najib adalah jauh berbeza.

Rayer yang mengganggu

Najib berpengalaman luas sebagai ahli parlimen (sejak 1976) selepas kematian ayahandanya, sebagai menteri besar, beberapa jawatan menteri (Menteri Pendidikan, Menteri Pertahanan, Menteri Belia dan Sukan, dan Menteri Kewangan) dan Perdana Menteri sedangkan RSN Rayer hanyalah muncul dalam persada politik pada tahun 1988 dengan menganggotai DAP, yang kemudiannya bertanding pada tahun 2008 di DUN Seri Delima.

PRU ke-14, beliau bertanding di Jelutong dalam sejak itu beliau sering muncul ‘mengganggu’ dan ‘mencelah’ wakil rakyat pembangkang berbahas.

Bagi netizen, pengalaman politiknya tidak cukup untuk menggantikan Lim Kit Siang yang menghabiskan masa selama 53 tahun, iaitu sebagai pembangkang dan baru setahun membawa bendera politik di pihak kerajaan tanpa jawatan dalam kabinet kerajaan PH.

Lim Kit Siang menempuh idealisme politik bersama PAP pimpinan Lee Kuan Yew sebelum berganding bahu menubuhkan DAP selepas Singapura disingkirkan menganggotai Malaysia pada tahun 1965 untuk meneruskan slogan Malaysian Malaysia.

Pilihan Raya Umum 1969, DAP dan Gerakan (berpecah dari MCA) memperoleh kemenangan di kawasan bandar yang majoriti pengundinya adalah bukan Melayu. Kemenangan tersebut membawa kepada rasa bangga dalam kalangan dua parti berkenaan yang kemudiannya berarak untuk meraikannya sehingga mencetuskan rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Menjelang peristiwa berkenaan, Lim Kit Siang didakwa menjadi salah seorang pemimpin politik yang membangkitkan rasa bangga kemenangan sehingga menyebabkan orang Melayu merasa dirinya terancam.

politik kiri

Akhirnya, tercetus perbalahan kaum yang menyebabkan Kuala Lumpur diisytiharkan berdasarkan undang-undang darurat. Sehingga kini, Lim Kit Siang menafikan pembabitannya bahkan menolak andaian bahawa pada hari tragedi itu dirinya tidak berada di Kuala Lumpur.

Ia sesuatu yang tidak boleh diterima dan dianggap sebagai alasan munasabah oleh orang Melayu bahkan beberapa petikan ucapannya sentiasa disebarkan untuk mengingatkan orang Melayu mengenai “tembelang’ pembabitan Lim Kit Siang sebagai tokoh penting dan berpengaruh dalam konflik berkenaan.

Lim Kit Siang juga merupakan salah seorang yang berusaha untuk ‘membawa pulang’ bekas pemimpin komunis yang melarikan diri ke Thailand untuk menghabiskan sisa hidupnya. Cadangan tersebut mendapat tentangan hebat masyarakat, termasuklah veteran tentera.

Hajat Chin Peng tidak kesampaian, dan beliau meninggal manakala abu mayatnya tidak dibenarkan dibawa pulang. Sekitar tahun 1999, ahli-ahli politik pembangkang yang dimotori oleh DAP berusaha untuk menghidupkan semangat perjuangan politik kiri dengan cadangan membina sebuah tugu peringatan di Nilai, Negeri Sembilan.

Bahkan, mulai tahun tersebut diterbitkan beberapa buku perjuangan politik kiri untuk diiktiraf sebagai sebahagian daripada sejarah perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu dan pembentukan Malaysia. Pada tahun 2007, Dr Kua Kia Soong menerbitkan sebuah buku untuk mentafsir semula fakta mengenai 13 Mei 1969 berdasarkan dokumen British (May 13:Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969).

Tafsiran itu ditolak oleh sebahagian aktivis tanah air kerana dokumen British itu hanya mengungkapkan pandangannya sebagai bekas penjajah yang menggunakan sudut pandangan kolonial dan masih ingin mengajar negara-negara yang pernah dijajahnya walaupun diberikan hak dan kebebasan menentukan corak pemerintahan sendiri. Ia muncul sebagai sebahagian daripada neoimperialisma.

Beliau (Kua Kia Soong) adalah bekas wakil rakyat DAP bagi konstituensi Petaling Jaya selama dua penggal (1990 dan 1995) sebelum kembali menerajui Kolej New Era, sebuah institut pendidikan swasta yang ditubuhkan oleh Dong Jiao Zong, yang tegas mempertahankan sistem pendidikan Cina dan kuat mendesak agar UEC diiktiraf sebagai salah satu peperiksaan awam dan diterima untuk kemasukan ke perkhidmatan awam serta syarat kemasukan ke universiti awam.

Kolej New Era adalah salah sebuah kolej swasta yang menerima peruntukan khas daripada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

boleh bertanya

Bagi netizen, sepuluh justifikasi yang dikemukakan oleh Lim Kit Siang itu bukanlah sebab-sebab yang mendorong penolakannya untuk berdebat tetapi kaitan sejarah politik DAP lah yang menjadi faktor penolak yang cuba diselindungkan.

Lim Kit Siang dilihat tidak berupaya untuk menepiskan kesemua kaitan sejarah tersebut dalam sebuah debat terbuka, kerana Najib turut meminta agar tajuknya tidak hanya terhadap kepada kleptokrasi di mana ‘dia boleh bertanya apa-apa kepada saya, termasuk 1MDB. Dan saya boleh bertanya apa-apa kepadanya. Atas semangat demokrasi yang sihat, dia harus menyahut cabaran’.

Syarat Najib yang lain ialah tidak melantik RSN Rayer sebagai moderator. Akibatnya, RSN Rayer semakin rasa tercabar, dan akhirnya mencabar Najib untuk berdebat dengannya selepas Lim Kit Siang menolak kerana terbayang bahawa debat itu akan bertukar menjadi “konflik orang Melayu lawan Cina”.

Mungkin juga, kerana anaknya pernah menyatakan bahawa kerjasama UMNO dan PAS adalah ‘perisytiharan perang kepada bukan Melayu’ dan seorang lagi berkata, kerjasama itu menjadikan Malaysia saperti Afghanistan yang diperintah oleh Taliban sekiranya berjaya membentuk kerajaan.

Dua ungkapan politik itu benar-benar menyebabkan orang Melayu berkecil hati dan semakin membenci DAP. Ia menambahkan lagi rasa kesal orang Melayu selepas harapan mereka kepada PH semakin menipis, dan dicelah-celah terdengar ada suara-suara jelas dan samar-samar, DAP semakin mendominasi kerajaan PH.

Hakikatnya, PH perlu membuktikan bahawa DAP tidak mendominasi kerajaan dan parti itu bukanlah penentu segala keputusan walaupun sering bertelingkah antara menteri kabinet, termasuk cabar mencabar antara Ketua Armada (PPBM) iaitu Menteri Belia dan Sukan dengan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy.(Berita Harian, 20.12.2018).

Ia ditambah dengan sikap yang ditunjukkan oleh seorang lagi menteri kabinet dari DAP, Kulasegaran mengenai perkauman sejak menyatakan orang Melayu adalah pendatang kerana telah ditemukan bukti di Lembah Bujang mengenai kedatangan orang India membina petempatan awal, orang India tidak akan makan di restoran Melayu dan orang India tidak akan pergi kepada wakil rakyat Melayu untuk mengadu.

Isu-isu inilah sebenarnya yang tidak dapat ditangkis oleh Lim Kit Siang, maka itulah beliau sangat cepat membuat kesimpulan, debat dengan Najib akan dilihat sebagai ‘konflik orang Melayu lawan Cina.’

 

Mahanor Saleha

 

No Comments

    Leave a reply